Tuesday, September 29, 2009

Pesta Loy Krathong: Konsert Lawan "Dhamma Talk"

20 September 2009. Ini tarikh penting, tarikh bersejarah. Ini sejarah masyarakat Siam Kelantan. Masyarakat Siam lain terkecuali. Sejarah ini bakal tercatat dalam "Siam Tuak Masam Book of Record". Sejarah masyarakat memulihara pesta tradisi warisan Sukhothai.

Lazimnya Loy Krathong diadakan pada bulan 12 (kalendar Siam), lebih kurang bulan November. Tapi Loy Krathong di Terengganu ini diadakan pada bulan 11 (kalendar Siam), iaitu pada 20 September yang lepas. Pesta ini bakal tercatat dalam "Siam Tuak Masam Book of Record" bukan kerana kepelikannya ia diadakan pada bulan 11 Siam, tapi ada banyak faktor lain yang menyokong, antaranya ialah:

1. Pesta Loy Krathong ini disokong oleh Khanak Song Kelantan, pemimpin Siam Kelantan dan masyarakat Siam Kelantan. Sami yang hadir ke pesta itu antaranya ialah Than Chau Khun Kelantan, Than Bun, Than Neung dan lain-lain serta segerombolan sami. Sekali pandang ke arah gerombolan sami yang datang ni, ingatkan ada kebakaran kerana ada asap berkepul-kepul ke udara. Rokok dan sami Siam bagai kuku dengan isi, tak boleh dipisahkan. Sami-sami ni ada yang berdiri cekak pinggang, ada yang pegang kamera, ada yang cakap telefon, dan ada yang tergedik-gedik kaki mengikut rentak lagu di pentas.

2. Pesta ini disertai persembahan konsert oleh penyanyi dari Thailand - 4 orang (2 dari utara dan 2 dari selatan). Dan turut disertai kumpulan band Siam Kelantan. Ini umpan untuk menarik orang ramai dan gerombolan sami yang sememangnya minat dengan konsert begini.

3. Sewaktu konsert berlangsung, Than Bun (Wat Bangsek) beri "Dhamma Talk" dalam bahasa Inggeris. Dhamma lawan konsert. Cuba teka siapa yang mendapat sambutan? Dalam "Dhamma Talk"nya, Than Bun memuji Tauke Chan bermacam-macam pujian. Kata Than Bun, Pesta Loy Krothong anjuran Tauke Siam ni sangat bagus kerana dapat memelihara adat tradisi kaum Siam. (Loy Krathong bulan 11 dapat memelihara adat tradisi atau dapat mencemarkan adat tradisi?) Selepas Than Bun, giliran Than Neung pula beri ceramah Dhamma dalam bahasa Hokkien. Bahasa Siam mana?

4. Menambahkan seri lagi pesta tradisi ini ialah pesta minum arak. Satu meja RM200 (aku tak pasti bayar RM200 dapat beer percuma berapa botol). Siapa yang tak bayar meja, duduk atas tanah. Meriah sungguh. Kombinasi 3 suara - suara konsert, suara Dhamma Talk dan suara orang mabuk.

5. Pesta ini diadakan di Kelab golf dan dianjurkan oleh Orang Kaya Baru yang terkenal di Kelantan mutakhir ini. Orang panggil dia Tauke Chan atau Tauke Chut. Sesiapa yang bercita-cita nak pergi intai anak dara orang Kelantan, nak pergi cuba tuak masam Kelantan atau nak pergi buat apa-apa saja, rajin-rajinlah berkenalan dengan orang ini. Tak sah pijak bumi Siam Kelantan kalau tak dapat kenalan dengan orang sohor ini. Kenduri nikah kahwin tanpa kehadiran Orang Kaya Baru ini tak meriah, tak dapat muka. Dulu, masa Orang Kaya Baru ni masih miskin, belum bergelar "tauke", ketika kepala terkulai mabuk tuak, anjing pun tak pandang. (Sebab aku tak pernah tengok anjing menyalak dia masa dia datang mabuk tuak di kampung aku). Sekarang bila dah jadi Orang Kaya Baru, Chau Chau Khun dan Than di Kelantan respek habis. Nasib baik vinai larang sami menyembah orang biasa, kalau tidak ... entahlah.

Ada orang kata, Loy Krathong ini hanya "umpan" untuk sekumpulan manusia menganjurkan pesta hiburan. Tanpa Loy Krathong, mereka tak boleh tarik tok sami datang, tarik orang kampung datang, tarik Cina datang, sukar mendapat kebenaran dari kerajaan. Mereka tahu yang kerajaan memang bodoh dan mudah tertipu, lalu gunakan adat tradisi - Loy Krathong sebagai umpan.

Sunday, September 27, 2009

Sami Hadir Ke Rumah Terbuka MB Kedah



Pada 24 September 2009 diadakan rumah terbuka Menteri Besar Kedah, di Mentaloon. Ramai yang hadir.

Persatuan Sami Kedah-Perlis turut hadir bagi mengucapkan Selamat Hari Raya kepada MB dan menjamah jamuan yang disediakan .

Kunjung-mengunjung dan ziarah-menziarahi adalah baik. Tetapi persoalannya sejauh manakah perlunya sami datang ke rumah terbuka MB? Siapa menjemput? Bagaimana cara jemputannya? Bagaimana dengan persiapan majlis tersebut - makanan, minuman, tempat duduk makan, masa makan dan lain-lain, adakah selaras dan sesuai dengan sami?

Mayarakat Siam sangat sanjung sami. Semua penganut Buddha, termasuk Raja Bhumipol, Raja Thailand menyembah sami. Oleh itu, kita berharap agar jangan sampai ada sami "menyembah" MB atau pemimpin politik.




Sunday, September 20, 2009

Bunuh Sami Berpangkat dan Berpendidikan???

Wahai sami alajji dan barua-baruanya tolong baca petikan di bawah yang aku ambil dari Larndham. Jangan ingat aku sengaja mencemarkan agama sendiri dengan menulis tentang alajji, orang lain pun meluat juga.

จงช่วยกัน ฆ่า พระสงฆ์ทรงสมณศักดิ์และพระนิสิตนักศึกษา ???

เนื้อความ :

พระพุทธศาสนาอยู่คู่สังคมไทยมาช้านานช่วยให้เรา ประเทศชาติของเราอยู่กันอย่างมีความสุขแต่...ปัจจุบันนี้ พระพุทธศาสนาของไทยกำลังย่ำแย่สุด ๆเพราะ...

พวกพระสงฆ์ทรงสมณศักดิ์ทั้งหลาย บางจำพวกไม่ใส่ใจในการอบรมสั่งสอนตนเอง และพระในความดูแลแต่กลับไปวุ่นวายกับการสะสมผลงาน เพื่อวิ่งเต้นขอสมณศักดิ์ หรือเลื่อนให้สูง อิจฉาริษยา แก่งแย่งชิงดีไม่มีสมณะสารูปและอีกจำพวกหนึ่งคือ...

พระนิสิตนักศึกษา ที่ไม่ค่อยสนใจ ในพระธรรมวินัย กระทำเยี่ยงฆราวาส แอบอ้างพระพุทธศาสนา อาศัยพระศาสนา ทำมาหากิน แบบชาวบ้านบ้างอาศัย ศึกษาหาความรู้แบบชาวบ้าน เอาเยี่ยงชาวบ้านบ้างบางจำพวกเหล่านี้ เกิดมา เข้ามาทำลายพระพุทธศาสนาโดยเฉพาะ จึงขอชักชวนท่านทั้งหลายช่วยกันปกป้อง...จงช่วยกันฆ่า พระสงฆ์ทรงสมณศักดิ์...และพระนิสิตนักศึกษา ??? (บางจำพวกเสีย)

จากคุณ : ธรรมทูต [ 30 ก.ย. 2544 / 16:10:20 น. ]

Terjemahan/huraiannya lebih kurang begini.

Terdapat sesetengah sami yang ada pangkat kehormatan (somdej, chau khun, phra kru dan lain-lain) lebih gila pangkat daripada membaiki diri. Mereka tak berminat untuk "membaiki diri" sebaliknya menyibuk dengan mengumpulkan "hasil kerja" untuk digunakan bagi mendapatkan pangkat kehormatan yang lebih tinggi, berhasad dengki, berebut kuasa dan tidak ada ciri-ciri samana/sami. Sami dibawah jagaan mereka juga tidak dipedulikan. (misalnya, uppacca wajib jaga muridnya; Than Chau Khun, Ketua Sami Negeri wajib jaga sami di negerinya; Sami Ketua Daerah wajib jaga sami di daerahnya dan begitulah seterusnya. Tapi tanggungjawab ini diabaikan). Ini mesti jenis bapak kencing berdiri, anak kencing berlari.

Manakala satu golongan lagi ialah sami yang ada pendidikan tinggi (misalnya, Phra Maha) tidak berapa minat dengan dhamma-vinai, berkelakuan seperti orang biasa, memperalatkan agama Buddha untuk mencari makan, mengamalkan kehidupan seperti orang kampung. Mereka ini pemusnah agama.

Oleh itu, semua orang mesti jaga, mesti bunuh sami yang ada pangkat dan ada pendidikan yang menjadi perosak agama ini (alajji).

(Aku teringat masa aku tinggal di sebuah wat di Bangkok dulu, ada seorang "Luk Nen" bila balik dari kelas Pali, dia akan menjerit di tengah-tengah wat begini: "Chau Khun ma, ma ... Maha hia, hia!!!! (Chau Khun anjing,anjing ... Maha biawak, biawak). Anehnya, tak ada orang berani marah dia kerana ... Chau Khun di wat itu bapa saudara dia yang sangat dibencinya ... entah kenapa. Sekarang "Luk Nen" itu dah jadi Maha)

Friday, September 18, 2009

Senator: Ada Orang Masuk Pintu Belakang?

Mimpi belum tentu benar. Sebulan lalu aku mimpi didatangi Tok Selampit membawa perkhabaran duka nestapa. Aku berkira-kira (sebulan lamanya) sama ada wajar aku cerita mimpi itu kepada pembaca blog KSB. Kira punya kira aku buat keputusan perturunkan perkhabaran itu di sini agar dapat direnungi oleh para sahabat semua.

Dalam politik ada persatuan, kata Tok Selampit. Dalam persatuan ada politik. Orang Siam yang jujur tubuhkan persatuan nak bantu masyarakat Siam yang ketinggalan dan mundur agar dapat duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dan berlari sama pantas dengan kaum lain.

Ini perkembangan yang baik. Ini buktinya bahawa masih ada orang Siam yang jujur nak bantu kaumnya. Tapi, al-jadah dalam kejujuran orang membangun persatuan, tiba-tiba muncul manusia spesis musang berbulu ayam. Depan cakap lain, belakang main lain. Sama kawan rela diperdaya, dibohong, dikelentong dan diperalat agar kehendak hatinya tercapai. Dengan mudah dia dapat duduk di singgahsana persatuan dek kawan yang lurus termakan retoriknya yang manis lagi memukau.

Manusia spesis musang berbulu ayam sedar berjuang seorang diri mustahil cita-cita sucinya tercapai. Dia menyelit masuk ke dalam persatuan. Al- haram punya anak. Orang tubuh persatuan bagi membantu orang Siam. Dia masuk persatuan bagi membantu diri sendiri.

Al-kisah kerana nafsu berahinya kepada jawatan senator yang kosong, dia pun merayap dari kampung ke kampung, dari wat ke wat.

Dia masuk kampung bukan nak cari ayam, tapi nak kutip tandatangan dan cop rasmi JKKKP atau Ketua Tok Sami. Katanya, nak hantar memorandum kepada PM, Najib Razak tentang masalah orang Siam. Hantar memorandum apa. Dia nak tipu PM yang JKKKP dan Tok Sami sokong dia jadi senator.

Mak ooi, ini kira nak masuk ikut pintu belakang! Mudahnya nak peralatkan JKKKP dan Ketua Tok sami untuk realisasikan nafsu diri? Sudahlah kawan telah diperalatakan, sekarang Pengerusi JKKKP dan Ketua Sami pula nak dijadikan alatnya?

Nasib baik ada Pengerusi JKKKP yang hidung tajam, dapat mencium kehadiran musang berbulu ayam. Pelik bin ajaib. Kenapa dia sorang yang datang? Setiausaha persatuan kenapa tak datang sekali? Sembang punya sembang, soal punya soal, telefon punya telefon, barulah pecah rahsia.

Setiausaha persatuan tak tahu apa-apa langsung. Persatuan sedang dipergunakan untuk kepentingan diri. Nasib baik Setiusaha persatuan bukan jenis tidur, kalau tidak habis dijadikan alat oleh musang berbulu ayam yang pentingkan diri. Nak pentingkan diri pun kena tengok keadaan juga. Jangan sampai membelakangkan Jawatankuasa persatuan sendiri, tak wajar. Tersangat tak wajar.

Penyakit pemimpin Siam yang sanggup berbalah sesama sendiri, menipu sesama sendiri dan memperalat sesama sendiri kerana jawatan tak pernah habis-habis. Kena sumpah ke kaum kita? Jangan-jangan sumpah ke atas Mahsuri terkena keturunan kita sekali?

Inilah dia. Nak jadi Pengerusi persatuan ke, Senator ke, jangan sampai menggadaikan maruah diri. Kepentingan kaum mesti diutamakan. Penipuan, selicik mana pun akan terbongkar jua. Peliharalah perpaduan kaum. Kehidupan kita secara individu tak lama, tapi kelangsungan kaum kita mesti dipelihara kerana usianya tiada penghujung (kecuali kiamat).

Nota: mimpi ini tak ada kaitan dengan orang yang masih hidup atau yang sudah mati atau yang akan mati. Hanya mimpi semata-mata.

Tuesday, September 15, 2009

Siapa Mahu Lihat Buddha, Baca Ini

Ada orang kata kita rugi dilahirkan zaman sekarang kerana tak sempat lihat Buddha. Orang yang sempat lihat Buddha ialah orang yang beruntung. Aku tak menafikan bahawa mereka yang sempat lihat Buddha ialah orang yang beruntung. Jika dapat dengar ceramah dari mulut Buddha, atau dapat jadi anak murid Buddha lagi beruntung.

Saribut, Mokkanla, Anon, Ubali dan lain-lain ialah Bhikkhu yang beruntung kerana sempat belajar dengan Buddha sampai Arahan. Ong Kulimarn paling beruntung kerana tanpa Buddha, nescaya beliau sudah jadi penghuni neraka. Hasil nasihat Buddha, Ong Kulimarn praktis Dhamma sampai Arahan. Nang Visaka individu beruntung kerana sejak umur 7 tahun sudah capai tahap Ariya Bukkhon (Sodaban). Banyak lagi orang beruntung pada zaman Buddha yang tak terhitungkan. Mereka ini "mempersembahkan diri" pada Buddha.

Walau apapun, kita yang lahir zaman sekarang juga tak rugi. Kita masih ada kesempatan lihat Buddha, kenal Buddha dan "mempersembahkan diri" pada Buddha.

"Siapa nampak Dhamma, dia nampak kita; siapa nampak kita, dia nampak Dhamma!" Lebih kurang beginilah kata-kata Buddha.

Maksudnya, bukan semua orang yang lahir pada zaman Buddha, pernah berjumpa Buddha atau bersembang dengan Buddha akan "nampak" Buddha jikalau dia tak "nampak" Dhamma (tak tahu Dhamma). Orang yang lahir zaman sekarang iaitu kita yang tak pernah jumpa Buddha, tak pernah lihat wajah Buddha tetap akan "nampak" Buddha jikalau kita "nampak" Dhamma (memahami Dhamma). Malah kita yang mengamalkan ajaran Buddha lebih mengenali Buddha daripada sesetengah Samana Brahma yang asyik menafikan ajaran Buddha.

Buddha pernah kata bahawa Bhikkhu yang memegang hujung kain (sangkati) Buddha sambil berjalan rapat-rapat mengekori jejak Buddha sekalipun, andainya Bhikkhu itu penuh dengan perasaan tamak, dendam, berniat jahat, bernafsu-nafsi, hati tak tenteram dan sebagainya, dia sebenarnya berada jauh dari Buddha dan Buddha juga berada jauh dari dia.

Sebaliknya, Bhikkhu yang berada jauh dari Buddha (100 jod) tapi tak tamak, tak ada simpan dendam, tak berniat jahat, dapat kawal nafsu-nafsi, hati tenteram dan sebagainya, dia sebenarnya berada dekat dengan Buddha dan Buddha juga berada dekat dengan dia.

Apabila kita belajar dan praktis Dhamma sehingga berjaya melupuskan ketamakan, kemarahan dan kesesatan, kita juga boleh mengenali Buddha, berada dekat dengan Buddha dan Buddha juga akan berada dekat dengan kita.

Amalan "suat mon" dan Samadhi (meditasi) merupakan amalan yang kita dapat berada paling hampir dengan Buddha. Ketika kita duduk samadhi, kita berasa tenteram, jiwa kita hening; ketika itulah detik paling sesuai "menghadap" Buddha dan berada hampir dengan Buddha.

Tapi orang Siam sedikit rugi kerana jalan ke arah mengenali Buddha selalu dipesongkan oleh kaum Sami Alajji. Mereka ini suka benar membawa orang Siam ke arah yang salah. Mereka patut bawa orang Siam ke jalan mengenali Buddha, sebaliknya, mereka bawa orang Siam ke jalan sesat. Siapa yang tak ikut jalan mereka akan dilabel bermacam-macam, termasuk dituduh anti-sami (anti phra song). Tak ada penganut agama Buddha di dunia yang anti sami kalau sami tersebut betul-betul sami.

Sampai bila kita nak biarkan diri kita dibawa ke jalan sesat?

(Sila rujuk Tipitaka: Itivuttaka Kutthakanikaya 25/300/272)

(Nota: Aku terpaksa beri rujukan Phra Traipidok supaya barua Alajji yang tak percaya tulisan aku buat rujukan)

Kalungan Selipar Jepun

Biadabnya perwakilan MIC yang mencadangkan agar diletakkan kalungan selipar pada gambar Tun Mahathir Muhamad. Adakah patut selipar yang orang pakai pergi jamban mahu dikalung ke gambar Tun?

Ramai pemimpin UBN terkejut. Samy Vellu sendiri terkejut. Sebenarnya perwakilan ni marah kepada Tun kerana campur tangan dalam hal ehwal dalaman MIC. Tapi cara dia menunjukkan kemarahan keterlaluan sangat. Tun tu siapa nak gantungkan selipar pada gambarnya. Jangan samakan Tun dengan Bush yang dilontarkan kasut. Tun tak boleh dilontarkan selipar. Apatah lagi selipar yang dipakai ke jamban. Walaupun pernah disemburkan serbuk lada ke dalam mata Tun, tapi itu cerita lama. Walaupun gambar Tun pernah dipijak-pijak, itu kisah sudah berlalu.

Akibat tekanan kiri kanan, Samy Vellu telah gantung keahlian biadab itu dan di samping menunggu tindakan dari Badan Disiplin parti. Dengan tindakan ini, Samy Vellu anggap isu hina Tun ini selesai. Mudahnya selesai?


(Nasib baik tak ada cadangan dikalungkan selipar pada leher Tok Sami Alajji dalam mesyuarat Sangha yang lepas)

Monday, September 14, 2009

Sami Yang Tidak Diakui Oleh Buddha

Mana-mana Bhikkhu / Sami yang menipu, cakap tak berasas, bongkak, sombong dan ego, bukan orang Buddha. Buddha tak terima Bhikkhu sebegini sebagai orang Baginda. Maksudnya Bhikkhu begini tidak diakui oleh Buddha sebagai murid Baginda.

Ini Buddha yang cakap. Bukan aku reka cerita. Jika tak percaya, sila rujuk kitab Tipitaka: Chatukanibat Anggutaranikaya 21/33/26. Kalau baca tak faham, tanyalah Phra Maha.

Sami penipu, pembohong, sombong, angkuh dan ego tidak diakui murid oleh Buddha. hanya kita sahaja yang mengaku. Buddha sudah campak buang, tapi kita kutip balik. Buddha sudah tak pandang, tapi kita puja-puja. Sami jenis apa ni? Lu fikirlah sendiri.

Masalahnya sami yang tidak diakui murid oleh Buddha semakin hari semakin ramai. Di Kedah ada, di Kelantan ada, di Perlis ada, di Perak ada, di lembah klang ada. Pendek kata ada di mana-mana. Barua-baruanya juga ramai. Pantang disentuh sikit, barua-baruanya pasti melenting dan membalas balik.

Barua-barua ini sangat setia kepada sami. Dia sanggup buat apa saja apabila disuruh oleh sami termasuk beli beer dan nasi bungkus untuk buka puasa waktu malam.

Cukuplah membodohkan orang Siam! Orang Siam sekarang sudah celik mata!

Saturday, September 12, 2009

Ego Sami Bawa Mati

Sami Thailand dengan sami Siam Malaysia ada satu persamaan yang sukar dibezakan iaitu sikap ego. Bukan semua, tapi rata-rata sami ada sikap ego. Mereka tak akan mengalah apabila bercakap dengan orang biasa (gharawat). Walaupun salah, mereka tetap pertahankan kesalahan tersebut. Bagi mereka, sami (bhikkhu/sangha/song) semuanya betul; orang biasa semuanya salah. Kalau anda tak percaya, cuba anda pergi tegur perbuatan sami yang anda rasa tidak betul, apa akan terjadi? Teguran anda biarpun ikhlas, tak akan diterima. Silap-silap anda akan ditempelak.

Seorang sahabat aku pernah menegur acarnnya (Tok Sami) di sebuah wat di Tumpat, Kelantan kerana "membazir" duit membina bangunan besar-besar tapi tak ada sami tinggal. Tok Sami tersebut menjerkah (maklumlah mana boleh murid menegur guru) dengan berkata:" Aku buat bangunan dengan duit Cina. Kamu ada cari duit untuk aku?"

Teguran yang ikhlas dibalas dengan kecaman bodoh. Itulah sikap sami Siam, tak boleh ditegur pasti melatah. Kenapa? Kerana orang-orang kampung yang menyebabkan sami jadi begitu. Orang kampung terlalu menghormati sami seperti menghormati Phra Arahan. Padahal sami/bhikkhu dengan Phra Arahan itu bagai langit dengan bumi.

Kalau Phra Arahan, memanglah wajib kita beri penghormatan tidak berbelah bagi. Sebenarnya ada 3 kategori sami yang patut kita beri penghormatan iaitu:

1. Phra Arahan

2. Phra Ariya - Sodaban, Sakitagami dan Anagami

3. Sami biasa yang sedang berusaha (praktis dhamma-vinai) untuk mencapai mark - phon - Nibban.

Tapi kalau setakat "sami dedalu" yang "makan - tidur" seperti babi atau jenis makan - menyalak sana sini seperti anjing tanpa melakukan tugasan sami (kit phra), tak hormat pun tak apa. Dan spesis "alajji" biarpun ada pangkat Phra Kru atau Than Chau Khun tak hormat pun tak rugi apa-apa. Kena dengan jenis yang sombong bodoh, lagilah menyampah. Belakang parang lagi tajam kalau diasah. Sami jenis makan-tidur, makan- menyalak atau alajji tak akan tajam biarpun diasah seumur hidup.

Sami jenis inilah yang dikatakan oleh Buddha "tak boleh diajar dan patut dibunuh saja!"

Sudahlah tak praktis dhamma dan langgar vinai hari-hari, ego pulak. Penghormatan yang diberikan kepada sami telah menyebabkan mereka menjadi ego dan sombong. Pelik sungguh, masa jadi budak kampung, sikapnya baik dan sopan. Apabila masuk sami sikap mula berubah. Apabila lama sikit, kesombongan dan keegoaan mula naik kepala. Pantang ditegur sikit, menerkam macam harimau. Geram juga berdepan dengan sami jenis ini. Rasa seperti nak ketuk kepala dengan belakang parang.

Anehnya, apabila keluar dari sami, ego terus hilang. Sombong dan angkuh entah ke mana. Ego masa dalam sami selamat kerana orang Siam tak berani mencederakan sami, takut dosa. Apabila keluar dari sami, jadi orang biasa cubalag tunjukkan sikap ego kalau tak kena ketuk kepala.

Sami patut tunjukkan teladan yang baik kepada masyarakat. Bersikap ego dan sombong bukan ajaran Buddha. Buddha tak mengaku murid kepada sami yang ego dan sombong.

Monday, September 7, 2009

Sedapnya Minum Beer dalam Kereta Mewah

Sekarang ini ramai Tok Sami Siam ada kereta sendiri. Ada kereta bagus juga kerana zaman sekarang kereta bukan lagi barang kehendak, tapi barang keperluan. Jadi, wajar juga ada kereta sendiri. Cuma yang tak berapa wajar apabila kereta itu bukan sekadar barang keperluan semata-mata, bahkan "barang kemewahan" dan untuk menunjuk-nunjuk.

Masakan tidaknya, Saga, Perodua, atau Toyota biasa saja tak ada kelas. Kurang-kurang mesti Honda, Mercedes atau kereta mewah lain barulah bergaya. Tersipu-sipu malu Tok Imam masjid melihat Tok Sami Siam duduk tersengih di dalam kereta beleduh.

Untuk kelihatan lebih bergaya, tidak kurang yang memandu sendiri. Kata sesetengah orang, sami memandu kereta tak salah (kalau ada lesen yang sah) kerana tak ada dalam vinai (disiplin sami). Sami boleh mendayung sampan. Oleh itu, kata mereka sami juga boleh memandu kereta. Aku tak mahu komen apa-apa. Cuma, satu hal kita kena ingat sesuatu yang dipertikaikan/diperkatakan oleh masyarakat iaitu "lokavacca" tak wajar dilakukan oleh sami.

Bagaimana dengan sami yang ada pemandu? Ini teladan yang bagus. Ada drebar boleh duduk berlagak seperti orang besar atau tauke kaya.

Cuma yang tak berapa bagus apabila ada segelintir pemandu yang bertindak sebagai "waiter" sekali gus. Apabila nak bawa sami ke perjalanan jauh, sebelum keluarkan kereta dari garaj, dia akan bawa bersama BEER sekotak dua sebagai minuman dalam perjalanan. Apabila kereta mula bergerak, tin BEER pun dibuka - siiuuup! Bukan pemandu yang minum, tapi Tok Sami yang minum. Tok Sami minum beer dalam kereta selamat kerana tak ada orang nampak kecuali pemandu setia itu. Apabila sampai ke destinasi, takut ada tikus terhidu bau beer, Tok Sami akan makan gula-gula Hacks.

Nak tahu Tok Sami mana yang suka minum beer dalam kereta? Tengoklah mata pemandunya. Kalau pemandunya masa turun dari kereta, mata merah dan ada bau beer, sahih bosnya juga ada minum.

Sesiapa yang pernah jadi pemandu kereta Tok Sami arif benar tentang perkara ini. Tapi bukan salah mereka. Bos mahu minum. Dia cuma menumpang sekaki saja. Dan dosanya boleh dikongsi bersama!

Nota: Aku ada senarai nama sami yang ketagih beer, tapi belum tiba masanya untuk didedahkan.

Friday, September 4, 2009

Yang Palsu Dibanteras, Yang Menipu Dibiarkan

Sekumpulan penganut agama Buddha yang prihatin sedang membentuk satu "Jawatan Kuasa" untuk menangani isu sami palsu yang minta sedekah di sekitar Lembah Klang. Sami palsu ini telah mencemarkan imej agama Buddha dan memalukan penganutnya. Aku diberitahu oleh sumber yang boleh dipercayai bahawa kumpulan prihatin ini kebanyakannya datang dari Buddhist Vihara, Brickfields. Mereka ingin bekerjasama dengan polis, DBKL dan Kerajaan Selangor bagi membanteras pengemis terhormat ini.

Mereka turut mempelawa wat Siam yang ada di sekitar Lembah Klang menyertai mereka. Ramai sami palsu yang berkeliaran di Lembah Klang datang dari Thailand. Jadi, penyertaan wat Siam yang tentunya lebih memahami dhama-vinai Theravada Thai amat dialu-alukan.

Malangnya, sebuah wat Siam di Lembah Klang telah menolak pelawaan tersebut. Khabarnya Presiden wat yang menolak. Alasannya tidak diberitahu.

Bagaimana pula dengan "sami dedalu" (parasit) yang tinggal di wat Siam di sekitar Lembah Klang? Bagi aku yang ini lebih bahaya daripada yang minta sedekah di jalanan. Yang minta sedekah di jalanan orang sudah tahu dia menipu. Oleh itu, sukar bagi dia menipu orang. Yang tinggal dalam wat Siam ni yang bahaya. Orang ingat dia Bhikkhu/Sangkha betul - jenis supatipanno, yayapatipanno, samicipatipanno ... punyakettang lokassatik, jadi mudahlah dia menipu orang. Kalau tak percaya, tengoklah dia pakai kereta apa, hand phone jenama apa, kamera berapa harga, tv plasma berapa inci. Mewahnya kalah pegawai tinggi kerajaan. Ini belum diambil kira duit dalam bank, ASB dan hartanah yang dibeli masa jadi sami.

Cukuplah membodohkan orang Siam.

Tuesday, September 1, 2009

Phra Kru Yang Buta Agama

Hari Wesak telah lama berlalu, tapi aku rasa ada sesuatu yang aku nak tulis tentang hari kebesaran agama Buddha itu.

Hari Wesak diperakukan oleh PBB sebagai hari keamanan sedunia. PBB belum bersedia menjadikan Hari Wesak sebagai cuti umum dunia, tetapi akan meraikannya mengikut keperluan semasa. Masyarakat Buddhis seluruh dunia menyambut baik keputusan PBB kerana mengiktiraf "kebesaran" Hari Wesak.

Namun, ketika masyarakat Buddhis sedunia berasa bangga Hari Keputeraan (prasut), Pencerahan Sempurna (trassaru) dan Kemangkatan (parinippan) Buddha diterima sebagai hari penting dunia, masyarakat Siam kita seperti menongkah arus. Ramai antara kita, termasuk Phra Kru tidak menghargai dan meraikan Hari Wesak sewajarnya.

Bertanyalah kepada diri kita sendiri, apakah yang kita buat pada Hari Wesak? Wajarkah perbuatan kita dengan hari yang mulia itu? Berapa ramai antara kita yang bangun pagi, mandi untuk membersihkan diri, pergi wat buat Sangkhadana, atau pergi rumah kebajikan buat sedekah dan berpegang kepada Sila sepanjang hari?

Dalam setahun ada 365 hari. Kalau pada hari mulia ini kita tak boleh buat kebaikan, entah bila lagi baru kita boleh buat kebaikan.

Terdapat Wat Thai di Kelantan, Ketua Saminya Phru Kru, meraikan Hari Wesak dengan cara tersendiri. Dia meraikan hari kebesaran agama Buddha itu dengan persembahan konsert penyanyi dari Thailand. Hari Wesak tahun depan belum tiba, tapi perancangan menjemput kumpulan penyanyi sudah dibuat. Perkara ini mungkin biasa bagi orang Siam yang telah diprogram kepala otaknya dengan Micca Ditthi (pandangan salah) sejak kecil. Tapi, bagi orang luar yang pegang kepada ajaran Buddha yang tulen, perkara ini menjijikan bagi mereka.

Kata orang, persembahan konsert boleh jana pendapatan wat. Buat apa wat nak kumpul duit banyak-banyak? Keperluan wat pun sudah mencukupi. Bangunan tak payah sewa. Nasi tak payah beli. Bil air, bil api bukannya banyak. Orang kahwin, sami ada ang paw. Orang naik rumah baru, sami dapat ang paw. Orang mati, sami diberi ang paw. Masa hidup hari-hari bagi nasi kepada sami, bila mati kena bagi ang paw pula.

Jadi Ketua Sami simpan duit banyak-banyak apabila mati, sanak-saudara yang susah kerana berebut duit. Sudah banyak kes seumpama ini berlaku. Jadikanlah iktibar.

Kalau Ketua Sami langsung tak menghargai Hari Wesak, bagaimana kita nak mengharapkan masyarakat akan menghargainya. Takkan jadi Ketua Sami, ada gelaran Phra Kru pun masih lagi sesat agama. Bila lagi nak sedar dan insaf?

"Sesat (moha) membikin orang jadi buta."