Saturday, April 26, 2014

Songkran: Kembali kepada Nilai-nilai Murni

Songkran telah berlalu. Pesta Songkran adalah adat tradisi yang kaya dengan nilai-nilai murni. Tahun ini Songkran sedikit "hangat" apabila ada Mufti melarang umat Islam menyertainya, kononnya Songkran ada ritual agama. Seperti biasa, orang Siam pun melenting dengan larangan tersebut.
Bagi saya, inilah masanya kita melihat ke dalam diri kita. Realitinya, adakah selama ini cara-cara kita meraikan Songkran sebagai adat tradisi atau sebagai sebahagian daripada upacara agama? Bagaimana dengan nilai-nilai murni Songkran, masih dipertahankan?
Secara jujur saya mengatakan bahawa Songkran di sesetengah tempat umpama pesta barbarian; menyimbah air dengan cara yang bukan tidak sopan tetapi kurang ajar. Golongan muda berlagak seperti samseng. Golongan mabuk bertindak seperti orang gila.
Ramai yang tidak tahu atau sengaja tidak mengambil endah bahawa Songkran ialah hari menghormati orang tua. Bersuka ria tidak salah, tetapi nilai-nilai murni harus dipelihara. Saya takut suatu hari nanti orang akan melabel Songkran sebagai pesta tanpa tamadun. Kita tentu tidak mahu Songkran di tempat kita terjadi seperti Songkran di sesetengah tempat di Thailand yang bergaduh, berlawan dan berbunuh di hari mulia itu.
Kesimpulannya, sudah tiba masanya kita orang Siam menilai cara-cara kita menyambut dan meraikan Songkran agar kembali ke asal sebagai adat tradisi yang kaya dengan nilai-nilai murni.

No comments: