Wednesday, May 15, 2013

Dunia Lain, Dunia Mana?

Para-lok - orang Siam sudah biasa dengan istilah ini. Sejak kecil kita selalu dengar orang tua-tua kata Para-lok. Apa benda Para-lok ini? Terletak di mana, terlekat dengan lagit atau terapung di cakrawala? Bolehkah kita pergi ke Para-lok?

Mengikut Buddhadasa, Para-lok bermaksud "dunia lain". Kebanyakan orang memahami Para-lok sebagai "dunia masa depan" atau "dunia selepas mati". Manakala makna  tersuratnya ialah "dunia lain". Para ialah lain. Lok atau Loka ialah dunia.

Sebenarnya "dunia lain" wujud bersama dunia ini, di sini dan sekarang ini. Apabila hati kita kecamuk dan susah, maka neraka pun memasuki hati kita; maka kita seolah-olah sudah berada di dunia lain iaitu dunia neraka. Sebaliknya, apabila hati kita senang, bahagia, maka kita seolah-olah berada di dunia lain iaitu dunia syurga. "Dunia lain" ini boleh sampai melalui hati atau minda. Dalam sehari, kita berada di pelbagai jenis "dunia lain". Sewaktu kita bersifat seperti binatang, maka pada masa tersebut kita berada di dunia binatang. Hati kita sudah jadi binatang, tetapi badan masih jadi manusia.

Para-lok atau dunia lain dilihat pada perubahan hati. Jikalau kita berasa marah, kita sebenarnya sedang berada di dunia Asura (Jakkha). Jikalau kita begitu lapar, kita berada di dunia Petta (pret). Perasaan tamak harta orang, barang orang dan apa-apa sahaja milik orang, kita ketika itu berada di dunia Petta. Sewaktu kita berasa panas kerana kemarahan, kita berada di dunia neraka. Sewaktu kita berasa nyaman, kira berada di dunia syurga. Apabila kita tidak panas, tidak nyaman, tempat kita melepasi neraka dan syurga iaitu kita berada di Lokuttara.

Jikalau kita berasa tenang seperti keadaan yang lazam, kita pun berada di dunia ini seperti biasa. Pertukaran dunia mengikut keadaan hati atau minda. Jikalau keadaan hati atau minda berubah, tempat tinggal kita juga ikut berubah. Pagi kita tinggal di syurga, mungkin petang kita sudah pergi ke neraka. Sebab itulah mengawal hati atau minda sangat mustahak agar kita tidak pergi ke dunia lain yang lebih teruk daripada dunia sekarang.

Dunia ini tidak terlalu panas dan tidak terlalu sejuk. Jikalau hati berasa panas, tahulah bahawa kita sedang berada di dunia lain yang lebih teruk, mungkin neraka, Asura dan sebagainya. Jikalau hati berasa sejuk, tahulah bahawa kita sedang berada di dunia lain yang lebih baik, mungkin syurga atau Lokuttara. Sekiranya kita ingin tukar dunia, tukarlah ke dunia yang lebih baik. Beginilah maksud "dunia lain" yang diajarkan oleh Buddha.

Sebaliknya ajaran yang diajarkan sebelum zaman Buddha "dunia lain" merujuk kepada "dunia selepas mati". Para-lok yang bermaksud dunia selepas mati ialah ajaran sebelum Buddha. "Dunia lain" ini akan sampai selepas kita mati. "Dunia lain" ini terletak di tempat lain yang entah di mana. Dipercayai bahawa syurga di langit dan neraka di bawah tanah. Sekarang manusia sudah maju. Manusia tahu bahawa di langit tiada tempat untuk dibangunkan syurga. Begitu juga di bawah tanah tiada tempat untuk didirikan neraka. Semuanya terletak pada hati kita. Bagaimana keadaan hati (minda) kita, begitulah dunia kita. Kita boleh pergi ke mana-mana dunia dengan hati atau minda.

Buddha pernah berkata, minda yang telah terlatih mampu pergi ke mana-mana dunia dengan senang. Penganut agama Buddha yang tulen harus memahami bahawa "dunia lain" sebenarnya wujud bersama dunia yang kita diami sekarang. "Dunia lain" yang terletak di tempat lain yang entah di mana, biarlah penganut agama lain yang percaya. Kita tidak usah bertengkar dengan mereka kerana berebut "dunia lain" tersebut. Biarkan mereka dengan "dunia lain" mereka dan kita dengan "dunia lain" kita.

(Artikel berdasarkan Dhamma Buddhadasa Bhikkhu)





No comments: