Tuesday, March 11, 2014

Asas Penciptaan Agama Buddha: Dari Susuk Kajian Bukan Buddhis

Di sini saya turunkan hasil kajian (satu kajian perbandingan) ilmuwan Islam tentang teori asas penciptaan alam semesta dalam agama Buddha yang saya rasakan satu kajian yang jujur dan menepati intipati agama Buddha. Saya berharap penganut agama Buddha boleh jadikan iktibar dalam menelusuri kekayaan ilmu yang ditinggalkan Buddha kepada kita. Kita tidak seharusnya mendabik dada bahawa kita seorang Buddhis mempunyai ilmu dhamma lebih daripada orang lain. Ilmu tidak datang bergolek ke dada. Jikalau tidak pecahkan ruyung, mana akan dapat sagunya. Jikalau ilmuwan lain boleh mengungkapkan ajaran Buddha dengan baik, kita selaku penganut agama Buddha sewajarnya akan menjadi lebih baik lagi.



ASAS PENCIPTAAN ALAM SEMESTA AGAMA BUDDHA


Norakmal Azraf Bin Awaluddin
Jabatan Usuluddin dan Falsafah
Fakulti Pengajian Islam
Universiti Kebangsaan Malaysia


Indriaty Binti Ismail
Jabatan Usuluddin dan Falsafah
Fakulti Pengajian Islam
Universiti Kebangsaan Malaysia

Menurut Brian (2008) doktrin atau teori penciptaan alam semesta mempunyai persamaan antara agama-agama seperti Islam, Kristian dan Yahudi. Sementara agama-agama lain seperti Hindu dan Buddha wujud jurang perbezaan yang menjadi hak eksklusif agama-agama ini mengikut sudut pandang dan kepercayaan mengenai konsep ketuhanan itu sendiri.

1. Asas Penciptaan Agama Buddha

Memahami asas penciptaan agama Buddha, perlu terlebih dahulu memahami pandangan umum (worldview) agama Buddha mengenai alam semesta. Ini akan memberi gambaran mengenai persoalan mengapa tiada campur tangan ketuhanan yang diserlahkan dalam teori kejadian alam semesta agama Buddha? (Lynch, 2010: 1). Sebagaimana yang tercatat dalam kitab Dhammapada alam dunia dianggap sebagai lokavaggo. Keterangan adalah seperti berikut:

Mari, lihat dunia ini ibarat kereta kuda diraja yang dicat cantik dan indah. Hanya orang yang bodoh sahaja yang akan tenggelam dengan itu tetapi, bagi yang bijak tiada apa-apa sumbangan dari kereta kuda itu (dunia). (Radhakrishnan, 1968: 118)

Agama Buddha menegaskan manusia yang leka dengan nikmat dunia adalah manusia yang paling bodoh kerana tenggelam dengan nikmat dan urusan pengkajian dunia. Justeru, prinsip agama Buddha memandang alam semesta adalah sesuatu yang biasa, sekadar tempat tinggal dan sekadar kereta kuda, telah menjadikan agama Buddha tidak gemar untuk menyingkap perbincangan mengenai teori kejadian alam. Bagi agama ini, untuk apa mengkaji sesuatu yang tidak membawa faedah kepada manusia? Crutcher (2000) melihat agama Buddha mempunyai sistem pengkajian alam semesta dalam sudut pandangan yang berlainan. Baginya, agama Buddha telah mencapai satu tahap pengetahuan di mana alam semesta dilihat terlalu luas dan tidak meninggalkan apa-apa untuk dikaji, lalu mengambil pendekatan tidak perlu mengkaji alam semesta. Justeru itu, matlamat agama Buddha lebih menumpu kepada melakukan reformasi kuasa yang menggerakkan alam semesta. Dimaksudkan dengan mereformasi kuasa yang menggerakkan alam semesta adalah Prinsip Utama yang dipegang agama Buddha tidak meletakkan Tuhan sebagai kuasa penggerak tetapi sebab dan akibat.

1.1 Sebab Dan Akibat (Patticasamupadda)
Mahathera (1971) konsep sebab dan akibat (patticasamupadda) agama Buddha telah menjadikan versi penciptaan alam semesta agama Buddha adalah versi yang unik. Bagi agama Buddha, tiada permulaan kepada penciptaan alam semesta, tiada doktrin yang disebut sebagai Sebab Utama atau Tuhan yang bertindak memberikan kekuasaan-Nya untuk menghasilkan penciptaan alam semesta. Setiap objek dan fenomena yang berlaku adalah hasil daripada kesan hubungan objek dan fenomena lain (simbiosis antara objek). Sebagai contoh, sebatang pokok tumbuh dengan adanya tanah, air dan udara yang mana kesemua ini adalah rantaian luar yang membantu proses pertumbuhan pokok tersebut. Proses perangkaian yang berlaku dalam penciptaan alam semesta ini akan sentiasa wujud dan kekal.

Sebab dan akibat (patticasamupadda) adalah sebuah magnum opus kepada agama Buddha. Justeru, konsep ini adalah asas yang menjadi pegangan kepada agama Buddha dalam menjelaskan asas teori kejadian alam semesta. Di samping itu, konsep sebab dan akibat (patticasamupadda) turut dibincangkan dalam ruang lingkup dharma dan ia sesuai dengan imej agama Buddha yang gemar untuk mengaitkan semua doktrin kepercayaannya dengan dharma. Secara asas formula sebab dan akibat (patticasamupadda) adalah:

Apabila ini wujud, wujud juga yang lain kerana ia berasal daripada yang pertama dan menumbuhkan yang lain. Apabila ini tidak wujud, tiada juga wujud yang lain kerana berhentinya ia, berhenti juga yang lain (Ames, 2003: 287).

Konsep sebab dan akibat (patticasamupadda) adalah prinsip melahirkan sesuatu yang lain. Dengan adanya sebab pertama, melahirkan akibat yang pertama, tanpa sebab yang pertama tidak mungkin akibat yang pertama muncul. Di samping, prinsip ini menggambarkan semua fenomena yang berlaku di alam semesta saling bergantungan (karanahetu), telah ditetapkan bahawa sesuatu fenomena tidak akan boleh bergerak apatah lagi untuk muncul secara keseorangan (singularity) tanpa ada ketetapan lain yang menyokong ia muncul.

Fenomena hanya berlaku kerana adanya kombinasi ketetapan yang menyokong kepada kemunculan sesuatu fenomena tersebut. Juga sebaliknya, jika kombinasi ketetapan ini sudah tidak lagi mampu bertahan, akan menghentikan fenomena tersebut. Patticasamupadda adalah cara yang logik untuk memahami alam semesta kerana selari dengan kehendak sains yang mana fenomena yang berlaku adalah hasil hubungan yang konsisten antara semua unsur alam semesta (Dhammanada, 2002: 158).

Selain pengaruh luar yang memainkan peranan dalam sebab dan akibat, pengaruh idea atau dalaman juga memainkan peranan dalam proses sebab dan akibat. Ini dijelaskan oleh Takakusu (1947) sebagai dharma-dhatu iaitu merujuk kepada alam prinsip atau elemen kepada elemen (dalam falsafah Plato disebut sebagai alam idea). Dharma-dhatu merupakan kemuncak kepada semua teori sebab dan akibat kerana agama Buddha tidak sama sebagaimana sains Barat yang hanya meletakkan sebab berasal dari tindakan fizikal sahaja. Agama Buddha mempercayai sebab dan tindakan juga berasal daripada simpanan idea, tidak hanya berasal dari tindakan sesuatu yang bersifat fizikal. Bermakna agama Buddha meyakini bahawa unsur dalaman juga mempengaruhi konsep sebab dan akibat. Dharma-dhatu menjadi penyebab kepada semua kewujudan fenomena alam semesta atau boleh juga dikatakan sebagai penyebab kepada segala pengaruh tindakan yang dilakukan oleh makhluk dan kewujudan.

Berdasarkan kepada beberapa pendapat di atas, menunjukkan konsep sebab dan akibat (patticasamupadda) terjelma melalui kualiti luaran dan juga kualiti dalaman sesuatu fenomena. Kualiti luaran adalah tanah liat, kayu, roda, tali, air dan pekerja yang mana kesemua kualiti luaran ini akan bekerjasama untuk menghasilkan sebuah belanga. Manakala kualiti dalaman digelar sebagai idea sebab dan akibat iaitu kebodohan, kehendak, tujuan kepada sebab dan akibat tersebut dan pendorong kepada sesuatu penciptaan mahu dijadikan. Kualiti dalaman adalah faktor pendorong kepada faktor luaran untuk menjadikan sesuatu fenomena. Ibarat kualiti dalaman ini adalah pemikiran kepada tukang pembuat belanga yang memikirkan cara bagaimana menghasilkan belanga (Smith, 1969: 287).

Sebagaimana yang telah penulis tekankan di awal penulisan ini, agama Buddha akan mengaitkannya dengan etika manusia yang menjadi asas kepada proses sebab dan akibat berlaku. Jika pengaruh luar dikaitkan dengan fizikal luaran alam semesta yang bekerjasama menggerakkan alam semesta, pengaruh dalaman atau dharma-dhatu adalah pengaruh sikap dan etika makhluk yang sudah menjadi buruk dan kebodohan yang menjadi asas berlakunya sebab dan akibat. Oleh sebab itu, kepentingan konsep sebab dan akibat (patticasamupadda) dikaitkan dengan dharma yang berkaitan dengan etika dan moral. sebagaimana yang dikatakan oleh Sakyamuni:

"Wahai sami, sesiapa yang memahami konsep patticasamupadda akan memahami dhamma, orang yang memahami dhamma akan dapat memahami patticasamupadda." (Gnanarama, 2000: 94).

Petikan di atas yang saling menyamakan konsep patticasamupadda dan dharma kerana kedua-duanya adalah doktrin penting. Sebagai contoh konsep Empat Kebenaran Mulia adalah berkaitan dengan penderitaan, sebab penderitaan, menghentikan penderitaan dan jalan yang membawa kepada kebebasan dari penderitaan. Manakala penderitaan, kesengsaraan dan sebagainya adalah pengaruh dalaman yang memainkan peranan dalam proses sebab dan akibat (patticasamupadda) (Gnanarama 2000: 94).

Hubungan antara dharma, sebab dan akibat (patticasamupadda) seperti air dan empangan. Air yang melalui empangan mempunyai potensi untuk menghasilkan tenaga elektrik, proses pengaliran air telah menghilangkan potensinya sebagai air kepada agen penyalur aliran elektrik. Begitujuga dengan kewujudan dharma yang mempunyai pelbagai potensi bergantung kepada keadaan (Akira 1990: 179). Menjelaskan sebab dan akibat (patticasamupadda), Akira (1990: 179-181) telah membuat enam klasifikasi potensi sebab dan akibat, iaitu:

i. Karanahetu adalah penyebab yang menjadi sebab kewujudan yang lain iaitu merujuk kepada sebab yang penting. Dengan kata lain, semua dharma membantu dalam menghasilkan dharma yang lain.

ii. Sahabhuhetu atau penyebab serentak adalah dharma yang berkhidmat secara serentak menjadi sebab dan akibat, bergantungan dan bergabung antara satu dengan yang lain. Seperti tanah, air, api dan angin secara serentaknya muncul dalam molekul dan menghasilkan tenaga atau fenomena

iii. Sabhagahetu atau penyebab yang sama. Biji benih padi hanya akan menghasilkan tunas padi dan tidak mungkin menghasilkan tunas durian.

iv. Samprayuktakahetu atau penyebab yang seiring (concomitant cuase) adalah deskriptif hubungan yang seiring antara minda (citta) dan fakulti mental (caitasika) atau otak. Katogeri ini dilihat sebagai fasiliti dan pengguna fasiliti mesti sama untuk menghasilkan natijah yang harmoni. Kereta tugasnya adalah membawa pemandu, tetapi pemandu mahu menggunakan kereta untuk mengadun kek. Maka wujud kesan yang bercelaru dan tidak-seimbang.

v. Sarvatragahetu iaitu alam semesta tidak semestinya bersifat harmoni dan seimbang, kuasa kekacauan juga boleh menjana sebab dan akibat, tetapi dalam bentuk keburukan. Sebagai contoh fenomena bencana alam semesta, agama Buddha melihat sebab kejadian bencana adalah kerana adanya kekotoran moral manusia yang menghasilkan akibat buruk iaitu kemusnahan (samsara).

vi. Vipakahetu atau penyebab penghasilan yang merujuk kepada sebab dan akibat adalah dua jenis yang berlainan. Sebagai contoh penyebab yang baik menghasilkan kesan yang baik. Penyebab yang buruk mendatangkan kesengsaraan. Sebab yang baik atau sebab yang buruk akan menghasilkan hukuman atau penghasilan (vipakaphala) bergantung kepada baik atau buruknya sebab. Dalam konteks ini, keseronokan atau penderitaan adalah penghasilan yang timbul apabila perbuatan dilakukan (vipakahetu).

Jelas Mahathera (1971), keseronokan, penderitaan atau samsara tidak sahaja merujuk kepada moral manusia tetapi juga adalah sistem kitaran atau agen penciptaan yang sentiasa berputar dalam alam semesta. Demikian itu, alam semesta bersifat dinamik dan proses penciptaan alam semesta tiada pengakhiran, berubah, kuasa yang bersifat bergantungan antara satu sama lain, faktor yang tidak abadi, statik, tidak luput, pembentukan sendiri atau kehendak sendiri. Sistem yang merencana kelangsungan alam semesta adalah samsara yang mana sifatnya kekal abadi.

Penekanan agama Buddha kepada pemahaman konsep samsara adalah sangat penting, yang mana kegagalan memahaminya akan terjatuh kepada kesengsaraan dan keseronokan duniawi dan tidak akan dapat melarikan diri dari kitaran karma (Thich Nhat Hahn, 1999: 5). Bagi agama Buddha punca kesengsaraan adalah kebodohan yang melanda manusia itu sendiri. Kejahilan ini diwarisi dari kehidupan sebelum ini (Noss, 2008: 178).

Terikatnya seluruh entiti alam semesta dengan samsara dan karma, menjadikan konsep sebab dan akibat (patticasamupadda) mempunyai signifikan sebagai asas penciptaan alam semesta dan asas doktrin kelahiran semula yang membelengu kewujudan makhluk tanpa jalan keluar kerana ikatan ini tidak boleh terurai melainkan dengan pencapaian tahap kerohanian yang tinggi (nirvana). Kesinambungan kelahiran semula yang tiada pengakhiran disebabkan samsara yang sentiasa wujud dan tidak berakhir sehingga memberi kesan pada kitaran yang wujud dalam proses proses sebab dan akibat (patticasamupadda) (Williams & Tribe, 2000: 64).

Agama Buddha memiliki teori asas penciptaan yang unik kerana peranan penciptaan difahami dalam konteks sebab dan akibat (patticasamupadda). Setelah ditelusuri dengan detil, kepercayaan kepada peranan sebab dan akibat ini berasaskan kepada kepercayaan samsara yang menjadi tunjang dan agen kepada proses penciptaan alam semesta yang mana mempengaruhi konsep sebab dan akibat (patticasamupadda).

(Saya merakamkan ribuan terima kasih kepada kedua-dua ilmuwan ini kerana mengungkapkan hasil kajian secara ikhlas dari sudut pandang bukan penganut agama Buddha).

1 comment:

Anonymous said...

Sathuk sathuk sathuk! Mana pulak para ilmuwan Puthak Sasana Malaysia mengkaji Sasana sendiri?

Satu sut, Dhammachak , pun penuh dengan ilmu sains psikologi, apa tah lagi Mahasatipathan, yang penuh dengan ilmu Biologi!

tuan Pena reformasi ada buat kajian tak?