Monday, November 4, 2013

12 Jenis Karma


12 Jenis Kamma@Karma

Hukum Kamma

Hukum Kamma merupakan kebenaran yang tidak dapat dinafikan. Begitu Buddha mengajar kepada kita. Kita dilahirkan sebagai manusia kerana Kamma dan Kamma juga yang menentukan kehidupan kita. Tiada kuasa ajaib atau kuasa dari langit mana yang menentukan kehidupan kita, kecuali Kamma. Akan tetapi ramai orang yang masih terkeliru dengan hukum Kamma - pemberian hasil dan pembalasannya yang kelihatan tidak seragam. Kita selalu diberitahu bahawa berbuat baik dapat balasan baik, berbuat jahat dapat balasan jahat. Namun apa yang berlaku kadang-kadang disebaliknya. Ada orang buat jahat dibalas baik dan ada orang buat baik dibalas jahat. Ada orang dilahirkan sempurna anggota tubuh. Ada orang dilahirkan cacat.

Keadaan berbeza-beza  ini terjadi kerana sesetengah Kamma sebelum memberi hasil terpaksa mengambil masa yang lama hingga melangkaui zaman. Contoh, ada orang yang sejak muda melakukan kejahatan, tetapi kehidupannya senang lenang dan tidak menghidapi penyakit berbahaya sehinggalah ke hari tua. Manakala ada orang lain yang sejak muda melakukan kebaikan, tetapi kehidupan hari tuanya menyedihkan dan meninggal dunia kerana menghidap penyakit berbahaya. Persoalan begini akan terjawab apabila kita memahami konsep Kamma dan bentuk pembalasannya.

Kamma (bahasa Pali) atau Karma (bahasa Sanskrit) bermaksud PERBUATAN.

Kamma atau Karma adalah suatu perbuatan secara sengaja yang akan memberi hasil, iaitu perbuatan baik akan menghasilkan kebahagiaan dan perbuatan jahat akan menghasilkan penderitaan.

Semua perbuatan yang dilakukan dengan SENGAJA merupakan Kamma. Jikalau dilakukan dengan tidak sengaja, itu bukan Kamma. Perbuatan tidak sengaja juga memberi hasil tetapi tiada balasan. Misalnya, kita tertendang orang tanpa sengaja mungkin memberi hasil kerana kaki kita atau orang itu mengalami kesakitan. Namun, sekiranya kita menendang orang itu dengan sengaja, bukan setakat hasil kesakitan masa tersebut, bahkan balasan daripada orang itu juga akan terjadi. Mungkin dia akan menendang kita balik.

Buddha bersabda: “O, Bhikkhu! Perbuatan secara sengaja (cetena) itulah yang kami namakan Kamma.” (Anguttara Nikaya III : 415).

Perbuatan yang tidak sengaja tidak tergolong ke dalam Kamma yang akan memberi balasan. Perbuatan yang lazim, misalnya duduk, berdiri, berjalan, tidur, melihat dan lain-lain mengikut keadaan yang wajar juga tidak dinamakan Kamma.

Perbuatan-perbuatan yang kelihatan baik atau jahat, namun tidak disengajakan, misalnya,
waktu berjalan, terpijak semut sehingga mati tidak dikira sebagai Kamma yang akan memberi balasan.

Semua perbuatan menghasilkan akibat yang disebut Kamma-vipaka (Thai: Vibak Kamm) dan hasil perbuatan disebut Kamma-phala (Thai: Phon Kamm)

Dari segi perbuatan, Kamma dibezakan oleh:


1. Kaya-Kamma = perbuatan melalui badan (fizikal)

2. Vaci-Kamma = perbuatan melalui kata-kata (pengucapan)

3. Mano-Kamma = perbuatan melalui fikiran (mental)


Mengikut sifatnya, kamma dapat dibahagikan kepada dua bahagian:

1. Kusala-Kamma = perbuatan baik

2. Akusala-Kamma = perbuatan jahat



Kusala-Kamma berpunca daripada Kusala-Mula, iaitu 3 akar kebaikan:

1. Alobha : tidak tamak

2. Adosa : tidak membenci

3. Amoha : tidak bodoh



Akusala-Kamma berpunca daripada Akusala-Mula, iaitu 3 akar kejahatan:

1. Lobha : ketamakan

2. Dosa : kebencian

3. Moha : kebodohan


Jadi Hukum Karma adalah hukum perbuatan yang akan menimbulkan balasan dan hasil perbuatan (kamma-vipaka dan kamma-phala).


Hukum kamma bersifat mutlak, pasti dan adil.



Klasifikasi Kamma:



Kamma dapat dibahagikan kepada 12 jenis mengikut kategori masing-masing, iaitu:

(1) Kamma mengikut fungsinya ada 4 jenis


(2) Kamma mengikut kekuatannya ada 4 jenis


(3) Kamma mengikut waktunya ada 4 jenis



PEMBAHAGIAN KAMMA MENGIKUT FUNGSINYA:

(1). Janaka-Kamma

Kamma yang berfungsi menentukan/menyebabkan kelahiran makhluk-makhluk. Kamma ini diumpamakan seperti seorang ibu kepada anak-anak. Ddalam pengetian yang lain, Janaka-Kamma adalah berfungsi melahirkan Nama-Rupa).

