Sunday, December 28, 2008

Ketua Kampung Masyarakat Siam Buta Huruf

Menteri Besar Perak memutuskan jawatan Ketua Kampung di negeri tersebut akan dilantik bukan dipilih. Tetapi nampaknya penduduk di Gunung Rapat tidak mengendahkan keputusan MB kerana hari ini terdapat ramai yang mencalonkan diri untuk pemilihan yang dijangka akan diadakan pada 1 Januari 2009. Yang menarik ada antara calon itu berkelulusan ijazah dari luar negara.

Aku tidak peduli Ketua Kampung di Perak dilantik atau dipilih. Yang aku pedulikan ialah calon yang menawarkan diri yang memiliki ijazah luar negeri itu. Satu perkembangan yang menarik apabila Ketua Kampung terdiri daripada mereka yang berkelulusan universiti.

Yang tidak menariknya, malah melucukan ialah Ketua Kampung masyarakat Siam ada antaranya buta huruf. Dalam zaman IT ini masih ada Ketua Kampung yang dilantik oleh kerajaan tidak tahu membaca dan menulis bahasa Malaysia. Yang peliknya, anak-anak kampung tersebut ramai yang bersekolah tinggi malah graduan pun ada tetapi yang buta huruf juga dilantik jadi pemimpin. Mesti ada kabel baik ni. Gerenti kabel Umno atau BN punya.

Bangsaku, oh bangsaku!

Pengecut Yang Mengugut

Ahli Parlimen Kapar, S Manikavasagam mengugut untuk keluar Parti Keadilan Rakyat (PKR) kerana tak puas hati dengan pentadbiran kerajaan Selangor. Ini adalah kesilapan parti kerana memilih manusia yang berfikiran sempit menjadi calon. Sikit-sikit ugut keluar parti. Pemimpin berfikiran sempit hanya mengutamakan kepentingan kawasan yang diwakilinya semata-mata tanpa memikirkan kepentingan perjuangan parti secara keseluruhan.

Walaupun betul kepentingan kawasan yang diwakili wajib dijaga tetapi jangan sampai membelakangkan kepentingan parti. Mengugut untuk keluar parti bukan hanya mengkhianati amanah rakyat kawasan yang diwakili, malah mengkhianati perjuangan parti. Pemimpin begini tidak harus berada dalam Pakatan Rakyat.

Sekiranya betul-betul hendak keluar, keluarlah kerana PKR sendiri tidak memerlukan pengkhianat, tetapi haruslah keluar dengan cara bermaruah iaitu meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen dan membiarkan rakyat memilih semula calon yang dikehendaki. S Manikavasagam harus sedar bahawa dia menang tempoh hari atas tiket dan kewibawaan PKR. Jadi, untuk membuktikan bahawa dia masih diperlukan oleh penduduk Kapar, lepaskan jawatan dan bertanding atas tiket babas, barulah gentlemen. Itupun kalau dia berani.

Dalam sejarah tamadun dunia manusia yang suka mengugut adalah manusia pengecut. Saya yakin S Manikavasagam bukan pengecut dan bersedia melepaskan jawatan sebagai Ahli Parlimen.

PKR harus menjadikan kes ini sebagai iktibar dalam memilih calon dalam pilihan raya akan datang. Orang yang berfikiran sempit, berkepentingan diri dan bodoh tidak harus dipilih. Kalah lebih bermaruah daripada mendapat pemimpin yang tidak memahami perjuangan parti.

Friday, December 26, 2008

Wayang Pak Dalang

Wayang Pak Dalang bermula.

"Aku minta kerajaan menggunakan perkataan "Siam" untuk menggantikan perkataan "Thais" dalam surat beranak rakyat Malaysia keturunan kita."

"Kamu keturunan apa?"

"Siam."

"Woi, emak kamu Cina! Kamu keturunan kacukan!"

"Penggunaan perkataan Thais menimbulkan kekeliruan, tertukar dengan warga Thailand. Sebenarnya, perkataan Thais digunakan oleh JPN untuk membezakan generasi kita daripada rakyat Thailand. Mereka "Thai" sahaja, kita "Thais" ada "S". "S" itu menatang apa?"

"Kamu orang kerajaan, tanyalah JPN. Mungkin "S" itu adalah ringkas dari Siam - "Thais" ialah Thai-Siam. Kalau " Thaic" maksudnya Thai-celup. Kah kah kah!"

"Dalam Kamus Dewan perkataan Thais tak ada. Bagaimana JPN boleh gunakan perkataan yang tak wujud?"

"Kamu ni orang kerajaan jenis bangang lagi dungu lagi bahlol. Kamus cuma merakam perkataan yang digunakan oleh masyarakat - melalui penulisan buku, majalah, akhbar dan sebagainya. Perkataan "Thais" masih baru, dan penggunaannya terhad, penyusun kamus tak sempat nak rakam jadikan entri!"

"Kerana JPN mencetak perkataan Thais pada surat beranak, ramai menghadapi masalah dan kerumitan untuk mendaftar persekolahan anak-anak, memohon lesen kontaraktor Kelas F, lesen lori, lesen bas, lesen jentolak, lesen kapal terbang, lesen kapal selam dan yang paling sedih, tidak layak melabur dalam Amanah Saham Bumiputera."

"Kah, kah, kah! Banyaknya kerumitan yang orang kita hadapi. Kerumitan itu berpunca daripada perkataan Thais, atau daripada kebodohan sendiri? Aku rasa pihak sekolah tak bangang seperti yang kamu katakan. Anak Indon pun diterima masuk sekolah, inikan anak warga negara Malaysia. Aku rasa bukan sekolah yang bangang, tapi kamu. Berapa banyak lesen yang kawan kita minta? Lesen ternak babi sama lesen jual samsu haram ada minta? Pasai pelaburan dalam ASB, betulkah apa yang kamu cakap? Budak yang surat beranaknya dicetak Thais umur berapa sekarang? Sudah layak melabur ke? Kamu ni biar betul, jangan main sondol buta saja."

"Betul apa!"

"Tak diluluskan permohonan buka akaun ASB bukan kerana perkataan Thais dalam sijil kelahiran, tetapi kerana Siam tiruan yang entah dari lubang cacing mana datangnya. Kerana terliur mahu melabur dalam ASB, maka muncullah Siam yang namanya 3 patah perkataan. Inilah sebabnya kerajaan ketatkan peraturan, untuk sekat kemasukan musang berbulu ayam ke dalam reban ASB. Kamu belajar sahaja sampai negara omputih, tapi sempitnya kepala setara Mat Rempit!"

"Kerana dalam surat beranak ada perkataan Thais, orang kita dilayan seperti rakyat Thailand!"

"Hari-hari menonton TV Thailand, dengar berita Thailand, PDA berak berapa ketul dalam pejabat kerajaan semua orang kita tahu. Taksin, Sontee, Chamlong, Samak, Aphisit dan kutu-kutu rayau di Bangkok semua kita kenal. Bila sebut Shafie Afdal, Mohd Ali Rustam, Liew Tiong Lai, Tan Hock Nan, kita mula gelabah. Bhumipol Adulyadej sama keluarganya bukan main direspek, Tuanku sendiri tak berapa cam muka. TV 1, TV2, TV3, TV7, TV8 haram jadah tak pernah tengok. Berita Harian, The Star, mahupun China Press dan Tamil Nesan tak pernah sentuh. Di bumi mana tumpahnya semangat patriotisme? Padan muka kiranya dilayan seperti warga Thailand!"

"Tapi kita warganegara Malaysia."

"Warganegara Malaysia yang kiblatnya ke Utara? Belum tiba masanya kita jadi seperti "elit globalisasi" warga Amerika keturunan Yahuni yang ada dua warganegara dan mengamalkan budaya transnasional, serta taat setianya pada Israel."

"Kita bukan kiblat ke Thailand, tapi di sanalah induk agama dan budaya kita. Bolehkah manusia dipisahkan dari induk agama dan budayanya?"

"Eh -eh, kamu ni sensitif sangat. Rakyat Thailand dilayan macam mana? Bapa kamu yang surat beranaknya ditulis perkataan "Siam" dilayan macam mana? Sama juga dari dulu hingga sekarang tak pernah dianggap warganegara Malaysia tulen. Bapa kamu dan emak aku tak akan dilayan seperti Bumiputera. Nak beli tanah Melayu tak boleh. Nak dapat sijil pertanian tak boleh. Nak masuk UiTM tak boleh. Nak pinjam duit MARA tak boleh. Beli rumah harga Bumiputera tak boleh. Jadi pegawai kanan kerajaan tak boleh. Jadi pengetua tunggu dekat pencen. Nak tukar Kad Pengenalan dari merah ke biru pun tak boleh. Banyak yang tak boleh daripada yang boleh. Hanya ASB yang kita banggakan. Itu dasar sedut duit Melayu untuk modal pusingan. Dengan sikap orang kita yang kiblat ke Thailand sekarang, semuanya bertambah rumit."

"Siam diterima masuk Umno. Siam tak akan dipinggirkan!"

"Kamu ingat dapat masuk Umno macam dapat masuk syurga yang nenek kamu mimpikan siang malam tu? Kamu ni bahlul yang telan bulat-bulat janji manis Ghafar Baba sama Nazri Aziz yang kononnya ada darah Siam. Depa cakap politik. Kamu pergi dengar buat apa. Andainya ada RM50,000, atau RM500,000 atau RM1,000,000 depa bagi kepada Persatuan Siam, bukannya kita yang dapat. Si Kepala dan ekor-ekornya yang dapat. YB mana tahu bahawa keturunan kita ramai hisap jari. Undilah lagi BN tu!"

"Dengan masuk Umno, banyak peluang yang dapat kita gunakan untuk menjana pendapatan kaum kita."

"Pendapatan dari duit rakyat? Baik sangat tipu duit rakyat. Makan harta rakyat, dilaknat dan disumpah tujuh keturunan belum habis kamu tahu!"

"Umno memang ikhlas nak bantu kita. Tengoklah berapa banyak Tun tolong kita. Mati hidup semula belum tentu dapat cari orang seperti Tun."

"Kamu tunggulah mati bersama Tun. Botak Chin, kamu tahu siapa Botak Chin? Cina Jinjang. Dia rompak duit orang kaya bantu orang miskin. Idola kamu rompak duit orang miskin bantu keluarga sendiri. Itu yang kamu bangga sangat. Apa jenis manusia kamu ni?"

"Kamu sokong Pakatan Rakyat?"

"Ini lagi bodoh. Dia orang bagi kamu masuk Umno sebab politik punya pasai. Daripada biarkan kamu undi Pas, atau PKR lebih baik tambat kamu dengan pelunggol Umno. Lima tahun sekali, dekat pilihan raya umum bagi sekor lembu cacing. Itulah harga keturunan kita - lima tahun bersamaan dengan seekor lembu!"

"Pelunggol tu apa benda?"

"Batang kayu yang ditajamkan dan dipacak ke tanah untuk ikat lembu atau kambing!"

"Kasarnya! Kamu bandingkan kaum sendiri dengan lembu!"

"Orang lain dapat bermacam-macam lesen, kontrak, projek, biasiswa, bantuan, pinjaman dan 1001 macam, orang kita hampeh. Paling jauh kerajaan bagi duit, habis ghaib dalam persatuan."

"Aku dah hantar surat kepada JPN, tapi diam memanjang. Tak masuk akal Ketua Pengarah JPN tak reti baca."

"Bukan dia tak reti baca, tapi kamu tak tahu tulis. Kamu tulis apa?"

"Aku minta dia jangan cetak perkataan "Thais" dalam surat beranak anak aku."

"Anak orang lain?"

"Anak orang lain biar bapak dia sendiri yang tulis!"

"Inilah penyakit kita, buat benda fikir pasai diri sendiri saja. Pasai orang lain, mampuslah."

"Bukankah aku calon Senator Siam ke-3. Bila surat beranak anak aku digunakan perkataan "Siam", surat beranak anak orang lain secara automatik akan ikut."

"Ceteknya fikiran calon Senator Siam. Mahukah Perdana Menteri rekomen kepada Tuanku? Dan berkenankah Tuanku lantik orang bodoh sombong macam kamu duduk dalam Dewan Negara?"

"Inilah yang buat aku malas sembang dengan kamu. Sikit-sikit nak tikam lidah."

"Eh, tikam lidah, kena dengan caranya seronok juga!"

"Demi 60,000 nyawa keturunan Siam Malaysia, aku tak akan berdiam diri selagi perkataan Thais tak digugurkan."

"Sejak 10 tahun dulu masih juga 60,000 orang, tak berkurang dan tak bertambah? Orang Siam tak mati, tak lahir? Yang nikah tiap-tiap tahun tak tahu buat anak ke? Dengar khabar orang persatuan pandai sangat bab buat anak ni hingga suami orang pun dicekaknya."

"Ini aku tak tahu."

"Kamu tak tahu atau pura-pura tak tahu? Bukankah kamu sekali yang datang jumpa PM tempoh hari. Masa itulah si isteri orang ni tiba-tiba naik miang lalu pergi serah diri kepada si suami orang untuk mengentot-entotnya! Dia pakai SMS. Dia ikut cara bos dia tuuuu!"

Wayang Pak Dalang bersambung ....

Wednesday, December 24, 2008

Tidak Tahu Kenang Budi



Orang-orang Siam sama ada di Kelantan, Kedah mahupun Perak bernasib baik kerana kerajaan Pas/Pakatan Rakyat tidak berdendam, kalau tidak, mereka telah dijadikan anjing kurap.

Sejak dahulu lagi majoriti orang Siam mengundi Barisan Nasional (Perikatan). Walaupun banyak tanah penduduk keturunan Siam dirampas kerajaan Barisan Nasional untuk projek pembangunan, orang Siam tetap setia kepada Barisan Nasional. Mereka tidak dapat membayangkan kerajaan lain selain kerajaan BN. Bagi mereka hanya BN mampu menunaikan permintaan dan kehendak mereka. Kerana tergila-gilakan BN, maka ramailah antara mereka yang masuk Gerakan, Umno dan MCA. Ada yang menjadi sehingga Ketua Bahagian Gerakan dan tidak kurang juga menjadi Ketua Cawangan Umno. Gerakan gah di Kelantan, manakala Umno gah di Kedah. Pada akhir tahun 90-an penyakit tergila-gilakan Umno mula meresap ke dalam kepala orang Siam Kelantan. Bermacam-macam cara, bermacam-macam guna-guna dipakai untuk diterima masuk Umno. Akhirnya borang keahlian mereka diterima.

Tetapi ada yang bermulut celupar mengatakan borang tersebut ditongsampahkan. Umno Kelantan tidak sama dengan Umno Kedah. Umno Kedah hormat kepada orang Siam kerana darah yang mengalir di dalam tubuh Tunku Abdul Rahman ada darah Siam. Sebab itulah orang Siam diterima masuk Umno. Umno Kelantan tidak sama. Jadi, tidak hairanlah kalau borang keahlian Umno orang Siam betul-betul ditongsampahkan.

Walaupun kerajaan Pas di Kelantan memerintah dengan adil dan saksama, orang Siam tetap pilih BN. Dalam pilihan raya umum 1990, 1994, 1999, 2004 dan 2008, undi Siam berpihak kepada calon Umno walaupun kerajaan Umno pernah merampas tanah mereka. Pas yang adil dan saksama mereka tidak peduli kerana mereka lebih suka gula-gula Umno. Mereka rela tukar gula-gula dengan tanah pusaka. Sudahlah orang Siam tidak boleh beli tanah Melayu, tanah mereka pula dijadikan sasaran pembangunan. Suatu hari nanti, orang Siam akan mengemis di bumi sendiri.

Walaupun tahu orang Siam tidak memilih mereka, Pas Kelantan yang diketuai Tok Guru Nik Abdul Aziz tetap adil dan saksama. Orang-orang Siam tidak dipinggirkan sama sekali. Tanah jirat dan tanah kuil yang dicerobohi masa pemerintahan kerajaan BN, telah dipulangkan oleh Pas.
Begitu juga dengan kerajaan Pas Kedah. Pas Kedah sedar majoriti orang Siam mengundi BN, tetapi mereka tetap melayan masyarakat Siam dengan baik. Malah Menteri Besar Kedah menerima kunjungan Senator Siam dengan lapang dada biarpun dalam kempen pilihan raya umum senator wanita itu minta masyarakat Siam pangkah calon BN.

Apa akan terjadi sekiranya orang Siam undi Pas dan Umno-BN yang menang? Jawabnya orang Siam akan jadi anjing kurap. Dasar Umno-BN yang diskriminasi pasti akan menyebabkan orang Siam tidak tumpah seperti selonggok sampah yang tidak ada nilai kitar semula.

Ini bukan tuduhan melulu atau andaian tidak berasas. Sejarah telah membuktikan pada era pemerintahan BN di Kelantan dahulu, kawasan/kampung yang tidak mengundi calon Umno-BN akan menghadapi diskriminasi - tiada jalan tar, tiada air paip, tiada elektrik, tiada subsidi baja padi, tiada bantuan itu dan ini sebagaimana kawasan yang mengundi Umno-BN.

Kalau kampung Melayu-Islam boleh diperlakukan seteruk itu, kampung Siam usahlah dicakapkan. Nasib baik pemimpin Pas tidak berdendam dan tidak diskriminasi. Orang Siam tidak mendapat kesusahan. Namun, mereka belum sedar. Mereka tak reti kenang budi. Dalam pilihan raya umum yang lalu mereka masih yakin dengan BN. Kemenangan Adun Pengkalan Kubor adalah bukti kesetiaan Siam kepada Umno.

Kelantan mahupun Kedah sama sahaja. Otak orang Siam seolah-olah telah diprogram untuk setia kepada BN tanpa mempedulikan dasar BN itu menyebelahi atau menindas mereka. 'Gula-gula politik' yang ditaburkan BN setiap kali menjelang pilihan raya umum telah menjadi candu kepada mereka.

Salah satu 'gula-gula politik' BN yang berkesan menambat hati orang Siam ialah jawatan senator. Pemimpin Siam melaung-laung dan menjerit-jerit agar masyarakat Siam terus setia kepada BN kerana mereka mahu memancing jawatan senator. Bagi orang Siam yang berfikir dengan kepala lutut, jawatan senator itu 'lampu aladdin' kepada orang-orang Siam. Padahal hakikatnya setelah mendapat dua orang senator, masyarakat Siam masih di takuk lama. Judi, ketagih arak, masalah remaja, masalah keciciran dalam pendidikan, dan 1001 macam masih membelenggu masyarakat minoriti yang berjumlah 60,000 orang itu.

Kerajaan BN dapat menangkap 'kelemahan' orang Siam yang tergila-gilakan jawatan senator(elaun dan pencen fokus utama), maka Perdan Menteri berjanji bahawa jawatan tersebut akan kekal pada orang Siam. Lega hati orang Siam mendengarnya. Mereka tidak sedikit pun sedar bahawa itu adalah 'gula-gula politik' BN yang bakal mencandui mereka untuk setia kepada BN.

Orang-orang Siam, terutama golongan pemimpin harus bijak merancang masa depan dan arah tuju kaum mereka. Berfikirlah dengan otak sendiri bukan dengan otak Umno yang jelas ditolak oleh Melayu.

Walau bagaimanapun selepas pilihan raya umum yang lalu, orang Siam mula sedar bahawa BN bukan tempat yang selamat lagi untuk berteduh. Ramai antara mereka mula berpaling melihat Pas dan Keadilan. Mereka ini saya namakan Komuniti Siam Baru - Siam yang mula melihat cahaya keadilan yang sebenar!








Tuesday, December 23, 2008

Kami Penduduk Asal

Kecewa juga apabila membaca blog yang mengatakan masyarakat Siam adalah pendatang, cuma kedatangannya lebih awal daripada orang-orang Cina dan India. Aku tidak mahu membantah kepada orang yang buta sejarah kerana akan membuang air liur sahaja.

Yang pasti masyarakat Siam adalah penduduk terawal di Tanah Semenanjung yang ketika itu belum lagi dikenali sebagai Tanah Melayu. Dalam sesetengah buku sejarah, dikatakan bahawa Tanah Semenanjung dahulunya didiami orang Asli, orang dari Benua India (Hindu), orang Siam dan barulah orang-orang Melayu.

Kalau orang Siam hendak dikatakan 'pendatang', maka kedatangannya seawal kedatangan Kerajaan Srivijaya yang dikatakan Kerajaan Melayu terawal di Tanah Melayu. Daripada titih kerajaan inilah (Sang Nila Utama) maka lahir Kerajaan Melayu Melaka. Jadi, orang Siam seketurunan orang Melayu? Mungkin ya dan mungkin juga tidak kerana Melayu itu sendiri bukan keturunan tetapi lebih kepada agama, budaya dan cara hidup.

Seorang kawan di Lenggong, Perak pernah berkata kepada aku: "Kita satu keturunan!" Manakala seorang kawan di Muar, Johor bertanya aku: "Orang Siam Bumiputera?" Aku berkata: "Kita rakyat Tuanku yang lahir dan besar di sini!"

Namun, bagi aku, memang inilah hakikatnya, keturunan aku adalah keturunan penduduk asal di sini. Aku tidak datang dari mana-mana kerana tiada mana-mana cerita, kisah, batu bersurat atau catatan sejarah yang sahih yang mengatakan aku pendatang, melainkan datangnya aku daripada Yang Maha Kuasa. Penyebaran pengaruh Kerajaan Siam ke Tanah Melayu tidak boleh dikaitkan dengan kedatangan aku walaupun aku tidak menafikan bahawa kaum Siam di Malaysia kini bercampur antara penduduk asal dan peneroka Zaman Sukhothai, Ayutthaya dan Rattanakosin (Bangkok).

Peneroka dan pendatang itu berbeza. Pendatang ialah mereka yang datang dan menetap di dalam masyarakat yang sedia wujud. Budaya pendatang sangat berbeza dengan budaya penduduk yang sedia wujud. Manakala peneroka ialah mereka yang datang meneroka tanah baru yang belum didiami oleh mana-mana masyarakat. Maksudnya peneroka ialah penduduk terawal yang mendiami sesuatu kawasan. Mereka mempunyai tanah sendiri yang telah diusahakan sejak sekian lama. Budaya peneroka tidak banyak berbeza dengan budaya masyarakat sekitarnya (sekiranya wujud) kerana mereka sama-sama peneroka. Ciri-ciri masyarakat Siam adalah ciri-ciri peneroka bukan ciri-ciri pendatang.

Kekeliruan timbul kerana faktor politik yang memisahkan bumi bertuah kepada dua negara iaitu Malaysia dan Thailand. Oleh sebab masyarakat Siam Malaysia kebanyakannya tinggal di utara tanah air yang berjiran dengan Thailand maka sedikit sebanyak menerima pengaruh budaya, bahasa dan agama dari sana. Pengaruh inilah yang membuatkan orang-orang Siam dikatakan pendatang.

Dikisahkan bahawa Kerajaan Srivijaya Hindu-Buddha itu menebarkan taklukannya sehingga ke Tambralinga (selatan Thailand). Selepas kejatuhan Kerajaan Srivijaya, Tamralinga ditakluki Kerajaan Sukhothai (Kerajaan Siam lama) dan menukarkan namanya kepada Nakhon Sri Thammarat. Kerajaan Sukhothai pula telah menebarkan pengaruhnya ke seluruh Tanah Melayu sehingga ke hujung tanah iaitu Tumasek (Singapura). Selepas Kerajaan Sukhothai, Kerajaan Ayutthaya juga mempunyai pengaruh yang kuat ke atas Tanah Melayu. Pengaruh Siam ke atas Tanah Melayu berakhir pada Zaman Bangkok iaitu sekitar tahun 1900.

Kebudayaan orang-orang Siam di Nakhon Sri Tammarat yang mendakwa mewarisi kebudayaan Srivijaya tidak banyak berbeza daripada kebudayaan masyarakat Siam di Malaysia. Malah seandainya masyarakat Siam beragama Islam dan bertutur bahasa Melayu, sukar untuk membezakan mereka daripada orang-orang Melayu. Ini menunjukkan bahawa orang-orang Siam dan orang-orang Melayu telah lama hidup bersama - berlaku asimilasi budaya dengan hebat kecuali perkara-perkara berkaitan agama.

Walaupun kerajaan Barisan Nasional tidak mengiktiraf aku sebagai Bumiputera dan menafikan hak aku selaku penduduk asal, tidak mengapa, kerana aku tetap berbangga aku masih dapat hidup di tanah asal moyangku. Apakan daya kerana aku tidak mampu mencelikkan orang yang buta sejarah.

Aku berharap kerajaan Pakatan Rakyat, sekiranya berkuasa kelak, jangan jadi kerajaan buta sejarah!

Saturday, December 20, 2008

Senator: Punca Perpecahan Komuniti Siam?

Seorang kawan dari Kuala Lumpur menelefon aku. Dia beritahu bahawa tempoh jawatan senator lama akan berakhir. Ini bermakna kami, orang-orang Siam Malaysia yang berjumlah 60,000 orang akan mendapat senator baru. Itupun kalau masih diperlukan oleh Perdana Menteri dan diperkenan oleh Tuanku.

Senarai nama telah dihantar kepada Perdana Menteri oleh pelbagai pihak dan persatuan untuk dipertimbangkan. Senarai nama yang dihantar oleh Persatuan Siam Malaysia (PSM) rasanya akan mendapat perhatian Perdana Menteri. Dengar khabar PSM menghantar 3 nama yang kesemuanya masih dapat dipertikaikan kejujuran mereka untuk menyuarakan nasib orang-orang Siam di Parlimen. Sebelum ini pun, calon senator dikatakan akan membela nasib orang-orang Siam, tetapi setelah dilantik suara kritikan mengatasi pujian. Masalah masyarakat Siam tinggal sebagai masalah. Oleh itu, tidak mustahil, kata kawan, yang baru akan ikut jejak yang lama kerana datangnya daripada induk yang sama iaitu PSM.

Sejak pelantikan senator pertama, Dato' Charen Intachat pada 1996, perpaduan orang Siam mula berpecah. Kumpulan pertama, pro-senator, kumpulan kedua anti-senator dan kumpulan ketiga yang merupakan majoriti orang Siam 'lepas tangan' kerana mereka langsung tak tahu menahu tentang senator. Kumpulan pertama dan kedua saling membalas kritikan dan kutukan. Perang mulut di kalangan orang Siam berterusan, malah menjadi semakin teruk pada era senator kedua, Siew Chun a/p Eam. Justera ada sesetengah orang mengatakan Perdana Menteri memberikan jawatan senator kepada kaum Siam bagai memberikan 'bunga kepada kera'.

Dalam 'perjanjian' di antara Persatuan Siam Malaysia (PSM) dengan hantu jembalang yang tak tahu namanya bahawa calon senator mesti datang daripada PSM. Orang luar PSM tidak berhak menjadi senator. Ini kerana, kononnya PSM mewakili masyarakat Siam Malaysia walaupun hakikatnya kebanyakan orang Siam tak kenal PSM. Mengaku mewakili masyarakat Siam Malaysia, sedangkan diri sendiri pun tak tersara. Setiap kali hendak mengadakan mesyuarat minta bantuan merata tempat. Kalau tak percaya tanyalah kepada Tok Sami di kuil Siam, bekas Menteri Besar Perlis dan bekas Menteri Besar Kedah.

PSM hanya aktif di Pantai Barat. Di Kelantan cuma ada satu cawangan. Cawangan di Kuala Lumpur dan Selangor dikhabarkan telah mati. Malah ada lagi cawangan lain yang sedang pengsan dan menunggu masa untuk ke kubur. Ahli-ahli dari Cawangan Kelantan telah jauh hati kerana tidak puas hati dengan senator yang asyik dari Pantai Barat. Nama 3 calon senator baru yang dipilih oleh PSM dan dihantar kepada PM, satu pun tak ada orang Kelantan. Encik Siri Neng Buah walaupun 'didewasakan' di Kelantan, tetapi tidak boleh dikatakan mewakili Kelantan kerana beliau orang Terengganu. Sikap orang Kelantan yang menebal dengan 'kelantanisme' tidak akan berpuas hati selagi orang Kelantan tidak diketengahkan. Semangat kenegerian adakalanya menyusahkan.

Duit Yayasan Siam Malaysia yang berjumlah ratusan ribu datang dari mana dan sudah pergi ke mana tiada siapa yang tahu, kecuali beberapa orang dalam PSM sahaja. Daripada jumlah komuniti Siam Malaysia seramai 60,000 orang hanya beberapa orang yang tahu tentang Yayasan tersebut. Ini menunjukkan bahawa orang Siam sedang diperalatkan oleh PSM untuk kepentingan mereka. Ironisnya duit tersebut sebahagiannya datang daripada wang ihsan pihak kuil Siam. Jadi tidak keterlaluan tatkala soal duit itu ditimbulkan, terdapat surat layang yang menuduh PSM perompak bangsa dan agama dan senator adalah ketua perompaknya.

Justeru, PSM terjerumus ke kancah perbalahan dengan pihak kuil. Salah satu sebab utama berlaku krisis PSM-pihak kuil adalah kerana pemimpin PSM jahil ajaran agama. Kalau PSM tahu selok-belok agama, Yang DiPertuanya tak akan mengucapkan 'assalamualaikum' dalam pembuka kata masa Mesyuarat Agung Tahunan beberapa tahun dahulu. Ungkapan 'sawaddee' lebih sedap didengar walaupun yang mendengarnya termasuk Menteri Besar dan beberapa orang pemimpin Melayu. Budaya bangsa jangan dilupakan.

Selain itu, baru-baru ini kecoh pula pasal duit RM500,000 yang disumbangkan oleh kerajaan yang kononnya telah lesap. Mungkin sekadar tuduhan tak berasas. Namun, nama PSM tercemar. Nama komuniti Siam terpalit. Rasanya sudah tiba masanya pegawai BPR menjenguk PSM untuk membersihkan namanya daripada tuduhan tak berasas.

Jeritan pemimpin PSM yang mengatakan mereka mewakili orang-orang Siam tak ada gunanya selagi mereka tidak membuktikan dengan tindakan yang konkrit bahawa PSM betul-betul membela nasib orang-orang Siam. Setakat mengkayakan diri sendiri dan kroni, PSM tidak berhak mengaku mewakili orang Siam.

Cukuplah membodohkan orang Siam. Berhentilah mengabui mata pemimpin UMNO kerana pemimpin yang dikbui mata itu termasuklah Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Dulu PSM pernah membohong Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Ghafar Baba dalam perkara yang sama. Wakil orang Siam Malaysia kononnya. Wakil dalam bidang apa? Siapa yang memberikan PSM lesen menjadi wakil orang Siam? Dalam sistem demokrasi, tidak sah seseorang melantik diri sendiri mewakili orang lain tanpa pengetahuan dan kebenaran orang lain tersebut.

PSM tidak boleh menjadi wakil orang Siam kerana beberapa sebab. Salah satunya kerana PSM telah dijadikan parti politik secara tidak rasmi. Setiap kali pilihan raya, PSM isytihar sokong UMNO-BN. Perkara ini memang telah dijangkakan kerana ramai ahli PSM adalah ahli UMNO. Bagaimana dengan orang Siam yang tidak terlibat dengan politik? Pastinya mereka tidak akan merestui PSM.

Bagaimana pula dengan orang Siam yang sokong Pakatan Rakyat yang semakin ramai selepas PRU Ke-12? Tentu sekali mereka akan mencemuhkan PSM kerana menggunakan nama kaum mereka. Maka pengakuan PSM bahawa mereka mewakili orang Siam Malaysia adalah omong kosong dan satu penipuan maha besar.

Sekarang sudah ada Persatuan Siam Kedah (PSK), Persatuan Siam Kelantan (PSK), Persatuan Siam Kelantan, Kuala Lumpur dan Selangor (PESILA) dan sebagainya. Kewujudan persatuan-persatuan ini adalah bukti bahawa masih ramai orang Siam tidak yakin dengan PSM.

PSM hari esok akan tetap menjadi PSM seperti hari ini selagi pemimpinnya berfikir menggunakan acuan pemikiran UMNO. Dua Senator Siam yang lalu ahli UMNO, oleh itu sukar untuk mengelakkan mereka bebas daripada mentaliti UMNO. Pemimpin UMNO kaya-kaya tetapi ramai orang Melayu hidup merempat. PSM juga akan ikut jejak UMNO. Pemimpinnya kaya tetapi orang Siam tetap ketinggalan dalam semua bidang. Akhirnya PSM dihina bangsa sendiri.

Perdana Menteri akan rekomen nama siapa kepada Tuanku terpulang kepada budi bicara beliau tetapi PSM bukan wakil masyarakat Siam sebagaimana yang dijerit-jeritkan oleh pemimpinnya.

Ketika aku sedang asyik berbual dengan kawan di talian, seekor anjing di bawah ruma menyalak dengan kuat. Beberapa kali anak lelaki aku menghalaunya, tetapi salakannya tetap berkumandang. Mungkin ada anak lembu sesat kandang.

"Hello, tak dengar apa hang cakap? Salakan anjing di bawah rumah membingit telinga!"

"Aku dah tahu siapa senator baru?"

"Apa?"

"Aku dah tahu siapa senator baru!"

"Kau dah tahu siapa senator baru?" Aku cuba mendegar suara kawanku yang ditenggelami salakan anjing. "Halau anjing tu, adik!!!!" Aku minta anak aku halau anjing pergi.

"Cisss!" Kedengaran suara anak aku halau anjing. "Anjing betina, Papa!" Jawab anak aku dari bawah rumah.

"Peduli anjing betina atau anjing jantan, halau dia pergi. Papa nak cakap dengan kawan ni!"

Nampaknya anjing keparat itu tak dengar cakap anak aku. Aku terpaksa memutuskan talian untuk pergi menghalau anjing. Aku tak bela anjing kerana aku bising mendengar salakannya. Soal senator tergantung sementara waktu.
Walau apapun, senator punca perpecahan komuniti Siam!

Friday, December 19, 2008

Wajib Ujian HIV Untuk Semua


Peraturan yang mewajibkan bakal pengantin beragama Islam menjalani ujian saringan HIV, akan dikuatkuasakan di semua negeri di Semenanjung, mulai tahun depan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata saringan itu akan dijalankan ketika bakal pengantin mengikuti kursus pra perkahwinan.

Pengantin beragama Islam sahaja?

Apa punya pemimpin, tahu lindung orang Islam sahaja, orang bukan Islam tak takut mati? Atau membiarkan rakyat bukan Islam mati kerana Aids dapat masuk syurga? Semua rakyat berhak mendapat perlindungan daripada penyakit, terutama penyakit berbahaya. Oleh itu, wajib kepada semua pengantin rakyat Malaysia menjalani ujian saringan HIV tanpa mengira kaum dan agama. Sama ada mereka tetap berdegil untuk meneruskan perkahwinan seandainya tahu pasangan pembawa HIV positif, terpulanglah kepada budi bicara dan kebodohan masing-masing.

Maka pada 2009 ramailah rakyat Malaysia yang gemar berfoya-foya tak dapat kahwin kerana HIV positif, termasuk komuniti Siam, yang hidupnya suka mengumpul dosa. Senator baru pun tak dapat menolong.

Pertimbangkan Anugerah Kasut

Walaupun balingannya tidak tepat, tetapi berjaya mengejutkan seluruh dunia. Itulah wira Iraq yang disanjung oleh Gaddafi.



Warga Iraq anggap wartawan 'kasut' wira negara

17 Dec 2008 10:33AM
BAGHDAD: Muntazer al-Zaidi, 28 tahun, wartawan televisyen Iraq yang membaling Presiden Amerika Syarikat George W. Bush Ahad lalu dengan kasut, pernah diculik oleh kumpulan militan dan ditahan tentera Amerika.
Oleh itu, tidak menjadi satu kehairanan jika beliau membenci pendudukan tentera Amerika dan campur tangan Iran di Iraq, demikian keluarganya memberitahu Associated Press Isnin lalu.
Namun, tindakan Al-Zaidi itu merubahnya daripada seorang wartawan AlBaghdadia yang tidak dikenali kepada seorang 'wira' yang disanjung jutaan rakyat Iraq yang sudah bosan dengan pendudukan Amerika sejak enam tahun lalu.

(sumber:klpos)

Pemimpin yang menipu, membodoh, dan merompak rakyat patut juga diberikan hadiah kasut. Kita boleh mengambil contoh daripada bekas Menteri Besar Selangor, Mohamad Khir Toyo yang menganugerahkan batang penyapu kepada kerajaan tempatan yang menongkah arus "Cemerlang, Gemilang dan Terbilang".

Pemimpin yang seorang itu yang sangat cemerlang dalam hal kebas duit bangsa patut dipertimbangkan dengan serius untuk anugerah "kasut kulit babi".

Tabiat Merokok

Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengingatkan wakil rakyat dan penghulu negeri Kelantan menghentikan tabiat merokok kerana mereka sebagai pemimpin harus menunjukkan teladan yang baik. Tuan Guru kecewa dan sedih kerana masih ada pemimpoin PAS yang merokok walaupun sudah banyak kali diberikan nasihat.

Bukan sebarangan pemimpin berani menegur orang bawahan tentang tabiat merokok kerana teguran ini bakal menyinggung emosi dan menjejaskan sokongan. Tuan Guru tetap Tuan Guru, berani, jujur dan ikhlas.

Barah paru-paru, barah mulut, barah kerongkong: Pengaruhnya lebih tinggi pada perokok; 90% barah paru-paru berlaku pada perokok. Demam paru-paru dan Emphysema: Paru-paru yang telah dirosakkan oleh asap rokok lebih mudah kena jangkitan dan dan juga menyedut kurang oksigen. Kehamilan dan bahaya kepada bayi yang baru lahir: Ibu-ibu yang menghisap rokok mengahadapi bahaya melahirkan anak sebelum waktunya, bayi mati kelahiran atau berat badan bayi yang dilahirkan itu sangat berkurangan. Penyakit mulut: Perokok mungkin mendapati penyakit berkaitan dengan pergigian dan kehilangan gigi.

Bangsaku bila lagi akan berhenti merokok? Bagaimana pula dengan tuak, bir dan arak? Kedua-dua 'pembunuh kering' dan 'pembunuh basah' ini adalah musuh utama kesihatan dan kemajuan bangsa!

Thursday, December 18, 2008

Jantung Pisang

Kenapa dipanggil jantung pisang, bukan bunga pisang? Biasanya tumbuhan lain, buah keluar dari bunga, tetapi pisang buahnya keluar dari jantung. Dan hanya pisang satu-satunya tumbuhan yang ada jantung dan tergantung di luar. Bagaimana kalau jantung manusia juga tergantung di luar seperti jantung pisang?

Wahai bangsaku, janganlah jantungmu jadi seperti jantung pisang yang seringkali dijadikan ulam!