Saturday, April 26, 2014

Perempuan Cantik Fitnah Buddha



Anda pernah dengar seorang perempuan yang bernama Cincamanavikkha dalam sejarah agama Buddha? 

Inilah perempuan yang menakutkan.

Sewaktu agama Buddha mencapai kegemilangan, agama lain (kepercayaan lain) merudum dengan teruk.  Masyarakat menyertai agama Buddha dengan ramai menyebabkan "samana" agama lain sukar mendapat makanan. Mereka mencari jalan memfitnah Buddha agar masyarakat meninggalkan agama Buddha dan kembali kepada mereka. Mereka memperalatkan Cincamanavikkha, seorang perempuan yang sangat cantik umpama bidadari di syurga.


Sejak pagi-pagi buta Cincamanavikkha mengenakan pakaian yang sopan pergi Wat Chetawan, tempat tinggal Buddha. Melihat pagi-pagi lagi Cincamanavikkha berada di wat, orang pun bertanya.

"Cinca, semalam tidur di mana, pagi-pagi lagi dah ada di sini?"

Dia pun menjawab. "Semalam saya tidur di Wat Chetawan ini!"

Dia melakukan begini berbulan-bulan. Apabila orang bertanya lagi, dia pun menjawab: "Saya tidur dalam kutthi yang sama dengan Samana Gotama (Buddha)!"

Masyarakat yang mendengar mula berasa tidak senang hati. Mereka yang fikiran kurang matang lalu percaya dan meninggalkan Buddha. Manakala mereka yang matang tetap yakin dengan kesucian Buddha. Walau bagaimanpun suara-suara yang membicarakan perkara ini semakin kuat.

Apabila masa berlalu 6-7 bulan, Cincamnavikkha memulakan lakonan. Dia mengikat sebatang kayu bulat pada perutnya seperti orang hamil. Kemudian dia mendakwa Buddha adalah suaminya. 

Dia mendakwa Buddha di tengah-tengah orang ramai ketika buddha sedang menyampaikan khutbah dhamma. 

"Masih menyampaikan dhamma lagi, anak dalam kandungan saya tak mahu peduli!" kata Cincamanavikkha kepada Buddha. 

Buddha berdiam diri. Perempuan jahat ini mahu Buddha bertanggungjawab ke atas bayi di dalam perutnya.

Akhirnya Buddha berkata: "Adik, hanya kita berdua saja yang tahu hal sebenar!"

Lihatlah betapa tenangnya Buddha menghadapi situasi yang genting begini. Seorang Buddha yang didakwa mengandungkan perempuan bukan dakwaan sembarangan. Bukan kes kecil yang boleh dipandang remeh. Seorang bhikkhu dipandang paling hina apabila melakukan kesalahan menghamilkan perempuan, kemudian tidak mahu bertanggungjawab. Akan tetapi Buddha tetap tenang. Buddha tidak marah mahupun menunjukkan sikap tidak senang hati. Sebaliknya, berkata: "Adik, hanya kita berdua saja yang tahu hal sebenar!"

Selepas mengucapkan kata-kata yang singkat itu, Buddha kembali diam. Sedangkan perempuan itu tidak berhenti memfitnah Buddha. Dia melompat-lompat dan merengek-rengek mahu Buddha mengakui suaminya. 

Buddha berdiam diri kerana Baginda tahu Baginda tidak bersalah. Baginda tidak melakukan perbuatan keji itu. Buddha berdiam diri. Sebenarnya berdiam diri dengan tenang adalah sifat Ariya. Sifat ini mampu menewaskan pelbagai dugaan. 

Akhirnya, kerana asyik melompat-lompat, tali yang mengikat kayu terputus. Ketulan kayu pun jatuh keluar. 

(Dikatakan fitnah ini sampai ke telinga Thao Sakka, iaitu Phrom. Phrom marah perempuan yang cantik fizikal tetapi hati jahat lalu menghantar tikus datang gigit tali yang mengikat kayu di perut. Setelah kayu jatuh, angin bertiup kencang menyelak kain perempuan itu hingga orang ramai boleh nampak bahawa dia tidak hamil).

Orang ramai terkejut dan tahu bahawa perempuan itu memfitnah Buddha. Mereka memaki perempuan jahat itu dan ada yang memukulnya. Perempuan jahat itu lari dari situ kerana malu. 

(Diceritakan bahawa apabila tiba di sebuah sungai, dia disedut bumi turun ke neraka).

Fitnah merupakan perbuatan keji yang amat menakutkan. Ramai bhikkhu ternama yang jatuh kerana fitnah begini. Orang-besar ternama juga ramai yang terkena. Jadi, berhati-hatilah supaya tidak membuka jalan kepada fitnah.

Kita mesti mengambil ikhtibar daripada cerita ini bahawa sifat tenang itu lebih baik daripada bertindak secara melulu. 



No comments: