Sunday, April 13, 2014

Buat Salah, Mesti Minta Maaf!


Sekiranya kita buat perkara tak baik, kita sedar keterlanjuran itu, kemudian kita tidak mengulanginya lagi,
sebaliknya buat perkara yang baik-baik saja (sekiranya melibatkan orang lain, minta maaf kepada orang berkenaan), sikap kita ini adalah sikap yang dipuji oleh Buddha.


Saya turunkan satu kisah. Selepas menghadap Buddha, Phra Saribut pun berjalan keluar dari kediaman Buddha. Seorang bhikkhu berjalan masuk. Dia mengadu kepada Buddha bahawa Phra Saribut melanggarnya, tidak minta maaf, lalu berjalan pergi. Buddha minta seorang bhikkhu yang lain pergi panggil Phra Saribut datang balik kerana mahu minta penjelasan.

Phra Saribut datang menghadap Buddha semula. Phra Saribut berkata, individu yang telah mendapat pencerahan dhamma umpama bumi yang diludah ke atasnya, dibuang kotoran, dibuang sampah, dikencing, diberak dan sebagainya, tetapi bumi tidak pernah mengeluh dengan perbuatan tersebut. Begitu juga sungai  yang diludah ke atasnya, dibuang kotoran, dibuang sampah, dikencing, diberak dan sebagainya, tetapi sungai tidak pernah mengeluh dengan perbuatan tersebut. (Phra Saribut memberikan beberapa perumpamaan lagi yang bermaksud bahawa "orang yang telah mencapai Arahatta seperti beliau tidak akan melakukan perbuatan tidak baik secara sengaja".)

Selepas Phra Saribut habis bercakap, bhikkhu tersebut terus menyembah ke kaki Buddha, minta maaf kerana memfitnah Phra Saribut. Dia berjanji tidak akan mengulangi perbuatan itu lagi dan akan terus membuat kebaikan. Buddha memaafkannya dan berpesan bahawa inilah perbuatan terpuji. Setelah sedar akan kesalahan, terus mengaku salah dan berjanji akan membuat kebaikan.  Sikap begini akan membawa kemakmuran kepada Sangha dan dhamma-vinaya (agama Buddha).

Buddha juga minta Phra Saribut tidak mengambil hati terhadap bhikkhu tersebut. Sekiranya Phra Saribut simpan dalam hati, kepala bhikkhu itu akan *berpecah kepada 7 bahagian (kerana fitnah phra Arahant). Phra Saribut berkata beliau tidak akan simpan dalam hati sekiranya bhikkhu tersebut minta maaf kepada beliau. Bhikkhu tersebut pun menyembah Phra Saribut lalu minta maaf. (Sebenarnya Phra Saribut mahu bhikkhu itu minta maaf supaya dapat dijadikan pengajaran kepada bhikkhu lain apabila berbuat salah mesti minta maaf).


No comments: