Wednesday, July 10, 2013

Raja Ajatasatru Mengadap Buddha

Pada malam ke-15 bulan purnama, hari Ubosot, Raja Ajatasatru bersama pengiring lelaki dan wanita serta 500 ekor gajah mengadap Buddha di taman Ampawan kepunyaan Chivok (Jivaka). Ketika itu Buddha bersama 1250 orang bhikkhu sedang berehat di taman tersebut. Apabila tiba, Raja Ajatasatru berasa terkejut, takut dan meremang bulu roma kerana suasana di taman senyap dan sunyi bagaikan tiada penghuni. Baginda berasa bimbang kalau-kalau telah diperdaya ke dalam perangkap musuh (musuh biasanya menunggu mangsa dengan senyap). Sewaktu Raja Ajatastru mengadap, Buddha sedang duduk di tengah ruang dengan mengadap muka ke arah timur. Para bhikkhu duduk mengelilingi Buddha dengan tertib. Suasana hening.

Apa yang hendak disampaikan di sini ialah Buddha suka suasana yang senyap. Suasana yang senyap dan tenang boleh menjana kebijaksanaan. Para pengikutnya pula sangat berdisiplin. Bayangkan sejumlah 1250 orang bhikkhu berkumpul tetapi suasana tidak riuh rendah, sebaliknya senyap dan sunyi. Disiplin yang tinggi inilah yang menyebabkan Raja Ajatasatru terpikat dengan Buddha dan minta Buddha menyampaikan dhamma. Raja Ajatasatru sangat kagum mendengar dhamma Buddha kerana tiada mana-mana guru (waktu itu terdapat lebih kurang 6 orang guru agung di Magadha) yang mempunyai ajaran sehebat Buddha. Raja Ajatasatru lantas minta menjadikan Buddha, Dhamma dan Sangha sebagai pelindung(sarana).

Pada masa yang sama, Raja Ajatasatru membuat pengakuan kepada Buddha bahawa Baginda telah membunuh ayahanda Baginda kerana bodoh, jahil dan tamak kuasa. Baginda sangat menyesal. Buddha memuji sikap Raja Ajatasatru yang berani mengaku kesilapan diri. Buddha berkata, orang yang buat salah, dan mengaku kesalahan tersebut sangat disanjungi golongan Ariya. Setelah Raja Ajatasatru berangkat pulang, Buddha beritahu kepada para bhikkhu bahawa sayang sekali Raja Ajatasatru telah melakukan kejahatan besar (membunuh bapa sendiri), jikalau tidak, Baginda telah mendapat pencerahan sempurna.

Raja Ajatasatru merupakan putera kepada Raja Bimbisara dan Permaisuri Kosala Devi. Raja Ajatasatru menjadi penaung dalam Sangkhayana Kali Pertama.

Sewaktu mengandung Raja Ajatasatru, bonda baginda, Kosala Devi mengidam mahu minum darah suami. Kerana kasih kepada isteri dan putera dalam kandungan, Raja Bimbisara rela memberikan darah. Mengikut ramalan, budak dalam kandungan apabila dilahirkan akan menjadi pembunuh bapa. Kosala Devi cuba menggugurkan kandungan tetapi gagal. Apabila Raja Bimbisara mengetahui perkara itu, baginda melarang kerana mahu anak dilahirkan. Apabila dilahirkan, diberi nama "Ajatasatru" yang bermaksud "tidak bermusuhan".

Putera Ajatasatru seorang yang bijak tetapi setelah berjumpa dengan Bhikkhu Devatas yang jahat, fikiran baginda telah dipengaruhi ke arah kejahatan. Devatas ketika itu sedang berusaha membunuh Buddha. Oleh itu, beliau memerlukan seorang yang berkuasa membantunya kerana Buddha begitu dihormati Raja Bimbisara. Maka Putera Ajatasatru individu paling sesuai. Devatas mempengaruhi Putera Ajatasatru bahawa kehidupan ini tidak kekal (anicca). Manusia boleh mati bila-bila sahaja. Untuk memastikan Putera Ajatasatru sempat menaiki takhta, baginda mesti membunuh Raja Bimbisara. Manakala Devatas akan membunuh Buddha untuk menjadi Pemerintah Sangha.

Putera Ajatasatru termakan pujukan Devatas (kerana masa itu Devatas juga seorang bhikkhu yang hebat) lalu menangkap Raja Bimbisara. Raja Bimbisara dikurung dan diseksa dengan pelbagai cara, termasuk membiarkan kelaparan tanpa makanan dan air, mengelar tapak kaki, kemudian disiram dengan air garam. Akhirnya Raja Bimbisara mangkat kerana penyeksaan tersebut. Setelah Raja Bimbisara mangkat, Ajatasatru menaiki takhta. Baginda amat menyesal dengan perbuatannya dan berusaha melakukan bermacam-macam kebaikan bagi "mencuci" dosa yang dibuat terhadap ayahandanya. Akhirnya, Raja Ajatasatru berjumpa dengan Buddha.

Raja Ajatasatru memerindah Magadha dengan adil dan menjaga agama Buddha dengan baik. Namun, kerana dosa membunuh bapa sendiri, Baginda tidak berjaya mencapai pencerahan tahap tinggi meskipun telah melakukan pelbagai kebaikan, termasuk memohon menjadikan Buddha, Dhamma dan Sangha sebagai pelindung.



No comments: