Saturday, February 2, 2013

Phra That: Dongeng, Mitos Atau Realiti?


Kisah Phra Borom Saririkhathat (Buddha relics) sangat menarik untuk ditelusuri. Berasaskan beberapa kitab Attha-Katha (สุมังคลวิลาสินี, ปปัญจสูทนี, มโนรถปูรณี และ สัมโมหวิโนทนี) yang diceritakan dari generasi ke generasi, Parinibbana akan berlaku 3 kali. Pertama, Kilesa Parinibbana iaitu berlaku sewaktu Buddha mencapai Pencerahan Sempurna. Kedua, Khandha Parinibbana iaitu berlaku di Kusinara (Buddha wafat). Ketiga, akan berlaku pada masa hadapan, iaitu Datu Parinibbana. Isi utama setiap kitab lebih kurang sama. Jikalau ada perbezaan, hanya melibatkan perkara-perkara kecil. 

Diceriterakan bahawa apabila agama Buddha sudah mundur ke tahap yang terendah, semua Phra Borom Saririkhathat (Buddha relics) tidak kira bersemadi di tempat mana, negara mana atau benua mana, akan berangkat ke Sri Lanka, kemudian berkumpul di Maha Chedi (dipercayai Maha Chedi tersebut ialah Phra Suwanna Malikka Chedi, Sri Lanka).  Dari Maha Chedi, berangkat pula ke Rajayatana Chedi dalam Nagatavib (Benua Naga?), kemudian berangkat pula ke Pokok Bodhi di Bodhagaya, India (tempat Buddha mencapai Pencerahan Sempurna). 


Kesemua Borom Saririkhathat yang pernah bersemadi di dunia Naga (lautan), Dewa-loka dan Brahma loka apabila berkumpul di Pohon Bodhi, maka akan bercantum menjadi ketulan besar umpama ketulan emas atau timbunan emas yang memancarkan cahaya Phra Chapphan Rangsi (6 warna) ke segenap 10,000 Loka-Datu (10,000 Cakerawala).


Sebuah kitab pula mengatakan semua Borom Saririkkhathat berkumpul di pohon Bodhi menjadi patung Buddha yang cukup lengkap seperti seorang manusia, kemudian mempertunjukkan Yamaka Patiharn (mukjizat atau kuasa luar biasa yang hanya dimiliki Buddha seorang sahaja). Tiada seorang pun manusia yang boleh memasuki kawasan tersebut. Manakala segelap golongan Devata dari 10,000 Cakerawala akan datang berkumpul di situ. Segala Devata akan berkata dengan sedih bahawa: "Oh, Buddha akan Prinibbana hari ini. Dhamma vinai akan mundur dan hilang. Apa yang kita lihat adalah penglihatan terakhir!"


Apabila agama Buddha berakhir, api menyala dari Borom Saririkhathat lalu marak menjulang tinggi hingga Brahma-Loka (dunia Phrom). Api pun padam setelah Borom Saririkhathat habis tanpa meninggalkan sisa biar sebesar biji lobak. Para Devata pun melakukan penghormatan dengan bahan wangi-wangian, bunga-bunga dan bunyi-bunyian sebagaimana hari Buddha Parinibbana dahulu. Para Devata melakukan penghormatan dengan berjalan keliling sebanyak 3 keliling, kemudian mengucapkan selamat tinggal sebelum beredar ke mahligai masing-masing. 


Dalam "ucapan pemujaan" Phra Borom Saririkhathat ada menghuraikan Phra Borom Saririkhathat bergabung membentuk Buddha. Buddha memberikan dhamma selama 3 hari sebelum berakhirnya usia agama Buddha. Sedangkan perkara ini tidak ada dalam Attha Katha. 


Kisah Phra Borom Saririkhathat sangat menarik untuk dihayati kerana dalam Sutta tidak ada, sebaliknya wujud dalam Attha Katha. Attha Katha ialah tafsiran kepada Sutta yang ditulis seribu tahun selepas Buddha Parinibbana. Walaupun tiada dalam Sutta, penerimaan oleh penganut agama Buddha sangat kuat, terutama golongan Mahayana. 


Dalam Maha Parinibbana Sutta, di mana Buddha menitahkan Phra Anon supaya menguruskan mayat Baginda sebagaimana dilakukan terhadap raja; tidak pernah sebut pasal Phra Saririkhthat yang akan bergabung semula. Buddha hanya suruh tulang-tulang Baginda dibahagikan di kalangan raja untuk disemadikan di dalam Chedi agar penganut boleh menyembahnya. 


Nampaknya, kisah "kebangkitan semula" terdapat dalam hampir semua agama utama. 


Kisah Phra Borom Saririkhathat ini harus dihayati dengan kebijaksanaan kerana penyampaiannya dalam bahasa dhamma atau bahasa tersirat yang menuntut kita memerah otak untuk memahaminya. Sekiranya kita memahaminya secara tersurat iaitu ikut makna dalam tulisan, tentulah sukar untuk dipercayai tulang-tulang Buddha yang tersimpan ribuan tahun di merata tempat akan bergabung dan bersatu dengan sendiri. Daripada tulang-tulang itu muncul api yag menyala hingga dunia Phrom. Langsung tidak masuk akal. Oleh itu, kita harus tafsir makna tersiratnya yang mungkin sukar juga untuk difahami. 


Satu soalan yang bermain di kepala saya. Kenapa hanya para Devata (dewa-dewi) sahaja yang boleh memasuki kawasan Phra Borom Saririkhathat di sekitar pohon Bodhi? Kenapa manusia tidak boleh memasukinya? Sedangkan Devata juga mempunyai kilesa seperti manusia. Bahkan sesetengah Devata mempunyai kilesa yang lebih teruk. Dan kenapa Borom Saririkhathat harus bergabung di Sri Lanka? Apakah istimewanya Sri Lanka? Atau mungkinkah Attha Katha ditulis oleh penulis dari Sri Lanka yang masih terpengaruh dengan tradisi Brahmana yang mengagungkan Devata? 


Kesimpulannya, penganut tidak harus fanatik dengan Phra That. Saya tidak melarang penganut mempercayainya, cuma tidak menjadi penganut yang fanatik. Dalam agama Buddha, orang fanatik ialah orang yang dipenuhi dengan avijja. Avijja ialah jahil. Gunakanlah kebijaksanaan sebelum mempercayai sesuatu, termasuk apa yang dikategorikan sebagai ajaran Buddha. 


3 comments:

Anonymous said...

Phra that yg "Ori" sebenarnya tak banyak. Tapi Ali, Muthu dan Ah Chong pun ada. Phra that Arahang pun ada disembahyangkan dalam rumah.
Kalau pergi Pasar Thaprachan kat Bangkok banyak juga apa-apa phra that,, beli 2 percuma 1. kekeke.

pena reformasi said...

Saya pernah jumpa seorang pencari phra that di Bangkok. Dia berkata, dia telah berhenti mencari phra that kerana apa yang dijumpainya palsu belaka.

Anonymous said...

sawasdeee khrap tuan pena,

saya ada menyembah phra that di rumah, iaitu phra that buddha dan para arahang. kesemua phra that ini dikongsi percuma oleh sami Burma, mae chee dan rakan dhamma. seorang pengamal paranormal islam memeriksa salah satu phra that yang saya sembah, iaitu phra that arahang bakula dan menyatakan bahawa phra that itu adalah hidup. beliau dapat merasa bahawa phra arahang tersebut mempunyai kuasa mukjizat "Tibet", dan boleh terbang.

Menurut beliau lagi secara amnya, semua phra that harus didedahkan kepada cahaya matahari dan dipercik dengan air terjun secara berkala. Daun-daun wangi juga boleh diletakkan di atas phra that sebagai sembahan. Sebabnya, kerana phra that kepunyaan orang suci. Tambahnya lagi, phra that juga boleh digunakan untuk memberkati orang ramai dengan meletakkannya atas kepala mereka.

Yang menariknya, pendapat ini dari pengamal paranormal islam. hmmm