Sunday, July 21, 2013

Bolehkah Kita Menegur Perbuatan Bhikkhu?

Orang tua-tua memang pantang tidak berani menegur kelakuan bhikkhu meskipun kelakuan tersebut terpesong jauh daripada Vinaya (Vinai). Bagi orang tua-tua, menegur bhikkhu berdosa besar. Sekiranya kita tidak memohon maaf, dosa tersebut akan melekat pada kita sehingga kepada kelahiran akan datang. Oleh sebab itulah, apabila orang tua-tua melihat bhikkhu mengorat anak dara mereka, mereka pun diam sahaja. Sedangkan mereka tahu adalah salah seorang bhikkhu mengorat anak dara orang. Mungkin juga mereka berpegang pada falsafah bahawa dia buar jahat, dia akan menaggung Karma buruk. Bhikkhu buat salah, maka dia yang akan menerima hasil Karmanya. Mereka tidak perlu masuk campur. Betul juga anggapan begini. Bagaimana sekiranya kelakuna bhikkhu menjejaskan agama Buddha, adakah mereka juga akan membiarkan saja? 

Kes LP Nenkham diambil sebagai contoh. Sekiranya semua pihak memilih untuk "tidak berani menegur dan tidak mahu campur urusan bhikkhu" kerana takut dosa, maka sehingga hari ini LP Nenkham masih boleh menipu masyarakat. Begitu juga dengan Yantrak, Santi Asok dan lain-lain yang pernah terlibat dengan kelakuan yang tidak senonoh.

Betulkah menegur bhikkhu mendapat dosa besar? Sebelum melihat jawapannya, mari saya terangkan apa yang tertulis dalam Kitab Tipitaka.

Dalam Kitab Tipitaka (jika tidak silap buku ke- 24 Angguttara Nikaya), Buddha ada menerangkan tentang balasan Karma buruk bakal diterima oleh mereka yang (1) mengutuk, memaki dan memfitnah Sangha, (2) berusaha supaya Sangha tidak dapat tinggal di sesuatu tempat, (3) menghalau Sangha dari kediaman, (4) berusaha supaya Sangha tidak mendapat pemberian (makanan) dan (5) memburuk-burukkan Sangha sehingga hilang kepercayaan daripada masyarakat. 

Balasan Karma buruk adalah seperti berikut: (1) mendapat penyakit yang kronik dan mati dengan penyakit tersebut, (2) boleh menjadi gila, (3) mati dalam keadaan lupa diri (nyanyuk teruk sebelum mati), (4) selepas mati akan masuk neraka atau sekiranya dilahirkan semula ke dunia ini akan jadi haiwan tanpa mulut (haiwan apa tiada mulut?)

Apabila mati daripada dunia manusia, orang tersebut akan masuk neraka dan dibakar api neraka dalam masa yang sangat lama. Phaya Yomrat (Raja Neraka) akan menuangkan air besi panas ke dalam mulut, menusuk lidah dengan besi tajam lagi panas sehingga api membakar mulut. Selepas bebas daripada hukuman di neraka, akan dilahirkan pula ke alam Petta (Pret). Selepas bebas daripada alam Petta, dilahirkan pula sebagai haiwan tanpa mulut. Selepas kehabisan Karma buruk di alam haiwan, seandainya dilahirkan semula sebagai manisia, maka akan jadi manusia bisu, manusia mulut busuk, tiada orang percaya akan percakapannya dan akan mati kerana mulut. 

Betapa azap dan sengsaranya balasan Karma ke atas orang yang melakukan "kesalahan terhadap Sangha" sebagaimana dihuraikan di atas. Maka, tertanya-tanya pula Phaya Yomrat yang menyeksa orang itu tidak berdosa ke? Siapa yang beri kuasa kepada dia menyeksa orang? Kepercayaan tentang Phaya Yomrat lazimnya terdapat dalam agama Brahmana yang berkonsepkan Tuhan, tetapi entah macam mana boleh tersesat masuk ke dalam Kitab Tipitaka? 

Dalam Sutta yang lain, dikisahkan seorang anak hartawan mengeji Pacceka Buddha. Anak hartawan ini bersiar-siar di dalam taman. Dia terserempak dengan Pacceka Buddha yang sedang berjalan bintabart (pintapata). Dia melihat Pacceka Buddha lalu berkata dalam hati: "Siapalah yang dipenuhi penyakit yang menjijikkan ini!" Kemudian dia meludah dengan perasaan yang jijik sebelum berlalu pergi. Setelah mati, dia masuk ke neraka. Apabila dilahirkan semula ke dunia sebagai manusia, dia berjumpa dengan Gotama Buddha dan mendalami dhamma dengan tekun. Malangnya dia mati kerana ditanduk lembu beranak kecil. Inilah akibat menghina Pacceka Buddha. 

Saya pun setuju bahawa berdosa sangat seseorang yang menghina Pacceka Buddha. Pacceka Buddha juga seorang Buddha yang mencapai Trassaru tetapi Baginda tidak mampu menyebarkan dhamma kepada masyarakat. Manakala Buddha kita hari ini mampu menyebarkan dhamma kepada masyarakat sebab itu dipanggil Samma Sambuddha. 

Sebelum kita melihat jawapan menegur bhikkhu berdosa besar, ingin saya berikan sedikit penjelasan tentang bhikkhu dan Sangha. 

Bhikkhu ialah individu. Manakala Sangha ialah kumpulan bhikkhu. Sangha dalam bahasa Thai disebut Song @ Phra Song. Dalam Kitab Tipitaka apabila disebut Sangha biasanya merujuk kepada Sangha yang mencapai Lokuttara Dhamma atau yang dipanggil Ariya Sangha. Ariya Sangha ini tidak akan melakukan sesuatu yang buruk atau yang terkeluar daripada Sila sehingga memaksa orang menegurnya. 

Dalam Attha Katha (bahagian keterangan Tipitaka) apabila dinamakan Sangha, maka tiada yang buruk atau yang jahat. Ini maknanya Sangha adalah Ariya Sangha. Ariya Sangha adalah individu mulia. Walaupun belum semuanya Arahatta tetapi mereka sedang mengamalkan Dhamma bagi mencapai Arahatta. Jadi, mereka tiada cacat cela yang perlu ditegur, apatah lagi dikutuk. Orang yang mengutuk "orang baik" tentulah tidak waras otaknya. Maka tepatlah sekiranya kita mengutuk Sangha, kita bakal mendapat dosa besar. 

Akan tetapi Sangha tidak sama dengan bhikkhu. Ariya Sangha tidak mungkin melakukan kesalahan secara sengaja. 

Namun, bhikkhu ada yang melakukan kesalahan secara sengaja. Bhikkhu Suthin yang balik pergi tidur dengan bekas isteri dan bhikkhu Satik yang mendakwa Buddha mengajar tentang Vinyan yang bergerak ke sana, ke sini adalah antara contoh bhikkhu yang melanggar Sila (atau dipanggil bhikkhu thuk Sin). Buddha memanggil bhikkhu yang melanggar Sila ini mengadap, menasihati dan memarahi tindakan mereka. Akan tetapi Buddha tidak pernah memarahi Sangha. Walaupun pada masa Sangha berpecah, Buddha juga tidak mengutuk atau memarahi mereka, sebaliknya Buddha pergi tinggal di hutan bersama monyet dan gajah. 

Luang Phu Nenkham contoh bhikkhu terbaru yang melanggar Sila. Ramai penganut agama Buddha yang mengutuk perbuatan bhikkhu LP Nenkham. Mereka mengutuk LP Nenkham secara individu sahaja, tidak mengutuk Sangha. Mengutuk Sangha bermakna mengutuk semua bhikkhu yang terdapat di Thailand (juga negara lain yang tertakluk di bawah Sangha Thai). Dari sini, dapat kita bezakan antara "menegur bhikkhu" dengan "menegur Sangha" dengan jelas. 

Apa yang diterangkan oleh Buddha dalam Kitab Tipitaka yang mendapat dosa besar  ialah "mengutuk, mengeji, memfitnah dan menyusahkan Sangha".  Sebaliknya, Buddha tidak pernah berkata "menegur bhikkhu jahat" adalah salah. Lazimnya yang ditegur ialah bhikkhu jahat. Bhikkhu baik tidak akan ditegur. Dan jika mahu diperhalusi, bukan bhikkhu yang ditegur tetapi perbuatannya yang melampaui batasan seorang bhikkhu. 

Maka dapat dirumuskan bahawa "menegur bhikkhu jahat yang melanggar Sila" tidak menjadi kesalahan, bahkan wajar dilakukan dengan hemat demi kebaikan bhikkhu itu sendiri dan agama Buddha. 

Membutakan mata dan mempekakkan telinga membiarkan bhikkhu jahat melakukan kejahatan sesuka hati bakal membawa keburukan kepada masyarakat dan agama kita. 

Menegur dan mengutuk tidak sama. Menegur adalah bertujuan membaiki. Manakala mengutuk adalah memburuk-burukkan bhikkhu yang baik. Jadi, menegur dan mengutuk dua perkara yang berbeza. Mengutuk bhikkhu yang baik adalah berdosa. Akan tetapi menegur bhikkhu atau perbuatannya yang salah, bagi saya adalah wajar demi kebaikan bersama. 

Kita patut memuji orang yang wajar dipuji, menegur orang yang patut ditegur. Ubekkha bukan bermakna lepas tangan terhadap perkara yang patut dilakukan.






7 comments:

Anonymous said...

Bhikkhu baik patut disanjung, bhikkhu buruk patut dikritik. Kritikan kita bukan menghina Sangha, tapi menegur bhikkhu yang kulit tebal shj.

Anonymous said...

Menegur cara betul tak mengapa.

Anonymous said...

Wat2 di Kedah ramai bhikku dari THailand menjadi Ketua Bhikku.Mungkinkah kerana wat di kedah terlalu banyak?Atau sebab lain?

khabar dari rupa

pena reformasi said...

Mungkin berpunca dari wat yang banyak tetapi kurang phra yang cukup phansa untuk dilantik jadi Ketua Wat.

Anonymous said...

Betulker apa yang tuan pena ucapkan?Cuba lihatlah secara luas.Wat di bandar kenapa ada ketua bhiku pula,yang dikampung terbiar saja.

pena reformasi said...

Entahlah!

Anonymous said...

Khabarnya phra biksu kedah sekolah tinggi2 tapi tak amal dhamma.Suka belit suka pulas,suka rebut wat orang lain.