Sunday, February 28, 2010

Magha Puja


Seperti lazim apabila tiba Hari Magha Puja, pada sebelah pagi kaum Buddhis akan pergi "tambun saibart" di wat berdekatan. Manakala pada sebelah malam akan pergi "viantian" beramai-ramai. Inilah tradisi keagamaan yang kita warisi sejak sekian lama. Warisan suci ini akan berterusan.
Magha Puja adalah nama bulan dalam kalender agama Buddha yang bersamaan dengan bulan Februari. Pada bulan purnama dalam bulan Magha terjadi peristiwa penting yang hanya satu kali saja dalam kehidupan Buddha sebagaimana tercatat dalam Mahapadana Sutta dari Kitab Suci Dighanikaya (jilid dua). Peristiwa penting tersebut dikenal dengan nama Caturongasannipata: Berkumpulnya 1250 bhikkhu yang memiliki empat ciri, iaitu:


1. Semua bhikkhu telah mencapai kesucian tahap Arahat;

2. Semua bhikkhu ditahbiskan menjadi bhikkhu oleh Baginda Buddha sendiri (ehi-bhikkhu);

3. Semua bhikkhu berkumpul tanpa temu janji terlebih dahulu;

4. Dalam pertemuan itu, Baginda Buddha melakukan Visudhi Uposatha, memberikan ceramah Ovadapattimokkha, di Veluvan Vihara, Rajgaha.


Ovadapatimokkha Gatha:

1. Khantiparamaṁ tapo tītikhā

Nibbānaṁ paramaṁ vadanti Buddhā

Na hi pabbajjito parūpaghāṭi

Samaṇo hoti paraṁ viheṭhayanto.


2. Sabba pāpassa akaranaṁ

Kusalass’ūpasampadā

Sacitta pariyodapanaṁ

Etaṁ Buddhānasāsanaṁ.


3. Anūpavādo anūpaghāto

Pāṭimokkhe ca saṁvaro

Mataññutā ca bhattasmiṁ

Patañca sayanāsanaṁ

Adhicitte ca āyogo

Etaṁ Buddhānasāsanan’ti.



1. Kesabaran adalah cara bertapa (Brahma-cariya) yang luhur

Nibbana adalah Yang Teragung, sabda para Buddha

Ia bukanlah seorang petapa (samana) apabila melukai dan menyakiti orang lain.


2. Tidak melakukan segala macam perbuatan jahat

Melakukan perbuatan baik.

Menyucikan minda (hati).

Inilah ajaran para Buddha.


3. Tidak menghina, tidak menyakiti,mengendalikan diri sesuai dengan patimokkha (peraturan bhikkhu). Makan secukupnya (tidak berlebihan), berdiam di tempat sunyi. Giat mengembangkan minda nan suci. Inilah ajaran para Buddha.

Para bhikkhu (sami Buddha) wajib menghayati ovadatapatimokkha dengan sepenuh hati agar kehidupan tidak terseleweng daripada peraturan Buddha. Malangnya terdapat sami Buddha yang begitu dangkal dengan ovadapatimokkha walaupun telah bertahun-tahun jadi sami. Perasaan malu juga langsung tak ada. Mereka melakukan perbuatan yang melanggar peraturan Patimokkha sesuka hati.


Selain sami, golongan gharawas seperti kita juga jangan lalai. Kita mesti berusaha meninggalkan kejahatan, melakukan kebaikan dan membersihkan hati. Hanya dengan hati yang bersih sahaja seseorang itu mampu meninggalkan kejahatan selamanya dan giat melakukan kebaikan tanpa berasa jemu.
Meneruskan tradisi keagamaan semata-mata tanpa mengamalkan nilai-nilai murni yang terkandung di dalamnya, tidak membawa banyak faedah. Oleh itu, di samping meneruskan tradisi keagamaan kita wajib melakukan perbuatan yang disuruh oleh Buddha dan meninggalkan perbuatan yang ditegah Baginda.

Kata Phra Saribut, tamak melakukan kebaikan akan ada penghujungnya iaitu Arahant. Sedangkan tamak kepada kejahatan hanya meneruskan kitaran Vatta-Samsara tanpa penghujungnya.


Thursday, February 25, 2010

Ilmu Dunia Umpama Guruh Tanpa Hujan

Seorang kawan pernah bertanya kenapa orang Siam yang belajar tinggi-tinggi sehingga masuk universiti, tetapi ada yang bertukar agama?

Pertanyaan ini mempunyai jawapan yang bervariasi, tetapi bagi saya seseorang yang beragama Buddha bertukar kepada agama lain (diarathi) kerana dia tidak memahami agama Buddha dengan betul. Sekiranya dia memahami agama Buddha dengan betul, dia tak akan bertukar agama. Walaupun dia belajar sehingga ke Universiti Harvard sekalipun; memperolehi PhD dan ijazah lain berdepa-depa, berjela-jela, belum tentu pengetahuan agamanya tinggi. Pengetahuan agama yang cetek memungkinkan seseorang mudah menukar agama. Oleh sebab itulah, ilmu dunia bergedung-gedung yang kita pelajari belum cukup untuk kita bergelar "ilmuwan" mengikut konsep agama Buddha.

Ilmu dunia tidak lengkap tanpa ilmu agama. Orang yang hanya mempunyai ilmu dunia tanpa ilmu agama umpama awan hitam dan guruh yang berdentam-dentum di langit, tetapi tiada hujan yang turun. Apa faedahnya awan dan guruh kalau tak ada hujan?

Ilmu agama yang dimaksudkan di sini ialah ilmu Ariya Sacca 4, iaitu: (1) Dukkha, (2) Samudaya, (3) Norodha dan (4) Magga.

Jadi, ilmu dunia akan sempurna apabila disertai dengan ilmu agama. Hanya ilmu agama yang mampu mencerahkan fikiran individu agar dia mengetahui dan mempercayai agama anutannya dengan jelas sehingga tak mampu digugat oleh agama lain. Individu yang cuma tamat darjah 6 tetapi mencapai tahap Sodaban misalnya, tak akan berubah hati daripada agama Buddha walaupun diumpan dengan "ganjaran" dunia dan akhirat. Sebaliknya individu yang tamat universiti tetapi jahil agama, tak mustahil akan bertukar agama sekiranya dijanjikan "ganjaran" dunia dan akhirat.

Orang yang ada pengetahuan agama yang teguh tak akan bertukar agama. Dia rela berkorban nyawa daripada meninggalkan agama yang telah diyakininya.

Bagaimana dengan bekas sami Buddha atau orang yang ada Nakh Tham tetapi bertukar agama? Jadi sami atau ada Nakh Tham belum tentu seseorang itu mempunyai pengetahuan agama yang betul. Jadi sami bukan lesen seseorang ada ilmu agama yang betul. Ada Nakh Tham bukan sijil pengesahan yang menjamin pengetahuan agamanya mendalam sehingga meresap ke mindanya. "Ilmu agama" yang tulen tak akan diperolehi dengan jadi sami atau Nakh Tham semata-mata, tetapi mesti melalui proses pengamalan dan pencerahan minda.

Ariya Sacca 4 sangat penting dalam agama Buddha kerana di dalamnya tersimpan segala ajaran Buddha. Atau dalam kata lain semua ajaran Buddha menjurus kepada Ariya Sacca 4. Ariya Sacca 4 umpama lautan yang di dalamnya terkumpul air dari segala sungai.

Individu yang bergelar sami - pertuturan dan perbuatannya begitu sopan, tertip, menarik dan mengagumkan, tetapi dangkal ilmu Ariya Sacca 4 dan tak kenal Sengsara (Dukkha), tak kenal punca-punca sengsara (Samudaya), tak kenal keadaan yang bebas daripada sengsara (Nirodha) dan tak kenal jalan-jalan menghapuskan sengsara (Magga), individu itu umpama lubuk air cetek yang bayangnya sahaja kelihatan dalam ... umpama periuk kosong yang ditutup ... umpama buah mangga muda yang kulitnya kuning seperti masak ... umpama tikus yang mengorek lubang tetapi tak tinggal dalam lubang.

Daripada penjelasan ini (Musika Sutta) tahulah kita bahawa ilmu dunia tak lengkap tanpa ilmu agama. Ilmu agama itu pula ialah ilmu Ariya Sacca 4 yang merupakan teras ajaran Buddha yang wajib diketahui oleh semua orang yang mengaku beragama Buddha. Hanya ilmu agama yang betul mampu menyekat kita menukar kepercayaan.

Saturday, February 20, 2010

Kenapa Sami Yang Baik Menyepikan Diri?

Kenapakah sami yang baik kelihatan seperti kurang memainkan peranan dalam pembangunan institusi agama atau khanak song?

Soalan ini diajukan oleh seorang kawan. Katanya, di Thailand mahupun di Malaysia, "sami yang baik" kurang memainkan peranan dalam institusi agama.

Saya kata, bukan mereka (sami yang baik) tak mahu memainkan peranan, tetapi mereka "disekat" daripada memainkan peranan. Pembangunan yang dibawa sami yang baik tak sama dengan pembangunan yang diinginkan oleh sami-sami lain. Misalnya, Khanak Song Thai (Mahathera, Thailand) dikuasai oleh sami-sami yang "berkepentingan diri". Begitu juga di Malaysia. Ramai sami yang baik seperti terpinggir daripada perancangan pembangunan agama.

Dalam satu Sutra, Baginda Buddha ada meriwayatkan hal ini. Menurut Baginda, pada zaman di mana penyamun berkuasa, zaman tersebut kuasa Maharaja akan berkurangan. Maharaja pasti tak selesa hendak berangkat ke sana sini, di kampung mahupun di pedalaman. Malah Brahmana atau orang biasa juga tidak selesa hendak ke mana-mana.

Begitu jugalah dengan keadaan sami. Zaman di mana sami jahat (tiada Sila) berkuasa, sami yang baik akan berkurangan kuasa. Apabila berada dalam kumpulan sami, sami yang baik lebih banyak berdiam diri, mengalah atau meminggirkan diri. Hal ini terjadi kerana apa gunanya mereka bersuara jikalau suara mereka tidak dihormati.

Menurut Baginda Buddha lagi, keadaan begini tidak membawa kebaikan. Sebaliknya membawa keburukan kepada masyarakat. Masyarakat akan menanggung kesengsaraan (dukkha) kerana orang jahat telah "menewaskan" orang baik.

Berbalik kepada keadaan masyarakat Siam kita yang beragama Buddha. Adakah Khanak Song (Persatuan Sami) kita sedang dikuasai oleh sami jahat? Kalau TIDAK jawapannya, legalah hati kita. Tetapi kalau YA jawapannya, kesengsaraanlah yang akan kita hadapi.

Di Malaysia, masih ramai sami yang baik-baik, tetapi suara mereka seperti tenggelam. Apakah ini tandanya bahawa kita memang berada pada zaman "penjahat" berkuasa?

Keadaan masyarakat Siam akan jadi haru-biru jikalau sami yang jahat "bekerjasama" dengan pemimpin masyarakat yang jahat untuk membangunkan masyarakat Siam mengikut acuan jahat mereka. Minta-minta keadaan ini tak berlaku.

Monday, February 15, 2010

Budak Berbakat Besar

Asyik kondem sami saja bosan juga. Sekali-sekala masukkan selingan membina ada baiknya. Walaupun hubungan politik antara orang Siam (Thai) Malaysia dengan orang Thailand sudah ditamatkan, tetapi hubungan agama dan budaya masih berterusan. Hubungan darah juga masih berkekalan. Ramai orang Siam Malaysia yang ada saudara mara di Thailand, terutama di 4 Wilayah Selatan.

Oleh itu, berbohonglah sekiranya orang Siam Malaysia tidak "tercuit hati" dengan apa yang berlaku di Thailand. Hubungan agama dan budaya adalah pengikat antara dua warga sedarah yang terpisah oleh sempadan negara.

Agama dan adat tradisi dikongsi bersama. Sami-sami Siam di Malaysia masih kekal di bawah naungan Raja Thailand sebagaimana sami-sami Buddha di Thailand. Gelaran dan pangkat yang diterima oleh sami-sami Siam Malaysia seperti Chau Khun, Phra Kru dan Maha (pendidikan) dan sebagainya dianugerahkan Thailand.

Pesta Songkran dan Loy Krathong yang diadakan di Malaysia juga sama dengan Thailand. Dua pesta ini diwarisi sejak turun-temurun. Walaupun terdapat sedikit pembaharuan tetapi asasnya tetap sama.

Sekiranya anda biasa dengan "suasana" perkampungan Siam di Kedah mahupun Kelantan, anda akan berasa ia tidak banyak berbeza dengan "suasana" perkampungan orang Thai di Pattani, atau Narathiwat. Malahan ia juga tak jauh berbeza dengan "suasana" perkampungan orang Thai di di bahagian tengah Thailand, misalnya Suphanburi, Singburi, Nakhon Pathom, Lopburi dan lain-lain. Walaupun loghat percakapannya sedikit berbeza tetapi ia tak jadi penghalang kepada jalinan kemesraan antara dua insan seketurunan yang dipisahkan oleh manusia rakus yang memperkotak-katikkan bumi Tuhan.

Di bawah ini saya perkenalkan seorang kanak-kanak berbakat besar dari Thailand. Kerana bakat kanak-kanak ini berkaitan dengan "seni ", saya turut berbangga dan gembira sekiranya kanak-kanak Siam Malaysia juga ada bakat sebegini dalam bidang seni.


The World's Amazing Young Artist -- DHANAT Plewtianyingthawee


Media Named Him 'Pint-sized Picasso'

Dhanat Plewtianyingthawee, the little 7 years old artist, has lots of fun and creativities. He is very famous in Thailand due to his special talent in art. He paints over two thousand remarkable big and small abstracts. Within a few weeks before Christmas 2005, when he was only 3 years old, over 1,000 of his original painting greeting cards were sold. He has alreadly had his first solo art exhibition in Bangkok, Thailand in April 2006.

His talent has been exposed on many TV programs, newspapers, magazines, radio, and international websites.

His works are now selling worldwide. Here you can find all the websites where his works are listed. Please visit them and enjoy yourself.



Tuesday, February 9, 2010

Tok Sami Diktator?

Tentulah keterlaluan apabila dikatakan Tok Sami Siam adalah diktator. Tindak tanduk mereka menjurus ke arah diktator. Mereka mentadbir wat dengan kuasa penuh. Mereka umpama maharaja dahulu kala yang titah perintahnya tak boleh diingkari. Derhaka. Barangkali sebab itulah di Kelantabn, mereka dipanggil Tok Raja. Bukan semua, tetapi rata-rata begitu.

Dalam usaha membangunkan wat, jarang ada Tok Sami bincang dengan orang kampung. Mereka akan buat apa yang mereka rasa bagus. Hendak bina bangunan batu, patung Buddha, patung Dewa, patung Kuan Yin, patung Phra Phrom, Sala Karnparian, dapur, sampan, rakit, haiwan 12 tahun kelahiran dan sebagainya diputuskan oleh kehendak hati mereka sahaja. Kehendak orang kampung yang majoriti tak dipedulikan. Orang kampung, walaupun dalam hati tak setuju, tapi terpaksa terima dalam diam seribu bahasa.

Setelah dibina, orang kampung "ditugaskan" jaga kebersihannya; sapu sampah dan buang tahi anjing kerana sami dalam wat tak ramai tak larat jaga wat. Jadi, orang kampung yang kena pikul tanggungjawab.

Jaga kebersihan sahaja, Donation Box jangan diusik. Itu duit tukar kereta, duit pergi makan angin ke Eropah, duit pergi melawat India, duit beli pangkat Phra Kru (beli Dato?) dan bermacam-macam duit lagi. Orang kampung tak ada hak ke atas Donation Box. Buat bangunan besar-besar, patung besar-besar, sala besar-besar, orang kampung tolong jaga - upahnya pahala pergi syurga yang entah di mana (syurga rekaan orang bijak pandai?) Sedangkan "untungnya" dari Donation Box, Tok Sami sapu bersih. Ini kira ciplak teori Dass Capital. Untung habis.

Berbaloi sungguh jadi penganut agama Buddha.

Tok Sami kata apa tak boleh bantah, tak bau harum syurga. Syurga di bawah tapak kaki Tok Sami. Bila Tok Sami terpijak tahi anjing, syurga pun berbau tahi anjing. Tapi masih ramai yang sanggup "beli pahala" kerana hendak pergi syurga walaupun berbau tahi anjing. Aduhai penganut agama Buddha!

Tok Sami ala diktator dengan pak angguk bukan kombinasi yang bagus bagi melahirkan masyarakat pemikir!