Saturday, February 28, 2009

Jangan Jadi Bodoh

Malaysia Boleh! Slogan yang sering kita dengar. Boleh tentang menatang apa aku tak pasti. Boleh ada banyak jenis. Boleh buat, boleh cakap, boleh tipu, boleh ampu, boleh belit dan seribu macam boleh. Boleh yang mana satu dalam slogan Malaysia Boleh?

Boleh jadi bodoh pun boleh juga. Sekarang ramai yang jadi bodoh kerana surat layang. Dah nama surat layang, kenapa nak pedulikan sangat. Surat layang ialah surat yang tidak bertanggungjawab dan kebenarannya disangsikan. Kalau nak bodoh kerana surat layang, sampai ke tua pun boleh bodoh. Surat layang tak akan habis. Penghantar yang sengaja nak tengok rakyat Malaysia bodoh akan terus melayangkan surat. Hari ini sultan Kedah dihina, esok lusa mungkin semua sultan dihina. Dan tulat tuli mungkin PM, TPM, Menteri, MB, EXCO, YB, dan semua rakyat Malaysia, kecuali penulisnya dihina. Jadi berapa ramai lagi yang akan dibodohkan.

Nak tunjukkan sikap tata setia kepada raja dan negara biarlah cerdik sikit. Gunakan cara bodoh meluat rakyat melihatnya.

Sekarang penulis surat layang tengah ketawa kekeh, kekeh, kekeh tengok rakyat Malaysia Boleh dibodohkan!

Friday, February 27, 2009

Sami Sesatkan Muslim, Betul Ke?

'Tok Guru' wat Siam giat sesatkan Muslim

Kami suri rumah beragama Islam, duduk di sebuah kampung di selatan tanah air. Sudah banyak kali kami terima risalah propaganda beberapa wat di Kedah dalam kotak pos kami, dihantar oleh posmen.

Kami bimbang, banyak orang Islam akan terpengaruh, jadi kami ajukan perkara ini kepada pihak tuan agar pihak tuan dapat ajukan pula kepada pihak berkuasa.
Pihak berkuasa tolonglah bertindak, sebelum ramai lagi orang Islam terpengaruh dengan propaganda yang dihantar oleh wat-wat ini. Tolonglah siasat kegiatan wat-wat ini.
Kami syak wanita-wanita yang menyertai satu skim "direct selling" menjadi sasaran kumpulan penyebar propaganda yang boleh membawa kemurtadan ini. Ini kerana kami sendiri adalah ahli kepada skim berkenaan. Kami percaya ada orang menjadi ejen dalam memberi nama dan alamat kami kepada pihak wat untuk menyesatkan kami.

Risalah dari WAT SUWANNARAM

Disertakan gambar beberapa gambar rahib Siam, paparan nombor ramalan yang menang dan testimoni berikut.

Saya Abdul Rashid berterima kasih kepada TOK GURU kerana telah menolong saya mengubah nasib saya, sebelum mendapat pertolongan dari TOK GURU, kehidupan saya sangat susah, suatu hari, saya terima risalah dari TOK GURU, saya rasa ada peluang membangunkan semula kehidupan saya, selepas itu saya pun hubungi TOK GURU dan saya ikut nasihat TOK GURU, akhirnya nombor RAMALAN yang diberi TOK GURU telah mengubah nasib saya.

Hubungi segera: 013-4379101. Alamat A10, Jalan Kodiang Batu 3� Kampung Putat, 06100 Kodiang, Kedah.


Risalah dari WAT NATAWEE

Disertakan gambar sami Siam dan testimoni berikut

Nama saya Hafizudin dari Selangor. Saya ingin mengucap terima kasih kepada TOK GURU kerana telah menolong saya membangunkan semula perniagaan. Dulu kebakaran telah berlaku pada kedai saya. Lagi pun kedai saya tidak mendapat sebarang pampasan dari Insurance. Sejak itu saya menghadapi masalah kewangan. Pada masa itu saya terima risalah dari TOK GURU. Masa itu saya tidak percaya kepada nasib nombor. Ramalan tetapi sudah tiada cara lain lagi. Saya pun hubungi TOK GURU untuk meminta nasihat. Akhirnya nombor Ramalan yang diberi oleh TOK GURU telah mengubah nasib saya.

Sila hubungi: 017-5645925. Alamat No 33, Kampung Lubok Rambai, 06350 Naka, Kedah.

Risalah dari Wat Pailom

Testimoni seorang lelaki tertulis: "Saya Mohd Syahir. ribuan terima kasih kepada Tok Guru kerana telah menolong saya mengubah nasib saya, sebelum dapat pertolongan dari Tok Guru, kehidupan saya sangat susah, satu hari saya terima risalah dari master, saya rasa ada peluang membangunkan semula kehidupan saya, selepas itu saya pun hubungi Tok Guru dan saya ikut nasihat Tok Guru, akhirnya nombor ramalan yang diberi oleh Tok Guru telah mengubah nasib saya."

Sila hubungi 012-4693323/ 019-4543885. Alamat: 13, Jalan Sri Awang, Batu 1/2, 06300 Padang Terap, Kedah.

(petikan daripada Harakah)

Aku turunkan rencana dari Harakah. Tajuknya "Tok Guru Wat Siam Giat Sesatkan Muslim" kurang senang dibaca. Orang Muslim tentu pandang Tok Guru Wat Siam hina kerana perdaya mereka. Orang Siam pula rasa Tok Guru mereka teramat hina kerana memperdaya orang. Soalnya betulkah perbuatan Tok Guru kami? Jangan-jangan ada pihak berkepentingan pergunakan nama Tok Guru dan watnya.

Bagi sesiapa (orang Siam) yang tahu, tolong berikan penjelasan. Walaupun hal ini berlaku lama sudah, tetapi persepsi orang terhadap Tok Guru Wat Siam terpesong. Seekor kerbau bawa lumpur, semuanya terpalit!

Wednesday, February 25, 2009

Bahasa Melayu Jadi Tomyam

Aku bukan Melayu. Jadi tak ada sebab aku nak malu. Kalau aku ini Melayu, walaupun sekadar Melayu yang darah keMelayuaannya masih boleh dipertikaikan, aku patut berasa malu. Kalau tak malu, tak tergerak perasaan malu biarpun sebesar zarah, bukan Melayu namanya. Melayu buta huruf sekalipun akan berasa malu, jangan kata Melayu intelek.

Masakan tak malu apabila bahasa sendiri, bahasa ibunda warisan moyang dijadikan "tomyam". Tomyam masakan asli Thailand. Dalam menu masakan Melayu dahulu kala tak ada tomyam. Aku makan nasi di rumah kawan Melayu bukan sekali dua, tapi beratus kali, tak pernah akan nampak tomyam. Peliknya, dalam bab bahasa Melayu ada pula tomyam. Bahasa Melayu dijadikan bahasa tomyam.

Jati diri tomyam ialah "ramuan masakannya fleksibel" iaitu tak tetap. Siapa suka macam mana, buatlah ikut selera, asalkan ada rasa pedas, masam, masin dan sedikit manis, maka tomyamlah namanya. Sebab itulah makan sepu;luh kedai, ada sepuluh rasa tomyam yang berbeza-beza. Kesimpulannya tiada siapa tahu tomyam yang sebenar, yang asli rasanya macam mana.

Bahasa Melayu juga telah dijadikan tomyam. Tidak ada satu bentuk "tatabahasa" Bahasa Melayu yang boleh dikatakan diterima semua pihak. Tatabahasa Dewan hanya orang DBP sahaja terima. Orang Kumpulan Utusan, orang Berita Harian, orang Karang Kraf dan orang Fajar Bakti ada tatabahasa Melayu sendiri. Orang yang tak reti bahasa seperti aku nak ikut siapa? Ikut orang DBP, anak-anak pula ikut orang Utusan sama orang Berita Harian kerana tulisan orang itu yang dibacanya setiap hati. Kamus juga ada dua. Satu Kamus Dewan dan satu lagi Kamus Pelajar. Dua-duanya terbitan DBP. Dua-duanya ada perbezaan dalam ejaan dan penggunaan imbuhan. Maka aku dengan tak was-was mengatakan jati diri bahasa Melayu sama dengan jati diri tomyam.

Maaflah kalau ada pencinta bahasa Melayu atau orang Melayu tersinggung. Aku juga tersinggung dengan kalian yang bernama Melayu yang tak cintai bahasa sendiri. Kalian menipu aku mempelajari bahasa Melayu dan mencintainya atas dasar bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi tetapi kalian sendiri mengkhianatinya - menjadikan dia tomyam.

Siapa yang luka kerana PPSMI? Tahulah bahawa aku juga terluka kerana PPSMI. Kawan-kawan aku yang bukan Melayu juga terluka kerana PPSMI. Cuma aku heran kenapa baru sekarang ada orang mengamuk pasal PPSMI? Atau ada hantu raya menyelinap ke dalam badan pencinta bahasa? Masa ada diberi makan, hantu raya ikut semua arahan. Tapi masa tak diberi makan maka mulalah lawan tauke. Jangan kerana "trip makan angin" keluar negara tak dilayan, hantu raya mengamuk dan menjadikan PPSMI sebagai mangsa.

Bukan aku menyibuk, tapi aku malu bila ada orang kata kepada aku begini: "Kenapa kamu suka tulis dan cakap dalam bahasa yang bangsanya sendiri pandang rendah?"

Pertanyaannya masuk akal kerana di Putrajaya pun bahasa Melayu lesu! Sikit lagi bahasa Melayu hanya jadi bahasa orang seperti aku, Mat Indon sama Mat Bangla sahaja!

Monday, February 23, 2009

Cak Pong, Cak Pong ... Wat Chetawan

Aku dihubungi seseorang yang aku tak berapa kenal. Dia beritahu tak adil aku hanya tulis tentang Wat Meh Liew, tapi tak tulis tentang Wat Chetawan dan Wat Phet Liam. Kedua-dua wat juga ada pesta yam seng. Aku tahu dan sedar tentang perkara itu. Aku beritahu dia bahawa sekarang Wat Phet Liam sudah tak yam seng lagi, tapi Wat Chetawan masih ada. Dulu Tok Than kedua-dua wat itu kawan rapat dan selalu ............. di dalam kereta sambil ronda-ronda KL. Siapa jadi drebar tolong betulkan jika salah. Jika betul, tanggunglah sendiri dosanya. Kah, kah, kah!

Bila ada hari kebesaran pergilah jenguk di bawah rumpun buluh, mak ooi, pesta minum-minum budak khlong yau itu menakutkan. Siapa bagi duit? Tok Than yang bagi. Woit, duit yang orang sedekah kepada kuil untuk kegunaan agama, bukan untuk beli bir dan arak bagi budak minum. Tok Than tak ambil duit kuil, Tok Than korek poket sendiri, duit angpau. Ehh, duit sami tak boleh digunakan buat beli bir dan arak ... untuk minum sendiri tak boleh, untuk bagi orang minum pun tak boleh. Mana ada dalam ajaran Tok Than sponsor orang teguk bir dan arak sambil buat bising pukul gendang ... cak pong, cak pong ... dalam kuil.

Aku tak pernah nampak ada orang minum arak dalam Masjid, Gereja, Tokong Cina, Vihara Sri Lanka, Kuil Buddha Mahayana Cina, Kuil Hindu, atau Kuil Sik. Harammmmmm. Tapi, benda haram tu biasa bagi kuil Siam. Kenapa ya? Kenapa orang Siam, tok sami Siam, komiti persatuan Siam rela cemarkan tempat suci sendiri? Ada otak ke depa ni?

Sunday, February 22, 2009

Menteri Besar "Dibesarkan" oleh Rakyat

"Saya Menteri Besar yang dilantik oleh Sultan Perak, ini proses yang jelas tetapi ada yang putar belitkan," kata Menteri Besar Perak yang baru kepada pemberita selepas merasmikan program Membina Negara Bangsa peringkat negeri di sini hari ini.

Menteri Besar Perak yang lama juga dilantik oleh Sultan Perak selepas dipilih oleh majoriti rakyat Perak. Lantikan ini mengikut kehendak rakyat dan diterima oleh rakyat untuk rakyat.

Menteri mana sekalipun kalau tak ada rakyat, tak akan jadi besar. Raja juga kalau tanpa rakyat boleh dipanggil raja? Belum ada sebuah negara yang hanya ada raja tetapi tiada rakyat. (Kalau ada tolong beritahu). Jadi, wujudnya raja kerana wujudnya rakyat. Raja dan rakyat bagai isi dengan kuku. Menteri Besar walaupun dilantik oleh raja tetapi kalau tidak disokong oleh rakyat, maka sukar bagi dia menjalankan tugas-tugas membela rakyat.

Thursday, February 19, 2009

Laporan Polis Lagi

Laporan Polis DSAI ke Atas Musa Hassan dan Gani Patail

Datuk Seri Anwar Ibrahim akan membuat satu laporan polis ke atas Tan Sri Gani Patail dan Tan Sri Musa Hassan di Balai Polis Damansara Utama berhubung penglibatan mereka di dalam memalsukan bukti kes lebam mata 1998.

Tempat: Balai Polis Damansara Utama

Jam: 11.30 pagi

Tarikh: 20hb Februari 2009

Pejabat Datuk Seri Anwar Ibrahim

Walau bagaimanapun belum dapat padam rekod YB Karpal Singh yang tercatat dalam Book of Record Malaysia dan World Guiness Book of Record kerana mendapat laporan polis paling banyak berkenaan saman Sultan Perak. Hebat YB Bukit Gelugor ni!

IJM dan PPC hidup dengan projek lama, GAMUDA bagaimana dah dapat projek baru kerajaan BN ke?

Sunday, February 15, 2009

Budak Buta Huruf Buka Mata Menteri

Entri ini aku tulis khas untuk didedikasi kepada keturunan aku, sama ada laki mahupun perempuan yang bergelar siswazah - dalam negara mahupun luar negara. Kenapa aku tuju kepada siswazah sahaja? Kerana siswazah orang bijak, kaya ilmu, gaji tinggi dan berfikiran global. Cakap orang bijak didengari orang ramai. Cakap orang tamat darjah 6 sekolah atap seperti aku jangan kata orang, anjing kurap dalam wat pun tak nak peduli.

Siswazah lain. Mereka berpendidikan tinggi, ada degree, master dan PhD berjela-jela seperti ekor layang-layang. Ilmu penuh di dada amat sesuai digunakan untuk pembangunan bangsa, agama dan negara. Oleh itu, memang patut sekali bila masyarakat menaruh harapan tinggi kepada orang berpelajaran tinggi untuk membantu kemajuan mereka. Sebab itulah apabila ditubuhkan persatuan Siam, golongan yang bergelar siswazah inilah yang dipilih jadi pemimpinnya. Maka masalah pun bermula di sini - masalah bermula di sini kerana siszawah yang dipilih jadi pemimpin persatuan hanya pandai MENGAMPU, MEMBODEK dan MENGGOLEK-MENGGULING sama pemimpin UMNO.

Episod mengampu, membodek dan menggolek-mengguling sama pemimpin Umno bukan cerita baru, melainkan cerita lama yang berterusan sehingga kini. Perbuatan mereka bukan tak berguna. Hasilnya ada, tetapi bukan kepada masyarakat yang diwakili tetapi kepada diri sendiri, kroni dan krono. Sebiji macam Umno, sifu kepada pemimpin Siam. Kekadang aku terfikir kenapa kebanyakan pemimpin Siam yang mengaku beragama Buddha tetapi sangat mementingkan diri, mengampu dan rela dicucuk hidung. Bukankah binatang sahaja yang dicucuk hidung? Bukankah "Buddha" bermaksud "Yang Bijak" tetapi malangnya, penganutnya yang bertaraf pemimpin masyarakat begitu bodoh? Dan kebodohan itu ditambah lagi dengan pemimpin agama yang budak-budak kampung aku panggil "kuman lilin" yang tamak. Bodoh campur tamak jawabnya - fikirlah sendiri!

Dulu, sewaktu BN masih kuat, haram jadah nak nampak muka Menteri masuk kampung Siam, kononnya Menteri pantang memandang anjing dan babi yang berkeliaran di perkampungan Siam. Hanya wakil Menteri yang bau bacang sahaja dihantar jenguk kampung Siam. Sekarang selepas BN lemah, malah hampir lingkup, walaupun anjing dan babi masih berkeliaran, Menteri sudah masuk kampung Siam. Ketakutan kepada anjing dan babi tidak sehebat ketakutan kepada gelombang Pakatan Rakyat. Pakatan Rakyat masuk kampung Siam menyebabkan BN terasa terancam. Kalau dibiarkan, orang Siam yang minoriti tetapi berkesan besar sebagai penentu di kawasan pilihan raya tertentu akan menolak BN (sekarang pun sudah ramai masuk Pakatan Rakyat). Kesedaran orang Siam bukan kerana pemimpin mereka. Pemimpin Siam walaupun ada PhD tetapi haprak belaka kerana yang mereka tahu hanya mengampu, membodek dan menggolek-mengguling sahaja.

Di kampung aku, budak buta huruf yang berjaya buka mata Menteri. Kisahnya bermula tahun 90-an dahulu. Budak buta huruf ini menaikkan bendera Pas di depan rumah dia. Ketua Kampung, anak kampung, dan cucu kampung yang menganut BN, termasuk yang berijazah berjela-jela menentang budak buta huruf ini. Mereka minta, desak dan ugut agar budak jantan buta huruf tidak sokong Pas. Peliknya semakin didesak, semakin ramai pengikutnya. Waktu banjir, kemarau, ribut, dan kemaruk budak buta huruf pikul beras, gula dan duit sagu hati bagi mangsa. Orang kampung, Ketua Kampung dan pemimpin persatuan Siam buka mata sehinggalah Pak Menteri juga buka mata. Akhirnya kerana nak buang malu yang dicalit di atas dahi, Ketua Kampung dan pemimpin persatuan jemput Menteri datang kampung. Menteri setuju dan itulah pertama kali orang kampung, lembu, kambing, kucing dan anjing di kampung aku dapat kenal Menteri. Aku tak pasti sama ada babi di rumah Mak Cik aku di depan wat dapat kenal juga.

Yang hapraknya budak buta huruf yang menjadi penyebab Menteri hulurkan bantuan kepada kampung aku, bukan budak yang ada ijazah. Apakah faedahnya belajar tinggi-tinggi, masuk politik kalau sekdar nak jadi pengampu dan pembodek dan penggolek? Malu aku ada bangsa begini.

Kalau suara aku didengar, aku mahu berpesan kepada bangsa aku begini: Memilih pemimpin masyarakat atau persatuan jangan berpandu kepada ijazah semata-mata, tetapi keperibadian, ketulusan hati, integriti dan semangat cintakan bangsa harus diambil kira. Siswazah pun kalau jenis haprak tidak berguna langsung seperti kata-kata Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat, "Cerdik tak boleh tumpang, bodoh tak boleh ajar." Buta huruf pun kalau kena dengan caranya boleh bertumpang senang!

Saturday, February 14, 2009

Yang (Tak) Mulia Alajji!

Orang-orang baik apabila ditegur, dikomen, dikritik, dikutuk dan dibantah di jalalan tidak sekali-kali melenting, menuding dan menuduh orang lain salah. Orang-orang baik akan membuat muhasabah diri, merenung ke dalam diri untuk mencari kekurangan, kesalahan dan kejahatan sekiranya ada sehingga menyebabkan orang lain tak suka. Sifat orang-orang baik berpegang pada prinsip berani kerana benar. Berani di sini ialah berani menghadapi kenyataan. Seandainya benar dia telah melakukan kesalahan atau kesilapan dia akan segera minta maaf. Tuhan pun memaafkan umatnya, ini pula hanya manusia yang lemah. Orang-orang baik tak degil, tak keras dengan pegangannya. Dia dapat membezakan pegangan betul daripada pegangan salah. Kalau nak mengadu dia hanya mengadu kepada Tuhan.

Sebaliknya, orang-orang tak baik apabila dikritik, dikomen dan dilakukan bantahan beramai-ramai, dia segera membalas. Dia menuduh orang lain salah, biadab, kurang ajar, derhaka, puaka, keramat, setan, iblis dan macam-macam tanpa terlebih dahulu melihat ke dalam diri sendiri. Orang-orang tak baik tak suka menilai diri, tak minat muhasabah diri. Dia perasan bahawa dialah manusia terbaik, terhebat dan terhero dan orang lain yang bertentang pendapat atau tingkah laku dengan dia adalah manusia hina. Selain tak mengaku kesilapan diri, orang-orang tak baik gemar lontar batu sembunyi tangan atau jamah tahi, palit pada orang lain.

Orang-orang tak baik ini boleh jadi berpendidikan tinggi, tokoh agama, pakar moral, penceramah motivasi, orang politik, dan orang tak berpolitik tetapi kerana sifatnya yang tak kenal "diri" maka sesat dalam kesombongan dan keangkuhan. Firaun, Raja Mesir yang zalim salah seorang yang tergolong di dalam orang-orang tak baik.

Orang "suci" yang ada kedudukan tinggi dalam masyarakat Siam juga ramai yang serumpun dengan orang-orang tak baik. Di Kedah sekurang-kurangnya ada 5 individu yang baru sahaja dianugerahi Gelaran Kehormat sebagai ALAJJI. Gelaran ini diberikan kerana menghargai peranan mereka dalam politik masyarakat Siam. Jadi mereka berhak dipanggil Yang (Tak) Mulia Alajji. Alajji dalam bahasa dunia ialah penipu, penyamar, penyagak, dan perompak. Mereka menipu dan merompak masyarakat yang mempercayai dan menghormati mereka sepenuh jiwa raga dan sanggup berkorban harta dan nyawa. Bayangkan betapa kejinya manusia Alajji ini. Di Kelantan, Perak, Perlis dan negeri lain belum ada yang dianugerahkan gelaran Alajji walaupun ada juga orang-orang suci yang berdebu di sana. Mungkin sikit masa lagi.

Alajji ini bukan setakat keji, malah garang. Siapa sentuh mereka biarpun sentuhan untuk kebaikan, mereka ugut bawa ke mahkamah, ugut jemput Pencegah Rasuah datang siasat. Najis di kaki orang lain nampak, najis di dahi sendiri tak sedar.

Orang-orang tak baik ini teramat berbahaya. Awas rakyat Malaysia. Elakkan diri daripada orang-orang tak baik. Jangan kata berbicara, bergaul atau berkawan dengan mereka, sekadar berselisih jalan pun sudah sial. Mereka yang menyembah orang-orang tak baik ini seribu kali sial!

Orang-orang tak baik itu dibenih, dibajai dan disubur oleh ideologi manusia berfikiran sempit, zalim dan menindas.

Friday, February 13, 2009

Raja Oh Raja!

Sewaktu berkunjung ke Bangkok beberapa bulan lalu, ketika krisis "baju merah" sama "baju kuning" memuncak, seorang kawan tiba-tiba bertanya begini: Engkau suka raja?"

"Raja yang mana satu? Raja judi, raja lawak, atau raja sehari?"

"Raja betul."

"Ada raja tak betul?"

"Raja Rama Siam bukan keturunan Raja Ayuthaya."

"Aku tahu."

"Raja Rama keturunan Panglima, bekas Panglima Perang Raja Krung Thon, Phra Chau Taksin. Dia rampas kuasa dengan alasan untuk selamatkan bumi Siam kerana Phra Chau Taksin gila. Satu pembohongan. Phra Chau Taksin tak gila!"

"Sshhhh! Bahaya! Aku datang Bangkok makan angin. Aku tak mahu makan nasi merah dalam penjara!"

"Betul. Keturunan raja yang dikatakan berasal dari keturunan Dewa di Syurga telah berakhir pada Zaman Ayuthaya."

"Aku tak bantah. Tapi apa yang kita dapat dengan membangkitkan perkara ini?"

"Rakyat ditipu, kononnya raja keturunan syurga, suci dan kudus yang wajib disembah. Itu mitos ciptaan manusia yang sekian lama membodohkan bangsa Thai. Institusi agama turut diperalatkan untuk propaganda tersebut. Buruk akibatnya apabila institusi subahat dalam propaganda membodohkan rakyat!"

"Raja Rama banyak berjasa kepada negara dan Rakyat Thailand. Baginda aktif. Tak seperti sesetengah raja yang hanya tahu ambil elaun tapi masalah rakyat langsung tak dipedulikan."

"Kerana mementingkan diri keterlaluan ramai raja di dunia tumbang satu persatu. Raja Farouk, raja Mesir yang diturunkan takhta berkata: Akhirnya dunia ini hanya tinggal 5 orang raja. Empat raja dalam daun terup dan satu raja England."

"Begitulah lebih kurang."

"Aku yakin hanya 4 raja dalam daun terup yang tinggal. Amerika tak suka negara ada raja. Bagi mereka rakyat yang hidup dalam negara beraja adalah manusia yang fikirannya dikongkong!"

"Tentulah kerana Amerika ada Presiden!"

"Aku bukan tak suka raja, tapi aku benci pihak istana!"

"Pihak istana?"

"Aku tak suka pihak istana yang selalu campur tangan dalam politik. Kata sistem demokrasi, tapi hak rakyat dinafikan kerana nak memenuhi kehendak pihak istana. Itulah apa yang berlaku di Thailand sekarang. Kamu tahu, hanya rakyat biasa yang miskin yang betul-betul hormat raja, sedangkan orang kaya, orang besar cuma hormat luaran sahaja. Kalau orang besar hormat raja, tak akan berlaku rampasan kuasa kerana setiap kerajaan dilantik oleh raja. Malah raja sendiri pernah "dirampas" dan dilarikan ke kapal perang!"

Akhirnya dia mengaku bahawa politik Thailand masih kuat dipengaruhi oleh pihak istana dan tentera. Keadaan bertambah teruk apabila orang kuat istana ialah bekas Jeneral. Apabila istana dan tentera bersatu, maka rakyat tak terjelir lidah!

Monday, February 9, 2009

Jadi Senator Kerana Gaji?

KUALA LIPIS 8 Feb. - Kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM27 juta untuk projek pembinaan 814 buah rumah Orang Asli tahun ini di bawah Projek Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT).

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli Pahang, Datuk Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pelaksanaan projek itu bakal memberikan keselesaan kepada masyarakat Orang Asli, di samping berpeluang meningkatkan taraf hidup menerusi sektor ekonomi, pendidikan dan sosial.

(Utusan Malaysia)

Untungnya jadi Orang Asli kerana kerajaan ada hati nak bantu untuk meningkatkan taraf hidup mereka.

Orang Siam? Orang Siam pun ramai yang miskin tetapi kerajaan seperti tak ada mata. Pemimpin Siam pula asyik berperang saraf pasal jawatan senator. Aku mahu, kamu mahu, engkau mahu, dia mahu, semua mahu. Beberapa hari lalu bising pasal nama-nama Siam, calon senator yang ada di atas meja Perdana Menteri. Ada kata 10, ada kata 5, ada kata tiga. Pedulikan ada berapa, asalkan ada sudah lega. Sekarang tuan punya nama sedang pasang angan-angan dan mulalah bermimpi siang hari.

Kata bekas Senator merangkap Presiden PSM, senator seharusnya datang dari Presiden PSM. Siapa Presiden PSM? Jadah punya cakap.

Yang paling melucukan apabila ada calon senator yang dipilih dalam mesyuarat PSM tetapi nama dia tak ada di atas meja PM. Pelik tapi benar. Lebih pelik apabila dia berkata bahawa tak dapat jadi senator tak apa kerana pencen dia dah cukup makan! Pecah tembelang brader ni!

Jawapan yang paling jadah, paling babi, paling anjing, paling setan, dan paling segala paling kerana rupa-rupanya gaji senator yang difokusnya. Kalau semua calon senator Siam fokus pada gaji senator sahaja, mampuslah orang Siam yang diwakilinya. Senator patut fokus pada pembanguan komuniti Siam, bukannya gaji, elaun atau pencen senator.

Orang Asli di Pahang pun dapat RM27 juta, orang Siam seMalaysia RM1 juta pun tak pernah dengar. Paling banyak RM500,000. Itupun khabar angin. Duitnya entah di mana siapa tahu angkat tangan.

Saturday, February 7, 2009

Sultan Terkejut Reaksi Rakyat

Demikianlah juga Sultan Perak yang telah memerintah hampir 25 tahun sebagai Sultan yang dihormati, sekali beliau bertindak secara tidak adil rakyat Perak kiri dan kanan sudah mula mencemuh.

Dikatakan Sultan Perak dan Raja Muda begitu terkejut dengan reaksi rakyat Perak menentang tindakan baginda.Baginda menyangka bahawa rakyat Perak akan akur dengan keputusannya, tetapi peristiwa di Kuala Kangsar ini sememangnya di luar dugaan baginda. Kedudukan baginda sama seperti kedudukan Dr Mahathir pada tahun 1998.

Baginda Raja Muda Nazrin yang menaiki takhta dengan melangkaui giliran pastinya terkejut keretanya telah dibaling batu oleh para penunjuk perasaan. Baginda yang sejak sehari dua ini bertitah dengan tulus dan mulus menyatakan peranan Raja yang mesti mendukung keadilan, dapat melihat sendiri apabila rakyat memberontak setelah dirasakan Raja tidak adil dan berpihak.

Sehari dua ini kalau baginda turun kepada rakyat, tidak mustahil peristiwa yang berlaku kepada Bush akan turut berlaku kepada baginda. Cuma rakyat Perak mungkin tidak baling kasut sebab ramai di kalangan mereka yang tidak berkasut cuma berselipar. Kalau rakyat Perak membaling selipar apalagi jenis selipar jamban, maka sudah tentu Raja Nazrin akan rasa lebih terhina.

Demikianlah juga ayahanda Baginda Sultan Azlan, baginda juga pasti terkejut apabila rakyat sudah berani mempertikaikan kewibawaan baginda. Dalam laman-laman web kutukan demi kutukan telah dilempar kepada Sultan Azlan. Malah lebih mengejutkan lagi dalam web rasmi Sultan Perak, rakyat telah mencaci nista baginda di dalam buku pelawat web tersebut.

NOTA : KOMPENI GAMUDA NI NAK BENGKRAP KE ?

(Sumber: Tukar Tiub)

Thursday, February 5, 2009

Daulat Tuanku!

Daulat Tuanku!

Dalam blog hari ini rata-rata heboh dengan politik Perak dan ungkapan keramat: "Raja adil raja disembah, raja zalim raja disanggah". Ramai penyokong parti PR tak puas hati apabila Adun Perak tidak dibubarkan. Lantaran berbakul-bakul luahan perasaan yang lembut dan keras terhadap raja. Ada yang tersangat keras sehingga tak sanggup dibaca. Perkataan yang dianggap sensitif selama ini terhadap institusi diraja, kini berhamburan di dalam blog.

Daulat Tuanku!

Pertimbangkan kepentingan rakyat tuanku. Kepentingan pemimpin letakkan di belakang. Rakyat mahu kuasa dikembalikan kepada rakyat.

Petang ini penyokong PR akan berkumpul di depan rumah MB untuk menyatakan sokongan kepada beliau.

Tengku Razaleigh tak setuju cara BN nak ambil alih kerajaan di Perak. Banyak lagi orang kuat BN lain tak setuju tapi tak berani buka mulut takut disondol SPRM. Hanya Ku Li dan Tun Mahathir saja yang berani.

Kualiti Rendah, Pengkhianat dan Kasut


BERITA HARIAN

Kurang bijak bawa wakil rakyat berkualiti rendah: Tun M

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata kurang bijak bagi Barisan Nasional (BN) untuk mendapatkan majoriti dengan membawa masuk pemimpin berkualiti rendah.

Beliau berkata demikian semasa diminta mengulas langkah empat wakil rakyat daripada Pakatan Rakyat yang meninggalkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP. Jamaluddin Mohd Radzi (PKR-Behrang), Mohd Osman Jailu (PKR-Changkat Jering) dan Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri, Hee Yit Foong (DAP-Jelapang) mengisytiharkan hasrat untuk menjadi wakil rakyat Bebas, manakala Datuk Nasaruddin Hashim (Bota) yang baru-baru ini menyertai PKR kembali semula kepada Umno.

Berikutan perkembangan itu, majoriti kerusi pakatan Pas-PKR-DAP dalam 59 kerusi Dewan Undangan Negeri merosot daripada 32 kepada 28 manakala kerusi BN meningkat kepada 28 daripada 27.

Pada sidang akhbar petang tadi, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata BN memperoleh wakil rakyat mencukupi untuk membentuk kerajaan negeri Perak yang baru berikutan tiga wakil rakyat Bebas itu telah berikrar akan menyokong BN.

Dr Mahathir berkata: “Dua wakil rakyat dituduh rasuah. Jika anda bawa masuk orang yang rasuah sebelum mereka didapati bersalah, ia tidak akan meningkatkan kualiti parti. Jika mahu menerima orang yang berhasrat menyertai parti kita, perlu ketahui kualiti orang itu,” katanya.

Jamaluddin dan Mohd Osman menghadapi pertuduhan rasuah dan kes mereka sedang menunggu perbicaraan di mahkamah.

Beliau juga mengingatkan bahawa jika kedua-dua mereka didapati tidak bersalah oleh mahkamah selepas menyertai BN, rakyat akan berkata sistem kehakiman telah dimanipulasi. - Bernama

Kah, kah, kah kualiti. Keh, keh, keh kualiti! Tun cakap pasal orang berkualiti rendah. BN gembira dapat orang berkualiti rendah. Orang berkualiti tinggi tak masuk BN, Tun!
Inilah dasar BN ambil orang tak ada kualiti agar dapat dipadankan dengan perasuah yang sedia menanti dalam BN. Dasar jangka panjang, gemilang, cemerlang, terbilang yang bakal menonggengkan BN pada pilihan raya umum ke-13 kelak!

Cukuplah cemarkan Islam Hadhari!
Kata Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, pemimpin yang berpaling tadah adalah pengkhianat dan patut dilemparkan kasut!


Tuesday, February 3, 2009

Mai Tengok Hantu

Siapa tak pernah nampak hantu, mai tengok hantu! Jangan percaya hantu dalam gambar ni syirik, percaya hantu politik tak apa!





















Monday, February 2, 2009

YB Bukan Haiwan Peliharaan!

"MCA tidak akan terima wakil rakyat dari parti lain yang berhasrat menyertai parti MCA!" kata Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Kiat.

Gua tabik sama lu, YB! Inilah baru dikatakan gentlemen, tak terima YB melompat. Meloponglah YB yang dok berkira-kira nak melompat.

Sekarang ni banyak cerita dalam cerita, tapi bukan Cerita Berbingkai. Cerita Berbingkai ada pengajaran yang hendak disampaikan. Sebaliknya cerita dalam cerita jenuh dengan kelentong dan kongkalikong.

Maka tersebut kisah Pemimpin Tertinggi parti politik menawarkan RM50 juta kepada Ketua Bahagian parti lain untuk pujuk Adun melompat parti. Banyak tuuu! Betoi ke? Kalau dia sanggup melompat, ertinya dia tak ada pendirian dalam perjuangan. Orang tak ada pendirian melompat ke mana-mana pun sama - tetap tak ada pendirian. Orang begini tempatnya hanya satu ... tanya sama itu Tok Guru!

Ada Pemimpin Tertinggi lain begitu bangga bila ditanya ura-ura ada YB pihak lawan nak melompat ke partinya, "Parti kita sentiasa terbuka menerima semua orang!" Apa punya pemimpin. Dulu masa orang bertanya pasal YB partinya nak melompat ke parti lawan, dia kutuk habis-habis!

Kecoh sungguh politik kita. Seorang kawan beritahu YB kini boleh dijual beli. Ada YB sedang dalam proses tawar-menawar. Ada YB sedang berfikir-fikir sama ada nak melompat atau tidak, takut yang dikejar tak dapat, yang dikendong keciciran! Jadi YB nak kejar menatang apa, takut jadah apa tercicir. Bukankah jadi YB nak beri khidmat kepada rakyat.

Di kampung aku selalunya babi yang ditawar-menawar antara pembela babi yang miskin dengan Tauke Cina yang kaya.

Aku tak percayalah sama itu kawan. YB bukan haiwan peliharaan - kerbau, lembu, kambing, babi, ayam, itik, ikan, katak atau cacing mahupun lintah yang boleh ditawar-menawar harganya!