Friday, July 12, 2013

7 Perkara Membawa Kemajuan Dan Kekuatan Masyarakat

Raja Ajatasatru dari Magadha berhasrat menyerang negara jiran iaitu Vajji (Vrijji). Baginda menghantar wakil berjumpa Buddha bagi memberitahu hasrat tersebut. Baginda ingin mengetahui pendapat Buddha tentang Vajji kerana Buddha tidak akan berbohong.

Ketika wakil Raja Ajatasatru datang mengahadap Buddha, Bhikkhu Ananda (Phra Anon) ada bersama Buddha. Wakil Raja Ajatasatru mempersembahkan hasrat raja Magadha itu kepada Buddha. Buddha pun bertanya kepada Bhikkhu Ananda sama ada kerajaan Vajji masih mengamalkan 7 perkara (Aparihaniya-dhamma 7) yang pernah diajar oleh Buddha dahulu? Bhikkhu Ananda berkata bahawa kerajaan Vajji masih mengamalkannya dengan cukup lengkap. Buddha berkata, jika begitu, kerajaan Vajji tidak akan lemah, malahan semakin maju dan kuat kerana 7 perkara tersebut merupakan inti kepada perpaduan.

Antara 7 perkara tersebut ialah:

1. Sentiasa berjumpa dan berbincang (selalu bermesyuarat).

2. Memulakan dan mengakhiri perbincangan serentak dan melakukan kerja masyarakat secara bersama.

3. Tidak menambahkan peraturan baru atau mengurangkan peraturan sedia ada, sebaliknya berpegang kepada peraturan yang telah ditetapkan dan diterima pakai bersama.

4. Menghormati orang lebih tua, lebih kanan, ketua komuniti dan pemimpin masyarakat.

5. Menghormati wanita (tidak menindas wanita).

6. Menghormati dan memuja Chedi di dalam dan di luar negara (Chedi ini merangkumi makna yang luas, bukan sekadar stupa tempat simpan tulang).

7. Menjaga, memberi perlindungan dan keadilan kepada Bhikkhu Arahatta. Sentiasa berharap agar Phra Ariya yang belum datang agar segera datang dan yang sudah datang agar tinggal dengan aman.

Mana-mana keluarga, komuniti atau negara yang mengamalkan 7 perkara di atas nescaya akan sentiasa maju dan kuat. 

No comments: