Monday, July 15, 2013

Hukum Alam - Bukan Hukum Tuhan!

Hukum Alam: Asas Kehidupan 


Mengikut ajaran Buddha, asas segala benda terjadi daripada penggabungan pelbagai elemen atau beberapa elemen bergabung menjadi sesuatu benda. Namun kita harus memahami konsep ini dengan betul. Penggabungan elemen bukan bermaksud diambil cebisan benda-benda dan disatukan menjadi satu benda yang besar dan lengkap umpama kita menghasilkan kereta daripada komponen-komponennya.

Sebenarnya elemen-elemen yang bergabung itu berada dalam bentuk "arus"(กระแส) bukannya cebisan, serpihan atau ketulan. Untuk memudahkan pemahaman kita harus menggunakan istilah elemen, cebisan, serpihan atau ketulan. Sekadar untuk pemahaman. Sebetulnya asas segala benda berasal daripada penggabungan "arus" yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar.

Misalnya, seorang manusia terbentuk daripada gabungan anggota-anggota badannya seperti tangan, kaki, kepala, hati, jantung dan sebagainya. Setiap anggota itu terdiri daripada elemen-elemennya yang tersendiri seperti pepejal, bendalir, darah dan sebagainya. Semua elemen tersebut tidak dapat berfungsi sendiri, sebab itulah dikatakan "tiada diri" atau Anatta. Bolehkah kaki berfungsi tanpa anggota tubuh yang lain? Bolehkah darah berfungsi tanpa saluran darah?

Apabila disebut "tiada diri" maksudnya ia bebas, tidak kekal, wujud dan padam silih berganti, tidak tetap di satu tempat, sentiasa beredar, dan berfungsi mengikut ketentuan elemen yang membentuknya. Akibat daripada ciri-ciri inilah segala benda di dunia tidak kekal dan sentiasa berubah dari satu bentuk ke satu bentuk lain. Biji benih pokok misalnya, apabila ditanam akan bercambah, membesar, matang, tua dan akhirnya mati, tumbang dan reput. Manusia, binatang malah benda buatan manusia semuanya tidak kekal kerana elemen-elemen yang membentuknya mempunyai ciri-ciri yang "tidak kekal" (Anicca) dan "tiada diri" (Anatta).

Semua kejadian berlaku mengikut hukum alam semulajadi - saling bergantungan dan saling mempengaruhi antara satu sama lain. Pokok bergantung kepada tanah, air dan udara. Tanah juga bergantung kepada pokok, air dan udara. Manusia bergantung kepada makanan (tumbuhan), haiwan, tanah, air dan udara dan sebagainya. Semua benda ada peranan dan fungsi masing-masing yang saling berkaitan, bantu-membantu, dan sokong-menyokong. Kemusnahan satu benda memberi kesan kepada benda lain. Segala benda - kewujudan, kelangsungan dan kemusnahannya bergantung kepada benda lain yang berkaitan atau yang menjadi sebahagian daripada elemen pembentukannya dan tiada "pencipta" atau "kuasa luar" yang menentukannya. Sebab itulah proses ini dipanggil Hukum Alam yang tiada kaitan dengan sebarang pencipta.

Terdapat 2 konsep utama yang diajarkan oleh Buddha berkenaan Hukum Alam iaitu Tri-Laksana dan Paticca-samuppada. Sebenarnya dua konsep ini adalah perkara yang sama tetapi diajarkan dalam dua keadaan atau dua sudut yang berbeza sahaja. Matlamatnya adalah untuk memperlihatkan kebenaran yang sama.

Hukum Alam adalah bersifat "kelaziman" iaitu "kelaziman alam" yang tiada kaitan dengan pencipta, bahkan tidak ada kaitan dengan kelahiran agama. Semenjak dahulu kala, sebelum lahirnya agama, "kelaziman" ini telah ada. Buddha menjumpai "kelaziman alam" ini melalui Pencerahan Sempurna dan mengkhabarkan kepada umat manusia agar umat manusia dapat mengetahui kebenaran yang terselindung sejak sekian lama. Kebenaran ini boleh dikatakan kebesaran alam yang tidak terjangkau oleh akal manusia biasa. Kerana tidak berupaya menjangkau kebenaran ini, maka manusia terpedaya dan terpercaya bahawa alam wujud kerana ada Pencipta.

*(Perdebatan tentang Pencipta tidak pernah menemukan titik persamaan sejak dahulu sehinggalah sekarang).

Konsep Tri-Laksana (The Three Characteristics of Existence) terbahagi kepada 3 kebenaran utama iaitu:

1. Segala Sankhara tidak kekal (Sabbe Sankhara anicca) - Impermanence

2. Segala Sangkhara sengsara (Sabbe Sankhara dukkha) - Stress and Conflict

3. Segala Dhamma tiada diri sendiri (Sabbe Dhamma anatta) - Soullessness

Tri-Laksana juga dipanggil sebagai "Keadaan yang Lazim" yang bererti semua benda adalah "sama" kerana semuanya tertakluk di bawah konsep ini. "Sama" di sini bermaksud semua benda tidak boleh melarikan diri daripada hukum alam ini.

-------------------------------------------------------------------------------------------------
Hukum Alam

1. Hukum berkaitan iklim atau cuaca (Physical inorganic order)

2. Hukum berkaitan keturunan, persenyawaan dan Karma kelahiran (Physical organic order)

3. Hukum berkaitan tingkah laku dan pembalasan Karma (order of act and result)

4. Hukum berkaitan norma, pertalian dan sebab musabab (order of the norm)

5. Hukum berkaitan fungsi minda (Psychic law)

-------------------------------------------------------------------------------------------------

Berkaitan dengan makhluk, Buddha mengatakan makhluk/manusia terdiri daripada Khanda 5 iaitu Rupa, Vedana, Sanna, Sankhara dan Vinnana. Gabungan kelima-lima perkara inilah yang membentuk "diri" kita. "Diri" kita inilah yang menutup kebenaran "Anatta" sehingga kita terpedaya bahawa kita ada diri (Atta). Sebab itulah Buddha mengajar kita agar menghayati kematian yakni menghayati mayat yang reput sedikit demi sedikit sehingga akhirnya tiada apa -apa langsung untuk membuktikan bahawa "diri" sebenarnya tiada.

Terdapat beberapa orang intelek Hindu dan Barat yang terkemuka berusaha membuktikan bahawa Buddha tidak menafikan Atta atau Attaman pada tahap tinggi. Sebaliknya, Buddha cuma menafikan perkara-perkara yang biasa. Menurut mereka lagi, Buddha juga menafikan Khanda 5 adalah "Atta" untuk mengelakkan manusia terkeliru lalu melekat pada Khanda 5 kerana "Atta" yang sebenar ada tetapi bukan Khanda 5. Malah mereka mengangkat pelbagai sutta untuk membuktikan bahawa Buddha tidak menafikan "Atta" pada tahap tinggi dan kata mereka lagi, Nibbana mempunyai keadaan yang sama dengan "Atta". Dalam perkataan lain, bagi mereka Nibbana adalah Atta. Ini pemahaman silap para intelek di luar agama Buddha.

Kesilapan ini berpunca daripada asas pendidikan para intelek tersebut. Menjadi kebiasaan bagi orang yang mendapat pendidikan dalam sistem pendidikan yang mempercayai konsep "Atta" atau "Attaman" (konsep Tuhan) cenderung mewujudkan "Atta" untuk memenuhi kehendak minda bawah sedar mereka. Kerana biasa dengan "Atta", mereka takut apabila kehilangan "Atta" yang berbentuk Khanda 5, mereka tiada "Atta" lain untuk dipegang, oleh itu mereka terpaksa mencari "Atta" baru untuk dijadikan pegangan. Umpama kanak-kanak yang belajar bertatih, apabila tangan kanan terpaksa melepaskan tempat pegangan, tangan kiri mesti mencari tempat pegangan baru untuk mengelakkan daripada terjatuh.

Dalam ajarannya, Buddha tidak berhasrat agar umatnya melepaskan satu benda untuk memegang benda lain. Bukan kebebasan namanya apabila manusia dibebaskan dari satu tempat untuk dikurungkan di tempat lain. Apakah bezanya apabila seorang banduan dibebaskan dari penjara Kajang untuk dikurungkan di penjara Sungai Buloh. Itu bukan kebebasan namanya tetapi berpindah kurungan.

Kebebasan manusia (minda) mesti bersifat mutlak.


(Sumber: Than Chau Khun Dhammapidok @ P.A Payutto)

1 comment:

Anonymous said...

Than Jau Khun PA Payutto memang Phra yg bagus sekali. Sathuk Anumodana !