(2). Upatthambaka-Kamma

Kamma ini ibarat pengasuh yang berfungsi mengasuh makhluk. Kamma ini ada bahagian baik dan bahagian tidak baik.

(3). Upapilaka-Kamma

Kamma yang berfungsi 'menekan' kamma yang bertentangan agar mencapai keseimbangan. Kamma ini menyelaraskan hubungan antara kusala-kamma (karma baik) dengan akusala-kamma (karma jahat).

(4). Upaghataka-Kamma

Kamma yang berfungsi menukar kamma lama, sama ada kamma baik mahupun kamma jahat, kepada kamma baru. Contoh, seorang yang banyak berbuat dosa, tetapi setelah insaf dia melakukan banyak kebaikan. Upaghataka-kamma berfungsi menukar dosa kepada kebaikan.


PEMBAHAGIAN KAMMA MENGIKUT KEKUATANNYA


(1). GARUKA KAMMA

Kamma jenis ini dianggap "kamma berat" dan ada 2 kategori iaitu baik (kusala) dan jahat (akusala):

a. Akusala-Garuka-Kamma

b. Kusala-Garuka-Kamma


(A) Akusala-Garuka-Kamma

Kamma yang berat kategori jahat terdiri dari 2 kelompok, iaitu:

(1) Niyata-micchaditthi - pandangan (kehidupan) yang salah. Maksudnya menganggap perkara yang salah adalah benar dan menganggap perkara yang benar adalah salah.


Terdapat 10 pandangan (kehidupan) yang salah:

a. Tidak murah hati/kedekut

b. Tidak pemaaf atau tidak suka menolong orang/makhluk lain.

c. Tidak tahu faedah membuat dana. Menganggap bahawa berdana adalah suatu kebodohan yang tidak ada hasilnya.

d. Tidak memberikan hadiah kepada tetamu. Tetamu boleh jadi seorang atau sekumpulan orang yang kedatangannya membahagiakan kita atau yang kedatangannya kita harapkan. Memberikan hadiah kepada tetamu bermaksud memberi makanan atau minuman kepada tetamu kita. Atau dalam ertikata yang lain melayan tetamu dengan selayaknya.

Seorang yang yakin perbuatan baik akan membawa hasil tentu berusaha menambah kebaikan pada setiap kali ada kesempatan berbuat begitu. Dan dalam masa yang sama berusaha menghindari perbuatan yang salah setiap kali hati berdetik hendak melakukannya..

e. Tidak percaya kepada hukum dunia, tidak percaya kepada kebenaran Dhamma, hukum-hukum Dhamma, dan kebenaran bahawa terdapat kelompok manusia yang penuh dengan kekecewaan, kebencian, ketamakan, dan kebodohan.

f. Tidak percaya kepada dunia yang akan datang; tidak percaya akan kelahiran semula; dan kehidupan yang akan datang.

g. Tidak memahami fungsi seorang ibu (tidak menghargai jasa ibu)

h. Tidak memahami fungsi ayah (tidak menghargai jasa ayah)

i. Tidak mempercayai adanya makhluk yang mati atau yang dilahirkan kembali.

j. Tidak melakukan disiplin menyendiri (khusus untuk para Bhikkhu)


(2) Pancanantariya-Kamma, iaitu 5 perbuatan melampau (dosa berat).

1.Membunuh ayah

2.Membunuh ibu

3.Membunuh seorang Arahat

4.Melukai Buddha

5.Memecah belah Sangha


Mereka yang melakukan salah satu dari 5 perbuatan melampau di atas, setelah meninggal dunia akan lahir di alam Apaya (duka/rendah), iaitu alam neraka, binatang, dan syaitan.


(B) Kusala-Garuka-Kamma


Kamma berat kategori baik ialah bermeditasi hingga mencapai tingkat jhana atau vipassana. Ia akan dilahirkan di alam syurga atau mencapai kebebasan minda yang tinggi yang berbentuk atau tanpa bentuk (16 rupa-bhumi dan 4 arupa-bhumi)


(2). ASANNA-KAMMA

Kamma yang dilakukan sebelum saat kematian seseorang, baik fizikal maupun mental (terutama dengan fikiran). Misalnya memikirkan perbuatan baik atau jahat yang telah dilakukan di masa lalu. Jadi mempunyai pikiran yang baik di kala akan meninggal dunia adalah merupakan hal yang penting kerana akan menentukan bentuk kehidupan berikutnya menjadi lebih baik.

Asanna-Kamma berlaku apabila tidak melakukan Garuka-Kamma.


(3). ACINNA-KAMMA atau Bahula-Kamma

Ini merupakan kamma yang kerap dilakukan sehingga menjadi satu kebiasaan. Seorang yang tidak melakukan Garuka-Kamma dalam hidupnya dan di saat akan meninggal dunia tidak pula melakukan Asanna-Kamma, maka yang menentukan corak kelahiran berikutnya adalah Acinna-Kamma.

Acinna-Kamma atau Bahula-Kamma adalah kamma kebiasaan, baik dengan kata-kata, perbuatan maupun fikiran. Walaupun seseorang hanya sekali berbuat baik, namun kerana selalu diingatnya, menimbulkan kebahagiaan hingga menjelang kematiannya. Hal ini akan menyebabkan kelahiran berikutnya menjadi baik.

Demikian juga seseorang yang hanya sekali berbuat jahat, tetapi kerana selalu diingatnya, maka menimbulkan kegelisahan sehingga ke akhir hayatnya. Maka dia akan lahir di alam yang tidak baik. Oleh sebab itu apabila kita pernah berbuat jahat, maka perbuatan jahat itu harus dilupakan; demikian juga sebaliknya, kalau kita pernah berbuat baik, perbuatan itu perlu selalu diingati.


(4). KATATTA-KAMMA

Bila seorang tidak berbuat Garuka-Kamma, Asanna-Kamma atau Acinna-Kamma, maka yang menentukan bentuk kehidupan berikutnya adalah Katatta-Kamma, iaitu kamma yang ringan-ringan yang pernah diperbuat dalam hidupnya.

PEMBAHAGIAN KAMMA MENGIKUT WAKTUNYA (Memberi hasil)

(1) Thittadhamavedaniya-Kamma

Kamma yang memberikan hasil sekarang.

(2) Upajjavedaniya-Kamma

Kamma yang akan memberi hasil pada kehidupan akan datang selepas kehidupan ini.

(3) Aparaparavedaniya-Kamma

Kamma yang memberi hasil selepas Upajjavedaniya-Kamma, iaitu bila ada kesempatan akan memberi hasil.

(4) Ahosi-Kamma

Kamma yang tidak memberi hasil lagi atau hasilnya telah neutral.

Kalau diperhatikan kita dapati bahawa kehidupan manusia ditentukan oleh Kamma (perbuatan) yang disengajakan. Perbuatan ang disengajakan disebut Kamma yang memberi hasil/balasan dan terbahagi kepada 12 jenis mengikut fungsi, kekuatan dan waktu/masa memberi hasil. Cubalah fahami jenis-jenis Kamma dengan betul agar kita tidak melakukan kamma jahat.

Apabila kamma membawa ke kelahiran baru, iaitu orang yang membuat kamma baik akan lahir di tempat yang baik, manakala orang yang membuat kamma tak baik akan lahir di tempat tidak baik. Kamma yang membawa atau menentukan kelahiran in dinamakan Jataka-Kamma (Jataka = menyebabkan kelahiran). Contoh, Janaka-Kamma jenis baik menghantar si dia lahir dalam kelurga yang baik, kaya, dan dihormati masyarakat. Kalau si dia tidak lalai, berusaha menambahkan kekayaan, menjaga kehormatan keluarga dan nama baik keturunan, perbuatannya dikategorikan ke dalam Upatthambaka-Kamma dan kamma jenis ini akan memberi hasil yang lebih baik - kebaikan dahulu dengan kebaikan sekarang memberi hasil berganda kepada si dia.

Sebaliknya, apabila si dia telah mendapat kemewahan dan dihormati masyarakat tetapi lalai dan membelanjakan harta ke jalan yang salah, kamma si dia menjadi Upapilaka-Kamma, kamma yang menekan atau memaksa kehidupan si dia menjunam turun. Sekiranya si dia bertambah jahat, kamma tersebut bertukar kepada Upaghataka-Kamma yang memutuskan semua hasil perbuatan baik daripada kamma terdahulu, sehingga si dia mengalami kehancuran hidup.

Dalam segi yang lain, andai kata Janaka-Kamma menyebabkan si dia dilahirkan dalam keluarga yang miskin, kais pagi makan pagi, kais petang makan petang, akibat perbuatan jahat kehidupan lalu. Dia tidak mengambil iktibar daripada kehidupan tersebut lalu melakukan kejahatan lain lagi dalam kehidupan sekarang, maka Upatthambaka-Kamma akan mendorong kehidupanya bertambah parah.

Tetapi sekiranya si dia yang dilahirkan miskin dan susah mengambil iktibar daripada kemiskinan dan kesusahan itu dan tekun berusaha membina hidup,Upapilaka-Kamma akan menekan atau mengurangkan hasil akusala kamma (perbuatan jahat) yang dahulu. Apabila perbuatan baiknya diperbanyakkan lagi, kammanya akan bertukar menjadi Upaghataka-Kamma yang akan memutuskan semua hasil akusala kamma dahulunya. Ahkirnya si dia akan mencapai kejayaan.

(diubahsuai daripada internet)

No comments: