Thursday, May 28, 2015

Segenggam Daun

Hampir satu tahun saya tidak melawat blog ini apatah lagi mengisinya dengan artikel yang baru. Maklumlah, saya juga insan biasa yang tertewas oleh tarikan facebook. Namun, saya yakin bahawa peminat blog KSB masih setia bersama KSB kerana maklumat yang tersaji di dalamnya begitu lumayan untuk diteliti, dinilai dan diamalkan.

Kali ini saya mahu melontarkan sebuah artikel ringkas yang selayaknya dipanggil coretan sahaja. Buddha mengatakan bahawa ilmu pengetahuan yang diketahui Baginda umpama daun-daun di pokok. Akan tetapi yang diberikan kepada kita hanya daun-daun di tangan Baginda. Daun-daun di tangan Buddha itu begitu sedikit bagi Baginda tetapi begitu banyak bagi kita umpama daun-daun di hutan yang tidak bisa dikutip kesemuanya dalam masa yang singkat.

Ah, tentulah banyak daun-daun di hutan!

Kita tidak perlu cemas. Daun-daun di hutan sememangnya banyak sehingga tidak terhitungkan. Kita bisa membuat pilihan untuk mengambil daun-daun yang dirasakan sesuai dengan kita dan bisa menjadi makanan rohani kita. Daun-daun itu seandainya dikumpulkan hanya terdapat 3 kelompok sahaja iaitu Sila, Samadhi dan Panna. Tiga kelompok inilah yang bakal digunakan untuk menghapuskan 3 timbunan kesengsaraan iaitu Lobha, Dosa dan Moha.

Dhamma umpama ubat-ubatan. Dhamma hanya memberi kebaikan sekiranya diamalkan. Ubat juga hanya mujarab apabila dimakan. Tidak berguna menyimpan ubat bergudang-gudang jika tidak dimakan, sakitnya tidak hilang. Dhamma juga sama. Tidak guna sesen pun menyimpan dhamma dalam gedung otak sekiranya tidak diamalkan. Faedahnya tidak menjelma. Dhamma harus diamalkan, meskipun sedikit lebih baik daripada tidak mengamalkan langsung. Jikalau kita hanya menyimpan dhamma dalam gedung otak tanpa diamalkan, kita tidak tumpah seperti almari buku yang menyimpan ratusan buku. Almari tetap almari. Buku tetap buku. Kedua-duanya tidak saling membawa faedah. Kita pun sama.

Oleh sebab itulah sesetengah orang bertanya, mengapakah orang yang pernah jadi bhikkhu, belajar sehingga tahap Maha tetapi sesudah meninggalkan alam bhikkhu, mabuk saban hari sehingga kepala terpacak tanah? Kerana dia hanya hafal dhamma tetapi tidak mengamalkannya. Dia umpama pesakit yang diberikan ubat tetapi tidak pernah menelannya.

Jadi, ukuran manusia bukan kerana ilmu dhamma yang dimiliki tetapi amalan dhamma yang diamalkan setiap hari. 

1 comment:

reflective pen said...

Dhamma segenggam daun
memadai untuk kita pulun
jangan pulak orang lain kita pulun
sendiri jadi semacam lanun
jaringan dosa pulak kita tenun
jauh dari Nibbana..neraka menunggu lambat laun..