Wednesday, August 18, 2010

"Kwam Bart": Upacara Tutup Jalan Pahala?

Sewaktu budak-budak dahulu saya selalu mendengar orang kampung bercakap tentang perbuatan pit bart atau "tutup batil". Batil ialah bekas mengisi makanan yang digunakan oleh Bhikkhu masa pergi mengambil makanan setiap pagi. Dahulu Bhikkhu makan dalam batil. Mereka tidak makan dalam pinggan atau mangkuk seperti sekarang.

Apabila membuat Sanghadana, tidak sah sekiranya nasi tidak dibubuh ke dalam batil. Oleh itu, batil merupakan salah satu pintu pahala yang penting bagi orang Siam. Apabila Sangha "tutup batil" (pit bart) bermakna pintu pahala tertutup.

Istilah pit bath bahasa kampung. Bahasa rasmi ialah kwam bart (คว่ำบาตร). Kwam bart merujuk kepada pengisytiharan memutuskan hubungan antara Sangha dengan orang yang melakukan kesalahan agama. Orang yang dikenakan hukuman kwam bart ialah orang yang melakukan 8 kesalahan besar, iaitu:

1. Melakukan sesuatu sehingga boleh menyebabkan 4 keperluan asas Sangha terbantut.

2. Melakukan sesuatu yang tidak memberi faedah kepada Sangha.

3. Menghimpit kehidupan Sangha.

4. Memaki atau mengata para Bhikkhu.

5. Menghasut bagi memecah-belahkan Sangha.

6. Mengutuk atau mengkritik Baginda Buddha.

7. Mengutuk atau mengkritik Dhamma.

8. Mengutuk atau mengkritik Sangha.

Penganut agama Buddha yang melakukan 8 kesalahan di atas hanya akan memusnahkan agama Buddha. Oleh itu, Sangha akan memutuskan hubungan dengan orang berkenaan.

Sebelum upacara Kwam Bart dilakukan, Sangha akan berhimpun beramai-ramai, kemudian salah seorang Sangha akan memberitahu kesalahan orang berkenaan sebelum mengisytiharkan kwam bart terhadapnya sebanyak tiga kali. Setelah kwam bart diisytiharkan, Sangha atau Samanera tidak akan menerima segala pemberian dan berurusan dengan orang itu.

Kwam bart akan berjalan sehingglah orang tersebut insaf daripada kesalahannya. Setelah dia insaf, dia boleh meminta untuk memulihkan hubungan (ngai bath). Upacara Ngai bath (buka batil) seperti upacara kwam bart tetapi mesti dihadiri orang tersebut.

Kwam bart bukan sahaja Sangha boleh melakukannya terhadap orang biasa yang melakukan kesalahan agama. Orang biasa yang setiap hari memberi makan kepada Sangha juga boleh "kwam bart" terhadap Sangha iaitu tidak memberi sara hidup kepada Sagnha yang didapati tidak mematuhi kehidupan Sangha

(ข้อมูลนี้ได้มาจาก สารานุกรมไทย เล่มที่ ๑๔ (อนุภาค) ของ อุทัย สินธุสาร)


Dahulu orang kampung sangat takut dikenakan hukuman pit bart atau kwam bart ini. Oleh itulah mereka tidak berani membantah kata-kata Tok Sami. Mereka rela jadi lembu bodoh. Mereka lebih taat kepada Tok Sami daripada ibu bapa sendiri. Mereka dibodohkan oleh Tok sami yang mementingkan diri dan jahil agama. Mentang-mentang orang kampung tidak tahu membaca, sami pun mengajar mereka dengan ilmu-ilmu bodoh yang tidak diajar oleh Buddha.

Bagi generasi sekarang, mereka tidak buta huruf tetapi malas membaca. Mereka lebih gemar mendengar walaupun daripada sami yang jahil ilmu. Belajar sampai U tetapi dikelentong oleh budak darjah 6. Kitab Tipitaka terdapat dalam pelbagai bahasa dunia, tetapi sepatah haram tidak pernah baca.

Mendengar tidak salah kalau sumbernya benar dan orangnya boleh dipercayai. Tetapi mendengar daripada sumber yang salah dan orang yang jahil, bertambah bodohlah jadinya.

Sebenarnya orang kampung terkeliru. Upacara kwam bart dikenakan apabila kita melakukan kesalahan kepada Buddha, Dhamma dan Sangha. Sedangkan Tok Sami belum tentu Sangha. Tok Sami tidak semestinya Bhikkhu.

Bhikkhu merujuk kepada individu suci yang menjalani kehidupan sederhana mengikut jejak Baginda Buddha. Persaudaraan Bhikkhu dinamakan Sangha. Oleh itu, Sangha merujuk kepada sekumpulan individu suci.

Individu yang berkepala botak, berjubah kuning yang kita panggil Sami, Tok Than atau Tok Raja tetapi tidak mengamalkan Dhamma-vinai Buddha bukan Bhikkhu atau Sangha. Mereka cuma penumpang agama yang tidak berkuasa melakukan upacara kwam bart ke atas sesiapa. Sebaliknya, kita yang patut melakukan kwam bart ke atas mereka.


Tuesday, August 10, 2010

Adakah Ini Hina Agama dan Bangsa Siam?

Ini Bhikkhu, bukan sami (Panyanantha Bhikkhu)





Ini sami, bukan Bhikkhu (bawa pompuan makan angin)


Apabila saya mendedahkan salah laku para sami Siam dalam dalam blog, ramai yang marah, melenting dan melabel saya menghina agama dan bangsa. Bermacam-macam tohmahan dilakukan ke atas saya. Terdapat pihak tertentu hantar e-mail hantu ugut akan ambil tindakan mahkamah sekiranya saya tak berhenti menulis. Saya tunggu dengan lapang dada, tapi sehingga kini tak dengar khabar berita.

Seorang kawan menegur saya: "Kamu kutuk sami nanti mati sami tak datang baca Kusala!" Saya tak kutuk sesiapa. Saya tulis kebenaran. Sami datang baca Kusala adalah jaminan kita akan masuk syurga? Jangan mengarut. Sami itu siapa yang nak 'hantar' kita ke syurga? Diri sendiri pun entah selamat sampai ke syuarga. Sebenarnya, syurga atau neraka bergantung pada perbuatan sendiri. Orang lain tak ada kuasa menentukannya. Buddha sendiri pun tak mampu 'hantar' umatnya ke syuarga melainkan umatnya mengamalkan apa yang disuruh. Ini pula Sami Ringgit Malaysia, masakan bacaan Kusalanya begitu keramat sehingga mampu mempengaruhi perjalanan orang yang sudah mati.

Kusala dibaca untuk didengar oleh orang yang hidup. Oleh itu, bagi orang mati, baca Kusala atau tidak, tak ada perbezaannya. Sebab itulah Luang Phor Panyanantha tak pergi apabila dijemput pergi baca Kusala. Beliau akan minta tukar dengan khutbah Dhamma.

Berani kerana benar. Itulah falsafah hidup orang seperti saya. Apa yang saya dedahkan adalah realiti yang sedang berlaku dalam komuniti sami Siam Malaysia. Sami langgar tatasusila kesamian sesuka hati, kumpul kekayaan, hidup mewah, main politik, jadi alat politik, jadi kuda tunggangan dan lain-lain. Adakah ini tidak menghina agama dan bangsa namanya?

Bagaimana dengan poster di bawah? Adakah ini tidak menghina agama dan bangsa? Ke mana pergi Khanak Song Thai Malaysia sehingga membiarkan perkara sebegini berlaku? Nombor telefon ada, kenapa tak konteks dan minta dihentikan penghinaan ini?
Poster 'jutawan Buddhist' ini tersebar sehingga ke KL. Seorang kawan bagi saya. Katanya, ditampalkan di Medan Selera Cina, dimasukkan dalam peti surat, diselitkan di celah pintu pagar dan entah di mana-mana lagi.


Khanak Song Thai Malaysia tak akan bertindak kerana lembiknya seperti terung rebus. Anggotanya pula ramai yang gila nombor ekor. Nak bertindak macam mana kerana mereka 2 x 5 saja dengan empunya poster.

Seorang kawan berkata Khanak Song tak tumpah seperti 'Donation Box' yang digunakan untuk menampung duit derma.













Saturday, August 7, 2010

Luang Ta Hi-Tech

Wilayah Ang Thong, Thailand - Luang Ta "Hi-Tech" naik basikal kuasa elektrik pergi bintabat setiap pagi.

Kisahnya, seorang Luang Ta, umur 83 tahun (11 Phansa) terpaksa menempuh perjalanan sejauh 15 km setiap hari pergi bintabat (pindapata). Kerana usia yang lanjut, perjalanan jauh dan hasil bintabat yang banyak menyebabkan beliau terpaksa sewa beca roda tiga sehari 40 Bath.

Seorang doktor yang prihatin dari Ayuthaya menghadiahkan basikal elektrik kepada Luang Ta memandangkan lokasi Wat dari jalan besar sejauh 2 km. Luang Ta hendak ke mana-mana susah. Oleh itu, dihadiahkan basikal.

Reforamsi Luang Ta ini menimbulkan pro dan kontra. Penduduk yang pro berpendapat, perbuatan Luang Ta tidak bercanggah dengan Vinaya (dalam Vinaya tiada larangan bhikkhu memandu kenderaan) kerana zaman dahulu pun ada Bhikkhu mendayung sampan pergi bintabat. Apatah lagi Luang Ta yang tua, hidup dalam zaman teknologi, seharusnya "dibolehkan" menggunakan kenderaan masa pergi bintabat.

Manakala Setiausaha kepada Ketua Bhikkhu Wilayah Ang Thong berpendapat tindakan Luang Ta tidak patut kerana menimbulkan tidak senang hati masyarakat (Loka-Vacca). Beliau menambah, bintabat bermaksud berjalan dengan tenang, tidak meminta dan apabila telah menerima hasil mencukupi harus berangkat pulang. Khanak Song Thailand sedang menghalusi perkara ini, tetapi belum mengeluarkan kenyataan.

Perkara begini walaupun kelihatan remeh, tetapi ia bakal mencetuskan perbahasan yang berpanjangan.

Tindakan sami Siam Malaysia (saya sengaja tak gunakan istilah bhikkhu) memandu kereta masih menjadi perbahasan sehingga kini; ada pro dan kontra yang tak habis-habis. Yang sokong ramai dan yang kutuk pun ramai.

Masyarakat Buddhis mengharapkan Khanak Song berupaya membuat keputusan muktamad (melarang atau membenarkan dengan alasan yang rasional), tetapi hampa. Khanak Song lembik seperti terung rebus.

Thursday, August 5, 2010

Sentiasalah Mengingat 10 Perkara

Ini memang cantik. Hati manusia mudah "melekat" pada benda cantik.








Jikalau macam ini cantik tak?


Fikiran manusia tidak pernah berehat daripada memikirkan sesuatu. Masa tidur sekalipun fikiran manusia masih bekerja. Banyak perkara yang difikirkan dan diingati oleh manusia. Buddha mengajar kita agar sentiasa mengingat perkara-perkara yang baik. Terdapat 10 perkara utama yang mesti selalu diingat, dikenang dan dibicarakan dalam hati, terutamanya dalam masa Phansa begini. Antaranya ialah:


1. Mengingat Buddha - Kita mesti sentiasa mengingati kebaikan dan kesucian Buddha. Baginda ialah Maha Agung yang telah memberi petunjuk Jalan Benar kepada kita. Tiada makhluk lain mampu menyamainya, sama ada manusia mahupun dewa, di dunia mahupun di syurga.

2. Mengingat Dhamma - Kita mesti sentiasa mengingati kebaikan dan nilai-nilai yang terkandung dalam Dhamma. Dengan Dhamma (mengamalkan Dhamma) kita mampu menjadi manusia yang baik, berbudi pekerti tinggi, mengecapi kebahagiaan sejati dan bebas daripada segala penderitaan.

3. Mengingat Sangha - Kita mesti sentiasa mengingati kebaikan, ketekunan dan kesucian Sangha yang menjejaki langkah Buddha. Sangha merupakan manusia mulia yang mewariskan ajaran Buddha kepada kita.

4. Mengingat Sila (moral) - Kita mesti selalu mengingat dan membicara di dalam hati berkenaan Sila yang jadi pegangan kita, sama ada bersih, cukup atau terputus. Sekiranya Sila kita tidak berapa bersih, kita mesti berusaha agar ia jadi bersih.

5. Mengingat Pemberian - Kita diajarkan agar sentiasa membuat kebajikan, menghayati kemuliaan hati orang yang selalu membuat kebajikan dan faedah-faedah yang diperolehi daripada kebajikan. Kita harus beringat bahawa tangan yang memberi lebih mulia daripada tangan yang menerima. Oleh itu, perbanyakkan membuat kebajikan tanpa mengira batasan agama, bangsa atau negara. Manusia ialah "Saudara Sependeritaan" yang berkongsi kematian, ketuaan, kesakitan dan kematian yang sama.

6. Mengingat Devata (Dewa) - Kita mesti sentiasa mengingat para devata dan perbuatan-perbuatan atau ciri-ciri yang menyebabkan manusia dilahirkan di alam devata. Dua ciri asas yang harus diingat ialah Hiri (malu) dan Ottappa (takut) kepada dosa. Dua ciri ini mampu membawa manusia lahir di alam devata.

7. Mengingat Kematian - Sesetengah orang berasa takut apabila disuruh mengingat kematian. Apa yang harus ditakutkan? Kematian sesuatu yang pasti, lambat atau cepat sahaja akan tiba juga masanya. Mengingat kematian akan mendorong kita agar tidak lalai dan segera membuat kebaikan kerana kita entah mati esok, atau lusa.

8. Mengingat Tubuh Badan - Kita mesti mengenal dan menghayati tubuh badan kita bahawa ia terbentuk daripada pelbagai elemen. Anggota tubuh badan kita bukan sesuatu yang bersih. Apabila nafas menemukan noktahnya, tubuh badan tidak lebih daripada ketul-ketul daging yang busuk dengan tulang-tulang yang reput. Oleh itu, tiada sebab bagi kita "melekat" kepada kecantikan tubuh badan. Orang yang "tidak kenal" tubuh badan akan menanggung penderitaan yang amat sangat apabila kehilangan anggota tubuh badan atau kehilangan kecantikan.

9. Mengingat Pernafasan Masuk dan Keluar - Setiap kali kita menarik nafas masuk dan menghembus nafas keluar, kita mesti lakukannya dengan penuh kesedaran. Ini bermaksud kita mesti sentiasa ada kesedaran setiap detik pernafasan kita agar kita tidak cuai, leka atau lalai dalam pemikiran, pertuturan dan perbuatan (nafas meditasi).

10. Mengingat Dhamma Yang Membawa Ketenangan - Di sini kita disuruh mengingat kebaikan Nirvana yang merupakan kebahagiaan dan ketenangan hati yang sebenar. Tiada kebahagiaan dan ketenagan lain yang dapat menyamai kebahagiaan dan ketenangan Nirvana.