Saturday, August 30, 2014

Mendalami Dhamma Mesti Disertai Amalan

Mendalami agama Buddha tidak seperti mempelajari ilmu lain. Mendalami dhamma Buddha mesti seiring dengan amalan Samadhi-Vipassana barulah kita mudah memahaminya. Duduk Samadhi-Vipassana di rumah pun tidak mengapa, asalkan kita dapat merasai kesakitan, kepenatan dan kesusahan masa duduk. Keadaan ini membolehkan kita mengenali "Rupa-Nama" yang membentuk diri kita yang dikatakan Anicca, Dukkha dan Anatta. Vipassana pula membolehkan kita membezakan teknik menggunakan fikiran dalam keadaan biasa dengan keadaan yang tenang yang berbeza sama sekali. Mungkin juga kita akan lebih mudah memahami hukum Karma.

Mendalami ajaran Buddha tidak seperti mempelajari ilmu falsafah. Kita boleh menyangkal falsafah Socrates atau Sidmund Frued sebab falsafah tercipta oleh fikiran biasa sahaja. Ajaran Buddha (Buddha Wajana) terhasil daripada fikiran yang suci melalui Trassaru. Kita tidak boleh menyangkal sesuka hati semata-mata kerana Kalama Sutta memberi kebenaran kepada kita. Kita mesti tahu bahawa keadaan masyarakat Kalama ketika itu jauh berbeza dengan keadaan kita hari ini. Kita sepatutnya bertanya: "Kenapa Buddha berkata begitu?" Kemudian cuba selidiki kebenarannya. Bukannya menyangkal sesuka hati melalui fikiran/minda yang dipenuhi Kilesa.

Masyarakat Kalama berada dalam keadaan kelam-kabut mahu memilih dhamma yang benar kerana perkampungan mereka merupakan laluan strategik. Setiap tahun puluhan pendeta lalu di situ dan menyampaikan ajaran. Kesemua pendeta mendakwa ajaran mereka benar dan terbaik. Oleh sebab itulah Buddha mengajarkan Kalama Sutta 10 perkara sebagai panduan memilih ajaran yang betul. Sedangkan keadaan kita hari ini tidak sama. Kita sudah ada kitab Tipitaka, ada guru-guru agama (bhikkhu) yang hebat boleh jadikan panduan dan ada tempat-tempat mengamalkan Samadhi-Vipassana. (Jika kita tolak kitab Tipitaka, bermakna kita juga mesti tolak Kalama Sutta kerana Kalama Sutta datang dalam kitab juga).

Saya perhatikan terdapat sesetengah penganut yang suka menyangkal ajaran Buddha semata-mata kerana tidak selari dengan fikirannya. Maklumlah orang sekarang belajar tinggi-tinggi, nama ahli falsafah dunia yang hebat mereka hafal semua. Setakat ajaran Buddha kacang bagi mereka. Sebagai penganut, kita jangan terlalu ambil mudah.

Adakah kita tidak boleh menyangkal? Boleh, sekiranya kita yakin itu bukan ajaran Buddha. Kita boleh menyangkal ajaran tambahan yang meresap ke dalam agama Buddha. Namun, sekiranya ajaran Buddha, terutama yang dikatakan "keluar dari mulut Buddha" (Buddha Wajana) tidak perlu gopoh-gapah menyangkal kerana minda kita mungkin belum cukup tinggi untuk memahaminya. Perkara yang kita tidak boleh terima tidak semestinya salah. Apatah lagi perkara yang tinggi yang berupa Lokuttara Dhamma.

Belajar dari satu tahap ke satu tahap, pasti kita akan mendapat pencerahan, tidak esok pun lusa, tidak lusa pun mungkin pada masa depan. Selagi ada usaha, pencerahan dhamma mampu kita kecapi.

No comments: