Saturday, August 31, 2013

Merdeka Bersama Brahma Vihara 4

Selamat Hari Merdeka!

Negara telah merdeka, tetapi kita sebagai rakyat belum kerana masih dijajah oleh Kilesa-Tanha. Ini penjajah yang paling besar. Penjajah tahap global yang sentiasa mengurung manusia di dalam penjara kesengsaraan. Panglima tentera yang hebat yang berjaya membebaskan negara daripada penjajajah belum tentu mampu membebaskan diri daripada kilesa-tanha. Malahan ramai yang rebah terkulai dibuai nafsu keinginan. Negara telah merdeka. Kini tiba masanya kita merdekakan minda daripada penjajahan kilesa-tanha.

Dalam usaha kita memerdekan minda, empat dhamma penting yang harus diamalkan bersama jangan dilupakan. Dhamma ini senang dilafazkan tetapi sukar dilaksanakan iaitu Phrom Viharn 4 (Brahma Vihara 4): METTA - KARUNA - MUDITA - UBEKKHA. Ini dhamma keamaman dunia. Tanpa dhamma ini dunia tidak mungkin dapat diduduki dengan aman. Negara yang kehilangan dhamma ini, adalah negara yang sedang menuju kehancuran.

(1)Metta bermaksud kasih sayang yang mahu melihat orang lain mengecapi kebahagiaan. (2)Karuna bermaksud belas kasihan mahu melihat orang lain bebas daripada kesengsaraan hidup. (3)Mudita bermaksud tumpang gembira melihat kejayaan orang lain. (4)Ubekkha bermaksud berkecuali atau tidak memihak.

Empat dhamma ini dipanggil Phrom Viharn 4 kerana inilah sifat Phra Phrom dalam agama Buddha.

Mahayana sangat menekankan METTA dan KARUNA. Oleh sebab itulah apabila berlaku bencana alam, pihak Mahayana begitu cepat menghantar pertolongan cemas ke tempat kejadian. Theravada kurang menyerlah dalam hal begini. Mungkin berpunca daripada konsep Bodhisatva Mahayana dan konsep Arahatta Theravada yang berbeza - satu begitu bersemangat membebaskan masyarakat dunia dan satu lagi asyik membebaskan diri.

Kita tidak perlu mempersoalkan orang lain. Bertanya kepada diri sendiri, sejauh mana kita menjelmakan METTA dan KARUNA ini bagi membantu sesama manusia yang dalam kesusahan? Atau METTA dan KARUNA hanya menghias bibir semata-mata?

Mudita. Ini juga sukar dijelmakan kerana minda dipenuhi hasad dengki. Mudita menjadi semakin sukar dalam dunia yang berlumba-lumba. Orang yang kalah pasti sukar mengucapkan Mudita kepada pesaingnya yang menang. Walau bagaimanapun berusahalah menyuburkan Mudita dalam minda kita. Apabila Mudita subur, hasad dengki akan berkurangan.

Ubekkha pula kekadang disalah guna bagi melepaskan diri (melepas tangan) daripada tanggungjawab. Ubekkha sepatutnya digunakan dalam situasi Metta, Karuna, dan Mudita tidak berjaya digunakan. Namun, sekarang Ubekkha mendahului yang lain. Ini bukan Ubekkha tetapi sikap "melepas tangan" yang tidak bertanggungjawab. Contohnya, kita sering bersikap Ubekkha terhadap masalah sosial yang berlaku dalam masyarakat kita. Kita tidak mahu campur tangan. Kita malas peduli masalah orang lain. Ini bukan Ubekkha. Ubekkha hanya datang selepas kita gagal menggunakan Metta dan Karuna.

Sekiranya umat manusia mempunyai Phrom Viharn 4, dunia pasti aman. Empat dhamma ini mampu merealisasikan impian murni "Rumahku, Syurgaku" atau "Duniaku, Syurgaku!"

No comments: