Thursday, April 11, 2013

Pemberian Yang Mendapat Banyak Hasil

"ทานที่ให้แก่ท่านผู้มีศีลมีผลมาก, ทานที่ให้ในคนทุศีล หาเหมือน เช่นนั้นไม่". 
"Dana (pemberian) yang diberi kepada individu yang mempunyai Sila mendapat hasil yang banyak; dana yang diberi kepada individu tiada Sila, tidak begitu."

Saya terjemahkan "phu mi sin" sebagai individu yang mempunyai Sila @ individu yang berpegang pada Sila. Saya tidak pasti sama ada terjemahan ini tepat. Namun, saya akan terangkan secara perinci siapakah yang dikatakan "phu mi sin" ini mengikut apa yang tertulis dalam Kitab Tipitaka Thai.

Siapakah yang mengatakan "dana yang diberi kepada individu yang mempunyai Sila mendapat hasil yang banyak?" Baginda Buddha yang mengatakan begitu.  Maksudnya Baginda memberi jaminan bahawa dana yang diberi kepada individu yang mempunyai pegangan Sila mendapat hasil yang banyak. Namun, pemberian itu harus ikhlas. Sebaliknya, dana yang diberi kepada individu yang tiada pegangan Sila hasilnya sedikit. Memberi dana tetap mendapat hasil, bezanya sedikit atau banyak. 

Memberi makan kepada haiwan pun dapat pahala. Apatah lagi memberi makan kepada manusia. Malahan Buddha berkata jika kita mencuci sisa makanan ke dalam air yang ada hidupan dan hidupan dalam air tersebut makan sisa makanan tersebut, kita pun dapat pahala. Akan tetapi kita memberi dana atau memberi makan tentulah mahu yang jenis mendapat pahala yang banyak. Oleh sebab itu kita suka memilih memberi makan kepada individu yang mempunyai Sila. 

Individu yang mempunyai Sila (phu mi sin) bagi fahaman kita kaum Buddhist ialah bhikkhu atau Sangha. Maklumah bhikkhu ada Sila 227. Maka bhikkhu bagi kita ialah individu yang mempunyai Sila. Adakah benar bhikkhu adalah individu yang mempunyai Sila sebagaimana yang dikatakan Buddha "phu mi sin"?

Tidak semestinya begitu. "Phu mi sin" boleh jadi bhikkhu, boleh jadi kharawat. Bukan semua bhikkhu yang kita nampak bermundar-mandir di dalam wat adalah "phu mi si" sebagaimana dikatakan Buddha. Setakat pakai jubah kuning dan mengamalkan Sila 227 sahaja belum memenuhi kriteria "phu mi sin" yang dikatakan Buddha dalam Kitab Tipitaka. Sebaliknya, kharawat atau orang biasa yang bersawah padi atau berkebun getah mungkin mereka adalah "phu mi sin". 

Siapakah "phu mi sin" yang dikatakan Buddha dan diberi jaminan bahawa dana yang diberi kepada mereka ini mendapat pahala yang banyak?

"Phu mi sin" adalah individu yang telah meninggalkan 5 perkara dan memiliki 5 perkara lain. 

5 perkara yang ditinggalkan ialah Nivarana 5 (Hindrances, are 5 qualities which are obstacles to the mind and blind our mental vision). Nirvarana ini merupakan 5 akusala yang menyekat dan menutupi minda daripada melihat kebenaran.

1. Kamacchanda (sensuous desire)
2. Vyapada (Ill-will) @ (Thai: payabat)
3. Thina-middha (sloth and torpor)
4. Uddhacca-kukkucca (restlessness and scruples)
5. Vicikiccha (sceptical doubt)

5 perkara yang dimiliki ialah:

1. Mempunyai Sila tahap Asekha.
2. Mempunyai Samadhi tahap Asekha.
3. Mempunyai Panya tahap Asekha.
4. Mempunyai Vimutthi tahap Asekha.
5. Mempunyai Vimutthi Yandassana tahap Asekha.

Tahap Asekha itu tahap mana? Tahap Asekha ialah tahap Arahant. Sekha bermaksud masih belajar. Asekha bermaksud tidak perlu belajar lagi iaitu sudah mencapai Pembebasan Minda iaitu Arahant. Asekha ialah Arahant. 

Dapat kita simpulkan bahawa "phu mi sin" atau individu yang mempunyai Sila yang dikatakan Buddha ialah bhikkhu Arahant. Maka tidak was-was lagi bahawa jaminan Buddha bahawa membuat dana kepada "phi mi sin" mendapat hasil pahala yang banyak kerana mereka ialah Phra Arahant. Phra Arahant ialah individu suci yang telah mencapai Pembebasan Minda. Pemberian dana kepada mereka mendapat hasil yang banyak yang tiada bandingannya. 

Kesimpulannya, setiap pemberian akan mendapat hasilnya. Pemberian kepada Arahant mendapat hasil yang paling banyak. 

(Rujukan:  Tipitaka Thai)

No comments: