Sunday, August 23, 2009

Jangan Berfikir Ke Belakang

Sewaktu orang berfikir ke depan, masih ada orang Siam yang berfikir ke belakang. Di sini aku turunkan beberapa perkara yang menyokong dakwaan aku bahawa masih ada orang Siam yang berfikir ke belakang.

1. Kerajaan sedang pertimbangkan mahu hapuskan ruang "bangsa" atau "kaum" dalam borang rasmi. Tun Mahathir sendiri sokong.

Tetapi ada orang Siam yang bising-bising mahu kerajaan memasukkan nama "Siam" dalam borang rasmi.

2. Malaysia bakal menyambut Hari Merdeka ke-52 sebagai tanda pembebasan daripada penjajahan British.

Tetapi ada orang Siam yang masih merelakan diri dan kaumnya dijajah oleh parti politik tertentu. Perbuatan membodek dan mengampu berleluasa dalam masyarakat Siam, termasuk dalam persatuan Siam yang kononnya bebas politik.

3. Rakyat Malaysia memperjuangkan hak sama rata yang bermakna Bumi atau bukan Bumi tak ada perbezaan dalam mengecapi kekayaan negara.

Tetapi ada orang Siam yang tanpa segan silu merayu kerajaan beri mereka status Bumi. Janganlah memalukan kaum sendiri dengan merayu kepada bangsa lain. Dalam sejarah tamadun manusia bangsa kita pun tak kurang hebatnya daripda bangsa lain.

4. Kerajaan BN sedang berusaha menarik balik subsidi atau "tongkat" yang diberi kepada Bumi kerana sedar ia bukan jaminan masa depan Bumi lebih cemerlang. Sebaliknya, ia akan menjadikan Bumi umpama "pokok menjalar" yang hidupnya menumpang pokok lain (kerajaan).

Tetapi ada orang Siam yang jerit sana, jerit sini sambil hulur tangan minta subsidi. ramai orang siam yang kaya dan berjaya dalam hidup. Adakah mereka berjaya kerana subsidi kerajaan?

5. Orang lain sedang giat menjaga kesucian agama mereka dengan melakukan "pembersihan" mengeluarkan kemungkaran dan memasukkan kebenaran dari institusi agama.

Tetapi ada orang Siam yang mati-matian mempertahankan pengkhianat agama atau dalam istilah agama dinamakan alajji.

6. Orang Sabah pernah menolak jawatan Timbalan Menteri. Orang Semenanjung pernah meletakkan jawatan Menteri. Ini buktinya bahawa, prinsip perjuangan tulen lebih mulia daripada jawatan dalam Kabinet.

Tetapi ada orang Siam yang sanggup berbalah, berkelahi, mengutuk, mencarut dan saling menelanjangkan sesama sendiri kerana jawatan Senator yang tak lebih daripada "rubber stamp" Parlimen.

7. Seluruh dunia kempen anti rokok dan alkohol. Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor bergaduh pasal penjualan arak di kawasan majoriti Islam.

Tetapi ada orang Siam yang pandang enteng perkara ini. Pantang ada kenduri mesti ada pesta minum arak. Perayaan masuk Sami (upasombot) yang suci dan dapat pahala seperti tak sah bila tak ada pesta arak. Pemimpin siam pula kalau tak jamu arak mereka tak puji. Macam mana kesucian dan pahalanya dapat dipelihara bila bercampur dengan benda haram. Ingat agama Buddha melarang keras umatnya minum arak sebagaimana tercatat dalam perkara kelima Sila 5.

8. Dalam satu kajian yang dijalankan oleh ahli akademik tempatan (laporan Berita Harian) orang Melayu dan India meletakkan kepercayaan kepada Tuhan di tempat pertama dalam senarai keutamaan kehidupan dan diikuti dengan pelajaran dan lain-lain. Manakala orang Cina meletakkan "pencapaian" di tempat pertama. dan diikuti oleh pelajaran dan sebagainya.

Tetapi ada orang Siam yang meletakkan "dengki sesama sendiri" di tempat pertama. Lihatlah persatuan Siam yang ada di Malaysia. Apakah keutamaan mereka kalau bukan "hasad dengki" dan perasaan benci dan dendam sesama sendiri. Beratu padu? Tak usah diharap. Pemimpin kita tak kenal pengertian bersatu padu.

9. Orang seantero dunia berbicara tentang isu globalisasi, liberalisasi ekonomi dan hak asasi manusia yang semakin mencabar dan cara-cara berhadapan situasi mencabar ini.

Tetapi ada orang Siam yang masih berfikir tentang "celah kangkang sendiri" - perkara remeh temeh yang berlingkar di sekitar semangat kroni, kumpulan, puak dan kenegerian selalu jadi topik utama bicara.

10. Orang lain berlumba-lumba meninggikan pelajaran anak bangsa kerana sedar hanya melalui pelajaran sesuatu bangsa dapat berlari sama laju dengan bangsa lain. Pelajalar yang gagal dalam SPM contohnya dicarikan alternatif lain untuk mengilap bakat.

Tetapi ada orang Siam yang masih tidur berdengkur dan tak sedar akan kepentingan pelajaran. Pelajar yang kandas dalam SPM dibiarkan jadi "sampah masyarakat" tanpa ada usaha bersungguh-sungguh dan jitu dari pemimpin Siam. Sekarang ini sampah pun boleh dikitar semula. Tetapi anak remaja Siam yang terjerumus ke dalam perbuatan immoral - ketagih pil khayal, rokok, arak dan judi seperti tak ada pembelaan.

(Setiap orang dalam jiwanya ada "chit Buddha" (minda Buddha) iaitu "benih kebaikan" yang boleh mendidik semua orang (termasuk orang jahat seperti Ong Gulimala) menjadi manusia yang mulia dan berguna bila digunakan cara dan pendekatan yang betul).

Akhir sekali, aku berharap orang Siam - yang memimpin dan yang dipimpin - yang telah berfikir ke depan, tolong bantulah sahabat kita yang masih berfikir ke belakang. Selagi pemikiran tidak diarah atau terarah ke depan, selagi itulah kaum kita akan ketinggalan dalam semua bidang.

P/S: aku sendiri kadang-kadang tanpa sedar berfikir ke belakang juga. Jadi, tak salah bila kita tegur-menegur dalam hal ini!