Monday, June 15, 2015

Santapan Terakhir Buddha

Buddha masuk Phansa terakhir di Velavakam. Baginda membenarkan bhikkhu yang mengiringi Baginda masuk Phansa di sekeliling Negeri Vesali mengikut keselesaan masing-masing. Bhikkhu yang mengiringi Buddha berjumlah ratusan orang.

Masa dalam Phansa, Baginda jatuh sakit. Sakitnya begitu tenat bagaikan hendak Parinibbana. Namun, memandangkan Baginda belum memberitahu Ananda (Phra Anon) dan para bhikkhu hal ini, maka Baginda merasakan tidak wajar sekiranya Baginda Parinibbana sekarang. Baginda mengubati sakit dengan ketabahan minda sehingga akhirnya Baginda sembuh kembali. 

Ananda begitu risau melihat keadaan Buddha yang lemah yang baharu sahaja sembuh daripada sakit. Baginda menasihati Ananda supaya tidak risau kerana semua dhamma yang patut diajarkan kepada bhikkhu telah diajarkan. Genggaman tangan Baginda telah kosong kerana tiada apa-apa dhamma yang belum diajarkan. Baginda mengumpamakan diri Baginda seperti pedati buruk yang terpaksa dibaiki dengan buluh baharulah boleh digunakan semula. Usia Baginda sudah menjangkau 80 tahun. Baginda juga menasihati Ananda dan para bhikkhu supaya menjadikan diri sendiri dan dhamma sebagai pelindung. Selain itu, Baginda juga mengajarkan Sati Patthan 4 kepada Ananda dan para bhikkhu.

Pada waktu tengah hari, Baginda berehat di Pavalchedi. Baginda memberi penjelasan berupa gambaran kepada Ananda bahawa sesiapa yang telah mengamalkan Iddhipada 4 (Iddibat 4) dengan sempurna, orang itu boleh hidup sehingga 1 Kappa atau lebih lama lagi. Baginda menerangkan bahawa Baginda telah sempurna dalam Iddhipada 4. Sebanyak tiga kali Baginda mengucapkan hal ini untuk memberi gambaran kepada Ananda bahawa Baginda boleh hidup lebih lama lagi. Tetapi Ananda tidak dapat menangkap maksud gambaran tersebut. Ananda hanya berdiam tanpa berkata apa-apa (Ananda sepatutnya mohon Buddha melanjutkan usia). 

Selepas Ananda berangkat pergi, Mara yang jahat datang menghadap Buddha. Mara mohon Buddha supaya Parinibbana (mati). Sebelum ini Mara pernah memohon Buddha supaya Parinibbana tetapi ditolak keranan Buddha tidak akan Parinibbana selagi pengikut belum mantap dalam dhamma. Kali ini Mara seperti mendesak dengan membangkitkan hal tersebut. Mara berkata sekarang pengikut Buddha sudah mantap dhamma vinaya, oleh itu sudah tiba masanya untuk Buddha Parinibbana. Kali ini Buddha tidak menolak permohonan Mara. Pengikut Baginda pun memang sudah mantap dalam dhamma. Lantas Baginda pun bertekad akan Parinibbana 3 bulan dari sekarang (ปลงอายุสังขาร). Sejurus Baginda bertekad akan Parinibbana, bumi pun bergegar.

Ananda hairan kerana beliau dapat merasai gegaran bumi. Beliau menghadap Buddha dan bertanya akan punca bumi bergegar. Buddha menjelaskan bahawa Baginda telah bertekad akan Parinibbana 3 bulan dari sekarang. Ananda terkejut dan segera memohon kepada Buddha agar dapat memanjangkan usia tetapi Baginda menolak kerana telah bertekad akan Parinibbana. Buddha tidak boleh menarik balik lagi nekad tersebut. Buddha memberitahu bahawa banyak kali Baginda memberi gambaran tentang perkara itu kepada Ananda tetapi Ananda tidak dapat menangkap maksudnya. Malahan sebelum ini pernah beberapa kali Buddha memberi gambaran akan Parinibbana tetapi Ananda tidak pernah berkata apa. Sekarang sudah terlambat. Baginda tidak boleh berbuat apa-apa lagi. 


Baginda berangkat ke Pa Mahavan. Baginda memanggil kesemua bhikkhu di Kota Vesali datang berkumpul. Baginda menerangkan pelbagai dhamma yang penting-penting seperti Sati Patthan 4, Sammappthan 4, Iddhibat 4, Indriya 5, Pala 5, Bojjhong 7 dan Magga 8.  
Kemudian Baginda berangkat ke beberapa tempat lagi bagi menyampaikan Ariya Dhamma 4 iaitu Sila, Samadhi, Panya dan Vimutthi. Dhamma-dhamma ini sekadar ulangan kerana pernah disampaikan kepada bhikkhu sebelum ini. 

Baginda berangkat ke Pava. Chunda, anak tukang emas menghadap Buddha. Buddha mengajar beliau agar berada dalam Sila. Chunda menjemput Buddha dan bhikkhu makan di kediamannya. Baginda dan para bhikkhu menerima jemputan. Baginda minta Chunda mempersembahkan makanan yang bernama "sukhorn-matthavak" kepada Baginda dan makanan lain kepada para bhikkhu. (Sukhorn matthavak dikatakan sejenis cendawan yang babi suka makan. Dalam Atthakatha diberikan pelbagai tafsiran). Baginda suruh Chunda tanam Sukhorn-matthavak yang selebihnya kerana Baginda tidak nampak ada sesiapa yang sesuai dengan makanan ini kerana apabila dimakan susah hendak hadam (proses), kecuali Baginda sahaja. Baginda tidak nampak ada sesiapa di dunia, di deva-loka (devata), brah-maloka(Phrom), Mara-loka dan(dunia Mara) atau golongan Brahmana yang boleh makan makanan ini, kecuali Baginda. Chunda akur dengan permintaan Buddha. Selepas makan, Baginda jatuh sakit. Berlaku pendarahan. Akan tetapi Baginda masih mempunyai Sati Sampajanna, menahan kesakitan untuk meneruskan perjalanan ke Kota Kusinara. 


(Baginda tidak pernah sebut bahawa sukorn-matthavak beracun. Baginda hanya berkata sukar hadam.)


Baginda bersama pengikut ratusan bhikkhu singgah di sebatang sungai. Baginda dahaga dan suruh Ananda pergi mengambil air sungai. Ananda pergi tetapi air sungai keruh kerana baharu dilalui 500 buah pedati. Ananda memberitahu kepada Buddha. Baginda suruh Ananda pergi lagi. Ananda terkejut kerana air sungai yang keruh sudah menjadi jernih.

Baginda memberitahu Ananda supaya memberitahu kepada Chunda supaya tidak bersedih hati kerana selepas menerima santapannya, Baginda sakit dan Parinibbana. Baginda berkata, makanan yang dimakan Baginda sebelum Trassaru dan sebelum Parinibbana mempunyai faedah yang banyak, mempunyai anisong yang banyak.


Baginda dan pengikut menyusul sungai Hiranyavadi menuju ke hutan pokok Salak berhampiran Kota Kusinara. Baginda minta pengikut meletakkan katil pembaringan dengan kepala ke arah utara untuk Baginda berbaring. Baginda menerangkan bahawa pemujaan (penghormatan) kepada Baginda yang paling bagus ialah dengan mengamalkan dhamma. (Dikisahkan bahawa ketika Buddha berbaring itu, devata menabur bunga-bunga dari langit untuk memuja Buddha.)

Baginda memberitahu bahawa 4 tempat yang menjadi tempat peringatan kepada Buddha iaitu tempat keputeraan, tempat Trassaru, tempat menyampaikan Dhammacakkappavattana dan tempat Parinibbana. Tempat-tempat ini apabila dilawati akan menimbulkan kesedaran untuk berbuat baik. Oleh itulah Baginda berkata Bhikkhu, Bhikkhuni, Ubasaka dan Ubasika yang melawati 4 tempat ini, mempunyai saddha dan apabila mati akan memasuki Sukkhatik. 

Ananda bertanya bagaimana cara yang betul bhikkhu hendak berdepan dengan wanita? Buddha berkata bhikkhu tidak wajar memandang wanita. Jikalau terpaksa memandang, tidak wajar bercakap dengannya. Jikalau terpaksa bercakap, mesti mempunyai Sati. Ananda bertanya tentang mayat Baginda. Baginda memberitahu supaya dibungkus dengan kain baharu, kemudian dibungkus dengan kapas. Bungkus begitu sebanyak 500 lapisan. Kemudian diletakkan ke dalam palung besi, bubuh minyak dan ditutup dengan penutup besi dan dibakar. Bina stupa di jalan simpang empat untuk disimpan abu mayat (tulang). Baginda menjelaskan bahawa orang yang boleh dibina stupa (simpan abu dalam stupa) ialah Buddha, Pacceka Buddha, Savaka dan Maharaja. 

Ananda begitu sedih, berdiri memegang tombol pintu mengenangkan dirinya yang belum mencapai Arahant (baharu Sotapanna) tetapi Buddha sudah mahu Parinibbana. Buddha mengetahui keadaan Ananda lalu memanggilnya masuk menghadap. Buddha memberitahu Ananda bahawa perpisahan dengan perkara yang disayangi adalah perkara biasa. Ananda tidak perlu bersedih hati. Ananda telah mempunyai metta yang tinggi terhadap Buddha melalui fikiran, percakapan dan perbuatan (Ananda merupakan penjaga Buddha yang tiada tandingannya dan pernah dipuji oleh Buddha). Ananda telah mengumpul kebaikan dengan banyak. Jikalau berusaha dengan gigih, dalam masa yang terdekat akan mencapai Arahant.

Buddha memanggil kesemua bhikkhu seramai 500 orang datang menghadap. Buddha bertanya sekiranya mereka mempunyai sebarang soalan tetapi semua berdiam diri. Di kalangan bhikkhu 500 itu, paling rendah pun tahap Sotapannna (Sodaban).

Buddha menasihati para bhikkhu supaya tidak lalai mengamalkan dhamma, kemudian memasuki Jhana sehingga akhirnya Parinibbana ketika keluar dari Jhana 4. 



   

No comments: