Tuesday, June 2, 2015

Anisong Kruatnam


Selepas tambun, biasanya kita akan melakukan upacara Kruatnam, iaitu baca Imina sambil tuang air, kemudian air itu dicurah ke tanah, biasanya di pokok. Mengikut kepercayaan kita, upacara ini sebagai perkongsian kebaikan (suanbun) dengan saudara mara yang telah mati (yang dilahirkan sebagai sejenis Petta). 

Upacara ini bermula daripada kisah Raja Bimbisara. Raja Bimbisara menghadiahkan Veluvan (taman buluh) kepada Buddha. Inilah wat pertama dalam agama Buddha (Wat Veluvan). Masa upacara penyerahan Veluvan, Raja Bimbisara mencurah air ke tangan Buddha. Tradisi curah air ke tangan sebagai simbolik memberi barang berat yang tidak mampu diangkat. Jikalau barang ringan tidak perlu curah air. Ambil dan berikan sahaja. Curah air ke tangan sebagai simbolik memberi dikatakan diamalkan oleh golongan Brahmana sejak dahulu kala (dalam cerita Jataka Phrak Vessandorn ada upacara ini).

Selepas menyerahkan Veluvan, Raja Bimbisara bermimpi didatangi makhluk yang aneh lalu Baginda menghadap Buddha. Buddha memberitahu bahawa makhluk itu ialah saudara mara Raja Bimbisara yang mati jadi Petta datang minta Suanbun. Keesokan hari Raja Bimbisara membuat Sangkhadana kemudian berkata, "Idang me yatinang hotuk" (kemudian ada tambahan "Sukita hotuk yatayo"). Hari ini ada tambahan lagi Imina dan Yangkincik. Masa depan mungkin ada tambahan lagi kerana penganut semakin bijak. Masa baca "Idang me yatinang hotuk" Raja Bimbisara tidak mencurahkan air (sesetengah orang kata ada). Puak Petta itu pun dapat terima Suanbun dalam sekelip mata. 

Hari ini apabila kita tambun, tidak lengkap tanpa Kruatnam "Imina...." (ada sesiapa pernah jumpa dalam kitab Tipitaka bahawa Buddha pernah ajar "Imina" kepada pengikut, tolong beritahu saya sebab saya tak pernah jumpa).

Kita lupakan dulu kisah Imina. Kita pergi kepada satu kisah lain yang berkaitan. Al kisah diriwayatkan dari turun temurun bahawa (cerita penglipurlara biasanya bermula begini) kisah ini berlaku suatu ketika semasa Buddha tinggal di Chetawan Mahavihara. Seorang Brahmana yang tinggal di Savasti mempunyai kekayaan sebanyak 80 koti (berapa banyak, carilah sendiri dalam Google). Brahmana ini mempunyai seorang anak lelaki yang sangat disayangi. Maklumlah anak seorang. Batu intan kepala payung katakan. Apabila anak lelaki itu mencapai usia 17 tahun diserang penyakit sehingga membawa kepada kematian. Brahmana dan isteri sedih hati bagai hendak mati kerana sayang akan anak lelaki yang mati. 

Brahmana yang kaya raya menyuruh kulinya membawa mayat anaknya pergi bakar di kubur. Kemudian dibina sebuah pondok (sala) untuk anak lelakinya yang dilengkap dengan tikar, bantal dan keperluan lain. Orang gaji ditugaskan menyapu, mengemas dan menghantar makanan pagi petang setiap hari ke pondok tersebut seolah-olah anak lelakinya belum mati. Sayang sungguh dia ni kepada anaknya. Suatu hari dikisahkan bahawa hujan lebat turun mencurah-curah, maka berlaku banjir kilat sehingga air menenggelami jalan ke kubur. Orang gaji (sebenar hamba) yang membawa makanan tidak boleh pergi kubur lalu berpatah balik. Dalam perjalanan balik, dia berjumpa dengan seorang bhikkhu yang sedang bintabart (pintapata). Dia memberikan makanan tersebut kepada bhikkhu berkenaan sebagai dana, kemudian kruatnam dan uthit suanbun kepada si mati. 

Cerita semakin sedap ni. Baca lagi, jangan berhenti dulu. Anak lelaki yang telah mati datang ke dalam mimpi bapanya, si Brahmana dan berkata: "Ayoyo, ayahanda! Anakanda telah lama mati tak pernah dapat makan nasi walaupun sehari. Hanya hari ini anakanda baru dapat makan nasi!"

Bangun pagi, Brahmana suruh orang pergi panggil orang gaji datang. Orang gaji pun berkata: "Saya bawa nasi pergi setiap hari seperti yang Tuan suruh. Hari ini hujan lebat banjir kilat saya tak boleh pergi kubur. Saya jumpa dengan bhikkhu sedang bintabart, saya berikan makanan itu kepada bhikkhu kemudian uthit suanbun kepada anak Tuan yang telah mati. Inilah sebabnya anak lelaki Tuan dapat makan nasi hari ini!" (Macam tahu-tahu saja orang gaji ni).

Brahmana pergi menghadap Buddha. Beliau bertanya sekiranya beliau membuat pondok, sediakan bantak tikar, dan orang gaji hantar makanan setiap hari kepada anak yang telah mati, apakah akan jadi "anisong" kepada si mati? 

Buddha berkata untuk jadi "anisong" kepada si mati, mesti buat Sanghadana, kruatnam dan uthit suanbun barulah jadi "anisong" kepada si mati. Setelah menerima suanbun itu, si mati akan lepas daripada segala kesengsaraan. 

Brahmana begitu gembira dengan cerita Buddha lalu dia menjemput Buddha dan bhikkhu pergi makan di rumahnya keesokan hari. Selepas makan dia memberikan 4 keperluan asas kepada Buddha dan bhikkhu. Kemudian dia kruatnam dan uthit suanbun kepada anak lelakinya. Buddha pun berpesan, bermula hari ini tidak usah pergi buat seperti yang anda buat sebelum ini di kubur lagi. Anda mesti mengamalkan Sila dan Bhavana jangan putus, anak lelaki anda akan pergi mengecapi kebahagiaan di syurga Daodeuang. 

Selepas Buddha selesai memberikan dhamma, anak lelaki Brahmana pun bebas daripada alam Petta lalu pergi hidup di syurga Daodeung; mempunyai mahligai emas setinggi 12 joyana, mempunyai dewi (puteri syurga) seramai 1000 orang. Manakala Brahmana mengamalkan Sila 5, Sila 8 seumur hidup. Setelah mati terus dilahirkan di syurga Daodeung juga. Maka tamatlah kisah ini.

Inilah kisah yang membikin ORANG SIAM MELELEH AIR LIUR BASI sepanjang zaman. Hendak meleleh sehingga berapa keturunan saya tak tahu. Yang nyata air liur saya sudah lama berhenti meleleh dengan cerita begini.













2 comments:

kingdiaw said...

Post yang baik, mudah difahami.

semoga usaha tuan admin untuk menulis post-post yang berkualiti sebegini berterusan.

ikhlas,
pembaca setia

Anonymous said...

Tq atas post mengenai kruatnam ini .. menjadi info yg berguna buat pnganut agama buddha ..