Sunday, August 31, 2014

Phra Suthin

Phra Suthin terkenal dalam sejarah agama Buddha kerana beliau merupakan penyebab Buddha
mengeluarkan hukum "Parachik" kepada bhikkhu yang meniduri perempuan. (Parachik bermakna kalah atau tewas oleh itu tidak dibenarkan menjadi bhikkhu lagi).

Suthin merupakan anak kepada orang kaya. Setelah mendengar dhamma daripada Buddha, beliau tertarik untuk menjadi bhikkhu. Beliau meminta izin kepada ibu bapa tetapi ibu bapa tidak membenarkan kerana Suthin adalah anak tunggal. Ibu bapa mahu mewariskan segala kekayaan kepada Suthin. Sekiranya tiada pewaris, harta akan dirampas oleh kerajaan (raja).

Suthin kecewa apabila tidak dibenarkan menjadi bhikkhu. Dia duduk di ruang tamu tanpa makan dan minum selama 7 hari. Ibu bapanya merayu supaya dia melupakan niatnya mahu menjadi bhikkhu kerana mereka tidak mahu Suthin, anak kesayangan hidup kesusahan sebagai bhikkhu. Dia dibesarkan dalam keluarga kaya, dilayan seperti seorang putera raja sejak kecil hingga besar. Sekiranya Suthin menjadi bhikkhu, kehidupannya pasti susah. Ibu bapa tidak sampai hati melihat anak mereka susah.

Walaupun dipujuk oleh ibu bapa supaya makan dan minum, dia tetap tidak mahu. Masuk hari ke-7, kawan-kawan Suthin datang ke rumahnya. Mereka memujuk Suthin supaya membatalkan niat mahu menjadi bhikkhu tetapi Suthin tidak mahu kerana hatinya sudah terpikat dengan dhamma. Dia rela mati tanpa makan daripada membatalkan niatnya sucinya.

Kawan-kawan Suthin memberitahu ibu bapa Suthin supaya mengizikan Suthin menjadi bhikkhu daripada membiarkan dia mati kebuluran. Jikalau suthin menjadi bhikkhu, ibu bapa masih dapat menatap wajahnya lagi. Sebaliknya, jikalau suthin mati, mereka akan kehilangan anak kesayangan selamanya. Seandainya Suthin berasa bosan menjadi bhikkhu, dia pasti akan pulang ke pangkuan keluarga. Akhirnya, ibu bapa pun mengizinkan Suthin menjadi bhikkhu.

Suthin begitu rajin mendalami dhamma. Dia gigih mengamalkan dhamma vinai. Namun, ibu bapanya masih mahu pewaris harta. Mereka memohon Suthin memberi baka atau keturunan (zuriat) kepada bekas isterinya supaya kakayaan boleh diwariskan kepadanya. Setelah dipujuk dan dirayu kedua-dua ibu bapa, Phra Suthin bersetuju dengan berat hati. Dia membawa bekas isterinya ke dalam hutan dan memberi zuriat kepadanya.

Phra Suthin begitu kesal dengan perbuatannya. Dia rasa bersalah kerana tidak dapat menjaga kesucian Brahma-Cariya. Dia kurang makan dan tidur hingga menjadi kurus. Kawan-kawan bhikkhu bertanya keadaannya, kenapa begitu kurus. Dia menceritakan segalanya. Kawan-kawan bhikkhu mengkhabarkan perkara itu kepada Buddha.

Buddha memanggil Phra Suthin datang menghadap, menyiasat dan menegurnya kerana tidak menjaga kesucian Brahma-Cariya. Phra Suthin melahirkan kekesalannya.

Supaya kes Phra Suthin tidak berulang, Buddha mengeluarkan hukum "Parachik" (Parajika) melarang bhikkhu meniduri perempuan.

Setelah lahir, anak Phra Suthin diberikan nama Pichakak (baka/keturunan). Apabila besar, Pichakak dan ibunya menjadi bhikkhu dan bhikkhuni dan kedua-duanya berjaya menjadi Arahatta.

(Phra Suthin tidak Parachik sebab dia berbuat salah sebelum ada hukuman Parachik. Saya juga tidak pasti sama ada beliau la sikkha (keluar dari bhikkhu) atau tidak kerana Sutta yang mengisahkannya tidak menyebut perkara itu.)

No comments: