Sunday, July 14, 2013

Arahatta Pergi Mana Selepas Mati (Nirvana)?

Beberapa hari lepas, seorang kawan bertanya, selepas mati, Arahatta pergi mana? Saya hanya tersenyum kerana ini bukan pertama kali saya ditanya soalan begitu. Soalan ini mungkin, pertama terpengaruh dengan kepercayaan tentang syurga-neraka; orang baik selepas mati dilahirkan di syurga, orang jahat selepas mati dilahirkan di neraka. Kedua terpengaruh dengan Mazhab Mahayana tentang Bodhisatta yang dipercayai bakal dilahirkan sebagai Buddha yang akan datang. Vajjha pernah bertanya kepada Buddha tentang Arahatta selepas mati (parinibbana).


Soalan: Orang biasa, selepas mati akan lahir ke alam tertentu bergantung kepada Karma. Bagaimana dengan Arahatta yang sudah kehabisan Karma, selepas mati akan pergi ke mana?

Buddha: Dengar sini, Vajjha. Ungkapan "akan lahir" atau "tidak lahir" atau "lahir pun ada, tak lahir pun ada" atau "lahir pun bukan, tak lahir pun bukan" tidak patut digunakan kepada Arahatta.

Perkara ini terlalu mendalam dan sukar difahami kerana ia terlalu halus dan rumit. Pemikiran logik biasa tidak mungkin dapat memahami kebenarannya. Mereka yang mempunyai pandangan yang lain, kepercayaan yang lain, daya usaha yang lain dan berada dalam jagaan guru yang lain (selain Buddha), sukar untuk mengetahui kebenarannya.

Vajjha: Begitulah!

Buddha: Oh, Vajjha! Sekiranya terdapat api menyala di depan kamu, adakah kamu sedar bahawa api sedang menyala di depan kamu?

Vajjha: Saya sedar, saya sedar bahawa api sedang menyala di depan saya!

Buddha: Api yang menyala di depan kamu bergantung pada apa untuk menyala? Sekiranya kamu ditanya begini, apakah jawapan kamu?

Vajjha: Sekiranya saya ditanya begini, saya akan mengatakan api menyala bergantung pada umpan api (bahan api) iaitu rumput atau kayu kering.

Buddha:Sekiranya api itu padam di depan kamu, adakah kamu tahu api telah padam di depan kamu?

Vajjha: Saya tahu bahawa api telah padam di depan saya.

Buddha: Api yang padam di depan kamu pergi (hilang) ke arah mana? Sekiranya kamu ditanya begini, apakah jawapan kamu?

Vajjha: Pertanyaan ini tidak patut, tidak sesuai ditanya. Api menyala kerana ada umpan api iaitu rumput atau kayu kering. Sekarang rumput dan kayu kering sudah habis, maka api pun padam. Umpan yang lain tiada lagi, sebab itu api padam habis!

Buddha: Begitulah Vajjha. Manusia dipanggil (dikenali) sebagai manusia berdasarkan Panca-Khanda iaitu Rupa, Vedana, Sanna, Sankhara, Vinnana. Tathagata (Buddha) telah meninggalkan semuanya, dan tiada kewujudan lagi. Tathagata telah bebas daripada panggilan berdasarkan Panca-Khanda iaitu Rupa, Vedana, Sanna, Sakhara, Vinnana.

Perkara ini (Arahatta) sangat mendalam umpama dasar lautan yang sukar diduga dan rumit untuk difahami minda biasa. Oleh itu, ia tidak patut dikatakan bahawa ia "akan lahir", "tidak lahir", "lahir pun ada, tak lahir pun ada" atau "lahir pun bukan, tak lahir pun bukan".


No comments: