Monday, May 18, 2009

Karma Apa Ni?

Selepas 52 tahun merdeka baru dapat bekalan air paip. Seperti tak percaya, tapi itulah realiti masyarakat Siam, penyokong setia Umno. Jikalau Perdana Menteri umumkan BN tak tanding DUN Penanti lebih awal, taubat tak dapat bekalan air bersih tu.

Oleh sebab Umno tak pasti BN nak tanding atau tidak, ada baiknya tabur budi dahulu. Kebetulan Kampung Teluk Wang, Permatang Pauh tak ada bekalan air paip, lantas diberilah bekalan air tu. Gembiralah orang-orang kampung. Aku tumpang gembira juga walaupun dalam hati kecil aku terpendam rasa kesal. Orang sibuk cakap tentang bekalan air paip percuma, tapi orang Siam Teluk Wang baru merasa kemudahan asas itu.

Setiap kali tiba pilihan raya, isytihar diri sokong Umno dan BN. Bila pemimpin Umno datang kampung jilat bukan main. Jilat punya jilat lepas 52 tahun merdeka baru ada air paip. Kenapa tak tunggu sampai Jubli Emas 100 tahun merdeka?

Sunday, May 17, 2009

ฺBila Durian Nak Jatuh?

Masa kanak-kanak dulu, rasanya masih di sekolah rendah, aku, adik perempuan aku dan sepupu kami suka sangat pergi tunggu durian di kebun nenek kami. Pantang nampak langit gelap, kami berlari ke kebun durian yang jauhnya dua ratus meter. Sebelah kebun durian, ada kebun manggis. Kami tak minat manggis. Durian juga yang kami minat. Bukan nak makan, tapi nak kutip dan simpan bagi nenek bawa pergi jual di Pasar Kota Bharu. Nenek seorang peraih di Kota Bharu. Bakat nenek kini diwarisi adik aku, tauke sayur berjaya.

Kami tunggu durian di dalam bangsal kecil. Bila durian jatuh, kami berebut mengutipnya. Aku selalu dapat kerana maklumlah sepupu aku walaupun sebaya, tapi kakinya lebih pendek dan adik perempuan aku 4 tahun lebih muda. Larian aku lebih pantas. Bila aku malas, barulah dia orang ada peluang kutip durian. Kenapa nak berebut kutip durian? Kerana nenek bayar sebiji 20 sen sebagai upah. Kami bukan berebut durian tapi berebut upah.

Bila durian tak jatuh kami kecewa. Kami tunggu juga sampai angin datang. Bila tak jatuh juga kami pulang dengan muka moyok. Durian bukan dengar cakap kita. Kita suruh dia gugur, tapi dia tak gugur. Kita rayu dia jatuh, tapi dia tak jatuh. Hujan lebat dan angin ribut pun kalau jenis tangkainya keras, ia tak jatuh. Kami kecewa campur marah. Apalah durian ni tak jatuh-jatuh.

Orang Siam sekarang umpama menanti durian jatuh, tapi durian tak jatuh-jatuh. Calon senator telah dihantar kepada PM, tetapi PM dulu. PM sekarang tak pernah lihat senarai tu. Orang Siam pun PM tak berapa kenal. Setakat kenal muka, itupun jenis muka tebal lagi berkerutu, susah bagi PM buat keputusan. Jawatan senator kena pikul tanggunjawab yang berat. Setakat nak menyibukkan Parlimen buat apa. Nak hantar senarai baru kepada PM, ada juga rasa malu. PM tak pernah tanya khabar soal senator Siam. Siapa berani menambahkan tebal muka yang sedia tebal hantar nama ke pejabat PM. Akibatnya isu senator yang pernah bising dan dibisingkan dulu sunyi sepi.

Inilah karma namanya. Bila orang beri jawatan senator, kita tak pandai nak manfaatkan jawatan tu dengan baik. Kita gunakan jawatan tu untuk pecah-belahkan orang Siam. Kita kotak-katikkan orang Siam ikut fahaman politik, anutan agama (berlainan wat), semangat kenegerian, daerah, dan kampung. Orang Umno, orang Pas, PKR, Gerakan dan lain-lain kita lakukan diskriminasi sesuka hati. Kita reti junjung Umno saja, parti lain kita pijak. Kita memandai-mandai bunuh demokrasi dan kebebasan di kalangan masyarakat Siam. Kita nak semua orang Siam fikir serupa kita. Mustahil. Orang alim kucing dalam wat kita kepit ketiak, kita heret ke sana ke mari, siang dan malam (nasib baik tak kepit di celah kangkang).

Akibatnya orang Kelantan jauh hati, orang Kedah jauh jiwa, orang Perak jauh mata, orang Terengganu jauh telinga. Hanya orang Perlis yang dekat di hati, orang Jejawi dekat di jiwa, orang alim dalam wat dekat di mata (bukan dekat di dada), dan orang gurkha-gurkha Siam dekat di telinga. Jawatan senator diberi untuk salurkan masalah orang Siam ke Parlimen bukan untuk pecah-belahkan orang Siam.

Orang Siam mesti bersatu barulah jawatan senator dipulangkan. Itu syarat utama. Bersatu buat apa? Bersatu sokong Umno dan BN. Dalam Pilihan Raya Umum Ke-12 ramai orang Siam pangkah Pakatan Rakyat. Ini bukti bahawa senator tak ada wibawa pengaruhi orang Siam. Senator mesti pastikan undi Siam pangkah calon BN. Pangkah calon lain tak boleh. Walaupun seekor syaitan diletakkan sebagai calon, orang Siam wajib pangkah kalau nak jawatan senator. Dalam situasi sekarang di mana orang Siam semakin bijak, mustahil ada pemimpin Siam yang mampu kontrol semua undi Siam agar tak jatuh ke tangan PR.

Kesalahannya bukan di bahu senator seorang. Para pengampu di sekeliling pinggangnya juga bersalah. Demo ini hanya tahu jaga halaman rumah sendiri sahaja. Halaman rumah orang lain tak peduli. Asal ada jalan tar ke rumah dia, jalan lumpur ke rumah orang lain peduli apa. Asal ada masuk perut sendiri, perut orang lain bermain keroncong bukan hal penting. Inilah jadahnya. Makan seorang, cuci mangkuk beramai-ramai.

Orang Siam yang menggelar diri juga ada saham dalam hal ini. Sikap sombong bodoh yang menebal dalam jiwa pemimpin Siam yang "masuk bakul angkat sendiri" ni jika tak dihapuskan, masa depan Siam tetap akan tergadai. Sikap sombong bodoh punca orang Siam tak boleh bersatu padu. Tak ada senator, minta senator. Bila kerajaan beri senator, pakat-pakat kutuk senator. Senator bukan dewa atau superman yang mampu laksanakan semua kehendak kita. Masuk sekolah kebangsaan, sekolah jenis kebangsaan, sekolah wat, kolej, maktab, universiti; ada sijil, ada ijazah, ada PhD tapi sikap sombong bodoh tak dapat dihakis. Sombong bodoh tak sama dengan bodoh sombong. Bila nak sombong, pilihlah sombong cerdik.

Siam sedang menunggu durian jatuh. Bila agaknya durian akan jatuh? Jangan sampai penunggu durian diusung ke kubur barulah durian nak jatuh. Siapa yang ada mata tolong jenguk ke atas pokok kejap, masih adakah durian?

Thursday, May 14, 2009

Dhammakai, Dhamma Kaya Dan Senator

Aku pernah sembang dengan orang kuat Dhammakai, Encik Siri Neng Buah tentang selok belok Dhammakai. Encik Siri begitu bangga bawa Dhammakai masuk Malaysia.

Sambil menuding ibu jari kanan ke dada sendiri, dia berkata: "Phi Rik orang penting Dhammakai. Bila Phi Rik pergi Wat Dhammakai, Phi Rik dilayan seperti VIP!"

Baguslah. Dhammakai tahu menghargai jasa orang.

Aku tanya kenapa dia suka Wat Dhammakai? Dia kata, Wat Dhammakai bakal jadi tempat "perhimpunan" penganut agama Buddha dari seluruh dunia sebagaimana Mekah dalam Islam. Dhammakai sedang usaha ke arah itu. Aku anumothana sathuk. Wat-wat Siam lain tak mampu lakukannya kerana dalam wat sekarang ini lebih banyak bangunan daripada orang.

Selain itu, katanya dalam dewan Wat Dhammakai, orang puluhan ribu, tapi jarum jatuh boleh dengar. Wah, hening sekali sehingga suara jarum jatuh boleh didengar. Mesti disiplin orangnya. Wat kita, jangan kata jarum jatuh, ribut petir pun tak mampu tenggelamkan suara orang ramai.

Selain Encik Siri, aku juga ada jumpa pengikut Dhammakai yang lain. Orang tua. Anak murid Tok Raja (Than Kron, Bangsek). Bukan sebarangan orang. Tinggal dengan Tok Raja selama 16 tahun dari remaja, jadi Phra sehingga keluar dari Phra. Bila jumpa Dhammakai terus melekat. Dia puji Dhammakai menggunung. Selama 16 tahun jadi anak murid Tok Raja apa pun tak ada?

"Bhikkhu mereka duduk seperti kain lipat!"

Amboi, tertipnya. Patutlah orang puji sangat Bhikkhu Dhammakai.

Orang mabuk?

"His, orang mabuk tak masuk Wat Dhammakai!"

Baguslah. Wat kita orang mabuk tinggal dalam wat. Jadi penghuni wat.

"Tambun dengan Wat Dhammakai boleh cepat kaya!"

Wah, Dhamma kaya! Patutlah ramai orang suka.

Ini bisik-bisik yang aku dengar. Kawan aku dijadikan contoh "orang kaya" Dhammakai. Aku tak nak komen. Tapi aku bangga kerana dia tak jadi kaki mabuk lagi selepas kenal Dhammakai. Kaki perempuan? Itu mesti tanya bini dia.

Aku tak nak cerita panjang lebar kerana rata-rata orang Siam kenal Dhammakai. Ada yang pro, ada yang kontra. Aku atas pagar. Aku pernah pergi Wat Dhammakai di Bangkok. Aku setuju bila orang kata Wat Dhammakai menekankan disiplin, tertip dan peraturan. Cuma aku sedikit hairan, kenapa orang yang dibesarkan di wat biasa begitu melekat dengan Dhammakai.

Apakah kurangnya pendidikan di wat-wat Siam selama ini?

Dhammakai di Malaysia akan naik setakak lagi bila Encik Siri jadi Senator Siam.

Kita Bukan Fakir Miskin

Hari Wesak yang lepas aku ronda Wat Theravada di sekitar Kuala Lumpur. Wat Theravada - Ceylon aku beri markah tinggi. AJK mereka lebih profesional daripada Wat Theravada - Thai; persiapan majlis, tetamu jemputan dan para hadirin kelihatan ada kelas. Wat Thai - wan nai-nai Phi Thai kor mau (Hari apa-apa pun abang Siam mabuk).

Setiap kali Hari Wesak, kutipan derma wat ternama ratusan ribu. Duit itu digunakan untuk pembangunan wat. Ada juga digunakan untuk pembangunan insan. Pembangunan remaja atau belia Siam ada juga menggunakan duit wat. Untung jadi remaja Siam boleh pakai duit wat yang diderma oleh orang Cina untuk aktiviti mereka. Remaja Cina habuk pun tak dapat. Kalau bagi pun, aku rasa emak bapak Cina tak bagi ambil. Duit orang derma kepada wat mana boleh diambil buat aktiviti budak kampung.

Kalau aktiviti berkaitan dengan Kelas Dhamma dalam wat tersebut, okeylah juga. Ini aktiviti "pendidikan" dan "motivasi" budak-budak datang dari luar. Ketua Sami dan AJK sekongkol pakai duit "pembangunan agama" untuk aktiviti anak bangsa sendiri. Tak malu budak-budak Cina dan budak-budak India ke?

Malu apa kerana kepala otak telah dibasuh. Pakai sajalah duit wat tu kerana itu Wat Siam dan eloklah dibelanjakan untuk aktiviti anak-anak Siam. Wat Siam tu betul, tapi duit yang dimasukkan ke dalam donation box tu bukan duit emak bapak Siam.

Kalau anak-anak Siam tu anak orang miskin aku tak kata juga. Patut juga wat tolong orang miskin. Tapi anak-anak dari keluarga berada dan kaya pakai duit wat untuk motivasi. Emak bapak mereka ada kereta dua tiga buah. Ada yang bapaknya jadi pegawai tinggi kerajaan, pengarah, pengurus, usahawan berjaya, peniaga ternama tapi dalm bab motivasi anak tumpang duit wat. Apa jenis emak bapak ni.

Budak-budak mungkin tak sedar akan kesannya. Orang tua yang berpendidikan tinggi patut sedar. Patut berusaha sendiri. Kenapa nak tumpang wat. Kita bukan fakir miskin. Apa guna gaji besar kalau pendidikan atau motivasi anak-anak pun tak sanggup nak berhabis duit. Dengan alasan apa sekalipun, selagi kita mampu kita sebagai penganut agama Buddha tidak patut menggunakan duit wat (duit Sangha). Lainlah kalau kita fakir miskin, kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Bagi peluang kepada anak-anak dari keluarga miskin.

Berdosakah pakai duit wat untuk motivasi budak-budak Siam? Aku tak nak cakap pasal dosa kerana aku tak nampak. Yang aku nampak bila ada hari kebesaran, Hari Wesak contohnya, tak ada pula budak-budak yang dimotivasikan oleh duit wat datang tolong. Masa aktiviti penuh dewan, masa kerja dua tiga ketul saja yang datang. Sibuk mungkin. Dulu belajar, sekarang bekerja.

Ini bukan aku seorang berfikir begini. Orang lain juga ada berfikir seperti aku tapi mereka tak berani buka mulut. Kita tak boleh didik anak-anak Siam jadi "generasi subsidi wat" kerana bakal memusnahkan mereka. Walaupun setahun sekali, atau beberapa tahun sekali, aktiviti anak-anak Siam tak elok menggunakan peruntukan wat. Ketua Sami dan AJK Wat sendiri ada yang merungut, tapi berat nak buka mulut takut singgung hati budak-budak. Singgung hati sekali lebih baik dari jadi generasi subsidi seumur hidup.

Ini pandangan aku dan geng Komuniti Siam Baru. Pandangan orang lain mungkin lain. Untuk makluman, aku dan geng-geng aku tak pernah hantar anak-anak kami sertai aktiviti yang menggunakan duit wat. Bukan kami kaya tapi kami masih mampu setakat nak bagi motivasi kepada anak-anak.