Wednesday, April 27, 2011

Siam Kemaruk Politik!

Sorang kawan tulis kepada aku, katanya orang Siam kita tengah kemaruk politik. Kepala orang Siam penuh dengan politik. Apabila bersembang, tak cukup syarat jika tak sentuh soal politik. Pagi politik, petang politik dan malam pun politik. Macam orang gila bola, makan bola, tidur bola. Siam makan politik, tidur pun politik.

Orang Siam kita, tambah kawan aku itu, mengalahkan kawan-kawan Melayu kita bab politik dan politikus. Dahulu sehingga sekarang apabila kita pergi ke warung kopi, kawan-kawan Melayu kita tak kering bibir sembang politik. Politik Kelantan paling menggegar kerana ada dua parti Melayu iaitu Umno dan Pas. Orang Siam yang dahulu cuma mendengar dan menunggu untuk mencelah sekali-sekala, kini jadi tok selampit sendiri. Orang Melayu pula tukang mendengar dan menunggu untuk mencelah. Pendek kata tok selampit Chau Deng tak terkalahkan oleh tok selampit Dollah.

Politik Siam tak banyak beza dengan politik Melayu. Melayu ada dalam Umno, PKR dan Pas. Siam juga ada dalam Umno, PKR dan Pas. Jika Melayu dalam Umno sombong, Siam dalam Umno juga sombong. Jika orang kritik Umno, Melayu Umno rela mati sebagai galang ganti, Siam Umno juga rela masuk kubur demi Umno. Melayu Pas dijanjikan syurga. Siam Pas tidak dijanjikan syurga tapi dijanjikan jawatan. Melayu PKR dijanjikan Putrajaya. Siam PKR tidak dijanjikan Putrajaya. Siam tidak mahu Putrajaya kerana jauh dari kampung halaman. Sebagai gantinya, Siam PKR dijanjikan hak sama rata.

Siam Umno berbangga diberi taraf Bumiputera. Sengih pagi petang dengan taraf tersebut biarpun pemberiannya hanya dengan air liur. Jawatan Senator menambahkan lagi sengih orang Siam. Sebagai membalas budi baik Umno, Siam kempen masyarakat seketurunannya masuk Umno. Siam gunakan pendekatan orang Melayu. Orang Melayu bawa politik masuk masjid. Siam bawa politik masuk wat. Siam ambil peluang kempen politik setiap kali ada keramaian di wat. Hari jadi Tok Sami, hari Songkran, hari Loi Krathong dan bermacam-macam hari Siam jadikan sidang politik. Siam bawa masuk orang politik beri ceramah politik.

Orang kata politik kotor. Sedangkan wat tempat suci. Jadi, politik tak sepatutnya dibawa masuk wat. Itu kata orang. Orang mana? Orang Siam moden tak kata begitu. Orang Siam moden telah ikut kawan-kawan Melayu yang mencampurkan politik dengan agama. Politik dan agama tak boleh dipisahkan umpama isi dengan kuku. Andai dipisahkan, cacatlah jari jemari.

Politik tak boleh dipisahkan dengan agama falsafah parti Pas, falsafah Abdul Hadi Awang dan Nik Aziz. Entah di mana silapnya Siam Umbo pergi ambil pakai. Pantang ada keramaian di wat, isu politik dibawa masuk. Tambah malang, Pak Menteri dilayan lebih mulia daripada Tok Sami. Pemimpin politik yang hanya reti bercakap dijunjung di atas kepala, manakala pemimpin masyarakat Siam yang berjasa dipijak di tapak kaki.

Kenapa orang Siam kemaruk politik? Selama ini orang Siam tidur. Orang Siam tidur memanjang. Apabila pemimpin negara tanya: "Woi, Siam, hang nak duduk Malaysia ke nak balik Siam?"

Segera Siam menjawab: "Nak balik Siam!"

Sebab itulah nama tak ada dalam Perlembagaan Persekutuan. Apabila orang bising pasal hak istimewa Bumiputera, Siam baru celik mata, tuntut hak yang sama kerana Siam pun Bumiputera. Siam keturunan Srivijaya. Kalau tak percaya, selak-selaklah sejarah Asia Tenggara versi tulen yang belum disunting oleh sesiapa. Sejarah yang telah disunting dan diklon tak boleh dipercayai kerana isinya menyebelahi diri sendiri. Hanya golongan penulis sejarah itu sahaja muncul dari bumi, orang lain semua datang dari atas pokok.

Hari ini Siam telah bangun sepenuhnya selepas menguap dua tiga kali. Malangnya kawan-kawan Melayu yang dahulu sama-sama tidur telah jauh berjalan ke depan. Siam tertinggal meliut lintuk di belakang. Akibatnya Siam jadi gelabah. Siam rela melakukan apa sahaja untuk mengejar kawan-kawan Melayu; membunuh sesama Siam, membodek Melayu, menukar agama, mengeluarkan video lucah dan seribu satu macam. Kejar Mahathir, Najib atau Muhyiddin, keluar berak pun tak akan terkejarkan. Memadailah jika mampu kejar Deraman kurap yang berselimut pagi-pagi di kedai kopi Haji Yaakob. Puas hatilah kalau sempat kejar Mek Timah goreng pisang yang lima orang anaknya masuk universiti. (Ini yang susahnya, lima orang anak Mek Timah masuk universiti, sedangkan lima orang anak Siam ketagih samsu, boleh kejar ke?)

Sekiranya tidak sempat mengejar kawan-kawan Melayu, memadailah jangan tertinggal terlalu jauh di belakang. Jika tertinggal terlalu jauh, nanti Orang Asli akan terpijak tumit. Orang Asli semakin kencang mara ke mari, menghampiri orang Siam. Mati-mati orang Siam tak boleh terima hakikat sekiranya Orang Asli memintas.

Kawan-kawan Cina, usah disebut, mustahil mampu dikejar Siam. Jangan kata Lim Goh Tong, Lim baiki basikal buruk pun Siam tak mampu kejar. Lupakan saja tentang mahu kejar orang Cina. Kejar orang Melayu cukuplah kerana ramai Melayu yang kepalanya lebih kurang sama dengan kepala Siam. Kepala setia tak tengok masa dan suasana. Kepala yang rela dijadikan tangga bagi orang lain panjat ke atas. Kepala begini balasannya syurga kerana kesetiaannya.

Semuanya Siam telah buat agar berjaya tiba di garisan penamat. Adat dijual, agama digadai, tok sami dipajak, jati diri ditolak ke tepi. Andainya belum berjaya lagi, entahlah.

Tetapi di mana garisan penamat perjalanan jauh ini?













Sunday, April 17, 2011

Perasmian Pesta Songkran: Satu Penghinaan Terhadap Kaum Siam!

Setiap kali menjelang bulan April (bersamaan bulan 5 Siam), masyarakat Siam akan mengadakan Pesta Songkran. Pesta tradisi ini disambut sempena tahun baru masyarakat Siam. Dahulu Pesta Songkran diadakan oleh pihak wat dan penduduk kampung secara kecil-kecilan di kalangan masyarakat Siam di wat-wat Siam. Masyarakat Cina yang dipanggil "Cina kampung" yang ada pertalian darah dengan orang Siam turut menyertainya. Biarpun diadakan secara kecil-kecilan, ia meriah, kaya dengan nilai murni dan membawa makna yang besar kepada masyarakat Siam.

Sekarang masyarakat Siam sedang berkembang pesat. Pesta Songkran pun turut berkembang dan semakin meriah kerana disertai masyarakat pelbagai kaum, terutama kaum Cina bandar. Seperti biasa, apabila sudah berkembang, dikenali dan popular, persatuan Siam pun mula menyusup masuk, kononnya bagi "memperbesarkan" lagi pesta taradisi. Mahu memperbesar atau mahu menumpang sekaki?

Setelah Perdana Menteri melahirkan 1Malaysia, pemimpin Siam pun mengadakan Pesta songkran 1Malaysia bagi memupuk perpaduan kaum. Ini perkara yang baik dan patut disokong. Namun, Songkran ialah adat turun temurun yang kaya dengan nilai-nilai tersendiri. Dalam usaha memperkenalkan Songkran ke peringkat nasional, berhati-hatilah agar nilai-nilainya tetap terpelihara.

Di Kelantan, Pesta Songkran dimasukkan ke dalam kalendar pelancongan negeri dan dijadikan acara tahunan bagi menarik pelancong datang ke negeri Cik Siti Wan Kembang.

Pengerusi Persatuan Masyarakat Siam Kelantan, Eh Chot Cha Chan berkata, sejak 2004, perayaan ini merupakan acara tahunan popular melibatkan masyarakat berbilang kaum yang dianjurkan bersama Persatuan Masyarakat Siam Kelantan dengan Majlis Tindakan Pelancongan Negeri Kelantan serta Jabatan Kebudayaan Kesenian Negara Negeri Kelantan (KEKKWA). Ini sesuatu yang baik kerana akan mengangkat Pesta Songkran ke satu tahap yang boleh dibanggakan. Namun, ia belum memadai jikalau pengisiannya tidak cukup kuat.

Pesta Songkran yang diadakan di Wat Sukhontaram, Tumpat, Kelantan pada 15 April lalu sekali pandang, terlihat gahnya, kemerihannya dan kejayaannya. Namun, bagi individu yang tajam mata hati, pesta itu bukan sahaja tidak cukup kuat, malahan mencerminkan satu penghinaan terhadap masyarakat Siam yang beragama Buddha. Mungkin pihak penganjur dan masyarakat Siam yang menyertai pesta tersebut tidak perasan. Mungkin juga ada yang perasan, tetapi memilih untuk berdiam diri.

Di mana kesilapannya? Kesilapannya wujud kerana penganjur kurang sensitif terhadap kesucian agama Buddha. Kepala putih kerana umur yang tua, tetapi tidak menunjukkan masak ilmu agama. Songkran memanglah tradisi masyarakat, tetapi apabila diadakan di wat dan melibatkan Buddha (patung Buddha), Dhamma dan Sangha, bermakna ia telah menerima masuk unsur-unsur agama. Apabila di dalamnya ada unsur-unsur agama, kita tidak boleh lagi menganggap bahawa Songkran sebagai tradisi semata-mata.

Pesta Songkran di tengah bandar Hatyai atau bandar Bangkok tidak sama dengan Songkran di Wat Sukhontaram. Songkran di Hatyai dan Bangkok tidak melibatkan Buddha, Dhamma dan Sangha, sebaliknya melibatkan masyarakat setempat, pelancong asing dan pelacur. Thailand mencatatkan jumlah kemalangan maut paling tinggi sewaktu musim Songkran kerana pemandu mabuk.

Walaupun adat tradisi dan nilai murni masih dipatuhi sebelum menyiram air kepada orang lain, misalnya minta izin, tetapi "nilai-nilai sucinya" tidak ada dan tidak perlu ada kerana Hatyai dan Bangkok bukan tempat suci. Sedangkan wat-wat Siam ialah tempat suci bagi penganut agama Buddha, lantaran kesuciannya wajib dipertahankan.

Di mana kesilapannya Pesta Songkran di Wat Sukhontaram? Kesilapannya adalah apabila menjemput tetamu kehormat yang bukan beragama Buddha memandikan patung Buddha dan Bhikkhu atau Sangha. Ini adalah satu penghinaan yang tidak sepatutnya berlaku.

Saya tidak menyalahkan tetamu kehormat kerana mereka cuma memenuhi atur cara yang disediakan pihak penganjur. Pihak penganjur boleh menjemput pegawai kerajaan merasmikan Pesata Songkran, (apakah tujuannya saya tidak mahu ambil tahu kerana itu bukan urusan saya), tetapi tidak perlu minta mereka menyiram patung Buddha dan Bhikkhu. Perasmian boleh dilakukan dengan pelbagai cara tanpa perlu melibatkan Tri Ratana.

Penganjur mungkin akan berkata Pesta Songkran cuma tradisi dan bukan agama. Memanglah asalnya tradisi, tetapi apabila dicampurkan dengan agama, ia telah jadi tradisi keagamaan. Inilah yang kurang difahami sesetengah pemimpin Siam sama ada di Kelantan, Kedah, Perlis mahupun Perak. Jikalau kita mahu Songkran dijadikan kebudayaan seratus peratus, jangan melibatkan unsur agama, jangan melibatkan Buddha, Dhamma dan Sangha. Menggunakan laman wat tidak menjadi kesalahan kerana kita tidak ada tempat lain. Namun, adat dan ibadat mesti dipisahkan. Adat boleh disertai kaum lain, tetapi soal ibadat tidak boleh kerana melibatkan kepercayaan, pegangan dan amalan yang berbeza.

Patung Buddha sesuatu yang tersangat mulia dan suci bagi penganutnya. Upacara "memandikan patung Buddha dilakukan dengan niat yang ikhlas dan suci" bagi mengingati dan menghargai jasa-jasa Baginda mengajar Dhamma kepada kita. Kita berbalik kepada asal usul Sonkran. Songkran, adat memandikan ibu bapa oleh anak-anak bagi mengenang jasa dan budi ibu bapa mereka. Adat ini diambil daripada sejarah 7 Puteri kepada Thau Kabin Phrom yang "menyucikan" kepala ayahanda mereka. Mereka melakukan dengan hati yang ikhlas dan suci, daripada seorang anak kepada bapanya. Kita ialah anak kepada Buddha (Buddha-Putra). Apabila kita melakukan upacara memandikan patung Buddha, kita melakukan dengan hati yang ikhlas dan suci sebagaimana seorang anak melakukan kepada bapanya.

Bolehkah pegawai kerajaan yang bukan beragama Buddha melakukannya dengan niat yang ikhlas dan suci? Saya berani bersumpah bahawa tidak mungkin kerana menerima kewujudan Buddha sebagai entiti suci yang menyeru umat manusia ke jalan benar bercanggah dengan tuntutan agama mereka, bahkan melanggar akidah mereka.

Mereka boleh dengan kelihatan sopan menyiram patung Buddha, tetapi di dalam hati mereka mungkin berkata: "Aku sedang menyiram seketul batu!" Bagi mereka, kita ialah kafir dan Buddha itu tentulah penghulu kafir. Dan kita masih mengharapkan keikhlasan dan kesucian hati mereka terhadap Buddha? Apabila hati mereka tidak ikhlas dan suci sebagaimana hati penganut agama Buddha, bermakna mereka sedang menghina kita. Walaupun tidak ada niat menghina di hati mereka, namun perbuatan mereka menyebabkan hati penganut agama Buddha terasa terhina. Ini yang penganjur tidak faham atau sengaja tidak mahu faham. Dan yang perlu difahami semua ialah apa-apa sahaja upacara yang melibatkan agama tidak boleh melibatkan orang agama lain.

Jangan bermain dengan isu agama. Walaupun masyarakat Siam tidak ada ekstreamis dan Buddha tidak mengajar sifat melampau, perbuatan yang menghina agama boleh mengundang sifat ekstreamis.

Senator Boon Som minta kerajaan pertimbangkan Pesta Songkran sebagai cuti umum. Bagaimana kerajaan mahu mempertimbangkannya jikalau pemimpin Siam sendiri masih samar-samar dengan Songkran?

Sebelum minta orang lain iktiraf adat tradisi kita, terlebih dahulu kita sendiri mesti memahaminya; asal-usulnya, perkembangannya dan nilai-nilainya. Pisahkan nilai yang akan dipertahankan daripada nilai yang telah lapuk dan tidak relevan agar Songkran bukan sekadar bermain air, kegembiraan dan keseronokan, malahan sesuatu yang berfaedah untuk semua. Sekiranya diadakan secara sembrono, Songkran tidak lebih daripada pesta membazir air.