Saturday, December 1, 2012

Phra Phrom dan Proses Pembentukan Dunia

Phra Phrom (Brahma) atau Phra Isuan (Siva) adalah Tuhan Maha Kuasa bagi golongan Brahmana. Golongan Brahmana percaya bahawa Phra Phrom atau Phra Isuan adalah pencipta dunia dan penentu kehidupan makhluk di dunia. Kepercayaan ini bersandarkan kepercayaan guru-guru mereka yang terdahulu. Tiada seorang pun yang pernah membuktikan dengan diri sendiri. Dalam bahawa mudah, kepercayaan bahawa Tuhan mencipta dunia dan menentukan kehidupan manusia hanya kepercayaan secara ikut-ikutan. Kepercayaan ini tersebar luas di benua India ketika itu. Bahkan keluarga Putera Siddharta pun turut percaya dengan kepercayaan ini.

Hanya setelah Putera Siddharta mencapai Pencerahan Sempurna @ Trassaru, barulah kepercayaan lama lenyap daripada minda.

Buddha pernah pergi mencari samana (nakhbuard) Brahmana di kediaman mereka. Buddha bertanya tentang kepercayaan mereka berkenaan Phra Phrom, pencipta dunia. Mereka mengakui bahawa sebenarnya mereka mempercayai Phra Phrom dan Phra Isuan hanya mengikut kepercayaan guru-guru mereka sahaja. Maknanya bukan melalui "pembuktian" sendiri melalui amalan seperti Buddha. Mereka percaya secara ikut-ikutan; melalui cerita guru-guru yang diwarisi sejak dahulu kala.

Oleh hal yang demikian apabila diminta oleh Buddha supaya mereka "membuktikan" kebenaranya kenapa mereka percaya begitu; betulkah Phra Phrom adalah pencipta dan penentu kehidupan manusia; mereka tidak dapat menjawab dengan betul.  Sebaliknya mereka bertanya balik kepada Buddha. Buddha pula yang terpaksa memberikan penjelasan.

Orang dahulu sekiranya mereka tidak tahu perkara yang sebenar, mereka mengaku. Mereka tidak berani berbohong bagi menegakkan benang basah. Apatah lagi berbohong kepada Individu Suci seperti Buddha, sangat berat dosanya. Malahan jikalau diikutkan cerita, siapa yang tidak menjawab pertanyaan Buddha sebanyak 3 kali, kepalanya akan pecah menjadi 7 bahagian. Bayangkan, jikalau berbohong kepada Buddha, mungkin berkecai kepala jadinya. Perumpamaan begini menunjukkan bahawa berbohong kepada Buddha sangat berat Karmanya.

Golongan Brahmana mempunyai pegangan yang kuat terhadap kasta. Mereka percaya bahawa manusia dicipta oleh Phrom (Brahma) secara berbeza-beza. Oleh itu taraf manusia juga berbeza-beza. Ada yang dimuliakan dan ada yang dihina. Kerana Brahmana mahu mengetahui perkara sebenar tentang manusia, maka Buddha pun menceritakannya.

Begini penjelasan Buddha. Pada suatu masa yang sangat-sangat lama dahulu, dunia telah musnah. Sewaktu dunia sedang mengalami proses kemusnahan, kebanyakan manusia yang mencapai Jhana (meditasi tahap tinggi) akan dilahirkan semula di Apassara-Phrom (Phroma-Loka@dunia Phrom).  Golongan Phrom (dalam bentuk cahaya yang terpancar-pancar) yang tinggal di Apassara Phrom tersebut mempunyai kuasa luar biasa yang sangat tinggi. Mereka mempunyai piti (kebahagiaan) sebagai makanan. Mereka mengembara di ruang angkasa atau cakerawala dengan bebas. Dalam tempoh pengembaraan, mereka tinggal di dalam mahligai yang indah. Mahligai ini terapung-apung di angkasa dalam jangka masa yang sangat-sangat lama. Mahligai ini dinamakan Mahligai Phrom.

Pada masa yang lain yang sangat-sangat lama, dunia terbentuk semula. Sewaktu dunia dalam proses pembentukan, Mahligai Phrom kosong. Selepas masa berlalu agak lama, seorang Phrom dari alam Apassara Phrom, kerana kehabisan usia atau bun-barami, dilahirkan ke Mahligai Phrom yang kosong. Dia tinggal di situ seorang diri. Kerana hidup seorang diri terlalu lama, Phrom tersebut berasa sunyi lalu berkata dalam hati: "Oh, mintalah ada makhluk lain wujud di sini juga!"

Dia minta makhluk lain lahir di Mahligai Phrom.

Secara kebetulan, beberapa orang makhluk dari alam Apassara Phrom kerana kehabisan usia atau bun-barami dilahirkan di Mahligai Phrom. Mereka menjadi sahabat kepada Phrom yang hidup sendirian sekian lama. Kesemua makhluk tersebut dalam bentuk cahaya yang terpancar-pancar, mempunyai kuasa luar biasa yang sangat tinggi, mempunyai piti sebagai makanan dan gemar mengembara ke merata angkasa. Mereka tinggal di Mahligai Phrom dalam tempoh yang sangat lama.

Buddha menjelaskan lagi bahawa menjadi perkara biasa di kalangan Phrom tersebut, siapa yang wujud dahulu di Mahligai Phrom, dia pasti berfikir begini:

"Kita jadi Phrom pertama di sini! Kita adalah Maha Phrom, kita paling besar dan tiada siapa boleh menandingi kita. Kita berkuasa, kita pencipta dan penentu segalanya. Kita merupakan bapa kepada semua makhluk yang sedang wujud dan bakal wujud. Segala makhluk adalah hasil ciptaan kita. Kenapa kita berkata bahawa segala makhluk adalah hasil ciptaan kita? Kerana kita pernah berkata: 'Oh, mintalah ada makhluk lain wujud di sini juga!' Beginilah niat hati kita. Maka makhluk lain pun wujud di sini.

"Malahan makhluk yang wujud kemudian pun menganggap kita sebagai Yang Mulia dan sebagai Maha Phrom, Maha Besar yang tiada tandingannya, Maha Kuasa, Pencipta dan penentu kehidupan,  bapa kepada segala makhluk yang sedang wujud dan bakal wujud."

Dan semua Phrom di Mahligai Phrom juga mengakui kebesaran Maha Phrom. Mereka berkata: "Kenapa kami berkata begitu? Kerana kami nampak Maha Phrom tersebut wujud terlebih dahulu daripada kami dan kami wujud kemudian daripadaNya. Maka Dialah Maha Besar dan Maha Kuasa bagi kami!"

Begitulah lazimnya, di kalangan makhluk di Mahligai Phrom tersebut. Makhluk yang wujud terlebih dahulu mempunyai umur yang lebih panjang (lebih tua), mempunyai warna yang lebih cantik, mempunyai kedudukan yang lebih mulia. Manakala makhluk yang wujud kemudian mempunyi umur yang lebih singkat, mempunyai warna yang kurang cantik dan mempunyai kedudukan yang lebih rendah.

Dalam masa yang berikutnya, terdapat makhluk tersebut yang meninggalkan Mahligai Phrom kerana kehabisan usia dan bun-barami lalu dilahirkan (wujud) di dunia.

Proses "pembentukan dan kemusnahan dunia" berlaku berulang kali dalam tempoh yang sangat lama yang tidak mampu dihitung, seolah-olah tiada pangkal dan hujungnya. Selepas dunia musnah, angkasa dipenuhi air.  Seluruh angkasa gelap gelita. Matahari dan bulan belum wujud. Bintang-bintang juga belum wujud. Malam dan siang juga belum wujud. Bulan, tahun dan musim juga belum ada. Makhluk pun hanya dikenali sebagai makhluk sahaja. Belum terdapat pembahagian makhluk mengikut jenis-jenisnya seperti devata, manusia, binatang dan sebagainya. Masa beredar, air yang memenuhi angksa pun semakin surut. Proses pembentukan dunia berlaku sedikit demi sedikit, selapis demi selapis bersama air yang sedang surut tersebut.

Setelah masa berlalu begitu lama, "pati tanah" yang dipanggil nguan din (ง้วนดิน) terbentuk dan terapung di permukaan air seperti susu segar yang apabila dimakan akan berasa sejuk dan sedap.  Pati tanah ini mempunyai warna yang cantik, wangi dan rasa yang sangat sedap. (Saya tidak tahu mahu menggunakan istilah apa, lalu menggunakan istilah "pati tanah".)

Phrom tertarik dengan "pati tanah" lalu mencalitnya dengan jari lalu dirasa. Setelah dirasa keenakannya, maka nafsu kemahuan pun merebak ke seluruh badan (badan Phrom dalam bentuk cahaya). Phrom-phrom lain pun ikut merasa pati tanah tersebut. Maka nafsu kemahuan pun merebak ke segenap tubuh mereka. Pada asalnya, Phrom tiada nafsu kemahuan seperti manusia. Makanan mereka ialah piti. Setelah wujud nafsu kemahuan terhadap makanan, para Phrom tersebut mula mengambil "pati tanah" dengan kadar yang banyak. Mereka mengepal-gepal "pati tanah" untuk dijadikan makanan. Sewaktu mereka sedang mengepal-gepal pati tanah, cahaya yang memancar-mancar di tubuh mereka pun malap dan hilang. Suasana menjadi gelap gelita. Setelah cahaya di tubuh Phrom hilang, maka matahari dan bulan pun tiba-tiba wujud. Bintang-bintang pun wujud. Siang dan malam pun wujud. Bulan, tahun dan musim pun wujud. Proses pembentukan dunia pun berlaku.

Para Phrom makan "pati tanah" sebagai makanan dalam tempoh yang lama. Maka pembentukan tubuh badan dengan warna kulit yang berbeza-beza mula terjadi. Perkara ini terjadi hasil daripada memakan pati tanah. Mereka yang mempunyai warna kulit yang cantik memandang rendah kepada mereka yang mempunyai warna kulit yang hodoh. Oleh itu, kesombongan pun wujud di hati mereka. Sewaktu mereka dengan kesombongan masing-masing "pati tanah" tiba-tiba lenyap.

Setelah "pati tanah" jenis nguan din hilang, wujud pula "pati tanah" yang lain iaitu kapik din (กะบิดิน) dan krea din (เครือดิน). Kemudian barulah wujud bijian iaitu khao sali (ข้าวสาลี). Bijian ini berbentuk seperti beras. Para makhluk (Phrom) menjadikan bijian sebagai makanan. Setelah masa berlalu, terbentuk makhluk lelaki dan makhluk wanita. (Kita harus ingat bahawa pada asalnya Phrom tiada jantina). Setelah makan makanan dunia, makhluk yang berasal dari dunia Phrom membentuk jantina. Makhluk lelaki asyik memandang makhluk wanita dan begitu juga sebaliknya. Maka nafsu berahi pun timbul di hati masing-masing. Akibatnya terdapat makhluk yang melakukan hubungan kelamin. Apabila diketahui makhluk lain, pasangan yang melakukan hubungan kelamin dimarahi, dikutuk dan dicerca kerana ini bukan kelaziman Phrom (Phrom pada asalnya tiada jantina, oleh itu tiada hubungan kelamin). Hubungan kelamin merupakan sesuatu yang terkutuk bagi Phrom.

Namun, kemahuan terhadap nafsu berahi tidak mampu dikekang. Untuk mengelakkan dilihat makhluk lain, makhluk yang berpasangan terpaksa membina kediaman. Dari sinilah wujudnya rumah kediaman. Kemudian wujud pula tempat menyimpan makanan. Apabila ada makanan yang disimpan, ada pula yang mencuri makanan. Kecurian juga berlaku. Perasaan "ini hak aku dan itu hak kamu" juga wujud. Dari masa ke masa makhluk-makhluk ini melakukan Karma jahat satu persatu sehinggalah mereka menjadi manusia sepenuhnya. Jadi, asal manusia daripada Phrom (cahaya) yang telah memakan makanan dunia hingga bertukar rupa kepada manusia - sedikit demi sedikit hingga menjadi manusia yang sempurna dengan sifat baik dan buruknya.

Oleh sebab pelbagai kejahatan terjadi, kumpulan makhluk ini berbincang untuk mencari makhluk yang paling baik, paling sempurna warna kulitnya untuk dilantik sebagai ketua mereka. Ketua ini akan dibekalkan khao sali. Dia mempunyai kuasa melarang, menegur dan menghalau sesiapa yang melakukan kejahatan daripada kumpulan mereka. Dari sini maka wujudlah permulaan cara hidup bermasyarakat yang berkonsepkan "Ketua dan pengikut". Ketua boleh mengeluarkan arahan dan peraturan yang mesti dipatuhi masyarakat di bawahnya.

Ketua merupakan "harta" masyarakat. Oleh itu, istilah mahasombat (harta yang besar) wujud sebagai istilah pertama dalam masyarakat ini.

Daripada konsep Ketua, lahirlah konsep Raja. Istilah Kasat (kerajaan) merupakan istilah kedua wujud dan isitilah Raja merupakan istilah ketiga wujud. Apabila wujud raja, dengan sendirinya wujud rakyat.

Perkembangan kebudayaan dan ketamadunan manusia pun bermula dari sini dan berkembang dari masa ke masa, dari tahap ke tahap. Setelah kejahatan semakin banyak, golongan Brahmana pun wujud bagi memberi tunjuk ajar kepada kebaikan dan kejahatan.

Ada antara manusia ini yang mengingati kisah lampaunya sebagai Phrom secara samar-samar. Untuk mengetahui dengan lebih jelas, mereka membuat keputusan meninggalkan rumah dan menjadi Samana. Berkat usaha dan kegigihan, salah seorang berjaya mencapai Ceto-Samadhi. Dia mampu mengingati alam yang pernah didiaminya pada kehidupan yang lampau hingga ke alam Mahligai Phrom. Manakala kehidupan yang lebih lama daripada itu, misalnya di Apassara Phrom tidak mampu diketahuinya.

Oleh sebab dia pernah dilahirkan di Mahligai Phrom, maka dia mampu mengingati semua apa yang ada di Mahligai Phrom. Bahkan apa yang dipercayai dan dilihat di Mahligai Phrom itulah dijadikan pegangannya di dunia.

Oleh itu, dia pun berkata bahawa: "Siapa jadi Phrom, jadi Maha Phrom, Dialah Maha Besar yang tiada siapa dapat menandinginya. Maha Phrom adalah Maha Kuasa, Maha Pencipta, penentu kehidupan segala makhluk, bapa kepada semua makhluk yang sudah dilahirkan, sedang dilahirkan dan akan dilahirkan. Maha Phrom yang mencipta kita, adalah Maha Phrom yang kekal abadi, tidak berubah selama-lamanya. Manakala kita sebagai hasil ciptaan Maha Phrom tidak kekal, hidup sementara dan usia begitu singkat. Kelahiran dan kematian adalah perkara biasa."

Kata-kata ini hanya ulangan daripada kata-kata Maha Phrom di Mahligai Phrom dahulu. Itulah yang digunakan sebagai kebenaran kerana dia hanya mampu tahu setakat itu sahaja. Dia tidak mampu tahu lebih tinggi daripada Mahligai Phrom.

Dari sinilah, manusia di dunia mengalami kesilapan. Kerana terpengaruh dengan manusia yang pernah dilahirkan di Mahligai Phrom. Maha Phrom disangka Pencipta yang mencipta dan mengawal dunia dan segala makhluk di dalamnya. Kepercayaan ini diterapkan oleh Phrom yang pertama yang wujud di Mahligai Phrom. Sedangkan proses pembentukan dunia tiada kaitan dengan Phrom.

Begitulah penjelasan Buddha tentang perkara yang dianggap unggul dan istimewa oleh masyarakat Brahmana pada zaman tersebut. Baginda mengetahui kebenaran tersebut dengan jelas lalu tidak melekat padanya. Sebaliknya, Baginda menggunakan kaedah sendiri mencari kebenaran sehingga berjaya mencapai Pencerahan Sempurna.

(Rujukan: Kitab Tipitaka Thai)
(Rujukan: Kitab Tipitaka Thai)

Jelaslah kepada kita bahawa kepercayaan tentang "Maha Phrom sebagai Pencipta" berpunca daripada manusia yang pernah wujud di mahligai Phrom. Oleh sebab tahap mindanya cuma Ceto-Samadhi, dia hanya mampu mengingati kehidupannya di mahligai Phrom sahaja yang menganggap Phrom yang dilahirkan dahulu sebagai Maha Phrom. Sedangkan hakikatnya, kesemua Phrom di situ berasal dari alam Apassara Phrom (Alam Phrom atau Brahma-Loka ada banyak). Buddha pula mempunyai minda Ceto-Vimutti dan mampu mengingati kesemua kehidupan, termasuk semua kehidupan alam Phrom, sebagaimana yang dikehendaki. 

6 comments:

RickyFlaming said...

I like this.

Anonymous said...

Penganut Buddhist harus baca artikel ini untuk menambahkan ilmu bila berdepan dengan penganut Tuhan langit tak mudah dikencing oleh mereka.

Anonymous said...

Penganut buddhis yang gemar menyeru dan menyembah phra phrom di wat-wat Thai juga patut me baca artikel ini.
Sathuk !

pena reformasi said...

Majoriti Penganut Buddhist yang sembah Phra Phrom tak tahu siapa Phra Phrom yang sebenar. Patut sekali membaca artikel ini supaya dapat mengenali Phra Phrom.

Anonymous said...

bererti suatu masa dahulu asal manusia adalah dari cahaya.saya merupakan bekas penganut agama kristian dan dalam kiab bible pun ada mengatakan manusia dibuat dari tanah dan manusia menjadi dosa dan hilang kwmulian bila makan buah terlarang di taman eden.persamaan agama byddha dan kristian semua menerangkan asal manusia dari cahaya dan manusiabkehilangan cahaya akibat dari pemakanan.makanan asal manusia adalah piti.kegwmbiraan.sebab itu ada manusia hidup lama hanya kerana dia gembira.

Bodhi Sarawak. said...

bererti suatu masa dahulu asal manusia adalah dari cahaya.saya merupakan bekas penganut agama kristian dan dalam kiab bible pun ada mengatakan manusia dibuat dari tanah dan manusia menjadi dosa dan hilang kwmulian bila makan buah terlarang di taman eden.persamaan agama byddha dan kristian semua menerangkan asal manusia dari cahaya dan manusiabkehilangan cahaya akibat dari pemakanan.makanan asal manusia adalah piti.kegwmbiraan.sebab itu ada manusia hidup lama hanya kerana dia gembira.