Monday, December 24, 2012

Jadi Manusia Belum Tentu Dapat, Ada Hati Mahu Jadi Dewa!

Pergi wat masa ada upacara tambun (buat pahala). Cuba tanya pak cik atau mak cik, abang atau kakak, datang tambun di wat mahu apa? Mereka tentu akan berkata: "Saya tak mahu apa-apa, mahu bun saja!"

"Mahu bun untuk apa?"

"Bila ada bun, lepas mati boleh pergi syurga. Kalau dilahirkan semula di dunia akan jadi kaya, cantik dan sihat!"

"Banyaknya! Kalau diberi pilihan mahu pergi syurga atau lahir semula ke dunia?"

"Oooii, tanya apa, tentu mahu pergi syurga. Siapa-siapa pun tambun mahu pergi syurga belaka!"

"Tapi saya, tambun bukan mahu pergi syurga!"

"Mahu pergi neraka?" Dia ketawa. "Maaf, gurau saja. Semua orang tambun mahu pergi syurga, kecuali awak, kik kik kik!!!!" Dia ketawa.

"Saya tambun mahu dapat kuson."

"Bun dan kuson sama saja."

"Tak sama."

"Apa bezanya?"

"Tanya Maha Google!" (Rujuk posting terdahulu dalam KSB)

Orang tua-tua pun selalu berpesan. Tambun banyak-banyak boleh jadi sahabat Thevada/Devata, boleh kaya dan boleh cantik. Tambun untuk jadi Devata, untuk kaya dan untuk cantik menjadi idaman ramai orang. Jadi devata boleh berkawan dengan Phra In (Indra) dan Phra Phrom.

Syurga merupakan matlamat utama mereka yang pergi tambun di wat. Syurga tempat paling bahagia. Semua kemahuan akan tertunai serta merta. Teringat mahu apa, semua dapat. Teringat mahu makan tomyam kepala ikan haruan, terus dapat dan terus kenyang. Teringat mahu minum sup gear box, terus dapat dan terus kenyang. Semua barang di syurga dalam bentuk dibba (Thai: Thip. Thip ialah ajaib. Ingat apa-apa sahaja, benda tersebut terus muncul di depan mata). Bidadari yang cantik molek pun ramai. Begitulah cerita orang tua-tua yang diperturunkan dari generasi ke generasi. Gambaran syurga yang indah dan berseri-seri menjadi idaman manusia hingga membikin manusia ketagihan bun (ketagihan pahala)

Jarang benar orang pergi tambun mahu mendapat pencerahan Nibbana. Maklumlah, Nibbana dikatakan "kosong" dan selepas mati tidak akan hidup lagi. Orang kita sangat takut apabila mati tidak akan hidup lagi. Sedangkan hakikatnya, Nibbana bukan mati. Nibbana adalah Nibbana dan tidak perlu tunggu mati dan tiada kaitan dengan mati. Sunyata bukan kosong tanpa apa-apa langsung. Sunyata ialah keadaan bebas daripada penderitaan atau kebelengguan.

Berbalik kepada tambun di wat untuk pergi syurga. Bolehkah setakat tambun atau Sanghadana di wat untuk ke syurga? Syurga lebih tinggi daripada dunia. Untuk pergi syurga, kita mesti melakukan kebaikan yang mengatasi kebaikan seorang manusia. Kebaikan ini dipanggil "harta" (khunnasombat) iaitu "harta kebaikan". Harta kebaikan ada 2 iaitu harta kebaikan dunia dan harta kebaikan syurga. Untuk penulisan seterusnya saya menggunakan istilah "harta" sahaja iaitu harta dunia dan harta syurga. (Jangan pula terkeliru harta dunia ini dengan harta yang dimiliki oleh tauke Genting atau tauke Asro. Harta ini boleh digunakan di dunia tetapi bukan tiket ke syurga).

Apakah harta dunia? Apakah harta yang kita miliki sehingga kita dilahirkan di dunia sekarang? Takkan harta dunia pun tidak tahu. Buddha berkata untuk dilahirkan sebagai manusia bukan senang. Maknanya kebaikan yang diperlukan sebagai tiket untuk dilahiran ke dunia tidak semudah sangkaan kita. Kita semua yang berada di muka bumi ini pernah melakukan pelbagai kebaikan sebelum ini sehingga berjaya jadi manusia. Untuk kekal sebagai manusia kita tidak boleh mengabaikan kebaikan sebagai manusia.

Bagaimana pula dengan harta syurga? Sebelum memasang angan-angan mahu pergi syurga, kita mesti tahu dahulu apakah harta syurga yang harus dimiliki barulah dapat ke syurga. Jikalau kita tidak tahu, bagaimana kita mahu kumpulkan harta tersebut sebagai tiket ke syurga? Kita tidak boleh jadi Mat Jenin. Buddha tidak mengajar penganut jadi Mat Jenin yang asyik dengan angan-angan kosong.

Harta dunia ada 2 jenis yang utama. Tidak banyak, hanya 2 jenis yang utama tetapi bukan senang dicari. Tauke besar-besar pun belum tentu mampu mencarinya.

Harta dunia (harta manusia) yang pertama ialah Sila 5.

Harta dunia yang kedua ialah Kammabot 10 (Kamma-patha 10). (Mahu detail, sila rujuk Maha Google).

Inilah 2 harta dunia yang harus dimiliki sekiranya mahu dilahirkan sebagai manusia di dunia sekali lagi. Sekiranya 2 jenis harta ini tidak ada, tidak usah berangan-angan mahu jadi manusia lagi. Jadi apa saya tidak tahu. Jikalau setakat pergi wat sekadar ikut-ikutan; orang rapsil, kita pun rapsil, orang saibart, kita pun saibart, orang buat Sanghadana, kita pun buat Sanghadana, orang dengar Desana, kita pun dengar Desana, tetapi amalannya kosong atau tunggang-langgang, maka tidak usah berangan-angan lebih. Seandainya betul-betul mahu pergi syurga, mahu jadi Dewa, amalkan betul-betul dhamma yang berkaitan dengan harta syurga. Sebelum itu, amalkan dahulu dhamma yang berkaitan harta dunia kerana harta syurga adalah sambungan atau tambahan kepada harta dunia.

Untuk jadi Devata di syurga tentulah hartanya mesti lebih banyak lagi kerana kedudukan syurga lebih tinggi daripada dunia. Devata juga dikatakan mempunyai kuasa luar biasa melebihi kuasa manusia. Ini adalah menunjukkan bahawa amalan Devata mesti lebih tinggi daripada manusia.

Selain ada Sila (Sila 5, 8, 10, 227) dan Kammabot 10, seseorang yang mahu jadi Devata mesti sentiasa Samadhi Pavana. Meskipun tidak sampai Jhana, minda harus tenang dan suci. Kerana minda yang tenang dan suci akan melahirkan Hiri dan Ottappa. Hiri ialah malu dan Ottappa ialah takut. Malu dan takut kepada kejahatan ialah harta syurga yang penting. Malu buat jahat di depan orang, tetapi jika orang tidak nampak berani pula buat, itu bukan Hiri. Hiri mesti berasa malu sama ada orang namapak atau tidak. Begitu juga dengan Ottappa. Sekadar takut orang nampak kita buat jahat atau takut undang-undang bukan Ottappa. Ottappa mesti takut kepada Karma dengan kesedaran bahawa buat jahat sesuatu yang sangat keji. Namun, ramai yang malu dan takut buat jahat hanya di depan orang. Apabila orang tidak ada, mengalahkan hantu perbuatannya.

Oleh itu, untuk jadi penghuni syurga, membuat dana, mempunyai Sila dan Samadhi Pavana, mesti ada Hiri-Ottappa. Jikalau mahu jadi Devata tahap Ariya mesti menyuburkan Jhana dan Brahma-vihara 4. Hati harus suci. Hasad dengki jangan ada. Sikap pentingkan diri ditolak ke tepi. Ibu bapa jangan diabaikan. Orang-orang tua harus dihormati. Kebersihan diri diutamakan. Devata sangat mementingkan kebersihan. Wah, banyaknya yang mesti diamalkan? Tentulah banyak. Ingat senang mahu jadi Devata. Jika senang, syurga sudah penuh. Bukan sembarangan orang boleh jadi Devata, boleh jadi penghuni syurga.

Dengar tok sami cakap memang senang. "Woi, mari kita tambun banyak-banyak, mati boleh pergi syurga!"

Ini satu lagi kelemahan kita. Kita ingat buat baik dengan sami atau wat sahaja baru dapat pergi syurga. Sebab itulah mungkin yang menjadi punca orang Siam sangat jarang pergi tambun di rumah kebajikan masyarakat. Buat baik orang Siam hanya tumpu kepada wat dan sami.

Jikalau syurga boleh pergi dengan duit yang dipacak pada pokok pisang (pokok bunga) atau yang diderma kepada wat masa Kathina, Hari Wesak dan sebagainya, semua orang-orang kaya yang rajin tambun akan ke syurga. Orang-orang kaya ini tambun berpuluh-puluh ribu, beratus-ratus ribu, malahan berjuta-juta pun ada. Manakala orang miskin yang kais pagi makan pagi yang tidak pernah tambun duit kepada wat tidak layak ke syurga? Atau penganut agama Buddha yang tinggal di negara yang tiada sami dan tiada wat tidak akan mencium bau syurga? Harta syurga tidak dinlai dengan wang ringgit. Ini harus difahami.

Maka sudah tiba masanya kita berfikir secara rasional. Jikalau "harta dunia" pun tidak ada, tidak usah bermimpi mahu pergi syurga. Jikalau betul-betul mahu pergi syurga, harus berusaha mengumpul harta syurga dengan cara yang betul. Dana, Sila, Samadhi-Pavana dan Hiri-Ottappa mesti ada.

Namun, harus diingat pesanan Buddha: "Bhikkhu dalam Dhamma-vinaya ini, jikalau mengamalkan dhamma dengan berharap akan dilahirkan sebagai mana-mana kumpulan dewa di syurga, adalah umpama dirasuk hantu!" Ini kerana tersasar daripada matlamat menjadi bhikkhu dan mengamalkan dhamma. Matlamat menjadi bhikkhu dan mengamalkan dhamma adalah untuk mendapat pencerahan dan pembebasan minda atau Nibbana.




1 comment:

Anonymous said...

sathuk sathuk sathuk !
terima kasih tuan pena kerana membuka minda warga Thai yg ketagihan bun.