Saturday, December 22, 2012

Sahabat Yang Baik

Buddha pernah berkata kepada para bhikkhu bahawa apabila matahari akan muncul pada waktu pagi, perkara yang muncul dahulu atau gambaran awal ialah cahaya keperakan dan cahaya keemasan. Begitu juga dengan pengamal dhamma. Apabila Ariya Magga 8 akan muncul, perkara yang muncul dahulu atau gambaran awal ialah mempunyai sahabat yang baik. Individu yang mempunyai sahabat yang baik boleh menaruh harapan bahawa dia akan subur dalam Ariya Magga 8. Maknanya individu yang mempunyai sahabat yang baik akan berhasil mengamalkan Ariya Magga 8 dengan sempurna. Ariya Magga 8 merupakan jalan pembebasan minda menuju Nirvana.

Dalam bahasa yang lain, sahabat yang baik sangat penting kerana mampu membawa kita mencapai Nirvana. Sebaliknya, orang yang mempunyai sahabat yang jahat, sukar mengharapkan Ariya Magga 8 akan subur. Ini kerana sahabat yang jahat akan membawa pengaruh jahat. 

Oleh itu, kita harus bersahabat dengan orang baik. Jikalau dapat sahabat yang baik, peluang untuk kita berbuat baik terbuka luas. Sahabat yang baik mempunyai minda positif. Apabila kita bergaul dengan orang yang mempunyai minda positif, minda kita juga akan jadi positif. 

Sahabat yang baik ialah orang yang mempunyai kepercayaan dan keyakinan (Saddha) yang teguh kepada Buddha, Dhamma dan Sangha; bermoral tinggi (Sila); bijak (Panna); dan berilmu (Pahusuttra). Sahabat yang baik ialah orang yang baik yang bersahabat dengan kita. Orang yang baik, hanya membawa kebaikan kepada kita; susah senang tetap bersama kita. Sahabat yang baik juga tidak ada agenda tersembunyi apabila bersahabat dengan kita.

Sesiapa yang mempunyai sahabat yang baik, hargailah dan peliharalah persahabatan tersebut kerana dia umpama cahaya keemasan yang muncul sebelum kemunculan matahari sepenuhnya.


(Sumber: Tipitaka Thai)



4 comments:

Anonymous said...

Kawan makan kawan senang cari. Kawan mabuk senang cari. Kawan susah sama susah payah nak cari.

Anonymous said...

Kanlayanamit memang penting dalam kehidupan seharian. Sathuk.

Anonymous said...

salam sejahtera, selepas menjejaki blog ini saya selalu mengikuti artikal-artikal lama mahupun yang baru dipaparkan. dan saya amat meminati cerita dhammapada yang dapat dijadikan pedoman kepada kehidupan kita sekarang..diharap pena KTB dapat teruskan usaha anda !

Anonymous said...

Saya sangat bangga dengan usaha murni Tuan kerana paparan thamma theravada Thai dalam bahasa Malaysia yang mudah difahami.