Wednesday, August 13, 2014

Karma Buddha Berbeza daripada Karma Brahmana

Penganut agama Buddha hari ini mempunyai pemahaman tentang Karma secara bercelaru kerana terpengaruh dengan Karma Brahmana. Jika kita perhatikan, kisah-kisah Jataka/Chadok yang menceritakan kehidupan Bodhisatta banyak memasukkan Karma Brahmana. Maklumlah masyarakat pada zaman Bodhisatta itu masih mengamalkan kepercayaan Brahmana kerana Buddha belum wujud. Inilah antara punca berlaku kecelaruan.

Brahmana mengajar bahawa perbuatan (Karma) kita hayat ini akan memberi hasil (kita menerima hasil) pada hayat depan atau hayat-hayat akan datang. Siapa buat Karma baik akan terima hasil baik pada hayat akan datang, contohnya pergi syurga atau jika dilahir sebagai manusia akan bahagia, kaya, sihat, mempunyai kedudukan tinggi, ada pangkat dan sebagainya. Siapa buat Karma jahat akan terima hasil tak baik pada hayat akan datang juga, contoh pergi neraka, jika dilahir sebagai manusia akan susah, miskin, mempunyai kedudukan rendah dan sebagainya.

Manakala Karma dalam agama Buddha ialah Karma adalah perbuatan secara sengaja (sengaja itu Kilesa, Lobha, Dosa dan Moha) yang sedar bahawa ini adalah Karma dan setiap Karma mempunyai hasil. Minda (citta) dapat merasa setiap perbuatan baik atau perbuatan jahat. Apabila membuat Karma baik, minda/hati dapat merasa bahawa itu perkara baik, kemudian lahirlah kepuasan, kebanggaan dan kebahagiaan daripada perbuatan baik itu (mewujudkan Kusala Citta). Apabila membuat Karma jahat minda dapat merasa bahawa itu perkara jahat, kemudian lahirlah kesengsaraan hati, kepanasan hati, atau rasa kecewa (mewujudkan Akusala Citta).

Buddha tidak pernah menyuruh penganut membuat baik, kemudian pergi menunggu hasilnya di tempat lain selepas mati. Tidak mungkin setelah berjaya melepaskan diri daripada Vatta Samsara tetapi Buddha masih mengajar orang lain supaya terus terperangkap di dalam Vatta Samsara selama-lamanya.

Contoh, kita telah berusaha keras hingga berjaya keluar daripada rumah yang sedang terbakar. Kemudian kita menyuruh orang lain terus berada di dalam rumah itu hingga mati. Ini bukan metta karuna tetapi mahu menyeksa orang hingga mati.

Buddha mengajar penganut buat baik sekarang ini (hayat ini) untuk menikmati hasilnya sekarang ini (hayat ini) juga. Oleh sebab itulah ramai penganut menjadi Arahatta, Anagami, Sakadagami, Sodaban atau ubasok dan ubasika yang baik. Sesiapa yang tidak berjaya, terpulang kepada Karma masing-masing. Walau apa pun Buddha sama sekali tidak mengajar penganut agar terus kekal di Vatta Samsara (neraka, dunia dan syurga adalah Vatta Samsara).

No comments: