Sunday, June 23, 2013

Pavana: Membangunkan Mental

Kita selalu mendengar orang sebut "Pavana" tetapi mungkin kurang pasti maksudnya. Orang yang biasa dengan Vipassanan tentulah tahu dengan baik maksud Pavana. 

Pavana bermaksud membina kemajuan, membuat supaya ada/wujud, melatih minda, membangunkan mental (mental development). 

Pavana 2 ialah:

1. Samatha Pavana ialah melatih minda agar menjadi tenang, membangunkan minda.

2. Vipassana Pavana ialah menjana kebijaksanaan agar mengetahui kebenaran yang tulen, menyuburkan kebijaksanaan.

Kedua-dua ini juga dipanggil Kammathana@Kammathan

Pavana 4 ialah:

1. Kaya Pavana bermaksud pembangunan fizikal, melatih tubuh badan agar dapat berhubung dengan benda luar (melalui pancaindera) dengan cara yang betul. Perhubungan yang betul ialah perhubungan yang membawa kebaikan, membawa faedah dan membantu membina kebaikan. Perhubungan yang salah membawa kerosakan dan kejahatan. Apabila mata melihat sekuntum bunga yang cantik menawan di ranting lalu memetiknya. Ini perhubungan yang salah. Perhubungan yang betul kita akan membiarkan sahaja bunga itu menghiasi pokoknya.

2. Sila Pavana bermaksud menjaga Sila (moral/disiplin), memajukan tingkah laku, melatih diri agar berada dalam disiplin dan akhlak mulia; tidak menimbulkan kerosakan; dapat hidup dengan masyarakat dengan baik dan saling membantu.

3. Citta Pavana bermaksud membangunkan minda, membina minda, melatih minda agar kuat dan subur dengan kebaikan, misalnya metta karuna, rajin, tekun, sabar, tenang, ceria dan sebagainya.

4. Panya Pavana (Panna Pavana) bermaksud membangunkan kebijaksanaan, memajukan kebijaksanaan, melatih kebijaksanaan agar mengetahui segala benda mengikut sifat-sifatnya yang sebenar; mengetahui dunia dan kehidupan mengikut kebenarannya. Kebijaksanaan mampu membezakan kebaikan daripada kejahatan. Kebijaksanaan mampu membebaskan minda daripada kebelengguan dan membersihkan minda daripada Kilesa (kotoran batin). Kebijaksaan yang sempurna bakal memberikan pencerahan sempurna.

Individu yang sempurna dalam Pavana 4 bakal menjadi Arahant.

       

No comments: