Saturday, August 31, 2013

Kalama Sutta

Kalama Sutta ialah Sutta yang memberikan 10 perkara bagi kita jadikan panduan memilih Dhamma yang betul. Buddha memberikan pedoman ini agar kita tidak percaya sesuatu perkara secara melulu. Antara 10 pedoman itu ialah:

1. Jangan terus percaya apa yang kita dengar semata-mata kerana kita telah biasa mendengar perkara itu sejak sekian lama. 

(Contoh: Sekiranya ada budak beritahu kita pokok besar di tepi jalan itu ada penunggu. Kita pun terus percaya sebab sebelum ini orang tua-tua selalu berkata poko besar ada penunggu. Tidak boleh terus percaya. Pergi tengok dulu, selidiki dengan mata telinga sendiri. Bukan semua pokok besar ada penunggu.)

2. Janganlah mengikuti tradisi secara membuta tuli hanya kerana hal itu telah diamalkan sedemikian secara turun-temurun.

(Benda yang diamalkan turun temurun belum tentu betul. Apabila kita pergi wat, kita tengok orang berjalan keliling bangunan Ubosot sambil bawa lilin dan colok, kita pun ikut ini kerana bapa, datuk dan moyang kita pun buat begitu. Sepatutnya kita kaji dulu akan rasionalnya sebelum kita ikut.)

3. Janganlah cepat terpedaya dengan desas-desus atau khabar angin.

(Jangan percaya sesuatu yang tiada asas kebenarannya. Semua perkara mesti ada sebab akibatnya, mesti ada punca dan sumbernya.)

4. Janganlah menyakini segala sesuatu hanya kerana hal itu tertulis dalam kitab atau selaras dengan kitab suci kita.

(Perkara dalam kitab pun bukan semua boleh dipercayai. Kita mesti menggunakan akal fikiran menilai terlebih dahulu. Kitab adalah hasil tulisan manusia yang mungkin ada kesilapan atau kekurangannya. Kita bukan mempersoalkan kesahihan kitab tetapi bagi mencari kebenaran, kita mesti menilai dengan kebijaksanaan sebelum membuat keputusan.)

5. Janganlah membuat ramalan secara bodoh.

(Ramalan di sini merujuk kepada gerak hati sendiri. Lazimnya manusia apabila melihat atau mendengar perkara tertentu, mereka suka membuat spekulasi yang bermacam-macam yang mungkin bertentangan dengan apa yang sebenarnya.)

6. Janganlah tergesa-gesa membuat kesimpulan berdasarkan jangkaan daripada apa yang anda lihat dan dengar.

(Ini lagi satu gerak hati manusia yang selalu terlencong daripada kebenaran. Apabila melihat atau mendengar sesuatu, manusia terus membuat rumusan. Ini tidak boleh. Rumusan harus ada bukti-buktinya, bukan sekadar jangkaan.)

7. Janganlah percaya hanya kerana berfikir mengikut keadaan semasa.

(Lazimnya fikiran manusia mudah terikut dengan keadaan semasa. Sekarang ramai penagih dadah. Apabila berlaku kecurian, maka orang ramai terus kaitkan dengan penagih dadah. Ini tidak wajar kerana bukan penagih pun boleh mencuri.)

8. Janganlah percaya kerana perkara itu sehaluan dengan kepercayaan atau fahaman kita.

(Perkara ini sering berlaku dan berlaku tanpa disedari. Kita penganut Buddha percaya kepada konsep Karma. Apabila orang berkata, dia ditimpa kemalangan kerana Karma daripada kehidupan yang lepas. Kita pun terus percaya meskipun hakikatnya belum tentu begitu. Mungkin Karma kehidupan sekarang.)

9.Janganlah percaya sesuatu perkara kerana kita merasakan individu yang menceritakan perkara itu boleh dipercayai.

(Sekiranya kawan yang kita percayai menceritakan sesuatu, kita tidak boleh terus percaya meskipun dia kawan baik. Kita harus selidiki terlebih dahulu realitinya.)

10.Janganlah menyakini sesuatu hanya kerana diberitahu oleh individu yang kita anggap sebagai guru (Acariya).

(Perkara yang dikhabarkan oleh individu yang bergelar guru, achan, bhikkhu atau samana pun tidak boleh terus dipercayai. Mungkin mereka tersilap. Mungkin mereka mempunyai pandangan yang salah (Samma Ditthi). Oleh itu, kita mesti menyelidiki terlebih dahulu sebelum percaya.)

Apabila kita menghayati kesemua 10 perkara yang diberikan Buddha, maka tahulah kita bahawa Buddha mahu kita menggunakan akal fikiran, kebijaksanaan dan pengalaman sendiri (melalui amalan) sebagai sandaran bagi menilai sesuatu perkara.

Perkampungan masyarakat Kalama terletak di tempat strategik yang menjadi laluan penyebar agama (kepercayaan) di India. Setiap hari mereka dikunjungi puluhan penyebar agama. Pada waktu itu, terdapat lebih kurang 60 aliran kepercayaan di India. Setiap aliran mempunyai ajaran yang berbeza-beza. Masyarakat Kalama terkeliru dengan ajaran tersebut. Mereka tidak tahu yang mana yang betul. Apabila berjumpa Buddha, mereka bertanya perkara ini kepada Buddha hinggalah Buddha menjelaskan Kalama Sutta.

No comments: