Saturday, January 31, 2009

Politik Wang, Rasuah Dan Persatuan Siam

Ketua Penerang Umno, Tan Sri Muhamad Muhd Taib mengatakan Umno mesti menangani sendiri masalah dalaman parti termasuk masalah "hulur wang". Masalah "hulur wang" ini bukan rasuah bagi Umno, tetapi sekadar politik wang. Bagi Umno, politik wang dengan rasuah tak sama. Bagi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang sedang mengamuk terhadap orang Umno, rasuah dan politik wang adalah sama. Siapa yang betul?

Elok juga kalau semua bentuk "hulur wang" dalam politik dikategorikan sebagai politik wang, bukan rasuah maka tak adalah "rasuah politik". Maka Malaysia satu-satunya negara yang bebas daripada rasuah politik. Boleh masuk Guinness Book of Records. Negara tanpa rasuah politik. Boleh ke gitu?

Kah... kah... kah! Politik wang bukan rasuah. Rasuah bukan politik wang. Woi, orang DBP, ada buka kelas tuisyen bahasa tak, ada orang nak pergi tuisyen bahasa ni!

Persatuan Siam macam mana? Ada politik wang dan rasuah juga ke? Atau semuanya telah dikategorikan sebagai "wang tambun" yang boleh digunakan oleh sesiapa sahaja untuk apa-apa sahaja.

Begitu lantang tuduh-menuduh tentang "wang hilang", "kebas wang", "seleweng wang", "makan wang", "jilat wang", "hisap wang", "gelapkan wang" dan 1001 jenis wang, wang, wang, wang, wang. Satu ringgit, dua ringgit, 10 ringgit sehinggalah RM400,000, RM500,000, dan ribu-ribu. Kalau betul ada berlaku, ada bukti pergilah mengadu kepada SPRM. Dok menyalak sorang-sorang buat apa. Atau cuma kelentong nak jatuhkan maruah persatuan semata-mata. Kalau ada benarnya, pergilah buat aduan, supaya semua orang Siam dapat kenal penyangak bangsa!

Ayam sabung mesti berani masuk gelanggang. Kalau berkokok di tepi gelanggang, orang panggil ayam raga - ayam untuk disembelih buat Tomyam makan dengan Thai Song. Kah, kah, kah!

Thursday, January 29, 2009

Pengorbanan Tajol Rosli dan Tuah A. Kugan

Aku betul-betul respek Datuk Seri Mohd Tajol Rosli Ghazali kerana meletak jawatan sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perak ekoran tindakan Datuk Nasaruddin Hashim, Adun Bota keluar Umno untuk sertai PKR. Beliau rasa bertanggungjawab untuk menanggung beban tersebut. Kalau semua pemimpin Umno jujur seperti mantan Menteri Besar Perak ni, rasanya ada lagi yang akan letak jawatan.

Ada pihak tertentu cuba pujuk Datuk Nasaruddin agar memikirkan semula keputusannya. Woi, pujuk jadah apa, Datuk Nasaruddin bukannya merajuk. Datuk Nasaruddin cuma membetulkan sasaran perjuangannya agar selari dengan kehendak rakyat. Malah ada pihak lain yang cuba menekan Datuk Nasaruddin letak jawatan sebagai Adun. Adakah undang-undang begitu? Kata belajar undang-undang, tetapi tak khatam undang-undang.

Yang pasti SPRM mula mengorak langkah nak korek Datuk Nasaruddin. Aku sudah kata, demo ni tak akan duduk diam. Kalau badan tak benar-benar "bersih" jangan dok lompat, bahaya. Lompat ke seberang sana boleh gerenti tak ada orang kacau. Lompat ke seberang sini ada berapa puluh fail pasti akan diselongkar. Buka apa, SPRM cuma nak buktikan bahawa tiada sebarang "umpan" dalam lompatan itu.

Jawatan Pengerusi Badan Perhubungan Umno senang dilepaskan, tetapi jawatan Menteri atau Menteri Besar susah sikit. Tahu-tahu sajalah noh.

Anehnya, masa Tun Dr. Mahathir Mohamad keluar Umno tidak ada pula pemimpin yang rasa bertanggungjawab dan membuat keputusan melepaskan jawatan.

Bila direnung-renungkan rasa seperti ada sesuatu yang tak kena. Kes Datuk Nasaruddin seperti sengaja dibesar-besarkan untuk mengalihkan tumpuan rakyat daripada kes A Kugan yang diangkat jadi "hero" secara tiba-tiba. Bertuah betul budak suspek curi kereta mewah ni sehingga Tok guru Nik Aziz Nik Mat hantar wakil untuk bertanya khabar dan menghulurkan bantuan. Kata Tok Guru,"Dalam Islam, kemanusiaan lebih mulia daripada bangsa!"

Maksudnya, dalam Islam parti yang memperjuangkan "kemanusiaan" lebih mulia daripada parti yang memperjuangkan "bangsa"!

Wednesday, January 28, 2009

Tan Hui Ming: Lebih Senduk Dari Kuah?

Syabas Persatuan Siam Kedah (PSK) yang bertungkus-lumus menjejaki Tan Hui Ming, gadis 14 tahun yang dipercayai dilarikan lelaki Myanmar pada Disember lalu. Pengerusi PSK, Bun Yin melahirkan rasa kesal kerana ada pihak tertentu yang tidak ada kesungguhan dalam hal ini. Pihak mana yang tak ada kesungguhan? Menteri Dalam Negeri atau PDRM atau Wisma Putra?

Kita tahu sebelum ini PSK ada jumpa Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Chor Chee Heung. Beliau berkata pihaknya telah berbincang dan memberikan segala maklumat kepada Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan untuk mendapatkan bantuan Interpol. “Saya percaya berita kehilangan gadis ini akan sampai di Myanmar dan polis Myanmar akan segera mencari gadis itu yang kini dipercayai berada di Nambau, Myanmar,” kata beliau selepas menghadiri rumah terbuka MCA sempena Tahun Baru Cina di Dewan Sekolah Menengah Keat Hwa di Alor Setar baru-baru ini.

Apa yang hendak dikesalkan? Menteri bukan Tuhan yang boleh selesaikan masalah dalam sekelip mata. PSK mesti berikan butiran lebih perinci kepada siapa yang dikesalkan agar semua orang dapat tahu "siapa yang cakap tak serupa bikin".

Kerana kesalnya, Bun Yin nak bawa PSK menghadap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Amboi, remaja hilang pun nak jumpa Timbalan Perdana Menteri! Buat macam TPM tak ada kerja lain. Banyak lagi kerja besar yang sedang menunggu TPM. Kalau semua kes budak hilang, budak lari ikut jantan, budak kena rogol, kena samun, kena rompak, kena lempang, lari dari rumah, hilang dara, hilang teruna semuanya nak menghadap TPM, terbengkalai pembangunan negara kerana TPM asyik layan kerenah budak-budak.

Seseorang yang tidak bernama hantar e-mail kepada aku mengatakan PSK sengaja nak cari publisiti murahan. Nak jadi hero Siam Kedah. PSK nak memalukan Persatuan Siam Malaysia (PSM), kononnya tak prihatin dengan masalah orang Siam. Penubuhan PSK semata-mata nak bersaing dengan PSM.

Tan Hui Ming ialah remaja Cina. Walaupun ibunya keturunan Siam, tetapi bapanya Cina. Keturunan seseorang dikira daripada sebelah bapa. Namanya pun Tan Hui Ming. MCA, Gerakan dan puluhan persatuan Cina tak rasa apa-apa pun dengan kehilangan remaja ini, sebaliknya Persatuan Siam Kedah yang panas buntut jadi seperti cacing kepanasan. Sifat keprihatinan PSK, kata penghantar e-mail itu lagi, kalau betul-betul ikhlas adalah dipuji tetapi janganlah sampai lebih senduk dari kuah. Nampaknya PSK betul-betul akan jadi lawan PSM.

Wah, kenapa pula persoalkan keikhlasan PSK? Biarlah Tan Hui Ming itu Cina atau Siam atau keturunan apa sekalipun, membantu orang adalah dituntut oleh semua agama.

ADUN Lompat, Pak Lah Kekal PM

Khabar angin bertiup kencang dari hutan belantar Belum bahawa ada sekurang-kurangnya 3 YB Adun dari Negeri Perak sedang menuju ke garisan untuk memulakan lompatan ke seberang: Pakatan Rakyat.

Gelabah Orang Besar UMNO Negeri Perak masa Nasarudin Hashim sertai PKR sehingga terpaksa mengadakan sidang tergempar. Untuk apa? Untuk korek fail lapuk Nasarudin kalau-kalau boleh disabitkan dengan rasuah atau disabitkan dengan Zionis. Tiba-tiba tiup pula angin 3 YB lagi sedia nak lompat. Lembik lutut orang UMNO Perak. Semput Ketuanya menafikan pertanyaan media yang bertalu-talu. Maka diadakan mesyuarat khas sama Orang Besar Pusat.

"Sapa setia pada UMNO, angkat tangan!" Arah Orang Besar UMNO.

Maka ramailah yang angkat tangan.

"Sapa berani sumpah tak lompat ke PR, angkat tangan!"

Maka ramailah yang angkat tangan. Angkat tangan ada dua pengertian tersirat. Pertama, setia kepada parti (politik kita setia kepada parti sinonim setia kepada pemimpin). Kedua, setia kepada rakyat. YB yang pakai akal tentu setia kepada kehendak rakyat bukan kehendak parti.

"Yang ada di luar negara ada telefon saya, berikan janji taat setia mereka," kata Orang Besar, tetapi riak wajahnya tak ceria.

Datuk Seri ooi, Adun yang angkat tangan dan yang telefon dari luar negara tu jangan percaya sangat. Ulat buah nangka tak nampak dari luar.

Tengku Razaleigh, pemimpin Orang Asli di Gua Musang minta Pak Lah kekal jadi Perdana Menteri. Suara-suara dalaman UMNO juga semakin jenuh mahu Pak Lah kekal jadi PM. Pakatan Rakyat pun suka Pak Lah jadi orang nombor satu. Senang untuk mereka gerak. Pak Lah ada sikit liberal, tak kuku besi seperti Firaun.

Melihat kepada kerajinan SPRM bantera rasuah walaupun rasuah bilis, orang ramai mula membuat spekulasi bahawa itulah tandanya Pak Lah belum sedia lepaskan jawatan PM. Berikan peluang kepada Pak Lah buktikan kesungguhannya banteras "pemakan babi". Pak Lah pernah samakan rasuah dengan babi, dua-duanya haram bagi Islam.

PM tak semestinya Presiden UMNO. Pak Najib Presiden UMNO, Pak Lah Perdana Menteri. Kah, kah, kah, siapa akan gigit jari!

Woi, Siam yang sekian lama dipulas kepala oleh UMNO bila nak lompat parti? Nak mati dalam UMNO ke?

Monday, January 26, 2009

Gong Xi Fa Cai

Kepada semua warga Cina, aku ucapkan Gong Xi Fa Cai. Semoga Tahun Lembu membawa berkat, kemakmuran dan kesihatan yang baik. Jangan lupa hulurkan ang pau.

Kepada kaum kacukan Siam-Cina, aku juga ucapkan Selamat Tahun Baru Cina. Semoga kalian dapat manfaat daripada hari kebesaran ini.

Kepada penduduk Malaysia keseluruhan, aku harap kalian semua dapat mengeratkan silaturahim dengan mengunjungi rumah terbuka kawan-kawan Cina.

Sunday, January 25, 2009

Sejarah Hitam Siam Kedah - Kelantan

Sejarah perhubungan antara Siam Kedah dan Siam Kelantan telah lama terjalin tetapi keakrabannya hanya berlaku dalam beberapa dasawarsa sahaja. Namun keakraban tersebut semacam menjadi renggang ekoran beberapa isu; isu lama dan isu baru.

Sewaktu kecil aku sering kedengaran orang Kelantan pergi mengambil upah membanting padi di Kedah. Maklumlah Kedah sebuah negeri jelapang padi. Orang-orang kampung aku juga tidak ketinggalan. Bila pulang mereka bercerita tentang Kedah; bukan tentang orangnya tetapi tentang ikan di sawah. Oleh itu, aku lebih kenal ikan "sepat Kedah" daripada "orang Kedah".

Sebenarnya aku mula kenal orang Siam Kedah ketika aku belum masuk sekolah. Seorang mata-mata gelap keturunan Siam Kedah yang bertugas di Kelantan. Dia datang ke Kelantan pada akhir tahun 60-an atau awal tahun 70-an aku tak berapa pasti. Orang panggil dia "gelap Deng". Dia tinggal di rumah aku kerana dia kawan bapa aku. Dia pergi kerja awal pagi ketika aku belum bangun dan pulang pada waktu malam. Apabila terlihat lampu motosikal menyuluh ke bawah rumah, aku tahu bahawa itu adalah motosikal Vespa Pak Cik Deng kerana waktu itu hanya dia yang ada motosikal di kampung aku. Dia juga selalu membawa kawan-kawan polisnya daripada keturunan Siam Kedah ke rumah aku. Itulah sejarah awal perhubungan keluarga aku dengan orang Siam Kedah.

Sayangnya perhubungan itu terputus begitu sahaja selepas mereka berpindah balik ke Kedah. Walaupun mereka ada mengirimkan khabar dan mempelawa keluarga aku datang ke kampung mereka di Kedah tetapi pelawaan mereka tak pernah tertunai. Maklumlah waktu itu perjalanan dari Kelantan ke Kedah tidak semudah sekarang. Bapa aku sudah meninggal. Barangkali Pak Cik Deng juga sudah meninggal. Namun, nostalgia tiba-tiba mengusik perasaan - betapa bermaknanya jika hubungan tersebut tidak putus!

Kenapa aku bangkitkan perhubungan keluarga aku dengan keluarga Siam Kedah yang terjalin pada akhir tahun 60-an atau awal tahun 70-an itu? Tidak ada apa yang penting, kecuali aku hendak beritahu bahawa perhubungan antara Siam Kedah - Kelantan sudah bermula sejak sekian lama tetapi malangnya sehingga kini masih belum ada "formula" yang menjanjikan keikhlasan dalam perhubungan tersebut.

Sejarah Wat Thai Chetawan, Petaling Jaya meninggalkan kenangan pahit di dalam perhubungan phra Thai Kedah dan phra Thai Kelantan. Sesiapa yang tahu sejarah tersebut pasti faham apa yang aku maksudkan. (Aku akan ceritakan tentang krisis ini lain kali). Dalam "perjanjian damai" ada disebutkan bahawa sekiranya phra Kedah jadi Ketua Sami, phra Kelantan adalah Timbalannya. Sekiranya phra Kelantan jadi Ketua Sami, phra Kedah Timbalannya. Tetapi hakikatnya phra Kelantan tidak pernah "diberikan peluang" untuk tinggal di Wat Thai Chetawan selepas krisis tersebut. Keadaan ini turut mempengaruhi mentaliti masyarakat Siam Kelantan bahawa phra Kedah mungkir janji.

Luka di Wat Chetawan tidak terhenti di situ. Lukanya berterusan sehingga Phra Sri Prom ditetak oleh Ai Bau. Aku bertanya kepada Ai Bau apabila melihat dia mengasah parang, katanya hendak menebas semak. Rupa-rupanya dia tebas kepala Sri Prom. Ai Bau beritahu selang beberapa tahun dia pergi mencari Sri Prom. Sri Prom terkejut besar sebaik Ai Bau memperkenalkan dirinya. Ai Bau datang untuk minta maaf.

Hubungan "panas" antara phra Kedah - Kelantan juga hangat di Pulau Pinang. Terbaru ialah Wat Buppharam. Perebutan wat boleh meninggalkan kesan yang tidak baik di dalam masyarakat Siam, terutamanya yang melibatkan phra Kedah dan phra Kelantan. Isu Wat thai Chetawan mungkin tidak begitu dirasai pahitnya oleh orang Siam Kedah tetapi bagi orang Siam Kelantan ia sesuatu yang sukar dilupakan.

Sekiranya perhubungan antara phra Kedah-Kelantan dipenuhi liku dan lekuk, perhubungan masyarakat Siam Kedah - Kelantan juga tidak setenteram disangka. Persatuan siam Malaysia dan Jawatan Senator merupakan pencetus utama. Walaupun perkara ini tidak dilisankan, tetapi perasaan orang Siam Kelantan terhadap Siam Pantai Barat mula berubah. Siam Kelantan berpendapat bahawa Siam Pantai Barat, melalui PSM tidak boleh dipercayai dan cuba mempermainkan mereka. Bagi mereka "berpecah" tetapi selesa lebih baik daripada "bersatu" tetapi sakit.

Sakitnya lebih berbisa apabila ada "suara-suara" yang mempersoalkan hak Siam Kelantan ke atas jawatan Senator. Jawatan Senator Siam dituntut oleh Siam Kedah, dan diberikan kepada Siam Kedah sebagai Senator pertama, oleh itu "hanya" orang Siam Kedah yang layak. (Siam Perlis yang mendapat jawatan Senator kerana campur tangan kuasa tertinggi) Jadi, lupakan sahaja Siam Kelantan dan Siam negeri lain tentang Senator. "Suara-suara" ini kurang menyenangkan telinga calon Senator dari luar Kedah. Persoalannya adakah kita, masyarakat Siam mahu membahagikan blok Siam kepada "Siam Kedah" dan "bukan Siam Kedah" seperti blok "Melayu" dan "bukan Melayu"?

Membahagikan Siam kepada dua blok tidak menguntungkan sesiapa malahan merugikan. Membangkitkan isu kenegerian bukan sesuatu yang baik. Perbuatan yang tidak jujur akan dibalas dengan tidak jujur juga. Oleh itu, kita harus berfikir atas landasan "semua Siam" tanpa membahagikan sempadan Geografi atau negeri. Sejarah perhubungan Siam Kedah-Kelantan bermula lama sudah, kenapa harus kita racuni dengan perkara remeh-temeh seperti isu wat dan Senator?

Berfikirlah semasak-masaknya kerana kini "perang" baru berdetik dan masih boleh dihentikan. Sekiranya "perang" merebak, aku yakin yang rugi adalah kaum kita seluruhnya. Sejarah hitam harus diputihkan bukannya ditambahkan hitamnya!

Saturday, January 24, 2009

Siapa Yang Bermimpi?

Namanya besar - Persatuan Siam Malaysia (PSM) - besar dalam erti mewakili seluruh masyarakat Siam Malaysia yang hanya ada 60,000 orang; belum tolak yang mati dan lahir selepas tahun 2000. Ini kerana maklumat tentang jumlah 60,000 saya dapat pada tahun 1999 dan jumlah sama digunakan sampai sekarang setiap kali ditanya oleh Menteri Besar atau Pak Menteri atau Mak Menteri.

"Orang Siam Malaysia ada berapa ramai?" tanya Pembesar Negara.

Pemimpin Siam pantas menjawab, "60 ribu orang!"

Maka Pembesar Negara itu pun mula hitung-hitung dengan jari-jemari. "60 ribu orang tak banyak," fikirnya. "Yang layak mengundi mungkin tak sampai separuh," fikirnya lagi. "Tapi kenapa tuntutannya sangat besar. Besar tuntutan daripada jumlah orang."

"Orang Asli ada lebih 100 ribu orang tapi tuntutannya tak sebesar orang Siam," Pembesar Negara mula pening. "Apa sumbangan penting orang Siam pada negara selain minta itu, minta ini?"

"Jangan persoalkan sumbangan keturunan saya YB. Keturunan saya, keturunan "orang asal."

Pembesar Negara hampir ketawa terbahak-bahak mendengar kata-kata pemimpin masyarakat Siam.

Jumlah orang Siam yang "statik", tidak berkurang dan tidak bertambah sejak 8 tahun dahulu tak boleh salahkan PSM kerana bukan PSM yang menentukan jumlahnya. Walaupun kita tak nafi bahawa ramai orang Siam yang rajin menambahkan anak, malahan sesetengah pemimpinnya melakukan proses menambahkan anak tanpa pilih muka pasangan, tapi jumlah orang Siam tak juga bertambah. Perbuatan yang baik belum tentu berhasil dalam sekali dua mencuba. Cubalah lagi. Yang penting tak putus asa.

Dalam sistem demokrasi, jumlah penduduk (pengundi) sangat penting. Biarpun orangnya tidak layak dinamakan "orang" sekalipun, kiranya dia ialah pengundi, dia dihargai dan penting bagi parti politik. Oleh itu, mustahak rakyat Malaysia berpakat-pakat meramaikan jumlah komunitinya. Asalkan jumlahnya ramai, biar bodoh, miskin, melarat, merempat, buta huruf, ketagih arak, ganja, heroin, ubat batuk, pil mabuk, daun ketum, hidu gam, cium tahi lembu, sedut tahi kerbau, pencuri, perompak, penyamun, lanun, pengganas, penyesat, dan 1001 nama yang semuanya mengeli-geleman tak mengapa asalkan dia pengundi yang sah, dia akan dijadikan dewa apabila tiba hari mengundi.

Orang Siam juga kena ikut berpakat meramaikan jumlahnya. Jangan asyik 60 ribu saja.
Malu Orang Asli. Kalau senjata tak berapa elok, risik-risiklah sama Tok Batin akar kayu yang mampu menajamkan senjata.

"Orang Asli lebih ke depan dari orang kita!" bisik seorang kawan.

"Dari segi apa?"

"Mereka ada Muzium Orang Asli. Kita habuk pun tak ada."

"Siapa kata kita tak ada. Pemimpin kita gila publisiti. Rebut nak tunjuk 'akulah hebat', 'akulah pembela bangsa'."

Persatuan Siam Kedah (PSK) akan anjurkan Mesyuarat Khas Pemimpin Masyarakat Siam Malaysia di Kedah pada 26 Januari 1009 bagi cari jalan bantu mangsa culik - gadis 13 tahun dilarikan warga Myanmar. Niat yang baik dan patut dipuji. Tapi mampukah "kerajaan negeri" anjurkan mesyuarat "pemimpin persekutuan"?

Di sini kita tertanya-tanya di manakah PSM yang mendakwa mewakili Siam Malaysia dalam hal ini? Atau PSM tak minat dengan kes "culik" yang belum disahkan statusnya sama ada "diculik" atau "rela berkorban apa saja demi cinta?" Walau apapun, kerana dia bari berumur 13 tahun, kes ini tetap dikategorikan sebagai "culik" dan (barangkali) "rogol" sekali.

Pemimpin PSM, terutama yang ternganga mulut dengan meleleh air liur menanti jawatan Senator, tolonglah hulurkan tangan. Kalau tak dapat tangan, hulurkan jari pun boleh. (Tapi jangan jolok jari). Setakat ini belum kedengaran suara PSM. Bukan PSM tak bersuara tapi PSM tak ada saluran sampaikan suara kepada masyarakat Siam. Heran bin ajaib, selaku persatuan yang kononnya (renungkan maksud kononnya) mewakili semua orang Siam, tapi tak ada laman web rasmi. Saya tak percaya PSM tak mampu. PSM banyak duit. Pemimpinnya pula ramai bergelar sarjana dan doktor. Dan saya juga tak percaya bahawa PSM mahu jadi "gerakan bawah tanah" yang aktivitinya hanya diketahui segelintir ahli sahaja. PSM bukan PKM. Kenapa harus sembunyikan maklumat dan aktiviti daripada pengetahuan umum? Hanya mereka yang ada agenda sendiri saja suka melakukan perkara secara sembunyi-sembunyi. Aktiviti persatuan tidak harus dirahsiakan.

Semua orang Siam Malaysia berhak mengetahui perkembangan PSM kerana PSM berdiri di atas kewujudan mereka.

Rasanya, PSK telah mendahului PSM dalam hal tertentu. Syabas, PSK!

Kalau hendak cerita tentang mimpi, pilihlah mimpi yang berpijak di bumi nyata!

Wednesday, January 21, 2009

Bilis Dulu, Barulah Jerung!

Seorang Naib Ketua Bahagian UMNO di Perak dan dua ejen calon Ketua UMNO Bahagian, masing-masing di Pahang dan Melaka merupakan kumpulan pertama didakwa sabit rasuah politik oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuh Malaysia (SPRM) sejak beroperasi 1 Januari lepas.

Naib Ketua Bahagian UMNO menghadapi tuduhan memberi rasuah RM300 dan dua ejen calon Ketua UMNO Bahagian dituduh memberi suap RM200 (dua ratus sahaja). Mereka akan didakwa mengikut Seksyen 10 (b) Akta SPRM 2008 yang boleh dihukum penjara minimum 14 hari atau maksimum 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 atau mana lebih tinggi.

Mak ooi, RM300 beli babi bakar seekor sempena Kong Hee Fatt Choy pun tak cukup. Manakala RM200 untuk sekali tonggeng pelacur Ukraine pun tak dapat. Alang-alang menceluk pekasam biarlah sampai ke pangkal lengan.

Mata SPRM boleh tahan, bilis sesat dalam lautan luas pun boleh nampak. Syabas, permulaan yang baik. Bilis dulu, lepas tu, jerung pulak. Siap kamu jerung. Nak lari ke mana. Sembunyi di celah-celah ketiak penyu tak boleh, kamu tu besar!

Mata SPRM tak juling seperti dulu. Kalau sampan boleh nampak, takkan sebesar KAPAL SELAM tak nampak!

Tuesday, January 20, 2009

Untuk Siam Sahaja

Kah, kah, kah! Berita terkini. Datangnya dari seorang kawan yang rapat dengan Sirik, rapat sama Bunsom.

Sirik anak Nen Buah pelawa Bunsom anak Enong makan nasi sama-sama, duduk semeja dan sembang-sembang. Yahooowa, dua pemimpin Siam nak bincang. Nak bincang pasai topik penting. Topik jadah apa tak dikhabarkan. Bunsom tolak pelawaan itu. Kecewa Sirik. Budak semalam pekenakan orang tua. Kah, kah, kah!

Bagi Bunsom, tak ada apa benda nak dibincangkan. Masing-masing ada kaki, ada tangan dan ada mulut. Makanlah sendiri.

Untuk pengetahuan mereka yang belum tahu, Sirik anak Nen Buah calon Senator pilihan PSM. Sirik keturunan Siam pertama yang anak lakinya pakai BIN dan anak gadisnya pakai BINTI. Biasanya Bin dan Binti orang Melayu aje pakai. Rupa-rupanya ada juga Siam pakai.

Bunsom pulak calonkan diri sendiri. Khabarnya dia pergunakan Ketua Kampung Siam yang jadi ahli UMNO sokong dia, bawa nama dia naik.

Sirik sama Bunsom dulukala satu geng. Sama-sama hentam Senator. Dr. Prom sorang lagi geng mereka. Dr ni kamcing benar sama Bunsom. Hubungan Bunsom dengan Sirik retak kerana Senator. Sirik suruh Bunsom hentam Senator. Bunsom yang termakan pujuk, hentam Senator sampai berbuih mulut. Sebaliknya, Sirik kembali puji Senator dalam sajaknya. Bunsom bebulu kerana amarah.

"Celaka, tak boleh kawan!" Dia sumpah siapa aku tak pasti. Tapi itulah yang aku dengar dari kawan di sebelah Pantai Barat.

Sunday, January 18, 2009

Kemenangan Pakatan Rakyat

Keputusan rasmi Pilihan Raya Kecil Kuala Terengganu 17-01-09:

PAS: 32,883,

BN: 30,252,

BEBAS: 193,

MAJORITI: 2631.

CALON Pas Mohd Abdul Wahid Endut memenangi pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu dengan memperolehi 32,883 undi menewaskan calon Barisan Nasional (BN) Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh yang meraih 30,252 undi selepas kesemua 144 peti undi dikira. Calon Bebas Azharudin Mamat @ Adam memperolehi 193 undi.

Kemenangan calon Pas adalah kemenangan Pakatan Rakyat. Kemenangan kuasa kebaikan menentang kuasa kejahatan. Kuasa setan tak akan menang. Kemenangan pengaruh integriti melawan pembohongan. Dalam kempen, banyak kemungkaran, fitnah, kutukan dan tohmahan menerjah telinga rakyat. Pembangunan, pendidikan, bantuan kewangan dan 1001 janji ditabur. Semuanya ditolak oleh rakyat Kuala Terengganu.

Dalam sejarah tamadun dunia, banyak negara dipimpin oleh pembunuh. Kerajaan pembunuh tidak kekal lama kerana dimurkai Tuhan. Tuhan Yang Esa murka orang yang zalim dan menipu rakyat. Akibatnya Tuhan menghukum mereka. Masakan Tuhan membenarkan pembunuh, terutama pembunuh wanita dan kanak-kanak menjadi pemimpin umat manusia. Zionis dikecam hebat di seluruh dunia kerana membunuh wanita dan kanak-kanak. Kita sepatutnya bersatu mengecam pembunuh dan kroninya yang berbahaya itu. Pembunuh ada dua kategori iaitu pembunuh fizikal dan pembunuh mental (kekebasan, kebahagiaan dan kebijaksanaan).

Inilah petunjuk awal bahawa Tuhan merestui perjuangan menentang kezaliman. Malaysia akan hancur sekiranya kembali ke zaman silam membiarkan pembunuh menjadi ketua. Bersatulah sekat pembunuh daripada mencorak kehidupan kita.

Dalam agama Buddha, siapa yang melakukan karma jahat akan dibalas lambat atau cepat.

Rakyat Kuala Terengganu sudah celik. Majoriti rakyat keturunan Siam masih buta. Mereka masih setia membabi buta kepada perjuangan politik syaitan. Bodohnya keturunan aku setia kepada orang yang bakal membunuh mereka. Karma apakah yang sedang ditanggung oleh mereka sehingga selepas 50 tahun merdeka mereka belum sedar dan masih dibelenggu kejahilan politik. Mereka langsung tak insaf walaupun sekian lama menyokong kumpulan syaitan.

Sampai bila fahaman politik syaitanisme akan terus menjadi anutan keturunan aku?

Walau apapun aku bersyukur ke hadrat Ilahi kerana masih ada keturunan aku yang sudah sedar dan celik mata dan mula berkiblat ke Pakatan Rakyat - pakatan integriti!

Thursday, January 15, 2009

Karpal Singh dan Hukum Hudud

DAP akan berundur daripada Pakatan Rakyat (PR) jika pakatan itu berhasrat mengamalkan hukum hudud seandainya berjaya membentuk kerajaan. Begitulah lebih kurang kenyataan Pengerusi DAP, Karpal Singh.

Betapa takutnya DAP kepada hukum Islam. Kenapa takut sangat kalau kita tidak berniat untuk melanggar undang-undang? Hukum hudud tak akan pancung orang yang tak membunuh dan tak akan potong tangan orang yang tak mencuri. Orang yang tak berzina juga tak akan direjam. Kenapa DAP takut pembunuh dipancung, pencuri dipotong tangan dan penzina direjam? Atau adakah DAP hendak mempertahankan pemabuk dan penjudi yang bakal dihukum apabila hudud dikuatkuasakan. Mulia sangatkah penagih arak dan penjudi tersebut?

Karpal Singh pastinya lebih arif kerana dia seorang pengamal undang-undang. Kita tak reti sangat pasal undang-undang. Cuma apa yang kita faham, hukum hudud hanya dapat dilaksanakan sekiranya artikel tertentu dalam Perlembagaan Persekutuan dipinda. Untuk meminta Perlembagaan Persekutuan, sokongan 2/3 Ahli Parlimen diperlukan. Kalau Pakatan Rakyat berjaya mendapat sokongan 2/3 Ahli Parlimen yang pastinya daripada Ahli Parlimen Melayu atau Muslim sahaja, (sukar membayangkan Ahli Parlimen bukan Islam sokong hukum hudud), DAP nak bawa diri sehingga ke hujung kutub sekali pun siapa peduli lagi. Malah sekarang pun kalau DAP nak keluar Pakatan Rakyat. Haji Hadi atau Anwar Ibrahim tak dapat sekat. Itu hak dia.

Kata Karpal Singh, hukum hudud dan qisas berlawanan dengan prinsip agama lain. Dey, Yang Berhormat Karpal, agama lain itu agama apa, jelaskanlah. Jangan main hentam sembrono sahaja. Agama Buddha misalnya, tak ada kaitan dengan pelaksanaan undang-undang negara. Hukum hudud atau hukum jadah apa tak ada kaitan dengan ajaran Buddha. Zaman Buddha dahulu undang-undang di India lebih kejam. Pesalah dihukum seperti seekor binatang. Buddha tak pernah kritik apa-apa pun. Penganut agama Buddha boleh hidup aman di bawah mana-mana negara dan undang-undangnya - sekular, Islam atau komunis.

Harap Karpal Singh tak babitkan agama lain, terutama agama Buddha dalam isu politik semasa.

Bahasa Untuk Berfikir

Manusia boleh bercakap pelbagai bahasa sekiranya mereka berminat untuk belajar dan ada kepentingan dengan bahasa berkenaan. Oleh itu, ramai orang yang menguasai belasan bahasa utama dunia. Hang Tuah, legenda pahlawan Kesultanan Melayu Melaka dikatakan menguasai 12 bahasa dunia. Semakin banyak bahasa dapat dikuasai, semakin luas ilmu kebahasaan yang diperolehi. Sekarang bahasa Mandarin mendapat perhatian utama oleh para kapitalis global yang berminat untuk mengaut keuntungan di China yang mempunyai penduduk 1.3 bilion orang - jumlah penduduk adalah jumlah pasaran bagi kapitalis.

Kita boleh menggunakan sebarang bahasa yang kita kuasai terpulang kepada keadaan dan bentuk interaksi kerana bahasa adalah alat komunikasi manusia. Bagaimana dengan bahasa untuk berfikir? Anda berfikir dalam bahasa apa?

Seorang profesor di sebuah universiti tempatan mengatakan bahawa manusia lebih bijak, kreatif dan inovatif apabila berfikir menggunakan bahasa ibundanya. Maksud bahasa ibunda di sini ialah bahasa yang yang mengalir dalam darah kita yang diwarisi daripada keturunan. Contoh, kalau kita orang Siam, kita akan lebih bijak, kreatif dan inovatif apabila kita berfikir menggunakan bahasa Siam. Anak kacukan pula dikatakan lebih bijak, kreatif dan inovatif apabila berfikir menggunakan sama ada bahasa ibunda sebelah bapa atau sebelah ibu, terpulang kepada kemahirannya sendiri.

Bagaimana sekiranya orang Siam berfikir dalam bahasa Melayu, bahasa Inggeris atau bahasa Mandarin? Sebenarnya, jarang orang berfikir dalam bahasa selain bahasa ibundanya atau bahasa percakapan hariannya. Orang hanya bercakap dalam pelbagai bahasa tetapi jarang terdapat orang yang berfikir dalam bahasa yang perbagai?

Selain itu, manusia juga akan menjadi lebih bijak dan kreatif sekiranya berfikir dan bertindak berasaskan budaya bangsanya. Misalnya, orang Siam akan lebih berjaya kalau dia berfikir dan bertindak menggunakan acuan budaya Siam. Orang Melayu pula lebih berjaya apabila berfikir dan bertindak berdasarkan acuan budaya Melayu. Oleh sebab itulah kerajaan ketika melancarkan Wawasan 2020 menekankan bahawa negara kita akan menjadi sebuah negara maju berdasarkan acuan kita sendiri - maksudnya sebuah negara maju yang sepadan dengan pemikiran, budaya dan agama kita di Malaysia.

Masyarakat Siam harus menjadikan model "negara maju Malaysia" sebagai acuan kemajuan diri. Maksudnya kemajuan masyarakat Siam mesti dibangunkan di atas pemikiran, budaya dan agama mereka. Orang Siam tidak akan maju sekiranya mereka berfikir dan bertindak mengikut pemikiran dan tindakan orang Melayu, Cina atau India kerana pemikiran, budaya dan agamanya berbeza.

Ironisnya ramai cerdik pandai Siam (kadang-kadang bodoh) hari ini sedang menciplak pemikiran dan tindakan masyarakat Melayu, sama ada secara sedar atau tidak sedar adalah perkara lain. Anak-anak Siam dididik di sekolah kebangsaan, bergaul dengan kawan-kawan Melayu dan membesar dalam persekitaran masyarakat Melayu, maka pengaruh Melayu adakala mendominasi kehidupan mereka. Ini bukan masalah.

Perkara yang menjadi masalah adalah apabila orang Siam tidak dapat membezakan pemikiran, budaya dan agama mereka daripada pemikiran, budaya dan agama orang Melayu. Seseorang yang berketurunan Siam yang memulakan ucapan dengan "Assalamualaikum" dan "Insya-Allah" sebagaimana yang berlaku pada Mesyuarat Agung Persatuan Siam Malaysia bukan satu perkara yang bijak. Walaupun "assalamualaikum" mendukung maksud "salam sejahtera" tetapi dalam konteks Malaysia perkara tersebut tidak boleh digunakan sewenang-wenangnya. Penggunaan istilah yang tidak betul, terutama istilah berkaitan agama menggambarkan bahawa penuturnya terlalu jahil terhadap agama (dan budaya) sendiri. Bagaimana seorang yang buta agama walaupun dalam hal-hal yang asas dipilih jadi pemimpin masyarakat? Jawapannya, orang yang memilih dia juga jahil. Jahil sinonim dengan bodoh.

Malah ramai juga cerdik pandai Siam apabila bercakap tentang agama Buddha dan budaya Siam, secara tidak sedar "bersandar" kepada agama Islam dan budaya Melayu. Contohnya, ramai orang Siam termasuk yang bergelar Tok Sami melihat alam tabii menggunakan teropong Hindu atau Islam. Sebab itulah sampai ke mati sekalipun mereka tidak akan dapat melihat kebenaran dalam konteks agama mereka sendiri. Dalam teknik pemikiran, tanggapan, tindakan dan respons terhadap perkembangan persekitaran, ramai orang Siam tidak bergerak di atas landasan yang betul - iaitu landasan agama dan budaya sendiri. Ini termasuklah lulusan universiti yang perasan bijak, pemimpin masyarakat yang sesat dalam perebutan jawatan Senator, pemimpin peringkat kampung yang mabuk politik (juga mabuk todi) dan pemimpin agama yang berkiblat ke neraka dan sedang dikuda-kudakan.

Kesimpulannya, berfikir dan bertindaklah dalam acuan budaya dan agama sendiri kerana itu adalah pintu kemajuan yang sebenar!

Monday, January 12, 2009

Sami Palsu!

Sepetang aku berjalan-jalan membuang masa di pasar malam (belum malam ketika itu), aku terserempak dengan tok sami Siam yang sedang berdiri sambil memegang batil. Ramai juga yang mencampakkan duit ke dalam batilnya untuk ditukarkan dengan benang pengikat tangan. Aku berdiri memerhatikan gelagatnya seketika sebelum mengacukan kamera.

Seorang wanita separuh umur datang bersama dua kanak-kanak, barangkali anaknya dan menghulurkan RM10.00 kepada tok sami, kemudian minta tok sami tolong ikatkan tangan mereka dengan benang berwarna. Tok sami itu segera melakukannya. Ketiga-tiga beranak itu kelihatan gembira sebelum beredar pergi.

Aku mengejar perempuan tersebut. Aku cuba menyapanya dalam bahasa "broken" Kantonis yang aku pelajari daripada "intan payung" aku.

"Aso, le ci mo, tau sin, ka wor song lei kei!" Aku memberitahunya bahawa tadi itu tok sami palsu.

"Tim yong lei chi tho, ka wor song?" Dia bertanya bagaimana aku tahu sami itu palsu.

"Chan wor song, mo cho kam yong. Mew yau fan, yau sek, cho mei ooi ngak yan?" Aku jawab, sami betul tak akan buat begini. Kuil ada tempat tidur, ada makanan, mengapa mesti menipu orang?"

"Samma wor song ngak yan la," balasnya keras. "Mew ma yat yong, ngak yan law ... hamsap tim! katanya sami di kuil pun sama, menipu orang, malah "miang" lagi!

Dia tak puas hati dengan teguran aku. Dia beredar pergi meninggalkan aku mata kelip-kelip seorang diri. Apabila orang sudah yakin terhadap sesuatu, sukar untuk kita menerangkan perkara sebaliknya. Perempuan itu yakin bahawa tok sami tersebut adalah sami betul, lalu dia percaya akan mendapat "tuah" apabila memberi sedekah dan minta diikatkan lengan dengan benang. Ramai lagi penganut Buddhism yang ada keyakinan seperti perempuan itu.

Dia cuba membandingkan tok sami di pasar malam dengan tok sami di wat Siam yang dikatakan sama - masing-masing menipu masyarakat. Tanggapannya walaupun tidak benar tapi sukar dinafikan kerana apabila kita pergi wat Siam kita akan dapati dewan utama penuh dengan peti derma (donation box). Kehidupan tok sami melambangkan kehidupan mewah - telefon canggih, kereta besar dan TV plasma skrin gergasi.

Tok sami yang merayau minta sedekah di pasar malam atau di jalanan memang sami palsu dan menipu masyarakat secara terang-terangan, tetapi apakah bezanya dengan tok sami tulen di dalam wat yang mengabaikan ajaran Buddha dan cara hidup "kebuddhaan"? Bukankah ini dikatakan menipu masyarakat secara hormat - menipu atas kepercayaan (sattha) orang lain?

Apakah tindakan masyarakat Siam dalam hal ini? Terus berdiam diri dan menunggu sehingga dunia lebur dan langit runtuh, kemudian muncul "Penyelamat" bersama konsep penyelamatannya yang utopia?

Selaku penganut agama Buddha yang menekankan kewajaran akal, elakkanlah diri diperbodohkan oleh sami palsu atau sami tulen. Hanya tok sami (bhikkhu) yang betul-betul berjalan ikut jalan "kebuddhaan" patut dihormati dan diyakini sebagai "nue na bun" (sawah pahala).

Saturday, January 10, 2009

Bukan Thai Tapi Siam?

Dalam Utusan Malaysia 3/1/09, Encik Siri Neng Buah, Pengarah Bahagian Seni, Warisan dan Budaya Siam Malaysia (bila bahagian ini ditubuhkan?) minta surat beranak anak-anak Siam Pulau Pinang ditukar dari Thai kepada Siam.

Mengikut Encik Siri yang juga pemimpin masyarakat Siam yang diwar-warkan akan dilantik sebagai Senator Siam ke-3 tak lama lagi, nama Siam mesti dipakai untuk mengelakkan kekeliruan dengan rakyat Thailand. Orang Siam Malaysia tak ada apa-apa kaitan dengan rakyat Thailand kecuali persamaan dalam seni, budaya dan agama. Betul ke begitu Encik Siri? Ini kira cakap jujur atau cakap politik?

Apa yang dimaksud oleh Encik Siri bahawa orang Siam Malaysia tak ada apa-apa kaitan dengan rakyat Thailand kecuali persamaan seni, budaya dan agama? Ramai orang Siam Malaysia yang masih ada saudara mara di Thailand. Mereka saling berkunjungan terutama apabila ada kenduri-kendara, perkahwinan atau kematian. Malah, dengar khabar datuk kepada Encik Siri sendiri berasal dari Thailand dan saudara mara masih ada di sana? Atau Encik Siri telah memutuskan semua perhubungan dengan saudara mara di Thailand kerana nak jaga semangat patriotik, itu saya tak tahu. dua hari lepas seorang saudara Encik Siri menelefon saya dan minta saya baca kenyataan Encik Siri dalam Utusan Malaysia. Saya terpaksa baca walaupun telah lama saya memulaukan akhbar "lidah bercabang" itu.

Orang Siam tak ada kaitan dengan rakyat Thailand adalah tidak betul. Pergilah ke negeri sempadan seperti Kelantan, Kedah atau Perlis, lihat rancangan TV yang ditonton oleh orang-orang Siam. TV Malaysia atau TV Thailand? Siapa yang mereka lebih kenali, Raja Thailand atau Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong?

Seni, budaya dan agama bukan setakat persamaan tetapi masih ada kaitan erat. Jawatan Ketua Sami Buddha (Siam) di Kelantan, Kedah, Pinang, Perlis dan Perak dilantik dari Thailand. Anugerah Kehormatan kepada Sami Siam juga diberikan oleh kerajaan Thailand. Malah Kurikulum pengajaran bahasa Thai di wat-wat Siam di Malaysia pun diambil dari Thailand. Ini hanya sekadar beberapa contoh. Pendek kata dalam banyak perkara orang Siam bukan setakat ADA KAITAN tetapi masih BERGANTUNG kepada Thailand.

Sekiranya masyarakat Siam, (termasuk Encik Siri) tidak mahu dikaitkan dengan Thailand, berusahalah BERDIKARI dan BEBASKAN diri daripada pengaruh Thailand. Minta Malaysia lantik Ketua Sami Siam, minta Kementerian Pelajaran gubal kurikulum bahasa Thai, dan didik orang-orang Siam kenal Menteri Kabinet Malaysia bukannya Kabinet Thailand.

Walaupun kesetiaan warganegara keturunan Siam kepada Malaysia tidak berbelah bahagi, tetapi menafikan bahawa rakyat keturunan Siam kedua-dua negara tak ada kaitan adalah satu penipuan. Orang Melayu di Kelantan pun masih ada kaitan dengan orang Melayu di Pattani. Ini bukan sesuatu yang pelik. Kita berkongsi sejarah yang sama. Perhubungan antara rakyat dua negara berjiran tidak menjejaskan kesetiaan mereka kepada tanah air tercinta.

Berkenaan istilah Thai atau Siam. Istilah Thai atau Siam membawa maksud yang serupa. Mayarakat Siam harus sedar bahawa "Thai" ialah nama keturunan mereka sejak azali. Jangan keliru dengan nama negara "Thailand" yang ditubuhkan selepas sejarah pembaharuan tahun 1932. Thai/Tai ialah nama asal kita bukannya Siam. Siam adalah nama yang dipanggil oleh orang lain mengikut bahasa mereka - orang Melayu panggil "orang Siam", orang Cina Kantonis panggil Siam yan, orang cina Hokkien panggil Siam lang dan orang Inggeris panggil Siamese. Orang Siam apabila bercakap bahasa ibunda memanggil mereka khon Thai (orang Siam).

Sama ada mahu menggunakan istilah Thai atau Siam terpulang kepada masyarakat itu sendiri, bukannya ditentukan oleh persatuan tertentu, misalnya Persatuan Siam Malaysia yang tidak mewakili majoriti masyarakat Siam/Thai. Tetapi menafikan istilah "Thai" dengan alasan "tiada kaitan" dengan kita sukar diterima.

Friday, January 9, 2009

Bantu Palestin

Boikot barang keluaran Israel dan sekutunya. Baik benar untuk mengajar Zionis sama sekutunya yang tak ada kemanusiaan itu. Tetapi berkesan ke? Takut-takut bukan Zionis yang kebulur tapi orang kita yang bekerja dengan syarikat berkaitan produk Zionis yang terpaksa ikat perut.

Kerajaan bagaimana? Kerajaan sepatutnya memainkan peranan utama iaitu BATALKAN semua syarikat Israel dan sekutunya seperti Amerika, Britain dan Perancis dan haramkan produk mereka daripada dijual di Malaysia. Carikan peluang pekerjaan baru kepada pekerja kita yang terlibat. Inilah baru berkesan. Tapi beranikah kerajaan BN buat gitu? Demi kemanusiaan rakyat Palestin kerajaan tak boleh takut. Kalau rakyat berani, kenapa kerajaan harus takut? Cakap berdegar-degar, bila betul-betul nak naik gelanggang, bercawat ekor. Ini tak boleh jadi. Bantuan kewangan RM57 juta belum memadai. Israel tak rasa apa-apa. Pulau produk dia barulah dia rasa (kita juga rasa).

Malaysia mesti memainkan peranan aktif. Jangan jadi hipokrit seperti tok Arab yang pura-pura simpati nasib Palestin, padahal sebenarnya mereka suka kalau Hamas dihapuskan. Kita tahu benci Arab kepada Palestin ekoran sokongannya terhadap pencerobohan Iraq ke atas Kuwait, tapi itu kisah lama yang sejarahnya telah berubah. Saddam Hussein pun tak ada lagi. Sekarang bukan soal benci atau dendam, tapi soal kemanusiaan penduduk Palestin yang diragut nyawa dan dicederakan saban hari. Haiwan sekalipun tidak diperlakukan sekejam ini.

Selain boikot barangan, bantuan kewangan juga kena hulurkan setakat yang mampu. Banyak pihak - akhbar, parti politik dan persatuan ada melancarkan tabung bantuan Palestin, pilih mana yang sesuai dengan kehendak hati. Air liur tak banyak dapat membantu. Syarikat gergasi negara yang setiap tahun mencatat keuntungan janganlah menyepi. Ini bukan soal bangsa atau agama atau ideologi politik, tapi soal manusia yang dizalimi yang memerlukan pertolongan kita semua.

Orang-orang politik, tak usah pandai ambil kesempatan isu Palestin untuk dijadikan modal kempen pilihan raya kecil KT sahaja, satu usaha bersama yang konkrit mesti disegerakan. Pakatan Rakyat mahupun Barisan Nasional mesti berganding bahu membantu Palestin.