Thursday, January 31, 2013

Samatha Dan Vipassana

Seorang sahabat bertanya saya, adakah betul Buddha Maha Suci tidak menggalakkan penganut duduk Samadhi dengan berpejam mata? Saya terdiam seketika. Saya terfikir sewaktu mengadap Buddhadasa Bhikkhu lama dahulu, beliau pernah berkata, adalah lebih baik sekiranya kita duduk Samadhi dengan bercelik mata kerana apabila kita mendapat Samadhi, ia akan kekal lebih lama berbanding dengan berpejam mata. Saya pernah cuba, tetapi gagal mendapat Samadhi atau ketenangan dengan bercelik mata. Saya lebih mudah mendapat ketenangan dengan duduk berpejam mata. Jikalau ada sesiapa yang pernah duduk Samadhi dengan bercelik mata dan berjaya mendapat ketenangan, boleh kongsi-kongsi pengalaman.

Buddha tidak suruh kita duduk bercelik mata atau berpejam mata. Baginda suruh kita duduk dengan selesa. Kita selesa macam mana, kita duduk begitu. Samadhi atau ketenangan boleh diperolehi melalui empat cara iaitu berdiri, duduk, berbaring atau berjalan, terpulang kepada keselesaan dan kesesuaian kita. 

Pada zaman Buddha dahulu, penganut hanya duduk mendengar ceramah dhamma daripada Buddha, kemudian terus mencapai Arahant. Sebab itulah sesetengah orang berpendapat, untuk mencapai Arahant, kita tidak perlu pergi duduk pejam mata di hutan belantara. Malahan, mereka berkata, Samatha adalah jalan yang melambatkan pencerahan. Oleh itu, mereka berpendapat bahawa Vipassana jalan lurus, manakala Samatha jalan yang melencong. 

Pendapat yang mengatakan bahawa Samatha (Samadhi) jalan melencong adalah tidak benar kerana ia bergantung pada individu. 

1. Jikalau kita duduk Samadhi, asyik seronok dengan Samadhi dan melekat dengan Samadhi tanpa berusaha untuk membuat Vipassana, itulah jalan melencong. Kebahagiaan yang diperolehi daripada Samadhi (ketenangan) sering menyebabkan orang ketagihan hingga tidak mahu meninggalkan Samadhi untuk berusaha memasuki Vipassana. Mungkin inilah salah satu sebab, sesetengah pusat Vipassana tidak mahu mengajar Samadhi.

Samadhi mampu menekan kilesa tertentu hingga tenggelam. Keadaan ini menyebabkan sesetengah orang tersalah faham ingat dia telah berjaya mencapai magga-phala (mark-phon) tahap tertentu. Sebenarnya dia sedang kesesatan.

2. Samadhi harus seiring dengan Vipassana kerana kedua-duanya saling membantu. Hasil Samadhi akan memudahkan kelahiran Vipassana-panya. Hasil Vipassana iaitu melepaskan kemelekatan akan membantu mengurangkan Nivorn 5 (penghalang Samadhi). Apabila Nivorn 5 berkurangan atau lemah, Samadhi akan jadi kuat. Ini bukan jalan melencong, tetapi jalan yang harus diamalkan iaitu Samadhi dan Vipassana dibuat beriringan.

Sila asas kepada Samadhi. Samadhi asas kepada Panya (Panna). Kita pergi duduk Samadhi, tidak boleh terhenti setakat Samadhi kerana matlamat Buddha ialah Vipassana iaitu penjana kebijaksanaan. Samadhi apabila memasuki tahap Jhana, memang seronok, tetapi masih di tahap Lokiya. Jhana boleh mendiamkan Kilesa buat sementara waktu, tetapi setelah keluar daripada Jhana, Kilesa membangun semula. Umpama rumput ditindih atap. Masa ditindih atap, rumput kuning seakan-akan mati. Akan tetapi apabila dikeluarkan asap, rumput kembali menghijau. Oleh itu, untuk menghapuskan Kilesa (kotoran batin), mesti menggunakan Vipassana. Vipassana menjana Panya. Panya berupaya menghapuskan Kilesa.

Kesimpulannya, Samadhi bukan matlamat terakhir agama Buddha. Samadhi umpama jalan atau kaedah mendapatkan Panya. Panya memberikan pencerahan minda. Pencerahan minda akan berjaya dicapai setelah Kilesa dihapuskan. Sekiranya kita terhenti setakat Samadhi, melekat dengan kebahagiaan Samadhi, maka kita tidak akan mencapai pencerahan minda. 

2 comments:

Bodhi Sarawak said...

saya rasa boleh kita buka mata tapi dengan cara mengecilkan mata.saya tengah buat dan berkesan.saya dapat idea ini bila melihat patung Buddha duduk besila melakukan Samadhi tapi matanya tutup setengah atau kecil.saya lihat semua pattern patung Buddha begitu.jadi saya pun terfikir.orang yg mengukir patung Buddha ini adalah orang yg sendiri melihat perlakuan Buddha secara live.kemudian diturunkan imej ukiran ini turun temurun.saya rasa Buddha pun sering mempraktik meditasi dengan mata terbuka kecil.apa pula pendapat ksb?

pena reformasi said...

Boleh tutup atau buka mata terpulang kepada keselesaan masing-masing. Tujuan meditasi ialah mencari ketenangan agar fikiran boleh konsentrasi memikirkan dhamma (Satipatthan 4).