Sunday, April 25, 2010

Berubah Sebelum Terlambat


Semalam seorang sahabat melahirkan hasrat murninya ingin pergi buat Vipassana. Dia memberitahu bahawa sudah lama membuang masa dengan perbuatan yang sia-sia yang tidak layak dipanggil "penganut agama Buddha". Moral asas penganut agama Buddha ialah Sila 5. Sedangkan dia tak pernah cukup Sila tersebut. Pada hujung minggu, tak ada kerja lain, selain cari jalan "melanggar" Sila.
Dia mengaku, pengaruh kawan yang "tak bermoral" tidak akan membuatkan seseorang itu jadi orang baik.

Baguslah jikalau sudah insaf dan ingin jadi penganut yang baik. Berniat untuk membuat kebaikan sudah mendapat kuson Karma (Karma baik), apatah lagi apabila betul-betul melakukannya. Kuson Karma bermula dengan niat yang baik.
Tidak ada istilah terlambat bagi membuat kebaikan. Malah Buddha mengajar kita bahawa kebaikan boleh dibuat sehingga ke nafas terakhir. Meninggalkan kejahatan atau berhenti daripada kejahatan merupakan satu kebaikan. Meninggalkan kejahatan dan membuat kebaikan merupakan kebaikan berganda. Meninggalkan kejahatan, membuat kebaikan dan berusaha membersihkan minda merupakan triple kebaikan. Vipassana ialah kaedah membersihkan minda yang terulung. Minda yang bersih bakal melonjak tinggi ke tahap Lokuttara Dhamma.
Di Thailand, terdapat pelbagai kaedah Vipassana yang boleh diikuti oleh penganut agama Buddha mengikut kesesuaian masa dan diri seseorang. Bagi mereka yang sudah pencen, mereka boleh mengikuti Vipassana sepenuh masa. Bagi orang yang masih bekerja, Vipassana bermusim menjadi pilihan. Misalnya, Vipassana musim cuti sekolah amat diminati oleh gugu-guru di Thailand.

Vipassana mesti dilakukan secara berterusan. Kita pergi buat Vipassana di Pusat Vipassana selama beberapa bulan, minggu atau, hanya untuk mendapatkan asas ilmu Vipassana sahaja. Apabila kita balik, kita menggunakan ilmu yang dipelajari bagi buat Vipassana di rumah. Kita mesti menjadikan Vipassana sebagai rutin kehidupan kita barulah kita dapat menikmati hasilnya. Hangat-hangat tahi ayam hanya membuang masa.

Buddha mengajar kita bahawa Dhamma 2 perkara membawa kita kepada Vijja. Dhamma 2 perkara itu ialah Samatha dan Vipassana. Samatha merupakan cara mengasuh minda. Minda yang terasuh dengan baik mampu membendung nafsu jahat. Manakala Vipassana merupakan cara meningkatkan Panya. Panya yang tinggi mampu menyingkirkan Avijja.

Minda yang dikuasai nafsu jahat tidak akan mendapat kebebasan. Panya yang dicemari dengan Avijja tidak akan subur. Apabila berjaya menghapuskan nafsu jahat barulah dipanggil (mendapat) Ceto-Vimutti dan apabila berjaya menghapuskan Avijja dipanggil (mendapat) Panya-Vimutti.

Mungkin ada orang kata, dia pergi Vipassana bukan untuk mendapatkan Vimutti. Itu terlalu tinggi. Sekadar dapat ketenangan atau dapat kebaikan tahap asas pun sudah memadai. Terpulanglah kepada niat masing-masing. Pokoknya, Vipassana, selain menyuburkan Panya, dapat juga menenangkan jiwa, megurangkan tekanan, mengubati penyakit yang berakar daripada tekanan dan sebagainya. Pendek kata, Vipassana yang betul banyak faedahnya. Belum cuba, tidak tahu. Setelah cuba barulah tahu. Hasilnya amat berbaloi.

Cuma harus diingat bahawa Vipassana juga ada yang tidak betul (Micca Vipassana). Vipassana yang tidak betul ini lazimnya datang daripada aliran melampau atau ajaran sesat. Dalam agama Buddha, banyak juga aliran terpesong, maka Vipassana atau meditasinya juga terpesong. Meditasi bogel misalnya tidak selaras dengan ajaran Buddha, tetapi terdapat penganut agama Buddha mengamalkannya terutama di Barat atau di Eropah.

Vipassana yang betul bakal menjelmakan hasil yang baik.


Friday, April 23, 2010

Dhamma Pasangan Bercinta

Pernah ada orang bertanya kepada saya, bolehkah suami isteri atau pasangan kekasih berjumpa lagi pada kelahiran akan datang? Saya bertanya balik, belum puas lagikah berjumpa pada kehidupan sekarang sehingga teringin bersambung pada kehidupan akan datang?

Pasangan yang bahagia semestinya ada keinginan untuk berjumpa lagi dengan orang yang dicintai. Manakala pasangan yang tidak bahagia, mungkin minta dipertemukan dengan orang lain. Dalam masyarakat Siam ada pepatah yang berbunyi: "Tambun bersama banyak-banyak agar pada kehidupan akan datang dapat berjumpa lagi!"

Pepatah ini ada benarnya. Masyarakat Siam dahulu tidak sewenangnya mencipta pepatah jika kebenarannya tidak ada. Moyang kita memang tahu Dhamma Buddha, cuma mereka tidak memperincikan maksud tambun sahaja. Dalam maksudnya yang umum tambun bererti membuat kebaikan.

Dalam satu Sutta, ada diterangkan bahawa jikalau suami isteri berhasrat untuk berjumpa pada kehidupan sekarang dan kehidupan akan datang, kedua-dua orang itu mesti:

1. mempunyai Saddha (kepercayaan/keyakinan) yang sama atau setaraf;

2. mempunyai Sila (moraliti) yang sama atau setaraf;

3. mempunyai Caga (memberi, menderma) yang sama atau setaraf;

4. mempunyai Panya (kebijaksanaan) yang sama atau setaraf;

*(Caga membawa maksud yang luas iaitu memberi, menderma, bermurah hati, dan "mengeluarkan" sifat tidak baik daripada diri).

Sekiranya seorang suka masuk wat dan seorang lagi suka masuk kasino; seorang pencinta haiwan, dan seorang lagi pemburu haiwan; seorang setia pada pasangan dan seorang lagi sentiasa cari pasangan lain; sahih tak akan bertemu lagi pada kehidupan akan datang.

Jadi, bagi pasangan yang ingin bertemu lagi, berusahalah agar 4 kebaikan di atas dapat dipenuhi.

Sunday, April 18, 2010

Tahu Dhamma Tak Perlu Buru Acharn

Sebahagian penganut agama Buddha, memburu Acharn @ Luang Phor merupakan perkara biasa. Sebaik dengar khabar ada Luang Phor yang "ada power" datang, mereka akan berduyun-duyun pergi. Luang Phor yang "ada power" ini pula lebih suka pilih kubur, Samnak Song atau rumah sebagai tempat kediaman. Makan pula sekali sehari. Untuk kelihatan lebih "power" ada yang berkaki ayam dan berjalan beratus-ratus batu. Pendek kata, Luang Phor yang "ada power" ini memilih gaya hidup yang ganjil agar dilihat "full power".

Orang Siam pun tidak kurang yang gila "power". Apabila ada Luang Phor dari Thailand datang dan dihebohkan sebagai Acharn Vipassana terkenal yang ada "power", berpusu-pusu orang Siam pergi sembah bagi mendapat berkat dan "barang baik" bagi memenuhi kehendak hati. Jarang yang pergi bagi mendapatkan Dhamma dan tunjuk ajar.

Ramai juga yang taksub sehingga "melekat" dengan Luang Phor tersebut umpama bayang-bayang. Luang pergi ke mana-mana, meraka ikut belakang. Kalau Luang Phor tua, mereka tolong papah, pegang lengan kiri, lengan tangan. Setiap kata Luang Phor disambut dengan anggukan. 10 perkara dalam Kalamasutra tak pernah diambil kisah.

Mengapa kaum Buddhis suka memburu Acharn atau Luang Phor ada "power" ini?

Dalam Intha-kila Sutta, Baginda Buddha bersabda bahawa individu yang tidak tahu kebenaran Ariya Sacca 4 iaitu Dukkha, Samudaya, Nirodha dan Magga, akan sentiasa menunggu "melihat muka" Samana atau Brahmana yang tahu kebenaran Ariya Sacca 4 (bagi mendapatkan tunjuk ajar). Individu itu ibarat "kapas yang ringan" yang terletak di permukaan rata dengan mudah ditiup angin. Angin Timur akan terbangkan kapas itu ke Barat; Angin Barat akan terbangkan ke Timur; Angin Utara akan terbangkan ke Selatan dan Angin Selatan akan terbangkan ke Utara. Kapas bergerak mengikut arah tiupan angin.

Manakala individu yang tahu kebenaran Ariya Sacca 4 tidak perlu menunggu "melihat muka" Samana atau Brahmana (bagi mendapatkan tunjuk ajar). Individu tersebut ibarat "tiang besi atau tiang batu" yang mempunyai akar panjang tertanam dalam tanah; tidak akan bergoyang, bergerak atau condong walaupun dibedal angin taufan yang kuat dari arah Timur, Barat, Utara atau Selatan. Kenapa? Kerana "akarnya" tertanam jauh ke dalam tanah. (Akar di sini ialah ilmu Dhamma)

Sutta ini mengajar kita bahawa sekiranya seseorang itu benar-benar tahu Dhamma, dia tak perlu memburu Acharn atau Luang Phor mengikut "tiupan angin" bagi mendapatkan "benda baik" kerana "benda baik" itu sudah ada pada dia iaitu Dhamma Buddha. Orang tak ada Dhamma cenderung menjadi pengikut yang sesat atau taksub.

Sifat taksub bertentangan dengan ajaran Buddha yang mengajar kita menggunakan jalan tengah; tidak terlalu ketat dan tidak terlalu longgar. Ketat akan menyeksa diri dan longgar akan mengikut kehendak nafsu.

Saturday, April 3, 2010

Apabila Mara @ Setan Berkuasa: Sami Luar Tabii Dan Khunphen Luar Biasa!

Chiangmai - Penolong Ketua Sami ditangkap di dalam kutti kerana ada "hubungan luar tabii" dengan samanera (sami kecil). Turut dijumpai ialah foto asmaradana dengan samanera tersebut dan sejumlah VCD lucah. Sami setan itu dikeluarkan daripada alam sami serta merta. Dia mengaku mempunyai "hubungan luar tabii tapi dilakukan tanpa paksaan kerana pasangannya dibeli daripada bapa ayam.

Gejala sami luar tabii ini berleluasa di Wilayah Utara Thailand. "Selera" orang di sana pelik sekali!



Depan, Phra Khunphen - belakang gambar perempuan bogel peluk "keris keramat". Hebat sungguh reka ciptanya. Hasil kerja manusia kreatif, tapi kurang kesedaran sivik.

Khunphen ini dikeluarkan dari sebuah Wat di Thailand oleh sami ternama bertaraf sifu. Khunphen ini dikritik hebat kerana menjatuhkan maruah agama Buddha. Orang Siam panggil keris keramat ini "palat krik". Kebetulan pula istilah "palat" Siam ini sama dengan istilah "palat" dalam bahasa Melayu.

Perempuan peluk "palat" tak salah. Peluklah selama mana pun. Yang jadi salah kerana dikaitkan dengan objek agama iaitu patung Khunpen yang dikeluarkan oleh Wat Buddha. Jika bomoh atau dukun yang buat, mungkin tidak akan dikritik.

Mengikut pihak Wat tersebut, Khunphen ini dibawa oleh warga Malaysia untuk dijampi oleh tok sami. Khabarnya mendapat permintaan yang tinggi dari Malaysia. Nampaknya orang Malaysia suka benda "isotik".

Tok Sami yang bertanggungjawab menjampi Khunphen memberitahu dia tak sedar bahawa Khunphen ini ada gambar kurang sopan kerana disimpan dalam kotak. Ngok sungguh jadi Tok Sami. Patut dicampak ke kandang harimau. Terima jampi barang tapi tak tengok isinya. Apa akan terjadi jika ada orang bawa bom jangka untuk "jampi" sebelum diletupkan?

Lebih ngok lagi apabila Khunphen ini mendapat sambutan yang baik pada edisi pertama, dia buat edisi kedua pula, katanya untuk kutip modal bina bangunan bakar mayat. Tapi sifu ni berjanji tak akan ada edisi ketiga lagi.

Dua gambar di atas merupakan kanser yang sedang merebak di dalam agama Buddha. Kanser ini bakal membunuh kesucian agama teragung dunia!