Thursday, August 7, 2014

Minda Lokuttara


Orang bijak pandai berkata, rugilah mereka yang dilahirkan sebagai manusia tetapi tak jumpa dhamma Buddha.

Kita pun berkata, untunglah aku kerana dapat jumpa dhamma Buddha. Jumpa di mana?

Jikalau jumpa ketulan emas, kita mesti bawa pergi jual barulah dikatakan untung. Simpan sahaja untung apa. Begitu juga sekiranya kita jumpa dhamma Buddha, kita mesti amalkan barulah dikatakan untung.

Minda manusia dibahagikan kepada 2 tahap utama iaitu tahap Lokiya dan tahap Lokuttara. Tahap Lokiya ialah tahap yang dimiliki kebanyakan orang. Kita dilahirkan dengan minda tahap Lokiya. Lokiya ialah duniawi. Lokuttara ialah melepasi duniawi.

Minda Lokiya ini ada bertahap-tahap juga, misalnya tahap neraka, tahap petta, tahap asura, tahap manusia, tahap devata@thevada. Kita manusia tapi minda kita belum tentu berada di tahap manusia. Mungkin berada di tahap binatang, petta@pret atau mungkin devata.

Minda Lokiya ini diajarkan di benua India sejak ribuan tahun dahulu. Golongan Brahamana merupakan golongan dominan yang mengajar minda Lokiya ini.

Manakala minda Lokuttara ialah terbahagi kepada 4 tahap utama iaitu Sodapanna@Sodaban, Sakadagami, Anagami dan Arahatta. Inilah minda Lokuttara.

Buddha mendapat Pencerahan Sempurna @ Trassaru, kemudian mengajar dhamma kepada manusia. Buddha mengajar dhamma tahap Lokuttara kerana Baginda mahu manusia mengangkat minda ke tahap Lokuttara. Sekiranya Buddha mahu manusia kekal di Lokiya, Baginda tidak perlu mengajar dhamma kerana dhamma yang diajar oleh golongan Brahmana sudah ada. Buddha tidak perlu membuang masa mengajar benda yang sudah ada.

Dhamma Lokuttara belum ada di India ketika itu. Golongan Brahmana tiada seorang pun yang tahu dhamma Lokuttara. Oleh sebab itulah Buddha mengajar dhamma Lokuttara kepada manusia agar manusia dapat mengangkat minda dari Lokiya ke Lokuttara.

Apakah istimewanya dhamma Lokuttara? Hanya dhamma Lokuttara boleh membawa seseorang mencapai Arahatta dan Nibbana. Sekiranya tidak mencapai Arahatta, seseorang yang mempunyai minda Lokuttara, paling rendah Sodaban, mindanya tidak akan turun ke tahap lebih rendah lagi. Maksudnya Sodaban tidak akan melakukan kejahatan yang melampau hingga membawanya ke neraka. Mindanya akan lebih tinggi dan lebih tinggi hingga mencapai Arahatta. Zon Sodaban ini merupakan zon selamat.

Seandainya kita masih mengamalkan dhamma Lokiya untuk kekal di Lokiya, kita belum layak dipanggil mengamalkan dhamma Buddha. Kita akan dipanggil mengamalkan dhamma Buddha apabila kita mengamalkan dhamma Lokiya untuk mencapai Lokuttara dan kemudian mengamalkan dhamma Lokuttara untuk Nibbana. Inilah baru dikatakan kita telah jumpa dhamma Buddha.

No comments: