Saturday, May 4, 2013

Usia Bukan Ukuran Kematangan Seseorang

Dalam undang-undang negara, kanak-kanak di bawah 18 tahun masih di bawah jagaan ibu bapa. Mereka hendak berbuat sesuatu harus minta kebenaran ibu bapa terlebih dahulu. Selepas umur mereka melebihi 18 tahun, barulah mereka dianggap dewasa dan boleh jaga diri sendiri. Bagi masyarakat Siam, umur 20 tahun merupakan umur untuk memasuki alam baru iaitu alam bhikkhu. Memasuki alam bhikkhu untuk mendalami Dhamma-vinai.  Oleh itu, memasuki alam bhikkhu diyakini boleh mematangkan seseorang lelaki. 

Selepas keluar daripada alam bhikkhu, barulah akan dicarikan isteri. Orang Siam dahulu percaya bahawa selagi belum jadi bhikkhu, seseorang belum jadi dewasa (matang). Kepercayaan ini ada rasionalnya kerana apabila jadi bhikkhu, seseorang akan menjalani kehidupan bhikkhu yang ketat dengan disiplin diri. Mereka juga akan diajarkan dhamma dengan tekun. 

Namun, keadaan sekarang sudah berubah. Ukuran kedewasaan dan kematangan mungkin bukan di alam bhikkhu lagi, tetapi di alam persekolahan dan universiti. Dahulu sekolah formal belum ada, kecuali kelas bahasa Thai dan Dhamma di wat-wat Buddha. Wat adalah sekolah, wat adalah universiti bagi masyarakat Siam dahulu. Wat merupakan institusi yang mendewasakan dan mematangkan masyarakat Siam.

Betulkah seseorang yang mencapai umur 18 tahun sudah dewasa dan boleh dibebaskan oleh ibu bapa daripada penjagaan? Bagaimana pendapat Buddha? Buddha tidak menetapkan usia sebagai pengukur kedewasaan atau kematangan seseorang. Sebaliknya, Buddha menilai kedewasaan dan kematangan seseorang melalui perbuatannya. Maknanya, seseorang boleh dilepaskan daripada penjagaan ibu bapa bukan berdasarkan usia, tetapi berdasarkan perbuatannya. 

Dalam Kama Sutta, Buddha berkata, pemuda yang meninggalkan pekerjaan untuk menjadi bhikkhu harus dianggap sebagai pemuda yang jadi bhikkhu dengan saddha (kepercayaan dan keyakinan). Mereka (pemuda) sepatutnya mendapat Kama (kenikmatan deria) mengikut usianya. Akan tetapi dia meninggalkan kenikmatan deria tersebut untuk matlamat lain yang lebih mulia. Kama mempunyai pelbagai tahap - kasar, sederhana dan halus. 

Buddha memberi perumpamaan seperti kanak-kanak kecil yang sedang terlentang tidur. Kanak-kanak itu akan mengambil apa-apa sahaja yang dicapai tangan, misalnya serpihan kayu atau kaca memasukkan ke dalam mulut kerana kelekaan penjaga. Apabila penjaga tersedar, dia akan segera bertindak untuk mengeluarkan serpihan kayu atau kaca. Dia akan memasukkan jari ke dalam mulut kanak-kanak dan mengoreknya. Walaupun sukar, sakit dan berdarah, perbuatan itu mesti dilakukan demi keselamatan kanak-kanak itu. Jikalau serpihan kayu atau kaca tidak dikeluarkan, kanak-kanak akan mendapat kesusahan. Penjaga yang bertanggung jawab dan mengharapkan kebahagiaan harus berbuat begitu. 

Setelah kanak-kanak mencapai usia dewasa, tahu berfikir, matang dan berupaya menjaga diri dengan sendiri, barulah penjaga boleh melepaskannya daripada penjagaan. 

Bhikkhu pun begitu. Buddha harus menjaga bhikkhu selagi bhikkhu tidak membuat kebaikan (Kusala Dhamma) dengan Saddha (keyakinan), tidak membuat kebaikan dengan Hiri (malu), tidak membuat kebaikan dengan Ottappa (takut), tidak membuat kebaikan dengan Viriya (tekun), tidak membuat kebaikan dengan Panya (bijak atau matang). Sebaliknya, apabila bhikkhu membuat kebaikan dengan Saddha, membuat kebaikan dengan Hiri, membuat kebaikan dengan Ottappa, membuat kebaikan dengan Viriya dan membuat kebaikan dengan Panya, pada waktu tersebut Buddha akan melepaskan penjagaan terhadap bhikkhu berkenaan kerana mereka sudah berupaya menjaga diri sendiri dengan baik.

Sutta ini boleh dijadikan panduan oleh ibu bapa apabila ingin membebaskan anak-anak daripada penjagaan. Bukan usia dan pendidikan yang menjadi ukuran, tetapi perbuatan dan kematangan berfikir. Selagi anak-anak belum kenal kebaikan (Kusala Dhamma) dan melakukannya dengan Saddha, Hiri, Ottapa, Viriya dan Panya, ibu bapa tidak boleh melepaskannya. Ibu bapa mesti terus menjaga dan memberi bimbingan. Sebaliknya, apabila anak-anak telah kenal kebaikan dan melakukannya dengan Saddha, Hiri, Ottappa, Viriya dan Panya, barulah boleh dilepaskan daripada penjagaan kerana dia sudah dewasa dan matang. 

Jadi, usia bukan ukuran kematangan seseorang. Oleh sebab itulah terdapat orang yang berusia hampir 30 tahun tetapi masih mentah fikiran dan tindakannya. Sebaliknya, terdapat orang yang usia baru 20-an tetapi telah matang fikiran dan tindakannya. 


(Rujukan Tipitaka Thai)

5 comments:

Anonymous said...

Betul, tuan!

Anonymous said...

kawe dah matang buat undi..

Anonymous said...

Setuju dgn tuan pena stratus peratus.

Anonymous said...

Tuan Pena, tahun ini,SBA ada ajk yg matang2 belaka...yahuuuu

pena reformasi said...

Macam perli aje!