Sunday, April 27, 2014

Kehidupan Yang Abadi





Devata ini rajin juga menghadap Buddha, bertanyakan soalan berkaitan kehidupan. Kadang-kadang mereka berbincang sesama devata tetapi tidak mendapat jawapan yang memuaskan lalu mereka akan datang menghadap Buddha, minta penjelasan.

Buddha berkata kepada devata bahawa individu yang memberi makanan dipanggil memberi kuasa. Individu memberi pakaian dipanggil memberi kecantikan. Individu memberi kenderaan dipanggil memberi kesenangan. Individu memberi pelita atau lampu dipanggil memberi penglihatan. Individu memberi tempat tinggal dipanggil memberi segala-galanya. Manakala individu yang mengajar dhamma dipanggil memberi kehidupan yang abadi.

Kehidupan yang abadi ialah Nirvana.

Mengajar dhamma bermakna memberi dhamma. Pemberian dhamma ialah pemberian yang paling agung. Tiada pemberian lain yang lebih hebat daripada pemberian dhamma. Apabila seseorang itu mendapat ilmu dhamma, dia akan mendekati Buddha, Dhamma dan Sangha. Apabila dia mendekati Buddha, Dhamma dan Sangha, dia akan menyakini Buddha, Dhamma dan Sangha. Dia akan mengamalkan kebaikan seperti diajar oleh Buddha.

Dia berpegang kepada Sila 5, Sila 8, Sila 10 atau Sila 227. Dia meninggalkan kejahatan dan membuat kebaikan. Dia membuat Samadhi dan Vipassana membersihkan minda. Apabila dia meninggalkan kejahatan, dia akan mendapat kebaikan. Orang lain juga mendapat kebaikan. Masyarakat juga mendapat kebaikan. Dia berpegang kepada Sila bermakna dia tidak menyusahkan diri sendiri dan orang lain. Semakin ramai orang berpegang kepada Sila, masyarakat semakin aman kerana tiada pembunuhan, kecurian, penzinaan, pembohongan atau kemabukan.

Semuanya bermula dengan pemberian ilmu dhamma. Oleh sebab itulah mengajar dhamma (memberi dhamma) dipanggil memberi kehidupan yang abadi; kehidupan yang tidak mati iaitu Nirvana.





No comments: