Wednesday, April 2, 2014

5 Fungsi Karma

Karma@Kamma ialah perbuatan yang dilakukan dengan sengaja atau dengan niat tertentu. Karma boleh bersifat baik atau bersifat jahat, bergantung pada Kilesa yang menjadi penggeraknya. Karma boleh dilakukan melalui 3 cara iaitu melalui fikiran (mano), percakapan (vaci) dan perbuatan (kaya). Karma yang baik dipanggil Kusala Karma. Karma yang jahat dipanggil Akusala Karma. Karma berpunca daripada Kilesa atau kotoran batin. Terdapat 3 Kilesa yang utama iaitu Lobha, Dosa dan Moha. Karma yang baik juga didorong oleh Kilesa, iaitu Kilesa jenis baik. Kilesa jenis baik ialah Alobha, Adosa dan Amoha. 

Terdapat 5 fungsi Karma yang utama, iaitu:


1. Kammassa Komahi = Karma adalah hak milik sendiri. Siapa buat Karma apa, dialah yang jadi pemiliknya. Hak milik ini tidak boleh dipindahkan. Tiada orang lain boleh buat Karma untuk kita. Kita juga tidak boleh memberikan Karma yang kita buat kepada orang lain. 


2. Kamma Thayatho =  Kita adalah pewaris kepada Karma kita. Kita buat Karma apa, kitalah yang menerima balasan atau hasilnya. Kita adalah pewaris sah yang mewarisi segala Karma yang kita buat. 

3. Kamma Yoni = Karma menentukan kelahiran kita. Karma menentukan alam kelahiran kita, tempat kelahiran kita, keturunan kita, keluarga kita atau rupa paras kita. 

4. Kamma Banthu = Karma adalah keturunan atau baka. Siapa buat Karma apa, Karma tersebut akan mengikutinya. Karma jahat akan memberikan balasan jahat. Karma baik akan memberikan balasan baik. Karma ini menjadi sebahagian daripada kehidupan kita. 

5. Kamma Pati Sarano = Karma adalah pelindung kita. Kita selamat atau tidak selamat ditentukan oleh Karma. Kita sihat atau sakit ditentukan oleh Karma. Tiada pelindung kepada kita, kecuali Karma yang kita buat. Karma baik memberikan perlindungan yang baik. Karma jahat memberikan musibah.  

Dalam kes tertentu Karma yang dilakukan oleh orang lain tetapi orang lain yang menanggung balasannya. Contoh, suami pergi pinjam duit dengan Ah Long tetapi isteri yang kena seksa. Pertama, suami isteri mempunyai ikatan atau perhubungan yang rapat. Kemungkinan terkena biasan balasan Karma adalah tinggi. Kedua, kemungkinan si isteri juga pernah melakukan Karma yang sama dengan Karma yang dilakukan oleh si suami lalu mereka terpaksa menanggung balasan bersama.

Kisah seorang Arahatta yang bernama Bhahiyak ditanduk mati oleh lembu betina boleh dijadikan contoh.  Pada kehidupan yang dahulu, Bhahiyak seorang lelaki. Lembu betina itu seorang wanita. Bhahiyak melacurkan wanikta tersebut. Kerana mereka pernah melakukan Karma bersama pada kehidupan dahulu, maka dalam kehidupan sekarang mereka dipertemukan oleh Karma meskipun seorang sudah jadi Arahatta dan seorang lagi seekor lembu betina. Kerana Karma terdahulu, lembu betina itu membalas dendam dengan menanduk Bhahiyak hingga mati sebelum sempat jadi bhikkhu. 

Bagaimana Karma memberi hasil atau balasan adalah sesuatu di luar fikiran kita sebagai manusia biasa. Oleh sebab itulah Buddha melarang kita memikirkan perkara ini. Kita hanya perlu tahu bahawa Karma "tidak berbohong" dan akan memberikan hasil setiap apa yang kita lakukan, kecualilah kita telah menjadi Arahatta.

Oleh sebab Karma adalah perbuatan, apabila kita menerima seksaan Karma, kita harus merungkainya dengan perbuatan juga. Kita tidak mungkin mampu merungkainya dengan berdoa, memohon atau meminta kepada kuasa lain. 

Misalnya, kita membakar sampah hingga terbakar kayu di dalam setor. Adakah api akan padam apabila kita duduk berdoa kepada kuasa lain? (Ya, api akan padam setelah setor habis hangus menjadi debu). Sekiranya kita bertindak cepat dengan menyimbahkan air atau gas pemadam api, maka api akan segera padam tanpa berdoa atau memohon kepada kuasa lain.

Adakah ada kuasa lain yang menggerakkan Karma? Tidak ada. Karma bergerak sendiri setelah kita melakukan perbuatan. Dan kita jugalah yang menghentikan pergerakan Karma tersebut. Adalah pelik apabila seseorang itu memulakan Karma, kemudian memohon kuasa lain menghentikannya.

Kita yang memulakan, kita jugalah yang menghentikannya.  


No comments: