Sunday, December 16, 2012

Uttra: Berkorban Suami Demi Dhamma!

Kebanyakan isteri meletakkan kebahagiaan di bahu suami. Sekiranya mendapat suami yang baik, maka berbahgialah isteri. Sebaliknya, apabila mendapat suami yang jahat, maka sengsaralah isteri. Akan tetapi isteri yang bernama Uttra tidak begitu. Dia meletakkan kebahagiaan di atas bahu sendiri.

Uttra, seorang wanita yang cantik jelita, anak kepada hartawan bernama Punna. Uttra seorang yang mempunyai Samma Ditthi dan kepercayaan (saddha) yang tinggi terhadap Buddha. 

Pada suatu hari, Uttra dikahwinkan dengan lelaki keluarga hartawan yang amat berpengaruh. Uttra tiada pilihan lain lalu terpaksa terima meskipun tahu keluarga bakal suami merupakan keluarga Micca Ditthi dan tiada kepercayaan kepada Buddha.

Setelah kahwin, Uttra sentiasa sahaja ada masalah dengan suami berpunca daripada kepercayaan yang berbeza.  Uttra mempunyai kepercayaan yang tinggi terhadap Buddha tetapi jarang sekali dapat tambun dengan para bhikkhu, tiada peluang mengamalkan dhamma dan tiada peluang menjaga Uposattha Sila (Sila Ubosot) kerana tidak dibenarkan oleh suami.

Kehidupan Uttra tidak aman. Dia terpaksa memberitahu kepada bapanya. Bapanya begitu simpati lalu mengupah seorang pelacur, iaitu Puteri Sirima, mengambil alih tanggungjawab sebagai isteri kepada suami Uttra. Pada mula suaminya tidak setuju. Akan tetapi setelah melihat kejelitaan dan tarikan yang ada pada Puteri Sirima, dia pun membenarkan Uttra mengamalkan dhamma dan Sirima menjalankan tanggungjawab sebagai isteri menggantikan Uttra. 

(Pelacur dahulu bukan sebarangan kerana datang daripada pemenang pertandingan wanita cantik dan dilantik oleh raja).

Uttra begitu rajin menyediakan makanan kepada bhikkhu saban waktu bersama-sama dengan golongan hamba sehingga kadang-kadang begitu keletihan. 

Suatu hari, si suami melihat Uttra tekun menyediakan makanan kepada bhikkhu lalu berfikir: "Uttra, wanita bodoh ini mungkin lahir daripada makhluk neraka, suka buat kerja kotor seperti golongan hamba. Harta sangat banyak tapi tak suka. Perbuatannya tak wajar sungguh!" Si suami tersenyum kepada Uttra penuh dengan sindiran. 

Manakala Uttra pula berfikir: "Putera hartawan, suami kita ini, seorang yang bodoh, ingat harta kekayaan suatu yang kekal abadi." Uttra turut tersenyum sebagai membalas senyuman suami.

Kebetulan Puteri Sirima berjalan datang melihat kedua-dua suami isteri membalas senyuman. Dia lupa diri lalu berasa cemburu dengan kuat. 

Setelah suami beredar pergi, Puteri Sirima menghampiri Uttra dan memarahinya kerana cemburu. Puteri Sirima bergegas mengambil susu panas yang mendidih di dalam kuali untuk menyimbah ke atas Uttra. 

Dengan hati yang melimpah dengan kasih sayang, Uttra melakukan "Sacca Athithan" bahawa Puteri Sirima sangat berjasa kepada dia kerana menjalankan tanggungjawab sebagai isteri menggantikan dia hingga dia dapat mengamalkan dhamma dengan baik. Selurus itu, susu panas menjadi sejuk dan tidak mendatangkan sebarang musibah kepada Uttra. 

Para hamba yang sedang membantu Uttra menyediakan makanan menerpa mahu mencederakan Puteri Sirima tetapi disekat oleh Uttra. Uttra melayan Puteri Sirima dengan baik dan sopan dengan memanggilnya "adik kesayangan" dan "sahabat kesayangan". Para hamba berasa hairan melihat perlakuan mulia puan mereka, Uttra. 

Puteri Sirima terkejut melihat Uttra tiada sebarang kecederaan selepas disimbah susu panas. Dia tersedar dan insaf bahawa dia hanya pendatang yang dibayar lalu menyembah kaki Uttra minta dimaafkan perbuatannya.

Uttra berkata: "Saya akan maafkan sekiranya ayahanda saya, iaitu Buddha terlebih dahulu memaafkan awak!"

Sewaktu berjumpa dengan Buddha, Baginda melafazkan kata-kata ini:

"Menewaskan kemarahan dengan perasaan tidak marah,
Menewaskan orang jahat dengan kebaikan,
Menewaskan orang kedekut dengan memberi,
Menewaskan pembohong dengan ungkapan yang benar."

Setelah selesai mendengar nasihat Buddha, Puteri Sirima terus menjadi Sodaban (Sotapatti Magga). Manakala Uttra dipuji oleh Buddha sebagai Upasika yang paling mulia daripada segala Upasika dalam perihal Jhana (Samadhi).



No comments: