Sunday, March 16, 2014

Sebelum Agama Buddha Hilang Dari India

Semenjak kelahiran agama Buddha di India, kita dapat menyaksikan sejarah "turun - naik" agama Buddha bergantung pada dasar kerajaan (raja) yang menjadi penaungnya. Kerajaan yang pro agama Buddha menyebabkan agama Buddha menjadu gemilang. Sebaliknya, kerajaan yang anti agama Buddha menyebabkan agama Buddha menjadi muram. 


Pada zaman Kerajaan Kuppata (ราชวงศ์คุปตะ), kerajaan telah menjalankan dasar pemulihan agama atau aliran yang pernah gemilang di bumi India. Ini menyebabkan agama tua seperti agama Brahmana dipulihkan kembali oleh pengikutnya dengan giat dan besar-besaran. Dan apa yang penting ialah munculnya pemikiran tentang konsep Penjelmaan Narayana@Penjelmaan Vishnu. Yang menghairankan, kenapa Buddha diangkat sebagai salah satu "penjelmaan" Narayana juga? 



Kepercayaan tentang konsep "Penjelmaan Narayana" merupakan kejayaan besar kepada Brahmana yang sebelum itu telah lemah selepas kemunculan agama Buddha. Narayana atau Vishnu merupakan 3 Tuhan dalam agama Hindu, selain Brahma dan Siva. Dipercayai bahawa Narayana boleh menjelma kepada 10 bahagian. Menjelma sebagai Krishna bahagian ke-8. Manakala menjelma sebagai Buddha bahagian ke-9. 

Kitab menyebut bahawa pada zaman "kacau-bilau" Narayana atau Vishnu menjelma sebagai Buddha bagi mengajar adhamma (dhamma tak baik) kepada Asura agar mereka sesat dan keluar daripada Hindu. Asura ialah musuh kepada para dewa. Sekiranya sesiapa menganut agama Buddha mereka adalah golongan Asura dan musuh kepada para dewa. Dari sudut lain, oleh sebab Buddha adalah jelmaan Vishnu, mereka yang jadi pengikut Vishnu ketika itu boleh juga menghormati Buddha tanpa perlu menjadi penganut agama Buddha. 

Pada zaman tersebut berlaku pertembungan fikiran yang hebat antara beberapa agama di India bagi meramaikan penganut. Agama Buddha pun pernah menggunakan teknik yang keras dengan membina patung Bodhisatta sedang menghina dewa dan pengasas agama yang lain. Teknik ini bukan ajaran Buddha kerana terpesong daripada konsep sebab-akibat dan kebaikan. 



Agama Buddha ketika memasuki era Mahayana telah berpecah kepada pelbagai aliran. Mereka bersaing sesama sendiri dalam mengejar ilmu. Para bhikkhu mengkaji falsafah Buddha secara lebih mendalam. Maka muncullah falsafah-falsafah yang rumit dan bersimpang-siur yang mencabar fikiran di dalam agama Buddha.

Dhamma yang merupakan amalan harian masyarakat telah bertukar menjadi sesuatu yang sukar diamalkan oleh orang biasa kerana bercampur baur dengan falsafah yang sukar difahami. Maka dhamma pun bertukar menjadi hak milik eksklusif ahli falsafah (bhikkhu) di dalam wat@vihara sahaja. Falsafah adalah ilmu yang terbit daripada fikiran. Berbeza dengan dhamma yang diajarkan oleh Buddha yang terbit daripada amalan mulia.

Akibatnya, masyarakat biasa tidak memahami agama Buddha. Dikatakan bahawa kegemilangan mahavihara@wat di kota-kota besar telah menarik ramai bhikkhu dari seluruh India datang mempelajari falsafah sehingga mengabaikan penyebaran dhamma kepada masyarakat di pedalaman. Kegemilangan mahavihara hanya melahirkan ramai bhikkhu yang arif ilmu falsafah tetapi lemah dalam amalan.  Lebih malang lagi apabila para bhikkhu tidak mampu menambahkan jumlah penganut. Bahkan semakin ramai penganut meninggalkan agama Buddha kerana tidak berupaya memahami ajarannya yang semakin rumit. Bhikkhu sibuk berlumba mendalami ilmu falsafah. Manakala dhamma kepada masyarakat diabaikan. Maka menjadi perkara biasa bagi masyarakat yang dahagakan ajaran agama akan mencari sumber yang baru. 




Manakala di pihak agama Brahmana (Hindu), mereka berkembang dengan pesat. Mereka menjalankan dasar "buka hati" menerima pemikiran baru yang mudah difahami oleh masyarakat. Pemikiran Buddha atau pemikiran aliran lain diterap ke dalam kepercayaan mereka. Bagi mereka, semua ilmu ahli bijak pandai, tidak kira Buddha atau Mahavira, adalah ilmu anak kelahiran India yang wajar dipelihara. 

Brahmana juga melakukan pembaharuan yang hebat. Asalnya, Brahmana membunuh haiwan sebagai ritual pemujaan dan minum arak, kini mereka memperkenalkan konsep tidak membunuh, makan sayur dan tidak minum arak. 

Dahulu Brahmana tidak mempunyai vihara tetapi kini telah bina vihara sebagai tempat tinggal samana (sami) mereka. Mereka juga memuja "tapak kaki" Vishnu sebagaimana penganut agama Buddha memuja tapak kaki Buddha.  Tapak kaki Vishnu itu dipercayai bekas Vishnu memijak Asura yang datang buat kacau. 



Pembaharuan secara besar-besaran inilah yang melahirkan agama Hindu. Seorang bijak pandai Hindu yang terkenal telah menjelajah seluruh India memperkenalkan konsep "Institusi Samana Hindu". Konsep ini serupa dengan konsep Sangha (Persaudaraan Bhikkhu) dalam agama Buddha. Konsep Institusi Samana Hindu mendapat sambutan yang meluas. 

Hasil daripada pembaharuan ini, kepercayaan Brahmana berjaya bertukar wajah baru yang dikenali sebagai agama Hindu.

Kesimpulannya, kepudaran agama Buddha di India bukan berpunca daripada ancaman agama lain sahaja, bahkan berpunca daripada faktor dalaman juga. Para bhikkhu mementingkan falsafah sehingga mengabaikan amalan mulia (mendapatkan Pencerahan Dhamma) serta tidak peka kepada keperluan masyarakat terhadap agama Buddha. 







No comments: