Wednesday, January 2, 2013

Dewa Dan Syurga Umpan Nirvana

Dalam agama Buddha, terdapat banyak kisah tentang dewa-dewi di syurga. Kepercayaan tentang dewa-dewi ini berakar daripada kepercayaan Brahmana. Sesetengah orang berasa hairan. Buddha asalnya berpegang kepada kepercayaan Brahmana. Setelah dewasa, Baginda menolak kepercayaan Brahmana dengan memcari kebenaran sendiri. Selama 6 tahun dalam pencarian, akhirnya Baginda berjaya menemukan "Dhamma-Vinaya" yang diperturunkan kepada kita hingga hari ini.

Apabila Baginda menolak kepercayaan Brahmana, dengan sendirinya Baginda juga menolak kepercayaan tentang dewa-dewi di syurga yang merupakan teras kepercayaan Brahmana.

Persoalannya, mengapakah kisah dewa-dewi masih ada dalam kitab agama Buddha? Sebenarnya, Baginda tidak menolak kewujudan dewa-dewi, sebaliknya menolak kepercayaan bahawa syurga mampu memberi kebahagiaan abadi kepada manusia. Brahmana percaya bahawa kebahagiaan abadi manusia adalah di syurga. Penghuni syurga dipanggil Devata (dewa-dewi). Pencipta alam ialah Maha Phrom (Brahma).

Buddha menolak kepercayaan ini. Bagi Buddha, kebahagiaan abadi ialah Nirvana. Kebahagiaan di syurga hanya sementara kerana penghuninya apabila kehabisan bun-barami (kebaikan) akan dilahirkan semula di alam lain, mungkin di alam manusia atau alam haiwan atau alam neraka. Maka hakikatnya, syurga belum bebas daripada "Kitaran Hidup" (Vatta Samsara).

Kisah dewa-dewi dan syurga adalah "umpan" untuk menarik masyarakat mendekati Dhamma-vinai Buddha. Sebagaimana kita sedia maklum, masyarakat India ketika itu sangat percaya dengan kepercayaan Brahmana.   Mereka amat berharap apabila mati akan dilahirkan di syurga dan menikmati kebahagiaan selama-lamanya. Jadi, syurga merupakan "harapan" dan "escapism" kepada masyarakat yang menanggung keperitan hidup di dunia. Jikalau konsep dewa dan syurga ditolak terus, maka masyarakat pasti akan menjauhi Dhamma-vinai Buddha. Untuk tidak berlaku "kejutan budaya" dewa dan syurga dijadikan umpan. Setelah masyarakat memahami Dhamma-vinai dengan betul (terutamanya Ariya Sacca 4) dengan sendiri mereka akan "melepaskan" syurga dan beralih kepada pencerahan Nirvana.

Itulah yang berlaku kepada penganut agama Buddha ketika itu. Ramai yang "melepaskan" syurga dan mencapai Nirvana. Saribut (Sariputra), Mongganlan, Ubali, Kassapa dan ramai lagi berjumpa Buddha dengan minda terikat pada syurga. Setelah memahami Dhamma-vinai Buddha, barulah mereka melepaskan syurga dan menekuni pencerahan Nirvana.

Malangnya, kita hari ini syurga bukan sekadar "umpan" untuk mencapai pencerahan Nirvana. Sebaliknya, "umpan" tidak mahu dilepaskan; syurga kembali menjadi "harapan" dan "escapism" kepada kesengsaraan hidup di dunia. Syurga diberikan penekanan. Manakala Dhamma-vinai (misalnya, Trilaksana, Paticca-samuppada, dan Ariya Sacca 4) diabaikan sama sekali. Maka tidak hairanlah apabila kebanyakan kaum Buddhis pergi tambun (buat pahala) dengan niat mahu pergi syurga. Jikalau kita mahu pergi syurga, bermakna kita tidak ikut jejak Buddha. Buddha siang-siang lagi tidak mahu pergi syurga. Baginda tahu syurga bukan jawapan kepada kesengsaraan hidup. Syurga hanya "gula-gula" bagi menghilangkan pedas somtam sahaja. Kebahagiaan sebenar dan abadi ialah Nirvana. Orang yang mahu pergi syurga sebenarnya sedang mengikut jejak Brahmana.

Kenapa jadi begini? Kenapa penganut agama Buddha tidak mengikut jejak Buddha, sebaliknya mengikut jejak Brahmana? Sebab mereka tidak memahami agama Buddha dengan betul. Mereka menjadi penganut agama Buddha melalui kelahiran. Ibu bapa beragama Buddha, anak-anak pun beragama Buddha. Pengetahuan ajaran Buddha hanya setakat kulit luar. Itupun secara ikut-ikutan. Salah siapa? Salah diri sendiri kerana tidak berusaha mendalami ajaran Buddha dengan betul. Salah orang yang mengajar dhamma kerana gagal memberi pemahaman dhamma yang betul kepada penganut. Salah Majlis Agama Buddha kerana tiada tindakan yang sewajarnya bagi memperbetulkan pandangan dan kepercayaan penganut.

Namun, bukan kesalahan sesiapa yang mahu dicari kerana kesalahan tidak mampu memberikan apa-apa keuntungan selagi semua pihak yang terlibat tidak mengambil pengajaran daripadanya.

Salah satu kisah dewa yang popular di kalangan penganut agama Buddha ialah kisah Phra In.

Saya tidak tahu Phra In (Indra) itu sebenarnya siapa (atau apa?) kerana orang tua-tua selalu bercerita tentangnya. Dalam kitab agama Buddha pun ada disebut pasal Phra In. Orang tua-tua percaya bahawa Phra In ialah dewa/deva yang selalu datang ke bumi untuk menyedarkan orang jahat dan melindungi orang baik. Dipercayai juga bahawa ketika masyarakat manusia huru-hara, Phra In akan datang bagi menenteramkan keadaan dan melindungi orang-orang baik. (Sekarang dunia sedang bergelora, tetapi belum nampak kelibat Phra In datang membantu?)

Di wat tertentu terdapat lukisan Phra In dan para dewa duduk mengelilingi Buddha. Kisah Phra In juga diceritakan dari generasi ke generasi dengan indah sekali. Maka tidak hairanlah ada orang yang bercita-cita mahu dilahirkan sebagai Phra In. Saya masa budak-budak dahulu suka sangat pergi mendengar "penglipur lara" kampung saya bercerita tentang devata termasuk Phra In. Dalam wayang kulit Thai, Phra In merupakan watak penting. Mukanya berwarna hijau.

Phra In mempunyai nama panggilan yang pelbagai, antaranya ialah "Thao Sakka Devaraj".

Phra In mempunyai 4 orang isteri iaitu Suchitta, Suthamma, Sunantha dan Suchada. Phra In tinggal di syurga Tavatimsa (Daodeung), syurga tingkat kedua daripada 6 tingkat Syurga Kamavacara (syurga yang masih terikat dengan keseronokan nafsu deria).

Sewaktu jadi manusia Phra In mengamalkan 7 kebaikan. Apabila mati dilahirkan di syurga. Antara tujuh kebaikan tersebut ialah:

1. Menjaga ibu bapa dengan baik.

2. Menghormati orang tua dalam keluarga.

3. Bercakap lembut dan manis.

4. Tidak bercakap kasar, menyindir atau memaki hamun hingga menimbulkan kesusahan, kesakitan hati, atau kemarahan orang.

5. Tidak kedekut, sebaliknya gemar menderma dan menyedekah.

6. Bercakap perkara yang benar sahaja.

7. Tidak marah. Sekiranya perasaan marah timbul di hati, segera menghapuskannya.

Dalam kitab menyebut 7 kebaikan ini bukan dilakukan sekali dua, setahun dua, tetapi dilakukan sepanjang hayat.

Dikisahkan bahawa sewaktu jadi manusia, Phra In juga berkahwin empat. Beliau mempunyai 33 orang sahabat karib yang berjiwa kemasyarakatan. Phra In dan para sahabat bergotong royong membina jalan raya untuk memudahkan perjalanan orang ramai. Di sebuah simpang empat, mereka membina sebuah balai untuk dijadikan tempat persinggahan para musafir. Kolam untuk minum dan mandi manda juga disediakan.

Ketua Kampung takut orang kampung lebih hormat dan sayang kepada Phra In lalu menyuruh Phra In pergi buat kerja tidak baik. Phra In tidak mahu. Ketua Kampung mengadu kepada Raja bahawa Phra In dan kawan-kawan mahu memberontak. Raja menitahkan Phra In dan kawan-kawan dipijak oleh gajah. Anehnya, gajah tidak mahu memijak mereka. Raja berasa hairan lalu bertanya hal sebenar kepada Phra In. Ketua Kampung dibuang negeri. Phra In dilantik jadi Ketua Kampung yang baru. Gajah ini dikurniakan kepada Phra In dan dinamakan Gajah Erawan.

 Hasil kebaikan yang dikumpulkan selama jadi manusia, Phra In dan sahabat dilahirkan di syurga Tavatimsa.

Kisah Phra In sekiranya dijadikan pengajaran dan teladan hidup, pasti banyak kebaikan yang kita perolehi. Tujuh kebaikan yang diamalkan Phra In sewaktu jadi manusia patut dijadikan teladan. Sekiranya kebaikan-kebaikan ini diamalkan bersama Sila, Samadhi dan Panna (panya), bukan syurga tempatnya, tetapi pencerahan Nirvana. Dewa dan syurga ialah batu loncatan untuk mencapai Nirvana.


(Rujukan: Tipitaka Thai)

4 comments:

Anonymous said...

Phra In muka hijau duduk catat perbuatan manusia dalam kulit anjing. Org tua cerita gitu. Kikkikkik... Terima kasih Tuan kerna paparan dhamma menarik.

Anonymous said...

Tuan, mau tanya soalan. Masa duduk Samathi Buddha hafal apa? Pengikut Thammakai bagi tau Buddha hafal samma arahan, betul tak?

pena reformasi said...

Buddha tak hafal apa-apa.

Anonymous said...

kalau Buddha nak hafal pun hafal samma buddhang, kenapa hafal arahang pulak. bap betul puak thammakai ni buat cerita palsu mengenai Buddha.